Pages

Monday, June 30, 2014

Oh, manisnya!

bismillah

maka, Ramadhan pertama saya hari ini, di rumah bersama Umi Walid dan adik-adik tercinta. esok dengan status - 'mengambil cuti', baru bertolak semula ke Gombak. hari ini boleh dikatakan hampir seharian hujan; dari pagi ke malam. terimbas cukup-cukup pengalaman tiga tahun lepas, sewaktu menyambut Ramadhan sebulan penuh di rumah. cuacanya juga begini, dan saya pernah menuliskan serba sedikit coretan tentangnya;

"kebelakangan ini,
hujan malam-malam.

mungkin buat menangis lirih,
sambil mengadu sendiri,
dalam hujan renyai-renyai
di rakaat-rakaat
pada suatu malam.

hah, terawih yang sejuk."

- ogos 15, 2011. 

percayalah, antara orang yang paling membahagiakan kita ialah adik-beradik sendiri. kejian dan kutukan mereka sesekali tidak membuatkan kita merasa kecil. aha! bahkan, sesi mengata sesama sendiri adakalanya menjadi bahan gelak tawa yang luar biasa. malah, kita boleh dengan jujurnya bebas bercerita, mengadu, mengaduh, berleter tentang apa saja!

"siblings are the people we practice on, the people who teach us about fairness and cooperation and kindness and caring quite often the hard way."
- quoted

oh, manisnya!

mereka juga akan sudi berpura-pura (atau mungkinlah benar-benar serius) membaca tulisan-tulisan buruk dan cacat yang kita tulis. termasuklah mengelek tiga Majalah JOM! (isu Ramadhan) di waktu-waktu senggang. sesekali mengeluarkan fakta di waktu-waktu melepak di ruang tamu, memasak atau berbuka bersama. misalnya;

"cantik cover majalah jom yang baru ni. sapa yang buat?"
"adik baca dalam majalah jom tu, mandi selepas asar ok saja kan?"

oh, dengan adik-beradik juga kita boleh bajet 'macho' dan acah-acah 'bergaya' yang tidak akan sesekali kita lakukan pada orang lain. begini caranya;

"takdak cerpen ka dalam majalah jom ni?"
"cuba ammar bukak page last-last tu. alang-alang tu, cubalah tengok sekali penulisnya."

sebelum kemudiannya saling membalas jeling dan sengih, atau tawa berdekah-dekah. oh, manisnya!

bahkan, ada yang akan sambil-sambil membeleknya sehelai dua halaman, sementara menunggu waktu Isyak untuk ke surau bersama-sama.

"seronoknya akak tengok adik-adik akak baca Majalah JOM! miahaha."  

sememangnya itulah tujuannya pun Majalah JOM! itu 'dicampakkan' ke 'serata alam' di dalam rumah. biarkan ia bersepah, sebab nanti adalah seorang dua yang akan membelek satu dua halaman sebelum berbaring lalu tertidur. kalaupun tidak kesemua artikel dibaca, sekurang-kurangnya terlintas juga satu dua isu di bahagian fiqh siyam (fiqh puasa), ataupun mungkin terinspirasi juga dengan satu dua tips amalan harian, ataupun mungkin terbaca juga satu dua artikel yang menarik perhatian. biarlah sedikit, sekurang-kurangnya ada! asalkan terbenihnya semangat meraikan Ramadhan, selain terwujudnya perasaan gembira dengan kedatangannya. biarlah kita 'merayakan' kemeriahannya bersama-sama!

oh Allah, moga Ramadhan ini Ramadhan terbaik buat kita; termaknakan dengan kehadiran hati, jiwa, akal dan jasad keseluruhannya.



ameen, ameen, ameen.

Wednesday, June 25, 2014

Jun 19, ZAG, dan setahun yang indah!

bismillah

Jun 19, 2014. 

genap setahun saya di sini. setahun yang terlalu banyak mendidik hati. setahun yang bergolak dengan perasaan dan emosi sendiri. setahun yang menduga dan menguji prinsip, pegangan, dan peribadi. setahun yang mengendurkan, meruntuhkan batas-batas, norma dan kebiasaan. setahun yang maha pahit menenggelamkan semua rasa-rasa payah dan sakitnya mujahadah. setahun yang berhambur juraian air mata. setahun yang jatuh bangun, turun naik, durja bahagia, tangis senyum, hitam putih dan semuanya! 

setahun yang mengajar dewasa; hati dan jasad. entah dengan perkataan apa lagi untuk saya guna bagi menerangkan, tetapi hikmahnya makin ternampak sedikit demi sedikit. "kesabaranku adalah kesabaran yang cantik," demikian kata Nabi Yaakub itu, memang suatu kebenaran yang tak tersangkal. 

saya belajar untuk hidup dengan sangat sederhana! sangat-sangat sederhana. (ah, ternyata hal-hal sederhana selalunya indah!) saya belajar hal-hal common sense yang tidak perlu dileter atau diulang tutur berkali-kali, tetapi cukup dengan memerhati gerak-geri. 

adakah lagi yang boleh cuma diam, tanpa berkata apa-apa membasuhkan pinggan mangkuk yang dia tidak gunakan pun? malah membersihkan dapur dengan sebersih-bersihnya tanpa mendengarkan sebaris keluhan pun? adakah lagi yang akan sedia mengangkat plastik sampah hampir setiap hari, tolong membuangkannya tanpa merungut sepatah pun? adakah lagi yang akan tolong memasak untuk sekalian isi rumah, tanpa meminta ditolong pun? adakah lagi yang akan mencuci bilik air, menyapu dan membersihkan lantai, membasuhkan pakaian kotor orang lain, dengan senyum dan lapang dada? adakah lagi yang akan betah bertahan selama sebulan tanpa air, namun masih saling menghadiahkan senyum? adakah lagi yang akan saling berbagi mengeluarkan hasil simpanan, demi 'meraikan' sahabat yang dicuri laptop dan telefon? adakah lagi yang melantunkan al-Mulk saban malam sebelum tidur? adakah lagi yang akan mengejutkan qiyam hampir setiap pagi? adakah lagi yang sangat dalam prihatinnya pada solat jemaah? adakah lagi yang akan berlapang dada menahan kecuaian, kelekaan, kealpaan, dan sikap-sikap negatif diri? adakah lagi yang akan begitu berjaga-jaga hal pembaziran; makanan, elektrik, air, dan hal-hal yang tampak mudah dan ringan? 

bukanlah tidak ada sisi negatifnya, namun kelebihan-kelebihan ini sering mencerahkan yang gelap. memutihkan yang hitam! semacam kata Khalil Gibran;

"I have learned silence from the talkative, toleration from the intolerant, and kindness from the unkind; yet strange, I am ungrateful to these teachers."

oh, Allah!

padanlah, begitu indah Rasulullah S.A.W mensabdakan;

"seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu."
(HR. Tirmidzi, Ibn Majah dari Ibn Umar RA)

sebab hikmah-hikmahnya begitu dalam, dan terlalu besar! dampak memandang yang baik itu akan lebih menjernihkan hati, membuatkan kita duduk terdiam muhasabah; "alangkah kurang dan tiada apa-apanya aku, dan betapa lebihnya mereka!"

tak tercontoh peribadi, tak terikut akhlak setiap satunya. masing-masing punya keunikan dan kelebihan tersendiri yang siapa tahu, hal-hal sesederhana itu di mata Allah, cuma Syurga imbalannya! sedangkan di pandangan kita, terlihat dan ternampak cuma, sisi-sisi yang buruk.

Allahhu!

jangan, jangan begitu.



"Allah, ajarkan aku untuk selalu punya hati yang cantik." 
"Allah, terima kasih untuk guru-guruku yang indah!"

 --
*ZAG - Zainab al-Ghazali. (nama rumah :p)

Tuesday, June 17, 2014

"There is no greater agony than bearing an untold story inside you." ― Maya Angelou, I Know Why the Caged Bird Sings

bismillah

'QALLA WA KAFA'
'SIKIT DAN CUKUP'

kata-kata ini sungguh mengesankan saya. suntikan daripada Ustaz Nouman, dalam siri lectures Ramadhan lalu, tentang "Hold On To The Quran."

tersedar saya, bahawa kadang-kadang saya ada satu 'kelompongan' dalam diri. saya terdedah dengan lambakan bahan bacaan baik artikel mahupun buku, siri audio, lectures, ceramah, facebook pages dan segala macam 'akses' kebaikan yang cukup mudah untuk dicapai. termasuklah juga quotes yang berjela-jela di laman twitter.

kadangkala, jujurnya saya terasa muak, letih dan penat. seolah-olah kesemua ini sekadar 'pelepas', ataupun 'syarat' untuk diri. cukup sekadar 'melintasinya'. cukup sekadar ada.

apakah sekadar untuk dibaca, diperpanjangkan, dan dikongsikan? atau sekadar untuk di 'like'? atau di 'retweet' atau 'favourite' kemudian esoknya lupa, tanpa termaknakan sepenuhnya pada diri sendiri? kalaupun tersedar, apakah cuma untuk hari ini, bukan hari-hari seterusnya? apakah telah terbentuk menjadi sebahagian daripada fikrah untuk dimanifestasikan dalam amalan? apakah telah tersibghah dalam akhlak? ternampak pada kelakuan dan sifat, menjadi lebih baik dari hari ke hari? atau semuanya cuma 'terawang-awang', 'berlegar-legar', 'kosong', 'abstrak', tanpa diterjemah sedikitpun? atau sebenarnya, saya 'berkongsi' sekadar sebagai 'pelepasan untuk diri' bahawa saya telah membaca, mendengar, menontonnya?

entahlah, tapi makin hari terasa seperti banyak hal-hal yang tidak jelas. atau memang sifat introvert, selalu ada kecenderungan untuk mengusutkan fikirannya dengan 'long, deep, self-absorbed, self-analytical, navel-gazing conversations' sebegini?

 
the introvert's way - sophia dembling, pg.124

entahlah.

mungkin juga saya baca, tulis, dengar, lihat tanpa pemaknaan. tanpa tadabbur. tanpa fikir dan zikir. tanpa fokus dan khusyuk. tanpa kewujudan dan kesedaran hati. tanpa muhasabah dan refleksi. sebagaimana tadi, apakah berbuat itu dan ini sekadar satu bentuk 'pelepasan diri' sahaja? sekadar ada!

membaca Menalar Makna Diri macam 'membaca' saya, walaupun situasi dan konteksnya berbeza. kalau Ustaz Hasrizal memaksudkan 'ceramah motivasi' sebagai 'makanan ringan', saya merasakan sayalah orang yang sedang mengunyahnya (bahan bacaan, lectures, dan sebagainya).



saya terus 'mengunyah' lagi dan lagi, namun tak terhadam. sedap, namun tidak berkhasiat untuk diri sendiri. tidak membangun. tidak membina. 

hmm.

"I've often lost myself,
in order to find the burn that keeps everything awake."
- Federico García Lorca

ataupun hakikatnya, saya akan belajar lagi, memandang hal-hal ini dari sudut yang berbeza pula suatu hari nanti. sama macam dulu, saya tidak pernah terlintas untuk merasakan hal-hal seperti sekarang. kita 'belajar', kita 'bertumbuh' dan kita 'berkembang' dari ilmu, pengalaman, persekitaran dan orang-orang sekeliling. 

moga orang-orang yang 'merasakan' saya, mengalami hal-hal yang sama, berjaya meloloskan dan melepaskan diri dari kotak yang selama ini menghantui diri sendiri.

moga 'keberatan' ini datangnya dari 'ketakutan' yang menuntun kita untuk lebih memperbaiki amal; lebih ikhlas, lebih khusyuk (fokus) dan lebih istiqamah.

'QALLA WA KAFA'.
SIKIT DAN CUKUP.


"Allah, tunjukkanlah yang benar itu benar dan bantulah kami mengikutinya dan tunjukkanlah yang salah itu salah dan bantulah kami menjauhinya."

Monday, June 16, 2014

"bertanyalah padaku! dengan pertanyaan, kau sebenarnya sedang memberikan aku jawapan."

bismillah

semalam, seorang adik bertanyakan saya tentang satu hal. entah bersebabkan apa, pertanyaan dia selalu sahaja kena dengan situasi saya. apabila saya memberikan solusinya, saya hakikatnya seolah-olah sedang memberikan solusi kepada diri saya sendiri. saya sedang menasihati diri saya sendiri. saya sedang memberitahu dan bercakap dengan diri saya sendiri. ia macam; 

"bertanyalah padaku! dengan pertanyaan, kau sebenarnya sedang memberikan aku jawapan." 

ha, begitu. 

dia bertanya tentang jahiliyahnya yang masih sukar dikikis. hal-hal yang terlalu mengganggu fikiran dan hati. walaupun nyatanya, struggle kami berbeza, tetapi tetap juga masing-masing sedang bermujahadah dengan ujian masing-masing.

saya beritahu dia (hakikatnya, diri saya sendiri); 



kerapkali saya rasa useless kalau masih mengulangi kelemahan dan kesalahan yang sama. saya rasa benci dengan sikap-sikap diri yang tidak sepatutnya ada dalam diri. setiap kali perasaan sebegini datang, saya rasa tidak layak untuk terus menulis hal-hal yang baik, menjadi murabbi, bahkan untuk bercakap tentang segala jenis kebaikan.

sampailah saya berulang kali membaca kata-kata sendiri yang khasnya ditujukan pada orang lain; 

"take your time. semua tu proses. buat sikit-sikit. Allah tau kita sedang berusaha, dan Dia tahu kita benci dengan sikap tu."

ulang cakap dan tulis berulang kali, apa saja yang diri mahu ubah. ulang cakap dan tulis apa saja yang bermain-main dan berlegar-legar di kepala. setiap satu, pasti sudah tertulis sebagai niat. hinggalah proses itu secara semulajadinya akan terjadi sedikit demi sedikit dengan keizinan dan pertolongan Allah. Allah Maha Tahu dengan tahu, maklum, dan mafhum yang sesungguhnya bahawa kita sedang berusaha!

tanpa tersedar, kata-kata yang diulang sebut itulah menjadi kekuatan dan sumber motivasi, meski tidak pada orang lain, sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. 

sebagaimana antara kata-kata keramat 'Oh Capten My Capten' (Mr. Keating) yang cukup saya gemar dalam filem Dead Poets Society;

"WORDS AND IDEAS CAN CHANGE THE WORLD."

memberilah, sekurang-kurangnya kepada diri sendiri.


________
ps: adik, terima kasih. 

"the best thing about asking Allah for help is that you don't have to act strong or hide your weakness. just ask." - musleh khan

Wednesday, June 11, 2014

CARPE DIEM.

bismillah

saya sangat-sangat cemburu dengan orang yang fokus. bagi saya, 'fokus' adalah suatu hal yang cukup-cukup memerlukan mujahadah yang sangat tinggi. lebih-lebih lagi, teruntuk diri saya sendiri. fokus mudah saja hilang, dan saya mula terdistraksi dengan hal-hal yang tidak sewajarnya.

padan sekali dalam buku Fiqh Dakwah II, untuk bab muwassofat tarbiyah (karakteristik tarbiyah); 'matinul khuluq' (kemantapan akhlak) dan 'mujahadah lin nafs' (perjuangan melawan hawa nafsu) diletakkan dalam satu karakteristik, sedangkan hakikatnya kedua-duanya adalah dua karakteristik tarbiyah yang berbeza. kewajarannya disekalikan mungkin bersebabkan; untuk berakhlak dengan sebenar-benar akhlak Islami, sangat memerlukan mujahadah (perjuangan melawan hawa nafsu) yang sangat-sangat tinggi!

lebih-lebih lagi, -fokus. 

sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri pernah menyimpulkan dalam salah satu hadisnya; "yang pertama-tama diangkat dari umat ini ialah khusyuk sehingga tidak terlihat seorangpun yang khusyuk". (HR Imam Ahmad dan Thabrani). 

juga sebagaimana kata Ibnu Mas’ud, "sekumpulan orang membaca al-Quran namun tidak melepasi kerongkongnya. andai kata al-Quran itu masuk ke hati, ia akan menetap dan memberi manfaat." 

malahan, al-Quran sendiri menyebutkan; "sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." (al-Mukminun: 1-2)

hmm.

selalu-selalu juga saya diingatkan, hakikatnya orang yang khusyuk dalam solatnya, pasti adalah orang yang khusyuk di luar solatnya. memikirkan betapa liarnya fikiran dan riuhnya hati ketika solat, jelas sekali menunjukkan betapa itulah 'realiti' sebenar di luar solat. 

sedangkan orang yang fokus tidak mudah terganggu dengan hal-hal yang mudah dan ringan, tidak tergugat dengan hal-hal yang tidak berkaitan hidupnya, tidak runsing dengan apa-apa urusan yang tidak memberi manfaat pada dirinya, tidak sibuk dengan perkara-perkara yang tidak membangunkan peribadi dan seluruh kehidupannya.

apabila melakukan sebarang tugasan, dia fokus dengan kerja-kerjanya. apabila membaca al-Quran, dia fokus dengan tilawahnya. apabila membaca, dia fokus pada bacaannya. apabila menghafal al-Quran, dia fokus dengan hafalannya. apabila sahabat bercerita tentang masalah-masalahnya, dia fokus memerhati dan mendengarkan. apabila di majlis ilmu, dia fokus menadah ilmu. lebih-lebih lagi apabila solat, dia fokus dan khusyuk bersama Tuhannya.



fuhhhhh,
indahnya!

"ya Allah jadikanlah aku antara orang yang fokus dalam hidupnya, lebih-lebih lagi khusyuk dalam solatnya."
--

"i know you feel worn and tired. i know you're tired of failing. rest, but don't stop. you can do this. you got this. not because you're strong, but because He's your strength."
- yasmin mogahed

Sunday, June 8, 2014

Facebook dan hujung minggu;

bismillah

skrol Facebook di hujung-hujung minggu begini, termuat banyaknya foto-foto walimah yang membuatkan saya tersangat merasakan syukur, suka dan bahagia! sebaik-baik pujian untuk Dia yang mempermudah urusan kalian, hingga syaitan menangis kerana keterlaluan hiba.

dengan izin Dia jugalah, moga tersisip barokah yang tidak putus-putus, setelah sempurnanya agama yang lagi separuh. moga janji Allah yang satu ini; mawaddah, sakinah dan rahmah benar-benar terasakan. bermula dari kebaikan niat hinggalah nantinya tercapai matlamat, sungguh Dialah sebaik-baik penyempurna!

"tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." (hr. ibn majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-silsilah as-sahihah)

mengelek foto yang sekeping itu, siapa boleh ukur di sebaliknya terkumpul sebuah keberanian? keberanian untuk menetapkan antara keputusan paling besar dalam hidup. keberanian untuk menyertakan segala usaha agar sesuatu yang halal benar-benar terlaksana. keberanian untuk mula mempamerkan seluruh kelemahan pada orang yang asing-seasingnya. keberanian untuk meletakkan posisi diri dalam keluarga yang baru. keberanian untuk membina sebuah keluarga, dan diri sendiri sebagai nakhoda dan juragannya. keberanian untuk memikul tanggungjawab dan amanah. keberanian untuk mula memberi, bukan lagi pada 'diri', tetapi pada 'kami'. untuk keberanian-keberanian ini, padanlah 'mabruk' (tahniah) juga sangat sinonim dengan walimah, sebab ia pastinya bukan sesuatu yang kecil dan mudah.

jujurnya, selain foto dan keberanian ini, hal-hal 'random' yang tidak terzahir, tidak tertonjol dan tidak ternampak itu pastinya lebih mengagumkan saya. terutamanya, untuk hari-hari mendatang. hal-hal manusiawi, semulajadi, tidak sempurna dan sangat sederhana. misalnya; sedih, marah, cemburu, rajuk, tidak sependapat, takut, jemu, bosan, ragu-ragu, letih dan perasaan-perasaan lain yang menuntut taqwa pula sebagai solusinya.

"apabila seorang hamba menikah, maka sungguh orang itu telah menyempurnakan setengah agama, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dalam setengah yang lainnya." (hadis ini disahihkan oleh al-Banni di dalam shahihut targhib wat tarhib)

sebab perasaan-perasaan seperti ini, bagi saya lebih realistik, lebih hidup, dan lebih indah.

"i'm only interested in what is real. real people, real feelings, that's it. that's all i'm interested in."
- almost famous (1999)

Allah, mohon bahagiakan mereka sampai Syurga! 


بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
:)

Friday, June 6, 2014

eskapisme nyaman dan sebuah introspeksi;

bismillah

berulang kali saya menyebutkan;

"antara sebab buku selalu menjadi eskapisme paling indah ialah, ia selalu membenarkan introspeksi diri secara senyap. meloloskan kita ke dalam jiwa penulis, menganalisa dirinya, dan membenarkan dia pula untuk 'mencela' kita dengan cara paling halus dan sembunyi, teratur dan sopan!"

inilah yang saya dapatkan dari buku Cerita Cinta Ahmad Ammar

kumpulan karya ini meskipun keseluruhannya bercerita tentang kebaikan-kebaikan dalam diri Ahmad Ammar, namun jujurnya saya lebih terkesan dengan peribadi ibunya. itulah 'take-home-message' utama yang masuk ke dalam jiwa saya dengan sesungguhnya!


mengingatkan kembali novel 'Setulus Setia Seindah Nama' yang pernah saya baca dulu, penulisnya ada mengungkapkan semula baris puisi karya agung Rabindranath Tagore. tulisnya;

"kelincahan, keriangan tenaga, dan kelasakan seoang anak kecil, semuanya dia peroleh daripada ibunya sejak ibunya masih dara lagi."

subhanallah! maka tidak dapat tidak, hakikatnya Ahmad Ammar adalah 'produk' yang mewarisi sifat-sifat yang segenap telah tersibghah menjadi peribadi ibunya.

sabar, tekun, tabah, cekap, berdikari, berwawasan. paling penting, ibunya tahu apa yang paling dia mahukan (prioriti hidup), dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan misi hidupnya. maka, apa-apa rintangan ataupun halangan sekalipun, dia tidak akan cepat berputus asa, malah lebih yakin untuk melaluinya. pilihan atau keputusan yang dibuat dalam hidup pun, bukan sembarangan atau sekadarnya! setiap satunya ada sebab, halatuju, dan matlamat. 

saya tertanya-tanya, "bagaimana dia begitu berani membuat keputusan? bagaimana dia boleh memilih jalan yang ini? bagaimana dia boleh bersikap seperti ini atau itu untuk situasi yang sebegini dan sebegitu? bagaimana mampu dia berkata-kata dan mendidik sebegini?", dan sebagainya.

jelasnya saya begitu yakin, sifat-sifat ini hakikatnya tidak terbentuk dalam masa sehari. proses pembentukan akhlak, sikap, dan tabiat diri, mustahil dapat terjadi dalam sekelip mata. ia perlu latihan, pembelajaran, dan pastinya memakan masa yang panjang dan lama. akhlak adalah sesuatu yang semulajadi, bukan dibuat-buat.

itulah yang cukup mengkagumkan saya, dan membuatkan saya kerapkali bertanya semula pada diri sendiri;

"dengan sifat-sifat aku yang sekarang ini, kelemahan dan kekurangan yang ada, mampukah aku untuk seperti itu? kuatkah aku untuk membina diri? yakinkah aku untuk belajar semula?"

untuk setiap satunya;
Allah, mudahkanlah.

--

"one of the best things you can do for your children is to continue to grow – spiritually, mentally and emotionally. if you're not growing you're really regressing. growing in your iman, stretching your mind and finding out what feeds your soul will make for a happier and healthier you. making time for your relationship with Allah should be the first thing in your life. out of that relationship flows your ability to love and care for your family and relate well to the world around you."

- art of mothering

Wednesday, June 4, 2014

di saat hujan bulan Juni, nah;

bismillah

(i)

"remember why you started"

setiap kali merasakan gagal, berpatah ke jejak awal dengan bertanya, "mengapa dan bagaimana kita memulakan?"

masa-masa ini, sungguh-sungguh saya sangat rindukan ‘mereka’. orang-orang yang banyak menumbuhkan fikrah, mewujudkan mimpi-mimpi sejahtera, melonjakkan keberanian untuk tidak cuma bercita-cita tetapi berbuat, memperkenalkan saya dengan orang ini, orang itu, dan segala-galanya yang tidak terhitung.

waktu-waktu merasakan kosong, ‘mereka’ selalu mengingatkan supaya menemukan kembali gol-gol awal yang membuatkan kita ada sesuatu. dia yang satu ini tidak pernah gagal mengingatkan saya tentang impiannya yang satu, prioriti sejak mula ke manapun dia berpijak; hafalan al-Quran meski satu ayat satu hari, dan bahasa Arab. orang yang pernah berkali-kali mengingatkan; "no worries insyaAllah, Allah will give all your best friends back in a form of one guy; - your husband!"

orang-orang yang ‘mengajar’ saya untuk menuliskan apa saja kemahuan, keinginan dan kehendak saya. sifat-sifat yang saya ingin ubah, kelemahan, kekuatan, impian, harapan dan seluruhnya, untuk saya ulang baca dan tatap setiap kali saya rasa lemah dan gagal.

walaupun ada antaranya, belum menemukan keberhasilan sekalipun!

orang-orang yang terus menjentik keinginan, teruslah mengangan-angankan, sebab setiap satunya telah tertulis sebagai 'NIAT'. Allah akan 'memakbulkan' kesemuanya dengan cara dan laluan-Nya sendiri. Dia akan membuka jalan-jalan itu, melalui masa-masa kita, aktiviti-aktiviti kita, kawan-kawan kita, tugas-tugas kita, ujian-ujian kita, tutur kata kita, dan kesemua itu akhirnya membentuk dan menjadikan kita SESEORANG yang kita mahu.

SESEORANG yang KITA pernah ANGAN-ANGAN-kan dulu, tanpa sedar! kun fa yakun-Nya, siapa boleh duga?

--

(ii)


mengimbas semula buku catatan kecil yang saya bawa ke mana-mana saja, catatan akhir saya terhenti di penghujung Mac. bulan-bulan sebelumnya adalah bulan yang paling banyak menduga dan menguji hati sendiri. tersedar saya, rupa-rupanya apabila kita terlalu banyak berfikir, merenung dan bermuhasabah, ataupun tertimpa dengan ujian-ujian yang membuatkan kita keliru, kusut, dan sebagainya, semuanya akan tercurah dengan sangat-sangat kepada Allah.

saya cukup rindu masa-masa itu.

ujian dan persoalan hidup akan selalu membawa kita kepada Allah S.W.T. kita banyak bermohon, berharap, malahan seringkali 'bercakap' dengan Allah. fikir kita itu automatik akan menjadi zikir. bahkan boleh jadi kita merintih dan menangis hampir tanpa mengira waktu dan ketika! merebahkan tubuh, langsung bersujud meski ketika waktu-waktu uzur kerana terlalu maha peritnya menanggung perasaan! betapa waktu itu adalah waktu kita benar-benar mahu berdamping dengan Allah.

sungguh, itu pahit yang manis!

hmm?

--

(iii)

bagaimana ya, untuk saya katakan?

saya cuba 'mencari' saya yang dulu, tetapi tidak berjumpa. adakah sebab seiring dengan masa, kita memang akan berubah? ataupun persekitaran akan mencorak kita yang 'baru'? ataupun bersebabkan pengalaman yang makin bertambah, fikiran dan cara kita pandang kita jadi berbeza? ataupun sebenarnya kita yang harus tinggalkan segala yang lama, dan sesuaikan dengan keadaan semasa? ataupun sememangnya, sesampainya kita pada fasa-fasa tertentu, prioriti dan keutamaan tidak seharusnya lagi ditakuk yang lama? ataupun kita perlu berbuat sahaja, hinggalah datangnya cinta?

jujurnya, saya sendiri keliru. atau denai ini, kita harus lalui saja, sampailah Allah temukan dengan sesuatu yang kita cari? 'passion' kita yang sebenar-benarnya? adakalanya, saya merasakan fikiran saya terlalu 'abstrak', terawang-awang.

untuk meletakkan di medan amal, saya jadi terlalu kaku. apakah hati belum sesungguhnya cinta? atau terlalu lama berfikir, dan terlalu asyik berkira-kira? keyakinan saya mengatakan, ada yang 'hilang', ada yang tidak 'beres' dan ada yang belum saya 'jumpa'!

menalar makna diri, ustaz hasrizal abdul jamil, hlmn. 75

Allah, mohon dilorongkan jalan untuk memilih dan berbuat dengan cinta!

--

iv)




pedulikan hal-hal terkedepan. terus tenang dan berdoa, mohon Allah mengurniakan rahmat-Nya. prioritikan dahulu hal-hal yang zahir ternampak dan terhampir. Ramadhan, misalnya.

selamat merancang!


"allahhumma barik lana fi Rajab wa Sya'ban wa ballighna Ramadhan."
:)

Tuesday, June 3, 2014

shhhhhh.

bukan tidak boleh menangis untuk hal-hal yang remeh. bukan tidak boleh bercerita berani dan gagah. bukan tidak boleh bercakap untuk hal-hal yang tidak perlu. bukan tidak boleh mengadu pada hal-hal yang mudah. bukan tidak boleh merungut untuk hal-hal yang kecil. bukan tidak boleh mempersalah, melabel dan menduga diri sendiri. bukan tidak boleh mengakur lemah. bukan tidak boleh mempertahan pendapat dan pandangan sendiri. bukan tidak boleh mengaduh sakit dan letih. bukan tidak boleh melepas baran dan marah. bukan tidak boleh berterus-terang atau jujur sahaja!

bukan tidak boleh, sayang. 

cuma kadang-kadang;
cuma adakala;

diam itu lebih menguatkan berbanding diumbar-umbarkan. lebih untung terjumpakan solusi, lebih berhasil menemukan ketenangan!

"kerap amat, ketenangan itu bermula dengan diam." - marwan bukhari

shhhhhh.