Bismillah
Jujurnya, saya tidak pernah sesekali suka dengan cerpen-cerpen yang saya tulis. Saya lebih suka, bagaimana ia 'boleh' mula tertulis. Cerpen ini, saya menulis di lewat petang dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan! Hujan sangat lebat dan saya sedang minum kopi.
Jujurnya, saya tidak pernah sesekali suka dengan cerpen-cerpen yang saya tulis. Saya lebih suka, bagaimana ia 'boleh' mula tertulis. Cerpen ini, saya menulis di lewat petang dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan! Hujan sangat lebat dan saya sedang minum kopi.
Berkali-kali saya tulis padam tulis padam tulis padam dan ya, hari itu benar-benar saya bermalam di ofis. Ahaha!
Nah, cerpen Jun.
***
Secawan kopi berbaki separuh. Asap yang berkepul-kepul tadi makin menghilang dikambus kedinginan petang. Maisarah menggigil. Sweater yang dilurutkan tadi disarungkan semula, membaluti tubuh kecilnya. Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari hujan turun dengan lebatnya pada lewat petang.
"Mai, bermalam di kafe lah kau malam ni," usik Zahar di kaunter pembayaran, baru selesai berurusan dengan beberapa orang pelanggan. Maisarah cuma tersengih, malas mahu melayan kerenah abangnya.
Matanya yang terasa letih disapunya berkali-kali. Hari ini, hampir seharian dia duduk menghadap komputer ribanya. Manuskrip untuk novel keduanya masih belum siap, sedangkan pihak penerbit sudah sibuk bertanya. Matanya kemudian mengitari ruang sekeliling A-B-C, atau nama glamournya, Al-Banna Café. Kafe sederhana dengan sentuhan konsep minimalis ini, merupakan hasil titik peluh dia bersama-sama dengan abang dan kakak iparnya.
Lagu Ama Zilna dendangan Benammi terus bergema memenuhi seluruh ruang kafe. Masuk kali ini, sudah kali kesepuluh rasanya lagu tersebut diputarkan. Maisarah tersenyum sendiri. "Hati tisu jugak abang aku nih," omelnya perlahan.
"Mai, cuba baca ni." Adeeba meluru mendekati. Telefon bimbitnya diunjukkan kepada Maisarah. Bibirnya masih tersisa senyuman. Dia menarik keluar kerusi kemudian duduk setentang, mengadap Maisarah.
Telefon bimbit bertukar tangan. Kedua-dua bebola mata Maisarah jatuh pada satu-satu perkataan.
"A PHYSICIAN ONCE SAID: THE BEST MEDICINE FOR HUMAN IS LOVE!
SOMEONE ASKED: WHAT IF IT DOESN’T WORK?
HE SMILED AND SAID: INCREASE THE DOSE!"
"Aha, make sense!" luah Maisarah, tergelak kecil.
"Tapi…Kak Deeb patut tunjuk ini pada brader tu ha!" Maisarah menjuihkan bibir ke arah abangnya, "Bukan Mai," sambungnya lagi. Pipi Adeeba memerah, geli hati.
"Itu cinta lain! Mai, apa kata masukkan ini dalam manuskrip novel?" cadang Adeeba, kembali serius. Kerusi yang diduduk ditariknya ke dalam sedikit.
Maisarah menggelengkan kepala, tidak mengerti.
"Ingat kita pernah berbual pasal ini? Tentang manusia sekarang makin hilang common sense? Sombong, individualistik, dengki, tamak, takabbur dan sebagainya?" soal Adeeba.
"Hmm, ingat. Tapi, apa kaitannya dengan physician dan love tadi?" Kening Maisarah bertaut, kebingungan.
"Pap!" Sepintas jarinya dipetik. "Oh, Mai faham! Maksud Kak Deeb, sebab hati kita ‘kering’ CINTA-lah, kita jadi hilang common sense. Sombong, individualistik, dengki, dan bla..bla..bla. Begitu?"
Adeeba mengangguk, perlahan.
"Kalau Mai boleh masukkan senario pelik dalam media sosial lagi bagus. Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya," tutur Adeeba.
"Kejian, hinaan, kutukan, tuduhan itu bukan ‘produk’ dan ‘hasil’ cinta!" Adeeba mengurut dahi. Kening Maisarah terangkat.
'Boleh tahan falsafah Kak Deeb ni. Padanlah Abang admire sangat!' gumam hati kecil Maisarah. Bibirnya disuakan ke mulut cawan, menghirup air kopi yang telah menyejuk.
"Tapi, itulah yang kita nampak, kita baca, dan kita dengar sekarang kan? Orang tuduh-menuduh, keji-mengeji, kutuk-mengutuk dan sebagainya. Kita yang baca dan dengar ini pun terkena tempias sekali. Hati rasa ‘sakit!" Adeeba menghela nafas.
"Kak Deeb…manusia ini kan banyak ragamnya? Tak hairanlah begitu jadinya!" Maisarah cuba menyucuk.
"Ya, normallah berbeza pendapat. Tapi, dari sudut logik akal, mana mungkin pencinta ‘meraikan’ perbezaan di antara dirinya dan orang yang dicintai, dengan menggunakan kekerasan dan kekesatan seperti yang berlaku sekarang ini. Kita takkan layan orang-orang yang kita cinta dengan cara begitu." Adeeba menggigit hujung bibir. Telapak tangan kirinya menopang kepala yang disengetkan.
"Oh, jadi sebab itu, Kak Deeb cakap tadi hati kita sekarang makin ‘kering’ cinta? Hati kita belum lagi mencintai orang lain sebagaimana kita mencintai diri sendiri, keluarga, kekasih, dan orang-orang yang dekat dengan kita? Kerana tu, tak wujudlah perasaan mahu ‘melindungi’, ‘menghormati’ bahkan ‘menjaga’ saudara seakidah dan seiman. Begitu?" ulas Maisarah, panjang lebar. Makin bersemangat pula dia melayan ‘teori cinta’ kakak iparnya nan seorang ini.
"Sebab itulah orang bebas melontarkan rasa ketidakpuasan hati masing-masing. Malah kadang-kadang, memang disengajakan untuk menyakitkan hati orang lain," tokok Adeeba, bernada geram.
Hujung pen di tangannya dipusing-pusing mengikut rentak One Day, nyanyian Matisyahu. Bergema pula lagu ini di seluruh ruang kafe. Tak disengajakan, bibirnya turut mengikut perlahan, tenggelam dalam suara Matisyahu.
One day this all will change,
Treat people the same,
Stop with the violence,
Down with the hate.
"Mai rasa sebab apa hati kita ‘kering’ cinta?" Sunyi, tiada jawapan. Adeeba menghayunkan tangan kanannya. Maisarah kelihatan masih asyik melayan bait-bait lirik yang dinyanyikan.
"Eh, sorry Kak Deeb!" Kepalanya digaru-garu.
"Tapi…betul kan lirik lagu Matisyahu ni?"
Beriringan dengan suara penyanyi tersebut, Maisarah dengan yakinnya menyambung bait-bait seterusnya:
All my life I've been waiting for,
I've been praying for,
For the people to say,
That we don't wanna fight no more.
Adeeba mengurut dada. Masing-masing kemudiannya menghambur tawa.
"Mai tak rasa kita perlu buat sesuatu?" Adeeba menduga lagi.
"Empangan mengering dan air dicatu pun, kita tunggu hujan dari Dia! Samalah kalau ‘cinta’ kering, patutnya kita minta dari Dia juga. Itu saja caranya, Kak Deeb." Balas Mai, ringkas dan tepat.
"Amboi! Tak pasal-pasal masuk isu air." Adeeba tergelak.
"Maksud Mai, hubungan kita dengan manusia bersangkut dengan hubungan kita dengan Dia. Kalau hubungan cinta kita dengan Dia pun ‘kering’ dan bermasalah, bagaimana mungkin kita dapat salurkan cinta kepada sesama manusia? Mustahil kan, Kak Deeb? Itulah pertama-tamanya yang harus diperbaiki!" Maisarah menelan liur. Suatu muhasabah buat dirinya juga.
Putaran lagu-lagu berganti dengan alunan merdu ayat-ayat al-Quran oleh qari Misyari al-Afasy. Adeeba menjenguk ke ruang depan. Suaminya sedang sibuk menyusun meja dan kerusi.
"Kak Deeb pernah dengar tentang ‘kelemahan’ yang paling Allah cinta?" Adeeba cuba mengingat. Dia langsung menggeleng.
"Allah suka mukmin yang kuat. Tapi, mukmin yang ‘merendahkan sayapnya’ (merendahkan populariti, kuasa, namanya) terhadap mukmin yang lain, itulah ‘kelemahan’ yang Allah paling suka!" Maisarah kembali membelek telefon bimbitnya. Merujuk kembali nota-nota yang pernah dicatat sewaktu mendengar kuliah Maghrib seorang ustaz. Dia mencapai al-Quran terjemahan pula sambil menunjukkan ayat yang dikongsikan penceramah.
"Ayat ke-88, surah al-Hijr." Maisarah membacakannya satu persatu, "…merendah hatilah engkau terhadap orang yang beriman."
"Maksud merendahkan hati ini, tidak ada rasa superior sesama Muslim, berlemah lembut, memberikan layanan yang baik…" sambung Maisarah lagi.
"Alangkah indahnya kalau hati kita macam ini. Berusaha mencintai Allah, mencintai Rasul, mencintai mukmin. Tiada hasad dengki, caci-maki, tuduh-menuduh bahkan sangka buruk sekalipun! Hati pasti bahagia, jiwa pun tenang." Adeeba meletakkan kembali al-Quran terjemahan yang dipegangnya.
Kemudian dia menyambung, "Macam kerendahan hati Abu Dzar sewaktu dia meletakkan kepalanya di bawah, dan meminta Bilal memijaknya. Itupun disebabkan ejekannya yang membuatkan Bilal bersedih hati, dan Rasulullah mengatakan bahawa masih ada jahiliyah dalam dirinya."
"Sebenarnya, kita tak perlu apa-apa pun Mai. Cuma cinta kepada Allah dan Rasul, maka akan datanglah cinta kepada mukmin. Kalau hubungan masih juga keruh begitu, macam kata pshysician tadi, tambahkan dos cinta! Itu saja."
"Kalau sudah pasti ada cinta di sisimu,
Semua kan jadi enteng,
Dan semua yang ada di atas tanah,
Hanyalah tanah jua."
- Imam As-Syafi’e
2 comments:
yumay menyebabkan tite google lagu reggae matisyahu tu.
"Kalau hubungan masih juga keruh begitu, tambahkan dos cinta! Itu saja." -- quoted
anon;
hahah. amacam, rare tak? :P
Post a Comment