bismillah
ceritanya adalah telefon bimbit saya dicuri.
bagaimana ia bermula, ialah ketika kain lampin Awfa terjatuh di bahu jalan. saya sedang kalut menuruni Grab, selesai urusan imunisasi bulanan di klinik kesihatan. Awfa sedang di pangkuan lengan kiri, masih lena. lengan sebelah lagi pula memaut beg, langsung memungut kain lampin di bawah. tanpa tersedar, ketika itulah (mungkin), telefon bimbit saya tercicir.
dipendekkan kisahnya, saya tahu ia sah menjadi milik orang lain apabila penumpang seterusnya mengakui bahawa telefon bimbit itu adalah miliknya dan saya tidak lagi mampu berbuat apa-apa. ini setelah melalui siri e-mel dan telefon khidmat mesra pelanggan yang berulang kali, - noktah.
detik bermenung saya kemudiannya adalah sela menyumpah kecuaian diri, menyalahkan kekalutan keadaan dan usaha menghubungi Faaizz melalui aplikasi WhatsApp Web yang bertahan cuma lima minit. saya juga berkalau-kalau itu dan ini, termasuklah menengok bajet bulanan, membuat carian harga telefon bimbit terpakai, juga berulang kali menengok paparan Find My Device. pada masa yang sama, menenteramkan diri sendiri dan Awfa yang beberapa kali terjaga. fuh, bebanan fikiran yang sungguh melelahkan! pada masa yang sama, saya sangat lapar sebab belum sempat menjamah apa-apa sebelum ke klinik tadi. menyedari telefon bimbit hilang pun ketika itulah, ketika Awfa sudah disusukan dan ditidurkan, dan saya mahu memesan sesuatu dari GrabFood kerana kelaparan.
saya stres langsung berdiam diri, tidak mahu berbuat apa-apa lagi. saya mencapai pek biskut terakhir (sadis, bukan?) sambil merenung laptop, gelap.
diam, diam adalah kuncinya untuk bertenang. berulang kali saya memberitahu diri sendiri; diam daripada melatah, diam daripada menyalahkan, diam daripada mengadu, diam daripada meratap, cuma diam. bezanya, teruji dengan kecuaian diri kali ini ialah saya lebih berdamai dengan kesilapan, berdamai dengan kehilangan, dan berdamai dengan diri sendiri.
saya mengambil masa untuk tidak melulu memberi reaksi, sebaliknya diam merenung sebelum memberi respons, terutamanya kepada suami sendiri, ahah! saya yakin, dia juga. dan ternyata ia sangatlah menenangkan!
ya, demikianlah kehilangan Redmi Note 7; untuk makna sebuah REACTION dan RESPONSE yang terpakai untuk semua situasi sekalipun, huh.
"when we learn to respond to each other rather than react, we will move much more quickly in our conflict toward resolution and reconciliation. reactions only stoke the fires of conflict; responses, particularly godly ones, help us snuff out the conflict."
- Matt Chandler
No comments:
Post a Comment