"because the room is a space she can be perfectly alone. getting married also means that your own time and space disappears. being without anyone else can make you feel happy." - Se He, BTIMFL
Sunday, November 14, 2021
membaca diri dalam To Room 19, Doris Lessing.
Thursday, November 11, 2021
harga kehilangan Redmi Note 7.
bismillah
ceritanya adalah telefon bimbit saya dicuri.
bagaimana ia bermula, ialah ketika kain lampin Awfa terjatuh di bahu jalan. saya sedang kalut menuruni Grab, selesai urusan imunisasi bulanan di klinik kesihatan. Awfa sedang di pangkuan lengan kiri, masih lena. lengan sebelah lagi pula memaut beg, langsung memungut kain lampin di bawah. tanpa tersedar, ketika itulah (mungkin), telefon bimbit saya tercicir.
dipendekkan kisahnya, saya tahu ia sah menjadi milik orang lain apabila penumpang seterusnya mengakui bahawa telefon bimbit itu adalah miliknya dan saya tidak lagi mampu berbuat apa-apa. ini setelah melalui siri e-mel dan telefon khidmat mesra pelanggan yang berulang kali, - noktah.
detik bermenung saya kemudiannya adalah sela menyumpah kecuaian diri, menyalahkan kekalutan keadaan dan usaha menghubungi Faaizz melalui aplikasi WhatsApp Web yang bertahan cuma lima minit. saya juga berkalau-kalau itu dan ini, termasuklah menengok bajet bulanan, membuat carian harga telefon bimbit terpakai, juga berulang kali menengok paparan Find My Device. pada masa yang sama, menenteramkan diri sendiri dan Awfa yang beberapa kali terjaga. fuh, bebanan fikiran yang sungguh melelahkan! pada masa yang sama, saya sangat lapar sebab belum sempat menjamah apa-apa sebelum ke klinik tadi. menyedari telefon bimbit hilang pun ketika itulah, ketika Awfa sudah disusukan dan ditidurkan, dan saya mahu memesan sesuatu dari GrabFood kerana kelaparan.
saya stres langsung berdiam diri, tidak mahu berbuat apa-apa lagi. saya mencapai pek biskut terakhir (sadis, bukan?) sambil merenung laptop, gelap.
diam, diam adalah kuncinya untuk bertenang. berulang kali saya memberitahu diri sendiri; diam daripada melatah, diam daripada menyalahkan, diam daripada mengadu, diam daripada meratap, cuma diam. bezanya, teruji dengan kecuaian diri kali ini ialah saya lebih berdamai dengan kesilapan, berdamai dengan kehilangan, dan berdamai dengan diri sendiri.
saya mengambil masa untuk tidak melulu memberi reaksi, sebaliknya diam merenung sebelum memberi respons, terutamanya kepada suami sendiri, ahah! saya yakin, dia juga. dan ternyata ia sangatlah menenangkan!
ya, demikianlah kehilangan Redmi Note 7; untuk makna sebuah REACTION dan RESPONSE yang terpakai untuk semua situasi sekalipun, huh.
"when we learn to respond to each other rather than react, we will move much more quickly in our conflict toward resolution and reconciliation. reactions only stoke the fires of conflict; responses, particularly godly ones, help us snuff out the conflict."
- Matt Chandler
Tuesday, November 2, 2021
kepala saya dan perlanggaran kata-kata.
bismillah
alangkah kalau kepala saya memiliki sebuah mesin taip yang boleh menyusun dan menulis kesemua fikiran yang ada. sudahlah bising, rumit pula.
saya orang yang terlalu jenuh merenung sebelum memuntahkan kata, terutamanya ke dalam teks. saya cenderung memikirkan vokal, bunyi, fragmen, letak duduk dan konotasinya kepada penerimanya; terutama tentang penerimaan hatinya.
ataukah sebenarnya saya terlalu berfikir tentang apa pandangan orang tentang saya? ataukah sebenarnya saya terlalu memperlekehkan pandangan dan fikiran sendiri? ataukah sebenarnya masalah terbesar saya adalah menjelaskan fikiran dan perasaan sendiri?
entah-
adakala saya jadi tidak tahu apa yang saya tahu. adakala saya jadi bingung dengan apa yang saya mahu. adakala saya terlalu berfikir sehingga keliru. adakala saya terlalu menurut, mengikut sehinggalah diberitahu, tiba-tiba barulah saya tersedar bahawa saya sebenarnya punya sesuatu.
bagaimanakah caranya untuk menyampaikan perasaan.bagaimanakah caranya untuk menjelaskan fikiran.
bagaimanakah caranya untuk mempertimbang keputusan.
bagaimanakah caranya untuk mencari kesepakatan.
"don't confuse being a fast talker with being a deep thinker. speaking quickly signals confidence, not complexity. don't mistake volume for expertise. speaking loudly reflects conviction, not credibility. sometimes the best ideas comes from the least assertive voice in the room."
- Adam Grant
ah, terima kasih Adam Grant; psikologis organisasi merangkap penulis favorit terbaharu, -aku! mengapa begitu mudah kau memahami?
“Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.”(Thaha: 25-28)
Wednesday, October 20, 2021
kepala saya dan blok-blok mini.
bismillah
saya, err kami sebelum kejadian |
berkali-kali saya pesan bahawa saya mahu iced latte sebelum kami berpisah sebentar.
Faaizz masuk ke dalam kafe bersama 'Akeef dan saya tunggu di luar bersama Awfa. sengaja saya beredar agak jauh sedikit memandangkan kawasan itu sudah terbebas dengan asap rokok. lima minit menunggu, Awfa kian resah gelisah di dalam stroller. wajahnya memerah, peluh mula melekit pada tubuhnya yang agak gempal.
sepuluh minit berlalu, saya makin tidak tentu arah. apatah pula bertemu mata dengan orang sekeliling yang seakan menghakimi saya. entahlah, mungkin saya saja yang terasa dihakimi. seolah tercatat pada mata kepala mereka ish-jenis-mak-apa-ni-bawa-baby-ke-tempat-terbuka-bahaya-tau-tak-masa-covid-ni. dan setiap kali itulah, saya seakan bertikam lidah dengan diri saya sendiri, konon melawan dengan hujah bahawa saya ada pilihan dan sebab tersendiri. saya juga sudah cukup berwaspada. sekurang-kurangnya demikianlah hemat peribadi saya ketika itu.
Awfa mula merengek panjang. saya mengangkatnya dari stroller dan mendukungnya sambil tangan sebelah lagi memegang telefon bimbit. sesekali menghinjut Awfa, sesekali menengok kalau-kalau ada WhatsApp dari Faaizz. telefon saya berbunyi, tepat seperti yang dijangkakan. nada suaranya kedengaran agak kalut, mungkin lama mencari saya yang tiba-tiba menghilang. saya memberitahu Faaizz kedudukan kami yang berhampiran dengan BookXcess.
Awfa makin rimas. kelibat Faaizz belum juga muncul. sekali lagi telefon saya berbunyi. rupa-rupanya mereka mencari saya di BookXcess sedangkan saya sebenarnya berada di deretan kedai yang menghala ke BookXcess. paling tepat, ia hanya beberapa langkah daripada kafe yang dikunjungi tadi. mungkin butir perkataan 'BookXcess' yang ditangkap telinga Faaizz lalu dia bergerak ke sana.
***
entah kenapa, saya jadi mahu naik angin. mungkinlah disebabkan oleh segala 'loud noise', 'sensory stressors' atau 'invisible load' dalam kepala. segala perancangan mula sejak kami berangkat keluar dari rumah tadi seakan tidak menjadi. bermula daripada cuaca hujan, kami hanya sempat menengok badak sumbu diberi makan. selebihnya saya dan Awfa hanya di dalam kereta. manakala Faaizz dan 'Akeef ke tempat buaya pula diberi makan.
kemudian, kami langsung berangkat ke sini. sejak itu, semuanya seakan blok-blok mini yang menghentam kepala; kecil tetapi apabila bertimpa-timpa sakit juga dibuatnya.
saya terkaku melihat dua cawan kopi di tangan Faaizz. satu Americano sejuk, satu lagi kopi panas. kalau Americano bukan yang saya pinta, tentulah yang panas itu saya punya, bukan? tetapi tadi, bukankah berulang kali saya katakan saya mahu iced latte? ah, satu lagi blok mini menghentam kepala. kali ini sakitnya lebih keras.
'Akeef dan Faaizz berjalan di hadapan. saya di belakang menolak stroller Awfa, sambil perlahan-lahan memberi ruang kepada kepada otak untuk bertenang, bertenang dan bertenang. tidak semena-mena, 'Akeef pula 'mengamuk' marahkan saya gara-gara kakinya hampir tersadung kerana stroller Awfa. ruang tenang yang saya cuba isi tadi bagai dicabar. saya seakan mahu menjerit di situ juga.
kali ini saya terus kunci mulut serapat-rapatnya. saya cuba menahan ledakan yang sudah meletus dalam diri saya sendiri, memasuki segenap ruang darah dan bergetar dengan sangat laju! saya jadi malas mahu ke mana-mana atau berbuat apa-apa. saya cuma mahu pulang, pulang dan pulang. sepanjang perjalanan ke rumah, saya hanya mendiamkan diri sementara kepala saya mengerjakan dua pekerjaan berbeda. satu, - menyumpah diri sendiri yang seakan kebudak-budakan dan dua, - merasional semua tindak-tanduk saya. saya bertengkar dengan diri saya sendiri tentang hak saya untuk meluahkan perasaan, menyuarakan keinginan, dan membuat keputusan.
namun, semuanya hanya seputar di dalam kepala.
fuh!
***
sejak berkahwin, sikap inilah yang cuba untuk saya baiki perlahan-lahan sejak dahulu. semakin mengenali personaliti diri, dan mendalami tentang sikap manusia, saya mungkinlah dikategorikan sebagai HSP (highly sensitive person) atau termasuk dalam golongan empath. sifat, karakter atau personaliti yang tidak pernah saya tahu selama ini ada dalam diri.
seseorang yang terlalu peduli dengan segala macam 'noise' di sekelilingnya, mudah terkesan dengan 'energy' orang lain baik positif atau negatif, cenderung berasa bertanggungjawab terhadap emosi orang lain, gemar menyisihkan dan merendahkan perasaan sendiri, lebih suka mendiamkan diri berbanding menyuarakan kehendak, takut pada komunikasi yang jelas dan terang (transparent communication) dan lain-lain. inilah yang saya temukan dalam pencarian saya selama ini, melalui buku-buku seperti The Highly Sensitive Person oleh Elaine N. Aron ataupun The Empath's Survival Guide: Life Strategies for Sensitive People oleh Judith Orloff.
jika dahulu sebelum menyelami fikiran dan jiwa sendiri, saya selalu mengutuk sifat saya yang satu ini. namun seperti apa-apa sekalipun, jika berlebihan ia akan membinasakan, jika terkawal ia akan menguatkan. syukur, Allah takdirkan saya dengan seseorang yang berlawanan; saya negatif dia positif. tanpa sedar, saya juga mengenali diri sendiri melalui refleksi dirinya yang jauh berbeza. berulang kali saya sebutkan Faaizz adalah seperti gambaran Eyup dalam Black Milk tulisan Elif Shafak;
"Eyup is a gentle and generous soul, an always-rational man bestowed with an amazing inner balance and the patience of the prophet Job, from whom he got his name. as for me, I would have to tick off pretty much everything opposite from his qualities, starting with "impatient", "irrational", "emotional" and "walking chaos."
ya, itulah saya. dan seperti selalu dia bijak mengendali saya dengan karakternya yang tenang dan bersahaja.
kini saya ada tambahan dua orang yang 'mencabar' wilayah sensitiviti saya; 'Akeef dan Awfa. atau sebenarnya mengajar untuk saya menjadi seseorang yang lebih baik, tenang dan terbuka. dengan adanya mereka, saya belajar untuk 'pause' - validate dan regulate emosi saya sendiri. belajar meletakkan boundaries; kalau perlu ke bilik, sila ke bilik. kalau mampu bertahan, mohon bertenang. belajar berdamai dengan emosi sendiri. belajar mengakui kelemahan tanpa menyisihkan kekuatan. belajar menyuarakan kehendak. belajar menyatakan tidak. belajar untuk tidak berasa perlu bertanggungjawab terhadap apa yang orang lain rasakan. belajar untuk berani punya prinsip dan pegangan sendiri.
sejak bergelar ibu, berulang kali dipesan pada diri. ada hari yang saya tewas, ada hari yang saya menang. saya cuma mahu menjadi orang yang tenang, dan inilah salah satu daripada sekian banyaknya mantra yang teguh saya imani;
"When our little people are overwhelmed by big emotions, it's our job to share our CALM, not join their CHAOS."
- LR Knost.
_____
ps: harapnya awak tak baca post saya ni. kalau baca, dendiam je k wkwkwkwk :p
Wednesday, October 13, 2021
sebuah meja kecil di penjuru;
bismillah
saya bukan minimalis sepenuhnya.
namun kalau sesekali menata atau menghias rumah, saya sukakan perhiasan yang berfungsi (functional decoration - entah betul istilah ini), bermakna sesuatu itu bukan ada hanya untuk cantik, atau sekadar memenuhi ruang atau lagi-lagi bersebabkan kita ada kuasa membeli pada 9/9, 10/10, 11/11 di Shoppe (wow, terasa janggal rasanya bercerita tentang aplikasi ini pada tahun 2021 di Blogspot).
semacam meja makan yang saya beli khusus untuk rumah sewa yang baru kami diami ini. ia harus tidak sekadar cantik, sepadan dengan ruang, tetapi ia juga mesti berfungsi. di rumah lama dahulu, kami memilih untuk makan di bawah. selain faktor ruang rumah yang kecil, dan meminimumkan pembelian perabot, ia lebih selesa kononnya. jadi kami hanya makan di meja jepun (yang diistilahkan orang) pemberian umi yang bersaiz kecil.
menurutkan Faaizz pada awalnya, dia lebih sukakan kami makan di bawah sahaja. ringkas, minimal. saya berkeras mahu membeli, lebih-lebih lagi saya pada waktu itu sudah masuk bulan keempat kehamilan anak kedua. tidak betah rasanya untuk makan sambil duduk di bawah. lagi-lagi bersebab teringatkan pengalaman yang lalu. entah kata siapa, antara punca 'Akeef mendapat CTEV (kaki bengok ke dalam) kerana tabiat saya yang berlamaan duduk di bawah semasa hamil.
saya akui ini, sebab ada juga benarnya walaupun entah betul atau tidak fakta itu. lagi-lagi fasa saya bersengkang mata dan menaip demi menyudahkan lambakan tugasan kursus di Aswara. syukur, fasa itu cuma sementara setelah 'Akeef dipakaikan kasut istimewa selama saya berpantang. sesudah itu, kakinya kembali normal dan hari ini 3 tahun sudah berlalu; dia sudah berjalan dan berlari sebebasnya bagai tidak cukup tanah, heh!
akhirnya demi berkehendakkan meja makan di rumah sewa baharu, saya berkeputusan 'add to cart' di Shoppe. perasaan menggunakan gaji pertama setelah hampir 4 tahun menjadi pelajar sepenuh masa (bab ekonomi keluarga, nanti kita dibincangkan di entri yang lain) sungguh nikmat rasanya. kalau saya meminta, Faaizz pasti tidak akan lokek memberi. namun membeli dengan wang sendiri ternyata berbeza kepuasannya. demikianlah perasaan saya ketika akhirnya memilih untuk kembali bekerja.
pada sela-sela awal meja ini sampai ke rumah, Faaizz dan 'Akeef masih terbiasa makan di bawah. saya sahaja yang memilih untuk makan di meja ini kerana perut yang kian membesar. saya sukakan meja kerusi ini sebab saiznya yang kompak. jika tidak mahu digunakan, ia boleh dilipat dan disimpan kemas di dalam stor pada bila-bila masa. namun kerusinya agak kecil, ringan dan kurang stabil. agak berisiko jika tidak digunakan dengan berhati-hati terutamanya untuk 'Akeef.
tanpa sedar, kini ruang itulah yang paling saya sukai semenjak ia ada.
meski kecil, ia sudah jadi tempat kami bertiga menikmati hidangan bersama. tempat saya berbual dan bercerita dengan Faaizz saban pagi hujung minggu jika anak-anak belum terjaga. tempat Faaizz menyeduh aneka kopi hitamnya. tempat 'Akeef merenung pokok di luar. tempat saya menikmati masa-masa sendiri. tempat kecil yang saya boleh lihat dengan cukup dekat; -senyum, tawa, tangis dan rajuk orang-orang yang saya sayangi dan cintai sepenuhnya.
demikianlah saya mengharapkan keberadaaan saya di mana-mana; kecil dan sederhana tetapi berfungsi. walaupun manusia tidak boleh punya semua, walaupun manusia tidak boleh memuaskan semua, cukuplah keberadaannya mampu memberi
...kenyamanan
dan
...ketenangan.