Pages

Sunday, July 15, 2018

'Akeef dan sebuah kesunyian.

bismillah


apakah kelahiran harus terganti dengan suatu kehilangan?

suatu hari, saya meminta izin Faaizz untuk sama-sama membeli barang dapur di Mydin. namun, Faaizz menganjurkan saya di rumah sahaja bersama 'Akeef. menyinggah di stesen minyak di lain hari untuk solat, kami bergilir menjaga 'Akeef. selesai giliran Faaizz, saya pula ke tandas dan tersedar baju saya berbau hancing. segera saya kembali ke kereta untuk mengambil baju yang lain, dan ketika ini Faaizz menganjurkan saya untuk solat di rumah sahaja. pada Faaizz, saya yakin sekali kedua-duanya lebih menyenangkan bahkan menjimatkan masa. ya, saya sungguh-sungguh maklum akan itu. namun sekian kejadian demi kejadian, membuatkan hati saya marah, jiwa saya bentak. apakah menjadi ibu membuatkan saya harus menjadi baran? apakah bergelar ibu menjadikan emosi saya harus senegatif itu? 

hati saya menangis semahu-mahunya!

terbiasa kita dengar, seorang ibu harus berlumur dengan muntah susu, bermain dengan najis hitam, kuning, hijau, berbetah dengan air kencing yang mengalir tiba-tiba, melayan ragam tengah malam, awal pagi, menyusu tidak kira masa, mengepam susu sekerah daya, menukar baju hampir empat helai sehari dan hal-hal lain yang tidak tercerita.

namun, pernahkah ada yang memberitahu bahawa menjadi ibu; dunianya perlu begitu 'terbuka' sebegini? tubuhnya, jiwanya bukan lagi milik dia, hak dia, bahkan seolah-olah 'tergunakan' seluruhnya! ah, bukankah untuk sebuah kelahiran sahaja, secara fizikalnya ruang paling privasi dan dinding paling rahsianya, harus izin diterobos?

mengenali diri dengan sisi introvert (diam perahsia, suka bersunyi-sunyi, mengumpul energi dengan masa bersendiri) jauh bertentangan dengan personaliti seorang ibu yang harus bila-bila pun extrovert (terbuka). membaca Black Milk oleh Elif Shafak sebelum ini, saya kurang memahami apa yang dimaksudkannya ini - "the novelist is, and has to be, selfish. motherhood is based on "giving.". sehinggalah setelah hampir tiga tahun, 'Akeef muncul dan menjadikan saya seorang ibu. pengertiannya kini mula termaknakan sedikit demi sedikit;

"while the  novelist is an introvert - at least for the duration of writing her novel- a mother is, by definition, an extrovert. the novelist builds a tiny room in the depths of her mind and locks the door so that no one can get in. there she hides her secrets and ambitions from all prying eyes. as for the mother, all her doors and windows must be wide open morning and night, summer and winter. her children can enter through whichever entrance they choose, and roam around as they please. she has no secret corner."
(Black Milk, pg. 251)

jauh sekali menyalahkan keadaan, apakan pula menidakkan nikmat Allah yang satu ini. namun jujur, di awal-awal ini, menerima ketetapan bahawa - diri tidak lagi 'berkuasa' sepenuhnya ke atas tubuh dan jiwa- itulah yang paling sukar dan payah bagi saya. tidak sesenang bergerak ke mana-mana, tidak sebebas merancang masa dan aktiviti hatta urusan makan dan minum pun tidak boleh sewenang-wenangnya. kebebasan saya seakan-akan tersekat dan disekat. lantaran itu, saya jadi begitu marah dan geram pada suami saya sendiri. mengapa dia masih punya kebebasan, sedangkan saya tidak ada ruang untuk memilih?

saya tidak pernah tersedar bahawa hal-hal yang saya diamkan dan anggap biasa ini menjadi nanah yang memakan diri. hinggalah suatu tengah malam tiba-tiba bisanya meledak dengan jerit dan tangis yang tidak terkawal. bertalu-talu ia menjerit dari dalam, saya cuma mahu mengembalikan diri saya yang dahulu; mencari tenang dengan bersendiri dalam ramai; ke kedai-kedai, ke jalan-jalan, ke restoran-restoran atau sekurang-kurangnya mengisi jiwa raga dengan membaca atau cukuplah punya masa bersendiri untuk mencicip secawan kopi yang saya gemar. 

fikir saya, lelah, penat dan segala pergerakan dan keinginan cuma terhad dan terbatas ketika sembilan bulan mengandung. tidak pernah saya fikir, kelahiran 'Akeef sekaligus menandakan 'kelahiran' diri saya yang baharu juga. terhimpit dengan rasa ingin bebas, saya juga diketuk dengan rasa bersalah yang menggunung. wajarkah apa yang saya rasakan ini? apakah saya bukan ibu yang baik? mengapa saya tidak terasa bahawa pekerjaan ibu ini adalah sesuatu yang sakral tetapi suatu beban? 





"we expect new motherhood to be amazing. and it often is. what we don't always expect, is that in addition to experiencing deep love, gratitude and pleasure, women may be inundated by unexpected feeling of loss, sadness and resentment that emerge. while this is normal, it can be unsettling and feel difficult to reconcile, leading to guilt and more sadness."

pencarian demi pencarian menemukan saya dengan mereka yang menyatakan bahawa saya tidak bersendiri. laman-laman dan artikel-artikel yang saya baca juga membuktikan bahawa segala yang saya alami ini adalah proses pengadaptasian yang normal. ia bukan cuma emosi seorang perempuan atau ibu yang manja dan lembik. ya, masih juga saya dalam fasa menyesuaikan diri sendiri, mencari ruang dan peluang untuk menerima diri yang baharu. syukur, Faaizz tidak pernah sesekali melenting bahkan mula cuba untuk memahami. ah, tidak pernah saya tersedar, bahawa 'Akeef sesuai dengan makna namanya -orang yang tersangatan beriktikaf- menandakan saya perlu menciptakan ruang kesendirian saya yang baharu. bukan 'iktikaf atau masa-masa bersunyi saya yang dahulu. 

sebagaimana Elif Shafak juga bercerita;



"I don't know why you ended up picking me out all the potential mothers in the universe. maybe you're a crazy kind of boy. you find the idea of a perfect mother boring. or you already know me better than I know myself. maybe you see the potential in me. maybe you want to help me overcoming my shortcomings. you can be my guide, my best teacher. like I said, I don't know why you chose me, but I want you to know that I am honored. I hope I will never make you regret your decision and say, "of all the moms in the universe, why did I pick this one!"

26 April 2018; ahlan 'Akeef ke dalam dunia sunyi dan sepi (blog) Ibu. 


_______
ps: ibu tengah 'iktikaf' la ni, menulis tengah malam. bila lagi kalau bukan 'Akeef tengah tidur? :P wow, sebab 'Akeef, Ibu telah membuat comeback setelah setahun mendiam, miahahahaha. ada lagi ke yang baca blog ni?

10 comments:

Anonymous said...

Mestilaaa adaaa yg baca.. Ternanti2.. Welcome tu ibu's blog akeef.. ��

P/s : makan nasik byk2 ibu.. Ibu perlu kumpul byk tenaga melayan kerenah akeef. .��

Ainum said...

alhamdulillah ibu akeef dah balik ke pangkal jalan. haha.

anyhoo, selamat menjalani "umairah" yang baru, kak.

Nor Atikah Izzati said...

Allahu kak , setiap yg jdi ada hikmahnya dan Allah sebaik2 perancang . Allah taw waktu yg tepat utk sseorg tuh hadapinya . Doakan ika pown merasai pengalaman bergelar seorang ibu . Ya Allah , seronok kan pengalaman tuhh ♥️

Umairah. said...

anon:
komen pasal nasik ni, macam tau dah sape. haha

ainum:
haha, lepas setahun menyimpang ke macam mana tu? :P

ikah:
yakinlah, Allah akan datangkan pada masa yang tepat. ameen :')

maire said...

ada ja ni ha. take care dan semoga keluarga akak dikurniakan syurga selamanya. Love you, my inspiration.

Umairah Shafei said...

maire:
ameen! hihihi :P teruskan menulis okeh. love you too, xoxo.

nc said...

i feel the same kak. masa Anas Sadiq lahir. en tetiba rasa en jadi orang yang lain. dan en masih adapting

umairahshafei said...

nc:
hehe kan, rindu en! bilalah agaknya akak boleh jumpa anas sadiq ni, hehe. en duk mana sekarang?

dr.adilahhebat :) said...

quite a very long time tak jenguk blog akak sebab haritu lebih kurang setahun bukak memnanti post baru after marie dan storyteller,

harini bukak,
wah k.umai ada tulis post baru,
sedang baca jumpa nama 'akeef,
i was like eh siapa 'akeef, scroll ke bawah,
dan jumpa "oh masyaAllah k.umai dah ada baby and become a mother"
;')


k.umai,
moga untuk menjalani proses yang baru ni,
Allah bantu dan kuatkan utuk semuanya.
<3


p/s : i really miss your writings :')

ain said...

Hi Admin! Tumpang iklan jap ya. KUALITI YANG MEMUKAU MATA ANDA DARI Al Aqsa Carpets. Boleh klik link bawah untuk lihat produk yang ada dan serta promosi sepanjang bulan ramadhan.

Barang Berkualiti Dengan Harga Kilang!

https://www.alaqsacarpets.com/