Pages

Showing posts with label editorial. Show all posts
Showing posts with label editorial. Show all posts

Wednesday, April 20, 2016

Anekdot-Anekdot Aprilia.

bismillah

(i)

sepintas melalui ruang jualan makanan ringan di IKEA, tiba-tiba Faaizz tanya saya, "nak makan aiskrim tak?" saya angguk, kemudiannya pantas menggeleng. tulisan 'KOPI - RM 2' menarik perhatian saya. ternyata, secawan kopi tampak lebih menggiurkan. 

usai membayar, kami menapak ke satu ruang yang tersedia meja bulat tanpa kerusi bagi sesiapa yang ingin makan atau minum.

kata Faaizz pada saya, "hmm, style UK ni..." jujur, mengingatkan hadis yang pernah saya dengar tentang tiada salahnya minum berdiri, ditokok dengan keadaan yang semacam 'mendesak' itu, maka saya dengan tenang, perlahan-lahan menghirup secawan kopi yang masih panas. 

sambil berbual-bual, tiba-tiba muncul kelibat seorang wanita dengan dua orang anak kecilnya di belakang saya. masing-masing memegang aiskrim kon di tangan. "duduk! duduk atas lantai tu, tak kotor pun.." arah si ibu berkali-kali. lalu keduanya pun duduk dengan tanpa mempeduli orang lain di sekeliling. khusyuk dan ralit betul menjilat aiskrim yang sudah mula mencair. entah, hati saya pula yang 'terbakar'. meski arahan itu sebetulnya bukan untuk saya, tapi itulah patah kata yang buat saya termalu sendiri.

mendengarkan itu, saya kemudian mengajak Faaizz minum di bangku yang tersedia di luar premis IKEA. cuaca sangat terik, bangku pun terasa hangat. tambah berpeluh-peluh saya dibuatnya, dengan air kopi yang masih panas. barangkali inilah sebabnya orang lain lebih selesa makan dan minum di dalam ruang dingin berpenghawa, meski dengan tanpa kerusi.

saya kagum pada kekentalan si ibu yang bertegas, melawan 'budaya' di situ dengan prinsipnya yang tersendiri. hati saya berkira-kira, kalaulah saya punya anak, apakah saya akan jadi ibu yang terikut-ikut dengan 'arus' atau sebaliknya? nah, ruang itu menemukan saya dengan satu refleksi yang panjang.

kita selalu ada pilihan, namun untuk menentukan satu-satu pilihan, dari mana lagi datangnya 'kecenderungan' hati melainkan dari kedekatan hubungan dengan Pencipta? 

"terimalah teguran yang pahit dan pedih daripada manusia kerana itu hakikatnya datang daripada Allah. Allah mendidik manusia melalui manusia lain. semua yang berlaku adalah takdir, dan takdir Allah pastinya baik." 
- Ustaz Pahrol Mohd Juoi

(ii)



bukankah perempuan harus selalu menang? teringat saya pada Ip Man, dia pun pernah bilang;

"if you want him to be good, find him a wife. like me, a family with a wife and kids will make one down to earth." 

bertegas saya memilih The Kid From The Big Apple, berbanding pilihan Faaizz untuk menonton Batman VS Superman: Dawn Of Justice. serius, fiksyen jenis superhero bukanlah forte saya. hari itu, saya menang! terima kasih MBO menghadiahkan dua tiket percuma. itupun ditebus di hari terakhir sah kupon, setelah hampir sebulan berlalu.

pawagam hari itu penuh. mungkinlah bersebabkan filem ini sepenuhnya menggunakan bahasa Mandarin, maka majoriti penontonnya adalah di kalangan orang Cina. pengarahnya Cina, pelakon-pelakonnya juga Cina. kebanyakannya datang sekelompok bersama famili masing-masing. berkeping-keping tiket dibeli untuk tontotan sefamili, fuh! kalau bukan untuk tujuan aktiviti keluarga, saya pasti ia sebagai tanda sokongan pada filem tempatan, lagi-lagi diarahkan anak jati sendiri, Jess Teong. tinggallah empat ketul Melayu di baris depan, saya dan Faaizz serta dua orang lagi yang tak dikenali. entah, saya sukakan variasi dan diversiti sebegini.

setelah The Journey, Ola Bola, dan Jagat, filem ini tidak terkecuali dalam mengenengahkan nilai budaya. pada saya, ceritanya klise, mendatar dan sederhana sahaja sebagaimana sitkom atau drama di TV, namun saya tertarik dengan 'interaksi antara dua generasi' yang menjadi tema besar bagi filem ini. perbezaan kedua watak utamanya cukup ketara, memandangkan watak pertama, seorang cucu; Sarah yang lahir di New York dan sudah terbiasa dengan kehidupan yang kebaratan. kemudiannya terpaksa menginap bersama watak kedua; atuknya yang konservatif, seorang pengamal dan penjual ubat tradisional Cina di Malaysia.

ada sahaja pertembungan demi pertembungan antara keduanya, namun saya suka bagaimana akhirnya keduanya saling meraikan dan menghormati. Sarah perlahan-lahan memilih untuk berbahasa Mandarin berbanding speaking London! Kong Kong (Atuk) yang bersedia untuk belajar menggunakan telefon pintar demi memenangi hati cucunya. Sarah bahkan sabar mengajarkan atuknya menggunakan emoji. alangkah kalau sebegini kita saling meraikan dan menghormati!

ada juga diselitkan budaya-budaya lain seperti sambutan Krismas bagi masyarakat Cina, kawasan kediaman yang teguh sentimen kejiranannya, pilihan permainan anak-anak selain gadget, tradisi martial art dan ubat-ubatan tradisional Cina, susun atur perabot rumah dan sebagainya. kesemuanya kaya dengan nilai budaya dan tradisi tempatan. ia seolah-olah kuat menonjolkan mesej, 'biar mati anak, jangan mati adat.' padanlah dengan anugerah yang diterima di Macau International Movie Festival.

alahai, indah!


(iii)


hah! syukur selesai mengedit satu lagi buku terbitan Deen Prints; Bahagia Bukan Gembira tulisan Anfaal Saari, setelah terbitnya Bila Emak Berdrama karya Salwa Saleh. memenuhi impian penulis-penulis baru untuk memiliki buku sulung, ternyata pada saya, ia adalah hal yang cukup menggembirakan!

membaca The Alchemist, Paulo Coelho, kuot yang ini mengulang-ulang dalam kepala otak saya. rasanya, berkali-kali juga penulis mengulang mesej ini;


The Alchemist, pg. 120

"you must always know what it is that you want.." the old king had said. (The Alchemist, pg. 58) mungkinlah keinginan saya untuk mengarang buku sendiri belum cukup kuat, hinggakan entire universe belum mahu berkonspirasi untuk mencetuskannya, ahaks!

bercerita tentang jenis pekerjaan, ia selalu membentuk sikap dan peribadi. kalau saya, menjadi editor mengajarkan saya untuk lebih berwaspada menggunakan bahasa. saya terlalu menghargai setiap inci huruf dan perkataan.  macam kata James Michener, "...I love the swirl and swing of words as they tangle with human emotions." setiap buku, meski bukan buku saya adalah kelahiran-kelahiran yang baru. macam Elif Shafak mengatakan, pada beliau, setiap buku yang baru terbit adalah persis bayi yang baru lahir. jujur, melibatkan diri dalam industri perbukuan sepenuhnya, dunianya berbeza berbanding cuma menjadi seorang pembaca atau penulis. kita belajar banyak perkara, dari awal proses manuskrip ditulis hinggalah proses penerbitan dan pemasaran. ia tidak semudah tulis dan terbit sahaja.

tereflek saya bila satu hari, saya putus asa memasang rak baju yang baru dibeli di IKEA. bayangkan setelah siap semuanya, harus dibuka semula hanya sebab satu kesalahan kecil, fuh! untuk orang yang terbiasa membaiki mesin, sedia berkali-kali mencuba dan memasang, kerja ini adalah kerja mudah dan biasa bagi  Faaizz. dia malah ajak saya mengopi dulu sebelum mencuba sekali lagi. "rileks, rileks, chill!" katanya.

mengelek Memoar Hasan Al-Banna juga sama. Al-Banna sedari awal terdidik untuk mengikuti ayahnya, seolang alim ulamak yang bekerja sebagai tukang membaiki jam di Desa Al-Mahmudiya. kerja-kerja pengendalian objek yang kecil seperti skru sebegini, tidak lain membentuk peribadi untuk sabar, peka, sensitif, dan teliti. maka, membesarlah jiwanya dengan peribadi yang sebegitu, hmm?

membawa dan mengendalikan halaqah adik-adik sekolah juga sama. berbeza dengan saya, rata-rata akhawat yang pekerjaannya guru lebih pandai berkomunikasi, sesuai dengan pendekatan remaja. namun ternyata tidak mudah untuk saya menggunakan laras bahasa mereka. serius, kefahaman dan kematangan mereka tidak sama seperti adik-adik di IPT.


"people always say you have to do what you love or love what you do. but I think in the meantime, you should just do what makes you grow."
- Redza Minhat
 
nah, keluar dari zon selesa tak selalu mudah. terima kasih untuk orang-orang yang selalu bersabar dengan saya; "I didn't need you to fix me, I needed you to love me while I fix myself."

 sekian, anekdot bulanan.
(sebab macam sekali sebulan je aku menulis sekarang. tiga hari tau menulis seciput ni saja, huh!)

Tuesday, December 9, 2014

AKU SEORANG EDITOR (HARHARHAR).

bismillah
 
 
 
satu hal yang saya terperasan sejak menjadi seorang editor untuk tempoh hampir satu tahun setengah ialah, saya ada kecenderungan untuk menjadi seorang penulis dan seorang editor dalam satu masa.

aktiviti menulis saya tidak lagi 'sebebas' dulu. saya akan menjadi terlalu sensitif tentang tanda baca, ejaan, penggunaan perkataan, singkatan dan sebagainya (haha!), dan ini menjadikan tulisan saya adakalanya (oh tidak, selalu rasanya) tersangatlah kaku dan skema (blergh). ah, pedulikan. saya masih mahu dan akan terus menulis. malahan, saya juga ada kecenderungan memerhatikan papan tanda, iklan, notis atau apa-apa sahaja di tepi jalan bahkan membaca dan mengeditnya di dalam kepala.

oh! pandangan saya terhadap buku (serasa saya) juga mulai berubah. kini, saya tidak lagi menjejak kedai-kedai buku atau pesta-pesta buku semata-mata untuk membelek dan membeli buku-buku yang saya suka. kini, saya begitu teruja dengan hobi yang baru iaitu mengelek keunikan 'cover' dan tajuk buku, melihat cara penerbit 'market' buku, menengok pilihan-pilihan buku manusia zaman sekarang (lebih-lebih lagi anak muda), meneliti cara penulis mempersembahkan karya mereka, mengikuti perkembangan dunia penerbitan dan penulisan, dan sebagainya. tidak kiralah sama ada saya berminat dengan buku/penerbit itu atau tidak. kesemua ini, sememangnya suatu pengalaman baru yang menarik bagi saya! akal dan minda terasa bercambah. memetik lebih kurang kata anis matta, cinta itu tidak boleh stagnan. ia mesti ada pertumbuhan yang menjadikan kita seseorang yang baru. dengan cara sedemikianlah, cinta tidak akan menjadi sesuatu yang beku dan bosan (eherrr). lebih-lebih lagi, teruntuk orang yang mudah bosan dan berubah-ubah seperti saya. ya, saya sangat kompleks.

tipulah kalau saya kata saya tidak pernah bosan duduk di ofis, semata-mata membaca dan mengedit sahaja kerjanya setiap hari. cumanya, satu hal lain yang paling saya suka tentang menjadi seorang editor ialah saya akan dipaksa dan terpaksa untuk membaca apa sahaja bahan, walaupun saya tidak pernah menyukainya. andaikan sebelum ini saya lebih memilih bahan bacaan berbentuk kreatif, kini saya sedang mengajar diri membaca bahan berbentuk kritis dan ilmiah (poyonya, tetapi itulah hakikatnya). hmm cinta tidak harus stagnan, bukan?
 
namun, syukur untuk memiliki seorang bos yang tersangatlah baik budi. beliau sangat faham dan mafhum dengan kebosanan dan kebuntuan saya di ofis. jadi adakalanya, di pagi hari lagi, beliau akan menerima mesej saya, "boleh umy kerja di luar hari ni?", dan kalau tiada urgensi apa-apa, dengan senang hatinya beliau akan memberi izin!
 
deenprints masih tersangat baru, bahkan saya sendiri tidak pernah terwujud dalam kamus hidup akan menjadi seorang editor. malahan berkali-kali juga saya dibalas dengan jawapan sebegini oleh pakcik teksi apabila memberitahu, bahawa saya adalah seorang editor; "apa, editor?", "kerja apa tu?", "kerja macam mana tu?" dan sebagainya. 

pernah juga, saya terfikir-fikir untuk menukar kerjaya. adakalanya, saya merasakan kerja guru lebih mulia. lebih-lebih lagi, apabila setiap kali umi cerita itu ini tentang anak muridnya. selain mengajar, boleh pula menambah amal dengan menasihati dan membimbing. ah, nikmat! namun masih, saya mahu mencebur bidang editorial, menikmati dan bergembira dengan apa yang saya ada (oyeah!), dan menemukan sisi lebih kurang saya yang sebenar-benarnya!

"one thing you need to realise is that good muslim women come in all forms. there isn't one officially sanctioned version. just look at the mothers of believers: they were all different, with characters and personalities all of their own. the only thing they conformed to was the love of Allah and His Messenger S.A.W, and their commitment to Islam. so why are we made to feel that we need to conform to more than that?" 
- amirah, 'she wore red trainers' by na'ima robert

satu saja harapan, ke mana pun kaki melangkah, moga hati terus terdidik ikhlas, amal pun mencambah berkah, apa sahaja kerja pun termaknakan terlebih untuk diri, diri, diri  dan umat, bukan sahaja di dunia tetapi berhujung sampai akhirat! oh Allah, makbulkanlah.
 
sekian, saya suka cinta menjadi seorang editor!

"woah. getting a little tired. i’m not used to this, speaking so frankly about myself." - murakami

Wednesday, August 20, 2014

#Throwback: Nah, dos cinta!

Bismillah



Jujurnya, saya tidak pernah sesekali suka dengan cerpen-cerpen yang saya tulis. Saya lebih suka, bagaimana ia 'boleh' mula tertulis. Cerpen ini, saya menulis di lewat petang dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan! Hujan sangat lebat dan saya sedang minum kopi.

Berkali-kali saya tulis padam tulis padam tulis padam dan ya, hari itu benar-benar saya bermalam di ofis. Ahaha!

Nah, cerpen Jun.


***

Secawan kopi berbaki separuh. Asap yang berkepul-kepul tadi makin menghilang dikambus kedinginan petang. Maisarah menggigil. Sweater yang dilurutkan tadi disarungkan semula, membaluti tubuh kecilnya. Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari hujan turun dengan lebatnya pada lewat petang.

"Mai, bermalam di kafe lah kau malam ni,"
usik Zahar di kaunter pembayaran, baru selesai berurusan dengan beberapa orang pelanggan. Maisarah cuma tersengih, malas mahu melayan kerenah abangnya.

Matanya yang terasa letih disapunya berkali-kali. Hari ini, hampir seharian dia duduk menghadap komputer ribanya. Manuskrip untuk novel keduanya masih belum siap, sedangkan pihak penerbit sudah sibuk bertanya. Matanya kemudian mengitari ruang sekeliling A-B-C, atau nama glamournya, Al-Banna Café. Kafe sederhana dengan sentuhan konsep minimalis ini, merupakan hasil titik peluh dia bersama-sama dengan abang dan kakak iparnya.

Lagu Ama Zilna dendangan Benammi terus bergema memenuhi seluruh ruang kafe. Masuk kali ini, sudah kali kesepuluh rasanya lagu tersebut diputarkan. Maisarah tersenyum sendiri. "Hati tisu jugak abang aku nih," omelnya perlahan.

"Mai, cuba baca ni." Adeeba meluru mendekati. Telefon bimbitnya diunjukkan kepada Maisarah. Bibirnya masih tersisa senyuman. Dia menarik keluar kerusi kemudian duduk setentang, mengadap Maisarah.

Telefon bimbit bertukar tangan. Kedua-dua bebola mata Maisarah jatuh pada satu-satu perkataan.

"A PHYSICIAN ONCE SAID: THE BEST MEDICINE FOR HUMAN IS LOVE!
SOMEONE ASKED: WHAT IF IT DOESN’T WORK?
HE SMILED AND SAID: INCREASE THE DOSE!"


"Aha, make sense!" luah Maisarah, tergelak kecil.

"Tapi…Kak Deeb patut tunjuk ini pada brader tu ha!" Maisarah menjuihkan bibir ke arah abangnya, "Bukan Mai," sambungnya lagi. Pipi Adeeba memerah, geli hati.

"Itu cinta lain! Mai, apa kata masukkan ini dalam manuskrip novel?" cadang Adeeba, kembali serius. Kerusi yang diduduk ditariknya ke dalam sedikit.

Maisarah menggelengkan kepala, tidak mengerti.

"Ingat kita pernah berbual pasal ini? Tentang manusia sekarang makin hilang common sense? Sombong, individualistik, dengki, tamak, takabbur dan sebagainya?" soal Adeeba.

"Hmm, ingat. Tapi, apa kaitannya dengan physician dan love tadi?" Kening Maisarah bertaut, kebingungan.

"Pap!" Sepintas jarinya dipetik. "Oh, Mai faham! Maksud Kak Deeb, sebab hati kita ‘kering’ CINTA-lah, kita jadi hilang common sense. Sombong, individualistik, dengki, dan bla..bla..bla. Begitu?"
Adeeba mengangguk, perlahan.

"Kalau Mai boleh masukkan senario pelik dalam media sosial lagi bagus. Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya," tutur Adeeba.

"Kejian, hinaan, kutukan, tuduhan itu bukan ‘produk’ dan ‘hasil’ cinta!" Adeeba mengurut dahi. Kening Maisarah terangkat.

'Boleh tahan falsafah Kak Deeb ni. Padanlah Abang admire sangat!' gumam hati kecil Maisarah. Bibirnya disuakan ke mulut cawan, menghirup air kopi yang telah menyejuk.

"Tapi, itulah yang kita nampak, kita baca, dan kita dengar sekarang kan? Orang tuduh-menuduh, keji-mengeji, kutuk-mengutuk dan sebagainya. Kita yang baca dan dengar ini pun terkena tempias sekali. Hati rasa ‘sakit!" Adeeba menghela nafas.

"Kak Deeb…manusia ini kan banyak ragamnya? Tak hairanlah begitu jadinya!" Maisarah cuba menyucuk.

"Ya, normallah berbeza pendapat. Tapi, dari sudut logik akal, mana mungkin pencinta ‘meraikan’ perbezaan di antara dirinya dan orang yang dicintai, dengan menggunakan kekerasan dan kekesatan seperti yang berlaku sekarang ini. Kita takkan layan orang-orang yang kita cinta dengan cara begitu."
Adeeba menggigit hujung bibir. Telapak tangan kirinya menopang kepala yang disengetkan.

"Oh, jadi sebab itu, Kak Deeb cakap tadi hati kita sekarang makin ‘kering’ cinta? Hati kita belum lagi mencintai orang lain sebagaimana kita mencintai diri sendiri, keluarga, kekasih, dan orang-orang yang dekat dengan kita? Kerana tu, tak wujudlah perasaan mahu ‘melindungi’, ‘menghormati’ bahkan ‘menjaga’ saudara seakidah dan seiman. Begitu?" ulas Maisarah, panjang lebar. Makin bersemangat pula dia melayan ‘teori cinta’ kakak iparnya nan seorang ini.

"Sebab itulah orang bebas melontarkan rasa ketidakpuasan hati masing-masing. Malah kadang-kadang, memang disengajakan untuk menyakitkan hati orang lain," tokok Adeeba, bernada geram.

Hujung pen di tangannya dipusing-pusing mengikut rentak One Day, nyanyian Matisyahu. Bergema pula lagu ini di seluruh ruang kafe. Tak disengajakan, bibirnya turut mengikut perlahan, tenggelam dalam suara Matisyahu.

One day this all will change,
Treat people the same,
Stop with the violence,
Down with the hate.


"Mai rasa sebab apa hati kita ‘kering’ cinta?" Sunyi, tiada jawapan. Adeeba menghayunkan tangan kanannya. Maisarah kelihatan masih asyik melayan bait-bait lirik yang dinyanyikan.

"Eh, sorry Kak Deeb!" Kepalanya digaru-garu.

"Tapi…betul kan lirik lagu Matisyahu ni?"

Beriringan dengan suara penyanyi tersebut, Maisarah dengan yakinnya menyambung bait-bait seterusnya:

All my life I've been waiting for,
I've been praying for,
For the people to say,
That we don't wanna fight no more.


Adeeba mengurut dada. Masing-masing kemudiannya menghambur tawa.

"Mai tak rasa kita perlu buat sesuatu?" Adeeba menduga lagi.

"Empangan mengering dan air dicatu pun, kita tunggu hujan dari Dia! Samalah kalau ‘cinta’ kering, patutnya kita minta dari Dia juga. Itu saja caranya, Kak Deeb." Balas Mai, ringkas dan tepat.

"Amboi! Tak pasal-pasal masuk isu air." Adeeba tergelak.

"Maksud Mai, hubungan kita dengan manusia bersangkut dengan hubungan kita dengan Dia. Kalau hubungan cinta kita dengan Dia pun ‘kering’ dan bermasalah, bagaimana mungkin kita dapat salurkan cinta kepada sesama manusia? Mustahil kan, Kak Deeb? Itulah pertama-tamanya yang harus diperbaiki!" Maisarah menelan liur. Suatu muhasabah buat dirinya juga.

Putaran lagu-lagu berganti dengan alunan merdu ayat-ayat al-Quran oleh qari Misyari al-Afasy. Adeeba menjenguk ke ruang depan. Suaminya sedang sibuk menyusun meja dan kerusi.

"Kak Deeb pernah dengar tentang ‘kelemahan’ yang paling Allah cinta?" Adeeba cuba mengingat. Dia langsung menggeleng.

"Allah suka mukmin yang kuat. Tapi, mukmin yang ‘merendahkan sayapnya’ (merendahkan populariti, kuasa, namanya) terhadap mukmin yang lain, itulah ‘kelemahan’ yang Allah paling suka!"
Maisarah kembali membelek telefon bimbitnya. Merujuk kembali nota-nota yang pernah dicatat sewaktu mendengar kuliah Maghrib seorang ustaz. Dia mencapai al-Quran terjemahan pula sambil menunjukkan ayat yang dikongsikan penceramah.

"Ayat ke-88, surah al-Hijr." Maisarah membacakannya satu persatu, "…merendah hatilah engkau terhadap orang yang beriman."

"Maksud merendahkan hati ini, tidak ada rasa superior sesama Muslim, berlemah lembut, memberikan layanan yang baik…" sambung Maisarah lagi.

"Alangkah indahnya kalau hati kita macam ini. Berusaha mencintai Allah, mencintai Rasul, mencintai mukmin. Tiada hasad dengki, caci-maki, tuduh-menuduh bahkan sangka buruk sekalipun! Hati pasti bahagia, jiwa pun tenang." Adeeba meletakkan kembali al-Quran terjemahan yang dipegangnya.

Kemudian dia menyambung, "Macam kerendahan hati Abu Dzar sewaktu dia meletakkan kepalanya di bawah, dan meminta Bilal memijaknya. Itupun disebabkan ejekannya yang membuatkan Bilal bersedih hati, dan Rasulullah mengatakan bahawa masih ada jahiliyah dalam dirinya."

"Sebenarnya, kita tak perlu apa-apa pun Mai. Cuma cinta kepada Allah dan Rasul, maka akan datanglah cinta kepada mukmin. Kalau hubungan masih juga keruh begitu, macam kata pshysician tadi, tambahkan dos cinta! Itu saja."

"Kalau sudah pasti ada cinta di sisimu,
Semua kan jadi enteng,
Dan semua yang ada di atas tanah,
Hanyalah tanah jua."


- Imam As-Syafi’e


Tuesday, August 19, 2014

#Throwback: Morrie & Satu Malam.





Majalah JOM!
Isu April: DEGIL!


"Nadia, jom basket?" Fathia menjengulkan kepalanya di sebalik pintu. Siap bertudung dan berseluar panjang.

"Sekarang? Biar betul?" Jam di dinding dikerlingnya sekilas. Lagi tiga puluh minit menghampiri jam sepuluh malam. Namun, melihatkan mendung di wajah Fathia, dia turutkan saja.

"Boleh. Tapi, nanti belanja burger Abe Mat?"
pinta Nadia, manja. Fathia cuma tersengih. Nadia bingkas bangun, menggeliatkan tubuhnya. Buku Tuesdays With Morrie karya Mitch Albom diterbalikkan, dan dibiarkan menganga di atas katil. Lantas dicapainya tudung yang siap tergantung, lalu disarungkan menutupi kepala.

Mereka beriringan keluar, menapak menuju ke gelanggang berhampiran taman perumahan yang hampir setahun dihuni. Sinar kuning dari lampu jalan memancar menerangi kegelapan kawasan.

"Nampaknya, kita ‘shoot’ dengan burger sajalah malam ni. Ada orang tertinggal bola," tukas Nadia, selamba. Fathia menepuk dahinya. Seraut wajah bersalah terpampang jelas di mukanya. Minggu ini saja, beberapa kali dia terlupa barang. Dua hari lepas, tertinggal kunci rumah di pejabat. Semalam, terlupa menutup suis seterika. Malam ini, tertinggal bola pula.

"Tiya ok?" Sepatah Nadia bertanya. Nadanya penuh bimbang. Dua tiga hari ini, teman serumahnya seperti menyembunyikan sesuatu. Kerja-kerja di pejabat pun banyak terbengkalai.

Khali sejeda. Kedengaran cuma kereta yang lalu-lalang di jalanraya berhampiran.

"Makan dulu, jom!" Sambung Nadia lagi. Perlahan-lahan, kertas pembalut burger dibukanya. Satu gigitan mengena, kemudian memasuki rongga mulut.

"Saya ragu-ragu dengan Abang Mat. Apa agaknya yang diletak? Serius, sedapnya lain macam!" Rancak Nadia memuji. Mulutnya penuh mengunyah. Fathia sekali lagi tersenyum. Ada saja keletah sahabatnya nan seorang ini.

"Hidup ini, macam makan burger Tiya! Waktu makan, nikmati betul-betul. Sekejap saja, burger ini boleh habis dan nikmatnya hilang..." ujar Nadia lagi sambil menjilat-jilat jarinya yang terkena sos cili. Lantas dikeronyokkan kertas dan plastik pembalut burger, lalu dibuangnya ke dalam tong sampah berdekatan.

"Akhir-akhir ini, hidup saya rasa kosonglah. Saya buat semua benda, tapi macam tak ada makna. Seolah-olah saya macam makan burger, tapi tak menikmatinya pun!"
Fathia menguis-nguis batu-batu kecil di kasutnya. Dia mengeluh nafas, perlahan. Beg sandangnya ditarik dan ditepuk-tepuk. Kemudian, dia melunjurkan kaki dan membaringkan tubuhnya. Kepalanya sengaja dibiar terlentok di atas beg sandangnya. Permukaan langit ditatapnya, luas! Gugusan bintang dan bulan sabit tergantung cantik.

"Sinilah, Nad. Aaaaah, rasa lapang!" ajak Fathia sungguh-sungguh sambil menunjukki ruang kosong di sebelahnya. Lantas, Nadia ikut berbaring di sebelah.

"Subhanallah, rasa sangat kerdil! Tiya, Allah sedang tengok kita. Dia tahu apa yang kita rasa. Dia tahu apa yang kita alami. Sebelum bersungguh-sungguh dengan manusia, bersungguh-sungguhlah dengan Dia dulu."

"Nad, apa masalah saya sebenarnya?" Fathia memalingkan muka ke sebelah kiri, bersungguh-sungguh meminta jawapan.

"Jangan meletakkan ‘kegembiraan’ atau ‘kesedihan’ kita pada sesuatu!" jelas Nadia, spontan.

"Bila kita meletakkan ‘kegembiraan’ atau ‘kesedihan’ kita pada sesuatu atau sesiapa, itulah hakikatnya keterikatan kita. Sedangkan, kebergantungan kita sepatutnya hanya milik Allah semata-mata," sambung Nadia, berterus-terang.

Fathia tersenyum, pahit. Matanya mula bergenang. Akhirnya, pipinya basah dengan linangan air mata.

"Maaf, Tiya. Saya yakin, awak cukup tahu semuanya. Cuma mungkin, hati saja yang masih degil?" Nadia mengatur nafas.

"Awak tahu kehidupan awak sekarang sudah berubah 360 darjah. Awak tahu awak tak akan berpatah balik kepada kehidupan yang dulu. Awak tahu, awak tak akan bersama lagi dengan orang-orang yang awak mahu. Awak tahu, awak sudah pun melalui fasa hidup yang baru. Tetapi, hati awak tetap masih degil untuk tetap terperangkap dengan masa lalu!" sambung Nadia lagi.

Air matanya makin melaju, tidak tertahan-tahan. Nadia bagaikan memahami seluruh isi hatinya. Terbongkar satu persatu, cuma dia sahaja yang tidak menyedarinya.

"Jadi, apa yang harus saya lakukan?"
Gumam Fathia, penuh keliru. Nadia menepuk-nepuk bahu rakan di sebelahnya. Dia menghela nafasnya, kemudian meneruskan kata-katanya, perlahan-lahan.

"Bersihkan hati, dan perbetulkan tauhid. Letakkan pergantungan kepada Allah terlebih dulu. Biar kesedihan dan kegembiraan kita, lahirnya cuma dari Dia dan untuk Dia. Bukan bersebabkan makhluk-Nya, baik apa-apa atau siapa-siapa."


Mendengarkan tentang tauhid, Fathia menyentuh dadanya di sebelah kiri. Mengulang tutur 'Allah, Allah, Allah', di dalam hati. Dia makin sebak. Setiap kali menunaikan solat, dia sujud, namun ternyata hatinya belum pun sujud. Persis sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam surah al-Hadid, ayat ke-16 (maksudnya): "Belum tibakah hati-hati orang yang beriman , untuk secara khusyuk mengingati Allah..."

Sedangkan, sudah berulang-ulang kali ayat ini disebutkan di dalam halaqah bersama adik-adik. Sayup-sayup, berselang seli dengan suara cengkerik, Nadia terus berkata-kata.

"Perbetulkan semula semula hala tuju dan gol hidup awak. Meskipun, bermula dengan sekecil-kecil perkara. Menghafal tiga ayat al-Quran setiap hari, misalnya. Sekurang-kurangnya awak ada misi dan visi yang akan memenuhkan hidup yang terasa kosong."

Nadia berhenti sejenak. Dia bangun dan duduk sambil memeluk kedua-dua belah lututnya.

"Dan Tiya, awak juga seorang murabbi. Fokus pada pembinaan mutarabbi. Rancang pembinaan mereka sebaik-baiknya! Dengan menjadikan diri bermanfaat kepada orang lain, akan sentiasa membuatkan hati awak bahagia. Percayalah!"

"Tapi Nad, saya macam sudah penat ‘struggle’ untuk ini. Saya rasa sendiri!" Fathia melepaskan keluhan berat. Kedua-dua matanya digenyeh, menyapu saki baki air mata.

"Nad, apabila sekeliling tidak lagi bercakap tentang Allah, bukankah kita akan langsung bercakap dengan Allah? Cuma, satu saja penghalangnya. Jika hati masih degil, tidak mahu tunduk, patuh, dan berserah kepada Allah sepenuhnya, dan masih ‘bergantung’ kepada makhluk-Nya, selamanya awak akan hidup dalam keadaan sebegini. Tidak tenteram dan tidak bahagia, sebab kebahagiaan dan kesedihan awak diletakkan pada benda yang tidak statik dan berubah-ubah!" Nadia menjelaskan.

"Hidup memang untuk ‘struggle’. Ujian tidak boleh diubah. Tetapi, kitalah yang kena ‘fix’kan diri untuk cuba berubah!" tambah Nadia lagi, tegas tetapi lembut.

Fathia menelan liur. Hatinya kembali tenang. Serasa beban sedikit ringan. Sekali lagi, nafas ditarik dalam-dalam, dan dihembusnya.

"Thanks, Morrie!" ucap Fathia memanggil temannya dengan gelaran baru. Dia kemudian bangkit berdiri, kembali meregangkan otot-ototnya. Kalau boleh, mahu saja dia mendepangkan tangan seluas-luasnya dan menjerit sekuat hati. Persis lagak jeritan tiga teruna dalam filem pendek Pasport Ekspress.

"Baru baca separuh, sudah jadi macam Morrie. Belum lagi satu novel." Fathia menyeringai.

"Hati, jangan degil lagi ya! Baiki hati, baiki diri, baiki hidup!" sebut Nadia, berulang-ulang kali sebelum mereka berangkat meninggalkan gelanggang.