Pages

Showing posts with label how i met myself. Show all posts
Showing posts with label how i met myself. Show all posts

Thursday, November 11, 2021

harga kehilangan Redmi Note 7.

bismillah

ceritanya adalah telefon bimbit saya dicuri. 

bagaimana ia bermula, ialah ketika kain lampin Awfa terjatuh di bahu jalan. saya sedang kalut menuruni Grab, selesai urusan imunisasi bulanan di klinik kesihatan. Awfa sedang di pangkuan lengan kiri, masih lena. lengan sebelah lagi pula memaut beg, langsung memungut kain lampin di bawah. tanpa tersedar, ketika itulah (mungkin), telefon bimbit saya tercicir. 

dipendekkan kisahnya, saya tahu ia sah menjadi milik orang lain apabila penumpang seterusnya mengakui bahawa telefon bimbit itu adalah miliknya dan saya tidak lagi mampu berbuat apa-apa. ini setelah melalui siri e-mel dan telefon khidmat mesra pelanggan yang berulang kali, - noktah. 

detik bermenung saya kemudiannya adalah sela menyumpah kecuaian diri, menyalahkan kekalutan keadaan dan usaha menghubungi Faaizz melalui aplikasi WhatsApp Web yang bertahan cuma lima minit. saya juga berkalau-kalau itu dan ini, termasuklah menengok bajet bulanan, membuat carian harga telefon bimbit terpakai, juga berulang kali menengok paparan Find My Device. pada masa yang sama, menenteramkan diri sendiri dan Awfa yang beberapa kali terjaga. fuh, bebanan fikiran yang sungguh melelahkan! pada masa yang sama, saya sangat lapar sebab belum sempat menjamah apa-apa sebelum ke klinik tadi. menyedari telefon bimbit hilang pun ketika itulah, ketika Awfa sudah disusukan dan ditidurkan, dan saya mahu memesan sesuatu dari GrabFood kerana kelaparan. 

saya stres langsung berdiam diri, tidak mahu berbuat apa-apa lagi. saya mencapai pek biskut terakhir (sadis, bukan?) sambil merenung laptop, gelap. 

diam, diam adalah kuncinya untuk bertenang. berulang kali saya memberitahu diri sendiri; diam daripada melatah, diam daripada menyalahkan, diam daripada mengadu, diam daripada meratap, cuma diam. bezanya, teruji dengan kecuaian diri kali ini ialah saya lebih berdamai dengan kesilapan, berdamai dengan kehilangan, dan berdamai dengan diri sendiri. 

saya mengambil masa untuk tidak melulu memberi reaksi, sebaliknya diam merenung sebelum memberi respons, terutamanya kepada suami sendiri, ahah! saya yakin, dia juga. dan ternyata ia sangatlah menenangkan!

ya, demikianlah kehilangan Redmi Note 7; untuk makna sebuah REACTION dan RESPONSE yang terpakai untuk semua situasi sekalipun, huh.

"when we learn to respond to each other rather than react, we will move much more quickly in our conflict toward resolution and reconciliation. reactions only stoke the fires of conflict; responses, particularly godly ones, help us snuff out the conflict."

- Matt Chandler

 

Tuesday, November 2, 2021

kepala saya dan perlanggaran kata-kata.

bismillah


sela menjadi ibu dan isteri, adalah ruang mencari diri

alangkah kalau kepala saya memiliki sebuah mesin taip yang boleh menyusun dan menulis kesemua fikiran yang ada. sudahlah bising, rumit pula. 

saya orang yang terlalu jenuh merenung sebelum memuntahkan kata, terutamanya ke dalam teks. saya cenderung memikirkan vokal, bunyi, fragmen, letak duduk dan konotasinya kepada penerimanya; terutama tentang penerimaan hatinya. 

ataukah sebenarnya saya terlalu berfikir tentang apa pandangan orang tentang saya? ataukah sebenarnya saya terlalu memperlekehkan pandangan dan fikiran sendiri? ataukah sebenarnya masalah terbesar saya adalah menjelaskan fikiran dan perasaan sendiri? 

entah-

adakala saya jadi tidak tahu apa yang saya tahu. adakala saya jadi bingung dengan apa yang saya mahu. adakala saya terlalu berfikir sehingga keliru. adakala saya terlalu menurut, mengikut sehinggalah diberitahu, tiba-tiba barulah saya tersedar bahawa saya sebenarnya punya sesuatu.

bagaimanakah caranya untuk menyampaikan perasaan.
bagaimanakah caranya untuk menjelaskan fikiran.
bagaimanakah caranya untuk mempertimbang keputusan.
bagaimanakah caranya untuk mencari kesepakatan. 

"don't confuse being a fast talker with being a deep thinker. speaking quickly signals confidence, not complexity. don't mistake volume for expertise. speaking loudly reflects conviction, not credibility. sometimes the best ideas comes from the least assertive voice in the room." 
- Adam Grant

ah, terima kasih Adam Grant; psikologis organisasi merangkap penulis favorit terbaharu, -aku! mengapa begitu mudah kau memahami?

“Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.” 

(Thaha: 25-28)

 

 

Wednesday, October 20, 2021

kepala saya dan blok-blok mini.

bismillah


saya, err kami sebelum kejadian

berkali-kali saya pesan bahawa saya mahu iced latte sebelum kami berpisah sebentar. 

Faaizz masuk ke dalam kafe bersama 'Akeef dan saya tunggu di luar bersama Awfa. sengaja saya beredar agak jauh sedikit memandangkan kawasan itu sudah terbebas dengan asap rokok. lima minit menunggu, Awfa kian resah gelisah di dalam stroller. wajahnya memerah, peluh mula melekit pada tubuhnya yang agak gempal. 

sepuluh minit berlalu, saya makin tidak tentu arah. apatah pula bertemu mata dengan orang sekeliling yang seakan menghakimi saya. entahlah, mungkin saya saja yang terasa dihakimi. seolah tercatat pada mata kepala mereka ish-jenis-mak-apa-ni-bawa-baby-ke-tempat-terbuka-bahaya-tau-tak-masa-covid-ni. dan setiap kali itulah, saya seakan bertikam lidah dengan diri saya sendiri, konon melawan dengan hujah bahawa saya ada pilihan dan sebab tersendiri. saya juga sudah cukup berwaspada. sekurang-kurangnya demikianlah hemat peribadi saya ketika itu. 

Awfa mula merengek panjang. saya mengangkatnya dari stroller dan mendukungnya sambil tangan sebelah lagi memegang telefon bimbit. sesekali menghinjut Awfa, sesekali menengok kalau-kalau ada WhatsApp dari Faaizz. telefon saya berbunyi, tepat seperti yang dijangkakan. nada suaranya kedengaran agak kalut, mungkin lama mencari saya yang tiba-tiba menghilang. saya memberitahu Faaizz kedudukan kami yang berhampiran dengan BookXcess. 

Awfa makin rimas. kelibat Faaizz belum juga muncul. sekali lagi telefon saya berbunyi. rupa-rupanya mereka mencari saya di BookXcess sedangkan saya sebenarnya berada di deretan kedai yang menghala ke BookXcess. paling tepat, ia hanya beberapa langkah daripada kafe yang dikunjungi tadi. mungkin butir perkataan 'BookXcess' yang ditangkap telinga Faaizz lalu dia bergerak ke sana. 


***


entah kenapa, saya jadi mahu naik angin. mungkinlah disebabkan oleh segala 'loud noise', 'sensory stressors' atau 'invisible load' dalam kepala. segala perancangan mula sejak kami berangkat keluar dari rumah tadi seakan tidak menjadi. bermula daripada cuaca hujan, kami hanya sempat menengok badak sumbu diberi makan. selebihnya saya dan Awfa hanya di dalam kereta. manakala Faaizz dan 'Akeef ke tempat buaya pula diberi makan. 

kemudian, kami langsung berangkat ke sini. sejak itu, semuanya seakan blok-blok mini yang menghentam kepala; kecil tetapi apabila bertimpa-timpa sakit juga dibuatnya. 

saya terkaku melihat dua cawan kopi di tangan Faaizz. satu Americano sejuk, satu lagi kopi panas. kalau Americano bukan yang saya pinta, tentulah yang panas itu saya punya, bukan? tetapi tadi, bukankah berulang kali saya katakan saya mahu iced latte? ah, satu lagi blok mini menghentam kepala. kali ini sakitnya lebih keras. 

'Akeef dan Faaizz berjalan di hadapan. saya di belakang menolak stroller Awfa, sambil perlahan-lahan memberi ruang kepada kepada otak untuk bertenang, bertenang dan bertenang. tidak semena-mena, 'Akeef pula 'mengamuk' marahkan saya gara-gara kakinya hampir tersadung kerana stroller Awfa. ruang tenang yang saya cuba isi tadi bagai dicabar. saya seakan mahu menjerit di situ juga. 

kali ini saya terus kunci mulut serapat-rapatnya. saya cuba menahan ledakan yang sudah meletus dalam diri saya sendiri, memasuki segenap ruang darah dan bergetar dengan sangat laju! saya jadi malas mahu ke mana-mana atau berbuat apa-apa. saya cuma mahu pulang, pulang dan pulang. sepanjang perjalanan ke rumah, saya hanya mendiamkan diri sementara kepala saya mengerjakan dua pekerjaan berbeda. satu, - menyumpah diri sendiri yang seakan kebudak-budakan dan dua, - merasional semua tindak-tanduk saya. saya bertengkar dengan diri saya sendiri tentang hak saya untuk meluahkan perasaan, menyuarakan keinginan, dan membuat keputusan. 

namun, semuanya hanya seputar di dalam kepala. 

fuh!


***


sejak berkahwin, sikap inilah yang cuba untuk saya baiki perlahan-lahan sejak dahulu. semakin mengenali personaliti diri, dan mendalami tentang sikap manusia, saya mungkinlah dikategorikan sebagai HSP (highly sensitive person) atau termasuk dalam golongan empath. sifat, karakter atau personaliti yang tidak pernah saya tahu selama ini ada dalam diri. 

seseorang yang terlalu peduli dengan segala macam 'noise' di sekelilingnya, mudah terkesan dengan 'energy' orang lain baik positif atau negatif, cenderung berasa bertanggungjawab terhadap emosi orang lain, gemar menyisihkan dan merendahkan perasaan sendiri, lebih suka mendiamkan diri berbanding menyuarakan kehendak, takut pada komunikasi yang jelas dan terang (transparent communication) dan lain-lain. inilah yang saya temukan dalam pencarian saya selama ini, melalui buku-buku seperti The Highly Sensitive Person oleh Elaine N. Aron ataupun The Empath's Survival Guide: Life Strategies for Sensitive People oleh Judith Orloff. 

jika dahulu sebelum menyelami fikiran dan jiwa sendiri, saya selalu mengutuk sifat saya yang satu ini. namun seperti apa-apa sekalipun, jika berlebihan ia akan membinasakan, jika terkawal ia akan menguatkan. syukur, Allah takdirkan saya dengan seseorang yang berlawanan; saya negatif dia positif. tanpa sedar, saya juga mengenali diri sendiri melalui refleksi dirinya yang jauh berbeza. berulang kali saya sebutkan Faaizz adalah seperti gambaran Eyup dalam Black Milk tulisan Elif Shafak;

 

"Eyup is a gentle and generous soul, an always-rational man bestowed with an amazing inner balance and the patience of the prophet Job, from whom he got his name. as for me, I would have to tick off pretty much everything opposite from his qualities, starting with "impatient", "irrational", "emotional" and "walking chaos."


ya, itulah saya. dan seperti selalu dia bijak mengendali saya dengan karakternya yang tenang dan bersahaja. 

kini saya ada tambahan dua orang yang 'mencabar' wilayah sensitiviti saya; 'Akeef dan Awfa. atau sebenarnya mengajar untuk saya menjadi seseorang yang lebih baik, tenang dan terbuka. dengan adanya mereka, saya belajar untuk 'pause' - validate dan regulate emosi saya sendiri. belajar meletakkan boundaries; kalau perlu ke bilik, sila ke bilik. kalau mampu bertahan, mohon bertenang. belajar berdamai dengan emosi sendiri. belajar mengakui kelemahan tanpa menyisihkan kekuatan. belajar menyuarakan kehendak. belajar menyatakan tidak. belajar untuk tidak berasa perlu bertanggungjawab terhadap apa yang orang lain rasakan. belajar untuk berani punya prinsip dan pegangan sendiri. 

sejak bergelar ibu, berulang kali dipesan pada diri. ada hari yang saya tewas, ada hari yang saya menang. saya cuma mahu menjadi orang yang tenang, dan inilah salah satu daripada sekian banyaknya mantra yang teguh saya imani; 

 

"When our little people are overwhelmed by big emotions, it's our job to share our CALM, not join their CHAOS."
- LR Knost. 


_____
ps: harapnya awak tak baca post saya ni. kalau baca, dendiam je k wkwkwkwk :p

Wednesday, October 13, 2021

sebuah meja kecil di penjuru;

 bismillah



saya bukan minimalis sepenuhnya. 

namun kalau sesekali menata atau menghias rumah, saya sukakan perhiasan yang berfungsi (functional decoration - entah betul istilah ini), bermakna sesuatu itu bukan ada hanya untuk cantik, atau sekadar memenuhi ruang atau lagi-lagi bersebabkan kita ada kuasa membeli pada 9/9, 10/10, 11/11 di Shoppe (wow, terasa janggal rasanya bercerita tentang aplikasi ini pada tahun 2021 di Blogspot). 

semacam meja makan yang saya beli khusus untuk rumah sewa yang baru kami diami ini. ia harus tidak sekadar cantik, sepadan dengan ruang, tetapi ia juga mesti berfungsi. di rumah lama dahulu, kami memilih untuk makan di bawah. selain faktor ruang rumah yang kecil, dan meminimumkan pembelian perabot, ia lebih selesa kononnya. jadi kami hanya makan di meja jepun (yang diistilahkan orang) pemberian umi yang bersaiz kecil. 

menurutkan Faaizz pada awalnya, dia lebih sukakan kami makan di bawah sahaja. ringkas, minimal. saya berkeras mahu membeli, lebih-lebih lagi saya pada waktu itu sudah masuk bulan keempat kehamilan anak kedua. tidak betah rasanya untuk makan sambil duduk di bawah. lagi-lagi bersebab teringatkan pengalaman yang lalu. entah kata siapa, antara punca 'Akeef mendapat CTEV (kaki bengok ke dalam) kerana tabiat saya yang berlamaan duduk di bawah semasa hamil. 

saya akui ini, sebab ada juga benarnya walaupun entah betul atau tidak fakta itu. lagi-lagi fasa saya bersengkang mata dan menaip demi menyudahkan lambakan tugasan kursus di Aswara. syukur, fasa itu cuma sementara setelah 'Akeef dipakaikan kasut istimewa selama saya berpantang. sesudah itu, kakinya kembali normal dan hari ini 3 tahun sudah berlalu; dia sudah berjalan dan berlari sebebasnya bagai tidak cukup tanah, heh!

akhirnya demi berkehendakkan meja makan di rumah sewa baharu, saya berkeputusan 'add to cart' di Shoppe. perasaan menggunakan gaji pertama setelah hampir 4 tahun menjadi pelajar sepenuh masa (bab ekonomi keluarga, nanti kita dibincangkan di entri yang lain) sungguh nikmat rasanya. kalau saya meminta, Faaizz pasti tidak akan lokek memberi. namun membeli dengan wang sendiri ternyata berbeza kepuasannya. demikianlah perasaan saya ketika akhirnya memilih untuk kembali bekerja. 

pada sela-sela awal meja ini sampai ke rumah, Faaizz dan 'Akeef masih terbiasa makan di bawah. saya sahaja yang memilih untuk makan di meja ini kerana perut yang kian membesar. saya sukakan meja kerusi ini sebab saiznya yang kompak. jika tidak mahu digunakan, ia boleh dilipat dan disimpan kemas di dalam stor pada bila-bila masa. namun kerusinya agak kecil, ringan dan kurang stabil. agak berisiko jika tidak digunakan dengan berhati-hati terutamanya untuk 'Akeef. 

tanpa sedar, kini ruang itulah yang paling saya sukai semenjak ia ada. 

meski kecil, ia sudah jadi tempat kami bertiga menikmati hidangan bersama. tempat saya berbual dan bercerita dengan Faaizz saban pagi hujung minggu jika anak-anak belum terjaga. tempat Faaizz menyeduh aneka kopi hitamnya. tempat 'Akeef merenung pokok di luar. tempat saya menikmati masa-masa sendiri. tempat kecil yang saya boleh lihat dengan cukup dekat; -senyum, tawa, tangis dan rajuk orang-orang yang saya sayangi dan cintai sepenuhnya. 

demikianlah saya mengharapkan keberadaaan saya di mana-mana; kecil dan sederhana tetapi berfungsi. walaupun manusia tidak boleh punya semua, walaupun manusia tidak boleh memuaskan semua, cukuplah keberadaannya mampu memberi

                    ...kenyamanan 

                                        dan 

                                                ...ketenangan. 


Tuesday, October 12, 2021

- bahawa kadangkala ada yang cuma harus singgah, tidak selamanya kekal.

bismillah

Gombak - Seri Kembangan


setiap kali berpindah rumah, saya selalu merasakan ia adalah permulaan baharu hidup bersama. 

sejak berkelana di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, rumah yang terkini didiami adalah yang keempat sejak berumahtangga. saya tersenyum mengenangkan ia adalah fasa bertumbuh yang berbeda; rumah pertama hidup berdua; saling mengenal sifat dan perangai. rumah kedua; permulaan saya kembali ke kampus buat kali kedua dan Faaizz membina kerjaya. rumah ketiga kehadiran 'Akeef dan rumah keempat kehadiran Awfa. setiap satunya punya jalur dan cabaran yang berencah, tetapi saya syukur dan puas dengan kesederhanaan yang ada. 

memunggah dan mengemas semula cukup melelahkan, menguras tenaga, fikiran dan emosi. tetapi permulaan hidup memang harus begitu, bukan? perpindahan membuatkan kita kembali menata hidup untuk lebih ikhlas melepaskan atau dilepaskan, sama ada barang atau orang. 

kita mula mencari makna untuk setiap satunya dan tanpa sedar rupanya makin berusia, meski kehidupan kian meluas tetapi lingkungan ternyata makin mengecil. kita sedih, kita bingung tetapi itu mungkin lebih baik untuk kita.

- bahawa kadangkala ada yang cuma harus singgah, tidak selamanya kekal. 

namun demikianlah selayaknya sebuah perjalanan, kita membawa bekalan seminimalnya menurut keperluan diri. merajut doa, menjalaninya dengan tenang, meneruskan perjalanan dengan tidak memaksa atau tidak berasa terpaksa.


Monday, October 11, 2021

berkelana dan kembali, - sekali lagi.

bismillah

sepetang menemani 'Akeef makan sambil ralit menonton Oddbods, tiba-tiba dia bersuara;



"Ibu, 'Akeef sukalah pokok tu." 
"pokok mana?"
"pokok yang goyang kat luar tu."

antara sifat 'Akeef yang saya syukuri ada, adalah sifat sensitifnya. ahah, ya saya antara orang yang paling menentang keras pada teori dan pandangan bahawa lelaki tidak boleh menangis, dan lelaki tidak boleh berjiwa sensitif. mengapa tidak, bukan?

'Akeef mudah terkesan dengan peristiwa semasa dan cepat peduli dengan hal kecil. semisal sesekali baju atau tudung saya berganti yang baharu, dialah yang akan terpaling awal menegurnya dahulu. atau sesekali berjalan bersama, alam sekitar akan saban menjadi kamusnya; 'pokok', 'burung', 'langit', 'bintang', 'bulan' akan disebutnya dengan penuh keterujaan. agaknya sebab itulah, keberadaan sifatnya yang satu ini menyebabkan dia memerlukan sedikit masa untuk mengadaptasi dengan kehadiran orang baharu dalam hidup; - Awfa. 

saya jadi terdidik dengan sifat 'Akeef ini. sejak kian mendewasa dan tidak (lagi) membiasakan diri menulis (tentang perasaan) khususnya di mana-mana (blog terutamanya), proses pengamatan dan perenungan jadi tumpul setumpulnya. kalau dulu, saban hari setiap kali menulis, saya bercakap dengan diri, berdialog dengan hati. fasa-fasa ini adalah fasa yang paling dirindui sebab waktu-waktu sebeginilah saya paling mengenali diri sendiri. sebelum menulis, alam dan diri bahkan adalah kamus saya. keduanya saling melengkapi, tidak terpisahkan. 

entah, hari ini saya jadi kurang mengenal jasad, firasat dan hasrat diri. segalanya bercapah-capah, akhirnya sama ada terbiar begitu sahaja atau tak terkendali dengan sewajarnya. pandangan dan tindakan tidak searah, menjadikan adakala saya sukar menjelaskan atau merincikan setiap satunya kepada orang lain.  

dan apabila hari ini Rahmah Razak, rakan sekerja berkongsi tentang hal ehwal menulis ini, saya jadi bersetuju sesungguhnya sebab saya juga benar-benar pernah merasainya; 

"nobody can take writing from you. nobody can tell you that you're wrong or that your words are wrong." (Maid, 2021) 

bahawa inilah satu-satunya yang kita berhak punya,
dan adakalanya ia adalah sesuatu yang cuma milik kita;


- YOUR OWN WORDS. 


_______
ps: selamat kembali kepada diri, Umairah. 
pss: selamat datang ke blog ibumu, anak gadisku - Awfa (yang sudah berkurun habuknya), ngehehehe! 

Tuesday, July 24, 2018

KEPULANGAN.

malam selalu merayap dengan ingatan, memori, kenangan dan peristiwa lampau. kita disogokkan dengan pertanyaan demi pertanyaan dan jawapan demi jawapan. kita diputarkan dengan jarak dan masa lalu tentang kita yang sebelumnya. 

kita kembali menjejak bekas tinggalan berupa alamat, kata-kata bahkan foto untuk menemukan diri yang sekian lama ditinggalkan. ah, kita langsung dipegunkan dengan sebuah rindu yang sesungguhnya!

dan aku tiba-tiba sahaja tersedar bahawa meromantiskan masa lalu, berlama-lamaan dengan kenangan tidak akan mendatangkan keberhasilan atau menguntungkan apa-apa. cukuplah sekadar menjejak untuk mengimbau apakah masih berdiri kaki, adakah masih berteguh hati untuk perjalanan yang lebih jauh dan panjang?

"pulang itu bukan soal berkemas dan kembali ke rumah, sayang. pulang berarti merevisi keputusan dan menata ulang." - alivia sasa.

Sunday, July 22, 2018

suatu pagi menjawab pertanyaan-pertanyaan diri;

bismillah

semalam, Faaizz menghantar kepada saya satu gambar di Instagram; RUMI: A Message For Our Times. An Afternoon With Ustadh Feraidoon Mojadedi. "JOM!", semudah lafaz itu sahaja dan kami sudah terpacak di Nuur Innai Bookshop tepat jam 3.30 petang. ah! (jika berkelapangan) itu semua mungkin sahaja terjadi sebelum ini.

sejak 'Akeef hadir, kehidupan saya 100% berubah. masa yang ada tidak fleksibel seperti sebelumnya. ke mana-mana juga perlu persediaan dan perancangan yang rapi; pertama dan terutama, - di mana boleh saya menyusu atau menukar lampin? bagaimana kalau 'Akeef menangis dan meragam? belum termasuk dengan segala macam barang yang perlu dibawa bersama. bukan, saya tidak menyalahkan kehadiran 'Akeef sebagai penghalang kebebasan saya. cuma, mengadaptasi dengan kehidupan baru selalunya memerlukan masa, bukan? 

syukur, Allah izinkan 'honeymoon phase'; masa untuk saya mengenali Faaizz, menghabiskan masa bersama dengan sesungguhnya bahkan melakukan aktiviti berdua sebelum adanya 'Akeef; menghadiri talk, program atau acara seni, menonton teater atau wayang, menyertai acara larian, memanjat gunung berdua, mengisi waktu pagi atau petang di taman, termasuklah keputusan berhenti kerja dan menuntut sebagai pelajar ijazah sepenuh masa di ASWARA! di awal fasa ta'aruf dengan Faaizz, sememangnya saya sendiri ada mencadangkan padanya bahawa fasa setahun awal perkahwinan adalah untuk kami saling mengenali lebih dekat. namun, semuanya berlaku dengan tanpa apa-apa perancang keluarga dari luar; ubat, suntikan, IUCD dan sebagainya. 

ada yang berpendapat, anak pertama tidak perlu dirancang. sebabnya, kita tidak pernah tahu keadaan biologi diri. ia mungkin sahaja memerlukan rawatan yang lama dengan tempoh masa yang panjang! maka ada yang menasihati supaya tidak bertangguh-tangguh. malah ada seorang Uncle Grab juga pernah menasihati Faaizz hal yang sama; - kita tidak pernah tahu gelombang atau samudera rumahtangga, sehinggalah ada anak pertama. begitulah lebih kurang bunyinya. ada benarnya, dan saya menghormati kesemuanya. 

tidak tersangka, ia berlanjutan hingga ke tahun kedua perkahwinan. ya, sememangnya sejak di tahun pertama lagi ada sahaja yang bertanyakan kami soal anak. saya senyum dan diamkan sahaja. jujur, saya dan Faaizz sedikitpun tidak pernah gusar, risau atau gelisah. namun adakala apabila terus disogok dengan pertanyaan demi pertanyaan, saya sendiri ada masanya gagal melawan perasaan. saya tidak pernah sedikitpun sesal dengan pilihan, risau dengan takdir atau berang dengan pertanyaan, tetapi kecewa dengan sesetengah soalan yang meletakkan hukuman seolah-olah 'tidak mengandung' itu adalah suatu dosa dan kesalahan besar. lebih-lebih lagi, memandang perempuan (-SAYA!) sebagai satu-satunya punca dan penyebab utama masalah. masih, saya senyum dan diamkan sahaja atau paling kurang meluahkan ketidakpuasan hati saya pada Faaizz atau 'soul sister' (anda tahu, anda siapa, hiks!)

ah, kehendak dan perancangan Allah selalu yang terbaik. melalui fasa ibu, saya seakan-akan menjadi orang lain. seorang yang sedia sensitif menjadi lebih sensitif. adakala marah atau rajuk tidak bertempat. bimbang dan kalut berlebih-lebihan yang menjadikan emosi tidak menentu dan terbahagi-bahagi. melalui fasa ini, saya jadi terfikir-fikir bahawa hidup mungkin akan jauh berbeza jika 'Akeef hadir di tahun pertama perkahwinan. entahkan Faaizz melihat saya sebelum dan kini sebagai identiti dan personaliti yang sama sahaja, tetapi saya secara peribadi cukup merasakan kelainannya. sekurang-kurangnya kami sempat menonjolkan dan menunjukkan minat dan kesukaan masing-masing, saling menikmati dan meraikannya berdua. bagi saya, adalah suatu keberuntungan yang besar, jika pasangan juga memahami bahawa perkahwinan bukan medan perbandingan, perlumbaan atau pertandingan; siapa lebih cepat menimang cahaya mata, siapa yang lebih ramai anak, siapa yang lebih handal, bijak, pandai itu dan ini serta seterusnya.

setiap daripada kita, ada pilihan tersendiri. kita sahajalah yang paling arif dan tahu tentang setiap usaha, keputusan, tindak-tanduk, doa dan tawakal yang dibuat dalam hidup; apa, bagaimana, dan mengapa begini jalurnya. diam dan bising kita juga, kita sahajalah yang paling tahu! umbarkan sahaja pada orang yang paling kita percaya dan dia mempercayai kita. hingga kini yang kadang sukses, kadang gagal; saya masih juga menasihati diri sendiri bahawa merendahlah dalam mendengar dan menerima nasihat, namun jangan pernah sesekali membiarkan definisi hidup terletak di bawah persepsi, pandangan dan hukuman orang lain.  

kata Sutung Umar, "ORANG YANG BERANI TIDAK PERNAH MERASA SESAL KERANA MEMILIH." benarlah Nelson Mandela juga pernah berkata, "MAY YOUR CHOICE REFLECTS YOUR HOPE, NOT YOUR FEARS!"
 

Saturday, July 21, 2018

membaca perempuan dalam Nora Ephron;

bismillah

menonton Julie & Julia (2009), membawa saya mengenali Nora Ephron. jika sesebuah buku atau filem sukses menambat hati, maka menjadi kebiasaan saya 'menggeledah' dan 'mencari' gerak kerja belakang tabir yang menunjangi jalan ceritanya. itulah yang ada pada Nora Ephron dan skripnya.

saya percaya bahawa buku atau skrip yang ditulis seseorang, tidak dapat tidak ada 'wajah' dan 'jiwa' penulisnya. membelek tajuk buku-bukunya sahaja dapat dihidu bau feminisme yang kuat dalam diri seorang Nora Ephron; Crazy Salad and Scribble Scribble: Some Things About Women and Notes on Media, I Feel Bad about My Neck: And Other Thoughts on Being a Woman, Advice for Women at the 92nd Street.
 
memetik salah satu mantra Nora Ephron, "ABOVE ALL, BE THE HEROINE OF YOUR LIFE", saya suka sekali dengan pendekatan Nora Ephron mengangkat karisma seorang wanita tidak pada rupa paras, pakaian, harta, status perkahwinan atau ruang lingkup urusan rumahtangga dalam filem-filemnya. kesemuanya diadun dan dibungkus dalam watak dan jalan cerita dengan penuh halus dan seni!


 
 Julia: "These wives don't do anything here. That's not me. It's just not me."


Julie: "I could write a blog. I have thoughts."

melalui Julie & Julia (2009), watak Julie dan Julia begitu meminati dunia masakan yang menggerakkan keduanya untuk mempunyai suatu gol dalam hidup. tidak terbelenggu oleh 'dunia lelaki' yang sukses, mereka juga mempunyai identiti dan pandangan hidup tersendiri, memiliki pendirian untuk memilih bahkan gol ini juga disokong sepenuhnya oleh pasangan masing-masing.

manakala You've Got Mail (1998) mengenengahkan watak Kathleen Kelly yang mengusahakan sebuah kedai buku antik warisan ibunya. Kathleen digambarkan seorang pembaca tegar, meminati dunia perbukuan sejak kecil serta mengidolakan watak Elizabeth Bennet dalam Pride & Prejudice. meski terlihat watak Kathleen tegar dan kuat di awalnya, namun saya kurang gemar dengan babak akhir dan sisi romantis Kathleen dalam filem ini, atau mungkin juga Nora Ephron sengaja 'mengkritik' sisi lemah wanita yang seakan-akan mudah dimonopoli oleh lelaki berwajah kapitalis, Joe Fox dalam filem ini.

walau diam, tidak bising atau riuh sekalipun, seorang perempuan harus bebas menjadi dirinya. dengan kebebasan mempunyai desire (keinginan), passion (minat) atau goals (impian) meski sekecil-kecilnya, saya sesungguhnya percaya inilah yang membuatkan jiwa seorang perempuan sentiasa ada, hidup, bergerak, bertumbuh, tidak 'tenggelam' atau 'mati'. perempuan sebegini terlebih dahulu sukses 'mengangkat' identiti dirinya berbanding apa yang terlihat pada fizikalnya.

ah, sungguh! perempuan sebegini selalu terlihat anggun, cantik dan mempesona pada mata saya! itukah dia perempuan yang sedang membaca ini?

"I wish more women realized that helping another woman win, cheering her on, praying for her, or sharing a resource with her, does NOT take away from the blessings coming to them. in fact, the more you give, the more you receive. empowering women doesn't come from selfishness but rather from selflessness." - Selene Kinder

Sunday, July 15, 2018

'Akeef dan sebuah kesunyian.

bismillah


apakah kelahiran harus terganti dengan suatu kehilangan?

suatu hari, saya meminta izin Faaizz untuk sama-sama membeli barang dapur di Mydin. namun, Faaizz menganjurkan saya di rumah sahaja bersama 'Akeef. menyinggah di stesen minyak di lain hari untuk solat, kami bergilir menjaga 'Akeef. selesai giliran Faaizz, saya pula ke tandas dan tersedar baju saya berbau hancing. segera saya kembali ke kereta untuk mengambil baju yang lain, dan ketika ini Faaizz menganjurkan saya untuk solat di rumah sahaja. pada Faaizz, saya yakin sekali kedua-duanya lebih menyenangkan bahkan menjimatkan masa. ya, saya sungguh-sungguh maklum akan itu. namun sekian kejadian demi kejadian, membuatkan hati saya marah, jiwa saya bentak. apakah menjadi ibu membuatkan saya harus menjadi baran? apakah bergelar ibu menjadikan emosi saya harus senegatif itu? 

hati saya menangis semahu-mahunya!

terbiasa kita dengar, seorang ibu harus berlumur dengan muntah susu, bermain dengan najis hitam, kuning, hijau, berbetah dengan air kencing yang mengalir tiba-tiba, melayan ragam tengah malam, awal pagi, menyusu tidak kira masa, mengepam susu sekerah daya, menukar baju hampir empat helai sehari dan hal-hal lain yang tidak tercerita.

namun, pernahkah ada yang memberitahu bahawa menjadi ibu; dunianya perlu begitu 'terbuka' sebegini? tubuhnya, jiwanya bukan lagi milik dia, hak dia, bahkan seolah-olah 'tergunakan' seluruhnya! ah, bukankah untuk sebuah kelahiran sahaja, secara fizikalnya ruang paling privasi dan dinding paling rahsianya, harus izin diterobos?

mengenali diri dengan sisi introvert (diam perahsia, suka bersunyi-sunyi, mengumpul energi dengan masa bersendiri) jauh bertentangan dengan personaliti seorang ibu yang harus bila-bila pun extrovert (terbuka). membaca Black Milk oleh Elif Shafak sebelum ini, saya kurang memahami apa yang dimaksudkannya ini - "the novelist is, and has to be, selfish. motherhood is based on "giving.". sehinggalah setelah hampir tiga tahun, 'Akeef muncul dan menjadikan saya seorang ibu. pengertiannya kini mula termaknakan sedikit demi sedikit;

"while the  novelist is an introvert - at least for the duration of writing her novel- a mother is, by definition, an extrovert. the novelist builds a tiny room in the depths of her mind and locks the door so that no one can get in. there she hides her secrets and ambitions from all prying eyes. as for the mother, all her doors and windows must be wide open morning and night, summer and winter. her children can enter through whichever entrance they choose, and roam around as they please. she has no secret corner."
(Black Milk, pg. 251)

jauh sekali menyalahkan keadaan, apakan pula menidakkan nikmat Allah yang satu ini. namun jujur, di awal-awal ini, menerima ketetapan bahawa - diri tidak lagi 'berkuasa' sepenuhnya ke atas tubuh dan jiwa- itulah yang paling sukar dan payah bagi saya. tidak sesenang bergerak ke mana-mana, tidak sebebas merancang masa dan aktiviti hatta urusan makan dan minum pun tidak boleh sewenang-wenangnya. kebebasan saya seakan-akan tersekat dan disekat. lantaran itu, saya jadi begitu marah dan geram pada suami saya sendiri. mengapa dia masih punya kebebasan, sedangkan saya tidak ada ruang untuk memilih?

saya tidak pernah tersedar bahawa hal-hal yang saya diamkan dan anggap biasa ini menjadi nanah yang memakan diri. hinggalah suatu tengah malam tiba-tiba bisanya meledak dengan jerit dan tangis yang tidak terkawal. bertalu-talu ia menjerit dari dalam, saya cuma mahu mengembalikan diri saya yang dahulu; mencari tenang dengan bersendiri dalam ramai; ke kedai-kedai, ke jalan-jalan, ke restoran-restoran atau sekurang-kurangnya mengisi jiwa raga dengan membaca atau cukuplah punya masa bersendiri untuk mencicip secawan kopi yang saya gemar. 

fikir saya, lelah, penat dan segala pergerakan dan keinginan cuma terhad dan terbatas ketika sembilan bulan mengandung. tidak pernah saya fikir, kelahiran 'Akeef sekaligus menandakan 'kelahiran' diri saya yang baharu juga. terhimpit dengan rasa ingin bebas, saya juga diketuk dengan rasa bersalah yang menggunung. wajarkah apa yang saya rasakan ini? apakah saya bukan ibu yang baik? mengapa saya tidak terasa bahawa pekerjaan ibu ini adalah sesuatu yang sakral tetapi suatu beban? 





"we expect new motherhood to be amazing. and it often is. what we don't always expect, is that in addition to experiencing deep love, gratitude and pleasure, women may be inundated by unexpected feeling of loss, sadness and resentment that emerge. while this is normal, it can be unsettling and feel difficult to reconcile, leading to guilt and more sadness."

pencarian demi pencarian menemukan saya dengan mereka yang menyatakan bahawa saya tidak bersendiri. laman-laman dan artikel-artikel yang saya baca juga membuktikan bahawa segala yang saya alami ini adalah proses pengadaptasian yang normal. ia bukan cuma emosi seorang perempuan atau ibu yang manja dan lembik. ya, masih juga saya dalam fasa menyesuaikan diri sendiri, mencari ruang dan peluang untuk menerima diri yang baharu. syukur, Faaizz tidak pernah sesekali melenting bahkan mula cuba untuk memahami. ah, tidak pernah saya tersedar, bahawa 'Akeef sesuai dengan makna namanya -orang yang tersangatan beriktikaf- menandakan saya perlu menciptakan ruang kesendirian saya yang baharu. bukan 'iktikaf atau masa-masa bersunyi saya yang dahulu. 

sebagaimana Elif Shafak juga bercerita;



"I don't know why you ended up picking me out all the potential mothers in the universe. maybe you're a crazy kind of boy. you find the idea of a perfect mother boring. or you already know me better than I know myself. maybe you see the potential in me. maybe you want to help me overcoming my shortcomings. you can be my guide, my best teacher. like I said, I don't know why you chose me, but I want you to know that I am honored. I hope I will never make you regret your decision and say, "of all the moms in the universe, why did I pick this one!"

26 April 2018; ahlan 'Akeef ke dalam dunia sunyi dan sepi (blog) Ibu. 


_______
ps: ibu tengah 'iktikaf' la ni, menulis tengah malam. bila lagi kalau bukan 'Akeef tengah tidur? :P wow, sebab 'Akeef, Ibu telah membuat comeback setelah setahun mendiam, miahahahaha. ada lagi ke yang baca blog ni?

Wednesday, March 29, 2017

Marie dan -Storyteller.

bismillah




mengenepikan segala kontroversi yang terbit dari filem-filem karya Yasmin Ahmad, saya lebih suka mengambil beliau sebagai figur –Storyteller. antara filemnya yang masih menjadi kegemaran saya ialah (Mukhsin, 2006).

salah satu kuot yang saya petik dari buku Yasmin How You Know, Pat Liew pernah menuliskan;

"I once commented that she was the best brand builder.
Her reply, “No, Pat. You are the Brand Builder. I am the Storyteller.”

pencerita yang bagus (baca: benar-benar mahu bercerita) akan ‘enjoy’ menulis; cerpen, novel, skrip dan lain-lain. kita akan meletakkan warna pada latar-latarnya, menjiwai watak-wataknya, menyusur alur plotnya dengan sabar dan tenang dan memaknai sesungguhnya! kita akan menulis dengan bebas, lancar dan tidak tersekat-sekat. mesej itu penting, namun jalan cerita, cara bercerita dan lenggok penceritaan juga tidak kurang pentingnya. 

saya mengeluh pada Marie, rakan sekelas tentang imaginasi dan visual saya yang lurus dan kaku. tentang ketidaklancaran saya menyiapkan treatment untuk tugasan bagi subjek Penulisan Drama TV. 

dibalasnya dengan satu tanda tanya dalam diri saya sendiri; “seronok sebenarnya jadi budak-budak kan? kita bebas berimaginasi. kalau saya dalam bidang pendidikan nanti, saya nak anak-anak berimaginasi sebebasnya. saya nak anak-anak jadi story-teller yang bagus!” 

hey, siapa bilang lepasan cemerlang SPM cuma patut jadi Doktor atau Insinyur? hiks.
 

Saturday, March 25, 2017

sebuah Ka-tar-sis yang ditulis awal Februari yang lalu.

bismillah

I.

belajar adalah 'me-time' bagi saya. saya selalu merasakan bahawa mungkinlah setiap kali saya mendengar kuliah, hormon serotonin dalam tubuh seakan-akan terbebas hingga membuatkan hati begitu senang dan suka. seminggu berlalu, dan semester dua telah bermula untuk pengajian ijazah kedua saya dalam Fakulti Penulisan Kreatif.

hingga kini, ramai orang masih pelik mengapa saya mesti mengulang ijazah sedangkan sudah memiliki ijazah. ramai orang masih bertanyakan tentang itu, dan saya juga masih tenang menerangkan. ahah, mungkinlah saya akan bertanyakan diri saya sendiri, jika saya juga di tempat orang. 


adakalanya, sesuatu keputusan itu bersifat peribadi dan cukup privasi. kita sendiri sukar untuk menjelaskan, hinggalah langkah-langkah kita sahajalah yang akan menerangkan.

cita-cita dan passion selalu membuat orang terlihat cantik pada mata saya. tidak kisahlah apa sahaja kecenderungannya. orang yang tahu dan kenal dirinya, selalu terlihat yakin diri tanpa perlu penerimaan.

sungguh!


II.


maka antara nota pertama yang saya catat di sepanjang minggu ini adalah terkait dengan subjek Penulisan Cerpen. sekali lagi, saya bertemu Dato' Anwar Ridhwan namun dalam subjek yang lain. bagi minggu yang awal ini, kami cuma diterangkan serba ringkas tentang pengenalan awal bagi subjek yang bakal dipelajari.

mengulas tentang cerpen, saya sempat bertanya Dato' tentang kriteria cerpen yang bagus, sebab subjek Pembangunan Idea yang diajar Dato' sem lepas, saya hanya memperolehi gred B+, kah!

antara jawapan yang dikongsikan Dato', saya paling terkesan pada poin yang akhir.

i. kekuatan persoalan/isu/tema
ii. plot disusun dengan kemas
iii. manfaatkan semua elemen binaan cereka
iv. bahasa sastera - double meaning / indah
v. memberi satu pengalaman baru/ estetik kepada pembaca /membijaksanakan pembaca serta cantik terhidang

ketika menukang cerpen demi cerpen, ada satu kesukaran yang saya alami. penulisan tidak lancar, dan saya sering tersekat. ini yang saya lontarkan pada Dato' tempoh hari dan dijawabnya ia mungkin berlaku atas sebab-sebab tertentu. pertama, kurang kajian tentang topik yang ingin kita ketengahkan. kedua, kurang penjiwaan watak.

membaca tulisan-tulisan orang lain, ada sesetengah cerpen begitu sederhana ditulis, seputar perasaan dan pengalaman hari-hari. namun ia mampu menggerakkan saya untuk membaca tanpa henti, bahkan menghidupkan jiwa dan perasaan saya sekaligus!

saya percaya, inilah kekuatan yang ada pada penulis tersebut. perasaannya tertumpah sepenuhnya pada watak yang dihidupkan. namun jika tidak bermula dengan merasa, bagaimana mampu dituliskan kesemuanya? fuh, maka apakah yang paling harus ada pada jiwa seseorang, bukan tangannya untuk menulis, tetapi hatinya terdahulu untuk merasa?

beberapa hari selepas kelas Dato' Anwar, saya terbaca pula Tunas Cipta (Bil. 1, 2017) dalam artikel Strategi Naratif Menghasilkan Cerpen oleh SM Zakir. saya macam 'wow' sekejap pada bahagian ini;


 




inilah jawapan yang saya cari. kekuatan sesebuah cerpen pada hemat saya, bukan pada temanya yang besar, tetapi kisah-kisah biasa yang digarap dengan luar biasa. bukankah kita selalu mengalami episod-episod kecil sehari-harian. sewaktu dalam tren LRT, sewaktu memandu, sewaktu di dapur, sewaktu mengendong anak, sewaktu membeli-belah di pasar dan sebagainya. bezanya adalah pada sejauh mana kita menikmati dan menuliskannya?

adakalanya, sesebuah cerpen tiada tragedi, tiada kesudahan, tiada penamat dan dibiar tergantung tetapi kemampuan pengarang membawa emosi kita dalam kejadian-kejadian yang dialami sudah cukup membuat kita mengalami sesuatu yang disebutkan Aristotle, sebuah katarsis; suatu 'penyucian jiwa'.

atau sebagaimana Wibisono menerangkan makna KATARSIS; iaitu kelegaan jiwa ketika seorang penulis berhasil merapungkan tulisannya.

atau lebih baik lagi, ketika pembaca pun turut merasai kelegaan yang sama! 


_________
ps: sejak dua menjak, saya baru membaca Tunas Cipta, Dewan Sastera dan seangkatan. serius, dulu mana pernah beli dan belek melainkan diberi percuma. huks, cedey! semenjak di ASWARA baru tersedar, majalah-majalah ini adalah antara 'pintu' mengenali dunia sastera kita. marilah membeli dan membaca. #noob

Friday, February 3, 2017

mencintai Ove di bulan Februari;

bismillah

i.



suatu hari, di fasa akhir semester I, Dato' Anwar Ridhwan mengaitkan satu gambar dengan satu mesej yang saya ingat hingga ke hari ini. katanya, "mungkin bukan tujuan kita yang salah. tetapi strategi atau teknik yang kita gunakan itulah yang salah, hingga melambatkan atau merencatkan proses kita untuk mencapai tujuan tersebut. jadi, teruslah berusaha dan menggali strategi demi strategi, hinggalah tujuan atau matlamat itu tercapai."

sekurang-kurangnya, itulah take-home-message dari kelas akhir Karya Agung Melayu yang saya semat dalam-dalam. satu kelas terdiam. saya percaya yang lain turut terkesan memandangkan fasa akhir itu sungguh menguji dan menduga. ada kerja-kerja serta tugasan-tugasan yang masih terbengkalai, sedangkan masa seakan-akan tidak menyebelahi. ah, usaha sahaja sehabis baik. 

fasa akhir sem I itu telah berakhir, dan keputusan peperiksaan akhir pun sudah diterima dua hari lepas. syukur, saya lulus semua subjek dengan pencapaian yang tidak terduga. segala kepahitan lalu seakan terbang, dan kita pun sudah mulai lupa akan kesemuanya! suatu saja harapan kecil, moga jasad tidak lupa pada sabar dan harap yang sama, komited dan istiqamah hingga ke titik akhir.

bersedia untuk berkarya, membuka diri untuk berbuat salah, dan merendah diri dalam belajar. "run your own race", seperti kata Faaizz pada saya, selalu.


ii.


 


untuk bacaan Februari, saya sedang membaca A Man Called Ove (En Man Som Heter Ove). novel ini saya beli dan baca, setelah filemnya dengan judul yang sama (2015) begitu mengesankan. tidak ketara untuk saya katakan, pengarangnya, Frederick Backman bijak menghidupkan satu-satu karakter. barangkali sebab itulah, novel ini cukup kuat untuk dijadikan filem.

memasuki kelas Teori Filem & TV semester lalu, sedikit sebanyak barulah tahu bukan mudah untuk menghasilkan imej, ruang, dan dialog yang mengesankan. pembuka bagi filem ini saja sudah cukup untuk menerangkan Ove, meski dengan tanpa dialog! kemas dan cantik. En. Wahab, pensyarah bagi subjek ini berulang kali mengingatkan kami mesej yang sama, WATAK sangat penting dalam pembinaan cerita.

i. 'landskap' dalam filem juga adalah 'watak'. dalam filem, setiap 'imej' yang diatur memang disengajakan.

ii. dialog mesti ekonomik, tidak berjela-jela. kitalah yang pilih setiap perkataan.
iii. babak mesti simple. penonton bukan macam pembaca yang boleh selak buku semula, kalau tak faham. 

nah, cerita ini cukup sederhana. saya paling suka watak Ove, lelaki separuh abad yang cukup konservatif. beliau ada prinsip yang tersendiri, namun berkahwin dengan Sonja, gadis yang cukup berbeza, "HE WAS A MAN OF BLACK AND WHITE. AND SHE WAS COLOUR. ALL THE COLOUR HE HAD."




ini sebetulnya bukan tentang cinta sepenuhnya, tetapi kenangan-kenangan manis dan pahit Ove sebelum dan sesudah kematian Sonja. tidak terkecuali, ia adalah tentang kediaman Ove dan jiran-jirannya dalam Residents' Association yang mewarnakan keseluruhan cerita. fuh, saya paling suka suasana sub-urban Sweeden dalam filem ini; masing-masing ada garaj sendiri dan tempatnya begitu indah dan nyaman!

kata Encik Wahab, filem hakikatnya bukan untuk menyampaikan mesej tetapi berkongsi cerita. menerusi A Man Called Ove, Frederick Backman berkongsi tentang perjalanan hidup seorang Ove yang bencikan sistem hari ini; komputer, internet, hutang, kapitalisme dan manusia hari ini yang indivualistik dan materialistik.

"it's all loans nowadays; everyone knows the way people carry on. Ove has paid his mortgage. done his duty. gone to work. never taken a day of sick leave. shouldered his share of burden. taken a bit of responsibility. no one does that any more, no one takes responsibility. now it's just computers and consultants and council bigwigs going to strip clubs and selling apartment leases under the table. tax havens and share portfolios. no one wants to work. a country full of people who just want to have lunch all day."
- A Man Called Ove, pg. 10
"when they first moved in here there were only six houses; now there were hundreds of them. there used to be a forest here but now there were only houses. everything paid for with loans, of course. that was how you did it nowadays. shopping on credit and driving electric cars and hiring tradesmen to change a light bulb. a society that apparently could not see the difference between the correct plug for a concrete wall and a smack in the face."

- A Man Called Ove, pg. 25

kalau benar bahawa setiap karya adalah jiwa penulis, maka saya percaya barangkali novel ini adalah suatu eskapisme bagi Frederick untuk menuliskan kegelisahannya sendiri terhadap dunia dan manusia hari ini.


iii.

Faaizz Picasso & Maira Bracquemond #artberat

cinta kadangkala hopeless. menginjak dua tahun usia perkahwinan, masing-masing sedikit sebanyak telah mengenali lemah kuat tersendiri. "inilah realiti hidup..." kata Faaizz suatu hari. saya tergelak besar mentertawakan diri sendiri yang pastinya 'membengangkan' dia berulang kali, kah! 

semisal, membuka pintu rumah tetapi tertinggalkan kunci pada tombol berjam-jam lamanya, atau memasak terlebih minyak dan garam, atau merajuk tidak tentu pasal (adalah pasalnya, tetapi malas berterus terang saja, harharhar), atau tiba-tiba berubah fikiran dan diam sepanjang hari.

cinta selalu ada definisinya yang unik. setiap daripada kita berbeza, ada prioriti dan pilihan masing-masing. saya cuma mahu memeluk cinta saya dengan definisinya yang tersendiri, tanpa sedikitpun rasa terancam dengan definisi orang lain. sebagaimana Frederick menuliskan prinsip dan pegangannya, catatan inilah (mungkin), eskapisme saya sebagai seorang penulis. ya, menuliskan kegelisahan saya terhadap dunia hari ini; mengapa kita selalu berasa kurang, inferior dengan kegembiraan yang dicipta orang lain, sedangkan kita mampu untuk punya definisi kita yang tersendiri?

jujur, saya juga kadangkala tidak terkecuali. ah, dengan rasionalnya, Faaizz mesti akan berkata lagi, RUN YOUR OWN RACE!


Thursday, January 26, 2017

kita bukan sudah tidak punya masa, atau tiada cerita, kita cuma tidak mahu dilabel atau dibaca.

bismillah

kita bukan sudah tidak punya masa, atau tiada cerita, kita cuma tidak mahu dilabel atau dibaca. itulah sedikit sebanyak yang saya rasakan sepanjang tidak berlama-lamaan di depan laptop; membaca dan menulis hati sendiri. 

malah salah satu catatan yang pernah saya tuliskan untuk diri sendiri juga menyatakan hal yang sama;

puisi kita berlagu
saat remaja dulu
kerna kita mahu
resah kita dibaca
sayup sembunyi 
di dalam rangkapnya;

hari ini
kita telah berhenti
mengarang puisi
kerna kita mahu 
memeluk, 
senyap sunyi
kita, sendiri.
Penang, Januari, 15.




hinggalah baru-baru ini saya membaca Meneruskan Perjalanan oleh Bonda Zurinah Hassan. sewajarnya, buku ini patut saya miliki lama dahulu, dikhatam dan dikenal pengarangnya dengan tidak hanya sebatas nama sahaja. benarlah, kita akan mencintai, jika kita mengenali. sebelum ini, jarang sekali saya membelek cerpen kerana pada saya ia membosankan, terlalu pendek dan ringkas untuk menghiburkan. setelah dikenali dunia cerpen yang sebenar-benarnya, membaca karya-karya oleh pengarang lama dahulu semisal Keris Mas dan Pak Sako, barulah saya tersedar akan kuasa yang ada pada sebuah cerpen. 

hari ini, Meneruskan Perjalanan membuatkan saya terdiam dan lama berfikir selepas satu-satu cerpen dibelek dan dibaca. satu cerpen boleh menghuraikan pemikiran kita dengan tuntas dan padu. ia tidak perlu cerita yang ada pemula atau pengakhir, cukuplah satu atau dua pemikiran yang ingin dibawa pengarang. ia tidak perlu jargon yang hebat, atau cerita yang gah, atau pemikiran yang agung, cukuplah kepedulian kita pada sesuatu. jika pembaca juga mempeduli, dia akan fahami resah gelisah kita. kalau lebih baik, dia juga akan bertingkah tentang hal yang sama.

pada Zurinah Hassan, saya membaca kepeduliannya pada nasib wanita (atau mungkin nasib dirinya sendiri). kebanyakan cerita yang ditulis ialah tentang wanita yang ingin memajukan dirinya, tetapi terhalang oleh pandangan-pandangan masyarakat terhadap kejadian seorang perempuan. perempuan harus begini dan harus begitu, jika tidak ia akan dicemuh dan dinista dengan macam-macam celaan. ceritanya ringkas, pendek, bahkan ada yang tidak punya pemula atau pengakhir, namun cukup untuk membuat saya merenung dan berfikir serta masuk ke dalam diri saya sendiri.

usai baca, saya cuba mengarang pemikiran saya sendiri. rupanya ia tidak semudah yang disangka, sebab pengarang perlu jujur dengan hati dan akalnya sendiri. itulah yang saya perolehi dari jiwa kepengarangan Zurinah Hassan, beliau cukup jujur dengan emosi dan akalnya, membiarkan pembaca masuk ke dalam hatinya sendiri bahkan membenarkan kita menyelami jiwa keperempuanannya. 

mungkin sebab itulah, beliau juga pernah menulis puisi yang berbunyi begini;
seorang penyair menulis puisi-puisi
mengumpul dan menyebarkannya
lalu kumpulan itu pun dibaca

tiba-tiba ia merasa malu
seperti orang sedang membuka
lembar demi lembar dari hatinya
seperti orang sedang membaca
dirinya

Malu Seorang Penyair, Antologi Keberangkatan; hlmn. 14
itulah yang saya belajar dari Zurinah Hassan; bahawa jika kita terlalu berhati-hati meraut hati dan perasaan sendiri, maka makin sukarlah kerja-kerja menulis kerana hanya akan ada kerja memadam dan menyunting sahaja. akhirnya yang termuncul, cumalah di permukaan dan bukan dasarnya. 

sayang, sudahkah kau membaca dan menulis hatimu?


Monday, December 5, 2016

MENGAPA DIA BERHENTI MENULIS?

bismillah

perbincangan kelas Cereka Melayu Moden hari itu, seputar Perkembangan Penulisan Novel Dekad 1950-an. ada sekian nama-nama penulis yang dipetik, termasuklah Salmi Manja. 

saya pernah membaca tentangnya, di dalam buku Ilham Di Tepi Tasik, tulisan Pak Samad. khususnya, dalam bab Mengapa Salmi Manja Berhenti Menulis. 




sebagaimana yang dituliskan Pak Samad, sebegitu jua yang diujarkan pensyarah di dalam kelas. tentang penulis-penulis wanita yang tidak menulis lagi setelah berumahtangga. hal inilah jua yang disebut-sebutkan Saudara Saifullizan Yahaya dalam Dikusi Buku Saya Ingin Terbang Bersama Hud-Hud tempoh hari;




(sempat rakam sekejap sangat sebab orang sebelah sedang bertanya soalan, ahah)

apapun, memetik kata pensyarah saya, "jika berkahwin penulis sama penulis, sama ada dua; pertama, si isteri tidak menulis lagi, atau yang kedua, -sebaliknya." antara nama lain yang dipetik, termasuklah pengarang Othman Puteh dan Timah Baba. 

saya sengih-sengih sahaja di dalam kelas. sebelum menyuarakan soalan saya, "kenapa tidak kedua-duanya sama-sama menulis?" 

ternoktah di situ sahaja. 
sengajalah saya menulis, sekian lama tidak bercerita.


________
ps: sekarang fasa siapkan cerpen, asdfjklghsutnvhvscmk. kbai

Saturday, October 29, 2016

SUATU PAGI HARI CUTI (punyalah malas fikir tajuk).

bismillah

sunyi dan sepi, hinggalah dia masuk dan duduk di sebelah saya. dia meramahkan bicara, menegur saya dan berbasa-basi tentang penghawa dingin yang tidak terlalu terasa kesejukannya. 

sebetulnya, hari itu adalah hari-hari cuti semester. tapi, saya ada satu kelas ganti bagi subjek Analisis Skrip. di depan saya ada laptop sedang menganga, sambil saya menaip-naip membuat persiapan akhir. hari itu, tugasan bertemakan 'Citra Wanita' akan dibentangkan.

kelas, kafe, dan jalan sunyi dan kosong; termasuklah surau kecil yang menghimpun terlalu banyak cerita. kebetulan di hari yang sepi itu, terkumpul satu lagi. 

jauh dan panjang kami berbual, hinggalah pada hal-hal peribadi. tentang anaknya yang tidak kesampaian menyambung pelajaran kerana faktor kewangan. sebelum bekerja sebagai pencuci di ASWARA, dia pernah terlantar di hospital selama empat tahun. ketika itu, doktor mengesahkan dia menghidapi kanser tahap awal. maka bermulalah episod ulang-alik dari rumah ke hospital untuk pemeriksaan darah yang memakan kos RM30 untuk setiap kali pertemuan.

"kalau macam nilah doktor, saya sanggup mati saja. saya taknak teruskan lagi."

itu ayat keramat awal, sebelum mesyuarat antara doktor memutuskan dia tidak perlu dicaj apa-apa. seterusnya, bermulalah rawatan kemoterapi yang 'menghanguskan' tubuhnya. kulit mula menggelap dan rambut mula gugur satu-persatu. untuk tempoh empat tahun bertarung, anak-anaklah sumber kekuatan. saya tertanya-tanya tentang suami, namun saya fikir itu mungkin hal yang sensitif, hinggalah dia sendiri yang membuka cerita.

"orang lelaki ni dik, (iya, tak semua) kalau kita sakit memang dicari perempuan lain. suami tinggalkan makcik."

cerita-cerita saya ini klise, macam drama. tetapi inilah realiti 'orang kecil'. En Wahab dalam Kelas Teori Penulisan Filem & TV selalu mengingatkan tentang pembawaan 'watak kecil' yang menggerakkan seluruh cerita. watak kecil yang kita tak pandang, watak kecil yang sederhana dan biasa-biasa, watak kecil yang halus tak dikenali, tetapi watak kecil inilah yang ada aura luar biasa.

ah, bukankah realitinya selalu begitu? bahawa ada orang yang lebih hebat ujiannya, lebih kuat dugaannya, lebih teguh peribadinya berbanding kita ini.

dan pagi itu, sebelum saya (kononnya) membentangkan hasil kajian saya tentang citra wanita daripada skrip drama, dia terlebih dahulu membentangkan citra wanita daripada episod hidupnya sendiri.

fuh.


________
ps: lamanya tak menulis, ya ampun. otak berkarat, fikiran, pandangan, perspektif tak tersusun. refleksi pun kurang! waktu beginilah mulalah terasa menulis itu penting untuk melatih fikir, menyusun fikiran dan menumpahkannya semula dalam bentuk tulisan, huhu.

Friday, October 14, 2016

se-minimal Jogja.

bismillah
 
Jogja terlalu sederhana;


 


minimal dengan jalan-jalan sempit yang menghubungkan pacuan empat roda dari yang sebesar-besarnya hinggalah yang sekecil-kecilnya. kata azimat dan tulisan berekspresi lantang dan penuh, tercoret di dinding-dinding kedai, di tubuh-tubuh lori, mahupun di pagar-pagar rumah. bebas dan meriah!

berdekatan Jalan Malioboro itulah, atau paling tepatnya, setentang dengan rel keretapi, ada jaluran Angkringan Kopi Joss yang menyediakan kopi arang dan nasi uduk senilai rp 2000. deretan tawa pengunjung-pengunjungnya yang duduk bersila atas tikar-tikar lusuh nan usang berserta alunan musik dari petikan gitar dan paluan gengendang para pengamen terus menyapa gegendang, berlanjutan hingga ke tengah malam.

kalau boleh aku katakan, kembara kita dari kota ke kota, buku ke buku, filem ke filem, bahkan jauh ke dalam diri kita sendiri, minimal adalah takrifan yang paling tepat; seminimal Kota Jogja yang kita lawati itu. nah, sesederhana Jogja, seringkas apa adanya. 

biar kita bahagia, tidak terbeban dengan apa-apa yang sifatnya sementara atau materialis. kalau boleh aku lanjutkan lagi, kita mahu membiasakan isi rumah dengan keperluan perabot yang penting sahaja, makan apa adanya, atau baju atau kasut warnanya persis dan terganti saat-saat genting. kita sependapat, sejalur dan sefikrah untuk kesemua hal yang ini.

cuma sayang, izinkan untuk aku punya yang satu ini. bahawa yang di dalam diri aku ini, kompleksnya tidak seminimal itu. riuhnya sering terkedepan, tidak tersempat aku mengejarnya. jerit pekiknya terlalu lantang, hingga diri aku ini tenggelam dalam kebisingannya. ya, benar sayang; untuk lelaki segagahmu, perasaan adalah beban yang wajar diminimalkan.

namun katakanlah sayang, bagaimana untuk seorang perempuan itu meminimalkan kesemuanya; kalau dengan beban itulah dia mencintai; dengan beban itulah dia mengasihi; dengan beban itulah dia merasai; dengan beban itulah dia mempeduli; dan dengan beban itu jualah susuk dan ragamu dia kenali, bahkan sampai ke dalam dirinya sendiri?


hikhikhik.

 ps: terima kasih untuk pemahaman, penghargaan dan penghormatan yang selalu.


Sunday, September 18, 2016

Catatan Hujan Pagi;

bismillah

bacaan Hari Malaysia

i.

di Penang, "hujan pagi", bagai ditulis Pak Samad. saya selesai menyudahkan bacaan Sungai Mengalir Lesu, karyanya di tahun 1967. ah, ralat sekali rasanya kerana saya sepatutnya telah membacanya di tahun-tahun terkebelakang. kisah kemelaratan masyarakat di zaman pendudukan Jepun. sungai yang lesu itulah menjadi saksi kepada penderitaan mereka. 

di situlah, tempat mereka bermandi-manda. di situlah mereka membasuh. di situlah tempat nyawa terkorban. di situlah mayat di'kubur'kan. di situlah tempat mencuci luka dan nanah. di situlah tempat timbul tenggelamnya najis hitam. di situlah tempat mereka mengutip ayam, itik, ubi dan pisang busuk. ah, betapa lesunya sungai itu! ironinya, sungai itulah derita yang sekaligus harapan.


Sungai Mengalir Lesu, hlmn. 15


ii.

tugasan pertama bagi subjek Analisis Skrip agak menduga. tugasan yang saya terima ialah tentang teater Antara, idea asal Jamilah M. Kutty. sayang sekali, lambakan skrip di Perpustakaan Aswara tiada satu pun yang mengena. melangkau ke Istana Budaya pun, tidak ditemukan. bersebabkan kesuntukan masa, saya akhirnya meminta izin untuk menukar tajuk sebagai back up kedua.

dengan tajuk baru yang diberikan itulah, saya ke Stesen SS15; mencari Kedai Lejen Press yang ada menjual naskhah yang saya perlukan. jika skrip pementasannya tidak ada, sekurang-kurangnya cukuplah dibaca dahulu novel asalnya. 

dicari dan dikaji nama-nama yang terkait di sebalik pementasan teater bagi karya tersebut, rupa-rupanya penulis skripnya adalah Dekan Fakulti Penulisan sendiri. 

ah, itulah sedikit sebanyak permulaan saya mengenal 'Sungai Mengalir Lesu'.  


iii.

"kenapa tak terus ambil Master?"

ramai yang prihatin dan bertanyakan saya tentang hal ini. kenapa mesti ada dua ijazah, cukuplah satu yang dulu. ada juga yang menasihatkan untuk saya langsung ke peringkat sarjana sahaja. katanya, ijazah kini tidak di'pandang' lagi kalau saya memang berniat untuk menjadi tenaga pengajar suatu hari nanti. 

pada saya, orang di sekeliling adalah 'pengukur' kepada niat kita di awalnya. kalau saya merasakan sekalian pandangan itu menggugahkan, maka ternyata saya sendiri masih ragu dengan pilihan saya sendiri. 

ya, semuanya masih baru. ujiannya juga belum ternampak jelas. namun, setiap orang ada pilihan dan sebabnya tersendiri. jujur, saya ingin belajar kerana mengejar 'pengetahuan' itu sendiri dan bukan untuk segera menyudahkan 'takah-takah' pengajian. 

dengan pengetahuan saya yang sifar tentang sastera, maka jalan inilah yang dirasakan paling baik; duduk di lingkungannya, belajar, mengenal dan mencintainya dari mula.  


iv.

membaca sajak Bonda Zurinah Hassan tentang dunia perkahwinan, sungguh dalam, berisi dan manis. saya paling suka dalam salah satu puisinya, beliau mengatakan begini:

"seorang lelaki membebaskan diri
untuk membataskan pilihan
seorang perempuan membataskan pilihan
untuk membebaskan diri." 
(Zurinah Hassan, Wawancara, Jambak Dua, 1993: 246).

beliau seakan mengungkapkan dari naluri perempuan yang bukan sekadar mahu menjadi isteri, tetapi suri yang merdeka; masih taat setia namun ada ruang untuk kehendak dan pilihannya yang baik.

hari-hari saya, syukur (masih) dipinjamkan suami yang sangat sabar dan faham. dialah yang menjemput pergi dan pulang, dialah yang memujuk, dialah yang mengambil peduli, dialah yang mendengar cerita hari-hari saya di kelas; kawan ini begini, pensyarah ini begitu dan segalanya!

untuk hari-hari yang masih awal, syukur saya untuk lelaki yang menghormati dan menyokong pilihan saya yang satu ini. 

saya menuliskannya sekadar untuk mengingatkan diri. nah, sekali lagi Catatan Untuk Suami dari Bonda Zurinah Hassan;
Catatan Untuk Suami

Maafkan aku
Jika aku meninggalkanmu
Kerana sesekali
Aku ingin kembali
Menyambung mimpi.

Maafkan aku
Jika menjauhkan diri
Kerana sesekali
Aku ingin kembali
Kepada diri.
(Zurinah Hassan, Pujangga Tidak Bernama, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994: 72).

sekian Catatan Hujan Pagi dari Penang.
salam rindu, Sayang (keh keh keh). 


Friday, September 2, 2016

Ogos dan kejutan-kejutannya.

bismillah


terima kasih Geng Opis Tercinta! (Abgmar & K Anfaal, K Jannah, K Una, Halim, Rizal, Edayu & Anis)

tuntas, Jumaat dua minggu yang lalu (26 Ogos), berakhir kerjaya saya sebagai editor. tuntas, Ahad di minggu yang lalu (29 Ogos), bermula dunia saya sebagai pelajar semula. tak pernah terbayangkan saya akan melalui denai ini lagi.

dengan izin-Nya, sayalah yang memilih jurusan ini, sayalah yang memilih pengajian ini, sayalah jua yang memilih tempat ini. jujur, beza rasanya apabila kita meletakkan 'kuasa' pilihan ke atas tangan sendiri. ujiannya lain, semangatnya lain, harapannya lain. ini juga merupakan antara keputusan-keputusan besar yang saya buat dalam hidup, selain memilih Faaizz sebagai suami (hahaha!).

saya bukan mahu menyedapkan hati. namun entahkan benar atau tidak laluan ini, kata-kata Allahyarham Sutung Umar yang ini, selalu saya ulang tulis;

"ORANG YANG BERANI TIDAK PERNAH MERASA KESAL KERANA MEMILIH." - MENANTI, SUTUNG UMAR RS





andai tersalah pilihan ini, saya belajar. andai ia tepat dan benar, saya juga belajar. terima kasih kepada orang-orang yang selalu meyakini saya, dan mempercayai dengan sesungguhnya bahawa saya patut ada di sini. 

anda tahu, anda siapa; bermula dari mengkhabarkan tentang kekosongan, mengisi borang permohonan, mengecop sijil-sijil berkaitan, menghadiri sesi temuduga, mengepos borang-borang, mengulang-alik ke sana sini, mendengarkan rintih curhat saya di rumah, di dalam kereta, di hangout, hinggalah hari saya mendaftar sebagai pelajar baru.

semoga Allah memberkahi kalian, dunia dan akhirat!


ii.

'udara' di Aswara lain dari udara di Irshad ataupun UIAM. dari sudut positifnya, saya suka bagaimana majoriti pelajar di sini berada di sini kerana pilihan masing-masing. bukan keterpaksaan, tetapi sememangnya kerana kemahuan peribadi. ah, passion atau kesungguhan seseorang selalu memukau mata saya! baik muzik, tari, teater, filem, dan lain-lain. nyatanya, mereka sungguh berani memilih untuk diri sendiri.

walau bagaimanapun, sejak hari pertama lagi, berulang kali pensyarah dan fasilitator menyebutkan dan mengingatkan bahawa dunia seni bukan dunia untuk melaba untung. serius, bukan! kalau itulah yang diharap-harapkan dari awal, ini bukanlah jalannya. jadi, sememangnya semua yang ada di sini telah menyedari hakikat itu. tidak kurang, tidak lebih, mereka datang hanya kerana kecenderungan dan minat.

alangkah, kalau kita (saya) sedari awal telah tersedar, atau tidak 'disogokkan' dengan 'sistem' bahawa sisi sains itu lebih unggul, hebat dan terkedepan; atau dewasa nanti mesti memilih pekerjaan yang sebegini dan sebegini. 

hari ini, saya cuma mampu berkata kepada sekian orang, "kalau kita punya bakat atau handal dalam sesuatu bidang, kenapa tidak digilap sahaja dengan sungguh-sungguh biar jadi yang terbaik di antara yang terbaik?"

walaupun saya kini sedang menelan kata-kata sendiri, dan cuba memaknakannya di usia ini, phew. 

"IN YOUTH WE LEARN; IN AGE WE UNDERSTAND." - Marie von Ebner Eschenbach

tak ada yang saya sungguh-sungguh mohonkan, melainkan Dia meletakkan saya di tempat yang Dia berkah. mohon doanya, kawan-kawan; semoga pilihan ini adalah yang terbaik dan dengannya, menjadikan saya lebih baik!


iii.

melalui salah satu sesi taklimat bersama Hal Ehwal Pelajar, kata penceramah; "bezanya kita di sini, kita dikurnia kelebihan pancaindera; dengan suara kita menghasilkan muzik, dengan hati kita melahirkan tulisan..." 

mendengarkan ini, tertiup satu lagi impian kecil saya, semoga suatu hari nanti benar-benar terbina institusi seni yang sememangnya mendidik dan meluhurkan jiwa yang Rabbani. tidak sukar, tetapi bukan mustahil. oh, alangkah indahnya!

"TO PRACTICE ANY ART, NO MATTER HOW WELL OR BADLY, IS A WAY TO MAKE YOUR SOUL GROW. SO DO IT." - KURT VONNEGUT

selamat bertabah, Umairah!


iv.

syukur, Ogos adalah suasana baru dengan kediaman baru (walaupun sebenarnya, kami masih menyewa). nah, tercipta sudah ruang baru dengan bench comel (sambil-duduk-sambil-bacalah-kononnya) ciptaan Faaizz. ruang lain, jangan tanya! meski hampir sebulan sudah berpindah, namun masih bersepah, hiks.




ergh, kekoknya lama tak update blog. sekian, catatan pendek untuk orang-orang yang merindui saya, ahaks. kbai.