bismillah
menjadi Susan dalam To Room 19, saya cuba mencari 'ruang' sepi saya sendiri. menjadi Ji Ho dalam Because This Is My First Life, saya cuba menemukan 'bilik' sunyi saya sendiri. tempat fikiran dan perasaan bertelagah, tempat firasat dan curhat bertemu dengan jujur dan terang.
"because the room is a space she can be perfectly alone. getting married also means that your own time and space disappears. being without anyone else can make you feel happy." - Se He, BTIMFL
saya mencari ruang atau tempat itu, buat saya menanggalkan 'label' isteri atau ibu, tetapi sebagai saya. saya mahu anak-anak kelak mengenali saya sebagai saya, ibunya begini dan begitu. jika ditanya, mereka tidak sukar menjelaskan apa kesukaan saya, apa minat saya, apa kecenderungan saya, apa pilihan saya, siapa saya sebagai saya; diri saya sendiri. antara sebabnya ialah saya tidak mahu mereka berasa bertanggungjawab terhadap apa-apa perasaan dan pilihan saya, dan mereka juga kelak bebas membuat keputusan dan pilihan sendiri menurut jalan yang Dia redhai.
dahulu, ketika fasa bujang, berulang kali saya pernah katakan bahawa; cinta sama ada akan menemukan atau menghilangkan diri kita, dan saya mahukan yang pertama. ketika di fasa awal ta'aruf juga pernah saya duga diri sendiri, "can I be with you and yet still see myself?"
suatu hari, saya pernah cuba menulis fikiran dan perasaan seputar diri saya sahaja. namun sebaliknya, suara-suara mereka ternyata lebih kuat bergema, dan akhirnya saya tersedar bahawa yang dituliskan adalah lebih banyak tentang mereka berbanding diri saya sendiri.
hakikatnya tidak mudah menyisihkan keduanya (isteri atau ibu) kerana wilayah inilah sedikit sebanyak yang mencorak dan membentuk saya. ah, barangkali bukan sedikit sebanyak lagi, kerana ia benar-benar melentur saya menjadi sesuatu dan seseorang. ketika kita mahu anak menjadi yakin, kita terlebih dahulu harus percaya. ketika kita mahu anak menjadi berani meredah, kita pertama dahulu belajar mencuba. dalam banyak-banyak hal, paling sukar saya kira adalah menjadi orang yang tenang; tidak mudah terikut dengan ketegangan emosi, terpukul dengan keadaan, atau terhukum dengan sangkaan atau jangkaan orang atau yang selalu diistilahkan 'YOU DO YOU'.
sebelumnya saya akan melangkah dengan kusut dan rusuh, sesudahnya saya akan keluar dengan lapang dan terang, jernih dan persih.
inilah (mungkin) sesungguhnya ruang sepi saya, inilah bilik sunyi saya;
- menulis.
No comments:
Post a Comment