Majalah JOM!
Isu April: DEGIL!
"Nadia, jom basket?" Fathia menjengulkan kepalanya di sebalik pintu. Siap bertudung dan berseluar panjang.
"Sekarang? Biar betul?" Jam di dinding dikerlingnya sekilas. Lagi tiga puluh minit menghampiri jam sepuluh malam. Namun, melihatkan mendung di wajah Fathia, dia turutkan saja.
"Boleh. Tapi, nanti belanja burger Abe Mat?" pinta Nadia, manja. Fathia cuma tersengih. Nadia bingkas bangun, menggeliatkan tubuhnya. Buku Tuesdays With Morrie karya Mitch Albom diterbalikkan, dan dibiarkan menganga di atas katil. Lantas dicapainya tudung yang siap tergantung, lalu disarungkan menutupi kepala.
Mereka beriringan keluar, menapak menuju ke gelanggang berhampiran taman perumahan yang hampir setahun dihuni. Sinar kuning dari lampu jalan memancar menerangi kegelapan kawasan.
"Nampaknya, kita ‘shoot’ dengan burger sajalah malam ni. Ada orang tertinggal bola," tukas Nadia, selamba. Fathia menepuk dahinya. Seraut wajah bersalah terpampang jelas di mukanya. Minggu ini saja, beberapa kali dia terlupa barang. Dua hari lepas, tertinggal kunci rumah di pejabat. Semalam, terlupa menutup suis seterika. Malam ini, tertinggal bola pula.
"Tiya ok?" Sepatah Nadia bertanya. Nadanya penuh bimbang. Dua tiga hari ini, teman serumahnya seperti menyembunyikan sesuatu. Kerja-kerja di pejabat pun banyak terbengkalai.
Khali sejeda. Kedengaran cuma kereta yang lalu-lalang di jalanraya berhampiran.
"Makan dulu, jom!" Sambung Nadia lagi. Perlahan-lahan, kertas pembalut burger dibukanya. Satu gigitan mengena, kemudian memasuki rongga mulut.
"Saya ragu-ragu dengan Abang Mat. Apa agaknya yang diletak? Serius, sedapnya lain macam!" Rancak Nadia memuji. Mulutnya penuh mengunyah. Fathia sekali lagi tersenyum. Ada saja keletah sahabatnya nan seorang ini.
"Hidup ini, macam makan burger Tiya! Waktu makan, nikmati betul-betul. Sekejap saja, burger ini boleh habis dan nikmatnya hilang..." ujar Nadia lagi sambil menjilat-jilat jarinya yang terkena sos cili. Lantas dikeronyokkan kertas dan plastik pembalut burger, lalu dibuangnya ke dalam tong sampah berdekatan.
"Akhir-akhir ini, hidup saya rasa kosonglah. Saya buat semua benda, tapi macam tak ada makna. Seolah-olah saya macam makan burger, tapi tak menikmatinya pun!" Fathia menguis-nguis batu-batu kecil di kasutnya. Dia mengeluh nafas, perlahan. Beg sandangnya ditarik dan ditepuk-tepuk. Kemudian, dia melunjurkan kaki dan membaringkan tubuhnya. Kepalanya sengaja dibiar terlentok di atas beg sandangnya. Permukaan langit ditatapnya, luas! Gugusan bintang dan bulan sabit tergantung cantik.
"Sinilah, Nad. Aaaaah, rasa lapang!" ajak Fathia sungguh-sungguh sambil menunjukki ruang kosong di sebelahnya. Lantas, Nadia ikut berbaring di sebelah.
"Subhanallah, rasa sangat kerdil! Tiya, Allah sedang tengok kita. Dia tahu apa yang kita rasa. Dia tahu apa yang kita alami. Sebelum bersungguh-sungguh dengan manusia, bersungguh-sungguhlah dengan Dia dulu."
"Nad, apa masalah saya sebenarnya?" Fathia memalingkan muka ke sebelah kiri, bersungguh-sungguh meminta jawapan.
"Jangan meletakkan ‘kegembiraan’ atau ‘kesedihan’ kita pada sesuatu!" jelas Nadia, spontan.
"Bila kita meletakkan ‘kegembiraan’ atau ‘kesedihan’ kita pada sesuatu atau sesiapa, itulah hakikatnya keterikatan kita. Sedangkan, kebergantungan kita sepatutnya hanya milik Allah semata-mata," sambung Nadia, berterus-terang.
Fathia tersenyum, pahit. Matanya mula bergenang. Akhirnya, pipinya basah dengan linangan air mata.
"Maaf, Tiya. Saya yakin, awak cukup tahu semuanya. Cuma mungkin, hati saja yang masih degil?" Nadia mengatur nafas.
"Awak tahu kehidupan awak sekarang sudah berubah 360 darjah. Awak tahu awak tak akan berpatah balik kepada kehidupan yang dulu. Awak tahu, awak tak akan bersama lagi dengan orang-orang yang awak mahu. Awak tahu, awak sudah pun melalui fasa hidup yang baru. Tetapi, hati awak tetap masih degil untuk tetap terperangkap dengan masa lalu!" sambung Nadia lagi.
Air matanya makin melaju, tidak tertahan-tahan. Nadia bagaikan memahami seluruh isi hatinya. Terbongkar satu persatu, cuma dia sahaja yang tidak menyedarinya.
"Jadi, apa yang harus saya lakukan?" Gumam Fathia, penuh keliru. Nadia menepuk-nepuk bahu rakan di sebelahnya. Dia menghela nafasnya, kemudian meneruskan kata-katanya, perlahan-lahan.
"Bersihkan hati, dan perbetulkan tauhid. Letakkan pergantungan kepada Allah terlebih dulu. Biar kesedihan dan kegembiraan kita, lahirnya cuma dari Dia dan untuk Dia. Bukan bersebabkan makhluk-Nya, baik apa-apa atau siapa-siapa."
Mendengarkan tentang tauhid, Fathia menyentuh dadanya di sebelah kiri. Mengulang tutur 'Allah, Allah, Allah', di dalam hati. Dia makin sebak. Setiap kali menunaikan solat, dia sujud, namun ternyata hatinya belum pun sujud. Persis sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam surah al-Hadid, ayat ke-16 (maksudnya): "Belum tibakah hati-hati orang yang beriman , untuk secara khusyuk mengingati Allah..."
Sedangkan, sudah berulang-ulang kali ayat ini disebutkan di dalam halaqah bersama adik-adik. Sayup-sayup, berselang seli dengan suara cengkerik, Nadia terus berkata-kata.
"Perbetulkan semula semula hala tuju dan gol hidup awak. Meskipun, bermula dengan sekecil-kecil perkara. Menghafal tiga ayat al-Quran setiap hari, misalnya. Sekurang-kurangnya awak ada misi dan visi yang akan memenuhkan hidup yang terasa kosong."
Nadia berhenti sejenak. Dia bangun dan duduk sambil memeluk kedua-dua belah lututnya.
"Dan Tiya, awak juga seorang murabbi. Fokus pada pembinaan mutarabbi. Rancang pembinaan mereka sebaik-baiknya! Dengan menjadikan diri bermanfaat kepada orang lain, akan sentiasa membuatkan hati awak bahagia. Percayalah!"
"Tapi Nad, saya macam sudah penat ‘struggle’ untuk ini. Saya rasa sendiri!" Fathia melepaskan keluhan berat. Kedua-dua matanya digenyeh, menyapu saki baki air mata.
"Nad, apabila sekeliling tidak lagi bercakap tentang Allah, bukankah kita akan langsung bercakap dengan Allah? Cuma, satu saja penghalangnya. Jika hati masih degil, tidak mahu tunduk, patuh, dan berserah kepada Allah sepenuhnya, dan masih ‘bergantung’ kepada makhluk-Nya, selamanya awak akan hidup dalam keadaan sebegini. Tidak tenteram dan tidak bahagia, sebab kebahagiaan dan kesedihan awak diletakkan pada benda yang tidak statik dan berubah-ubah!" Nadia menjelaskan.
"Hidup memang untuk ‘struggle’. Ujian tidak boleh diubah. Tetapi, kitalah yang kena ‘fix’kan diri untuk cuba berubah!" tambah Nadia lagi, tegas tetapi lembut.
Fathia menelan liur. Hatinya kembali tenang. Serasa beban sedikit ringan. Sekali lagi, nafas ditarik dalam-dalam, dan dihembusnya.
"Thanks, Morrie!" ucap Fathia memanggil temannya dengan gelaran baru. Dia kemudian bangkit berdiri, kembali meregangkan otot-ototnya. Kalau boleh, mahu saja dia mendepangkan tangan seluas-luasnya dan menjerit sekuat hati. Persis lagak jeritan tiga teruna dalam filem pendek Pasport Ekspress.
"Baru baca separuh, sudah jadi macam Morrie. Belum lagi satu novel." Fathia menyeringai.
"Hati, jangan degil lagi ya! Baiki hati, baiki diri, baiki hidup!" sebut Nadia, berulang-ulang kali sebelum mereka berangkat meninggalkan gelanggang.
4 comments:
yumay yumay yumay
kita dah tak reti nak cakap apa. kita dah beli majalah jom isu yg ni dan sampai sekarang kita ingat cite ni je.
anon;
...
(kerana bergula sungguh komentar ini)
:P
uny uny uny,
''''' *semut datang hurung*
jazakillahukheir, letak cerpen ni dekat sini. ada part part ibarat rasanya dihiris pisau tajam, perit tapi itulah hakikatnya.
deep tak. (haha)
..... *semut nak balik kerteh dah*
kak syida;
amboi, sorang uny sorang yumay. apa-apa sajalah, asalkan bahagia.
deep sangat part pisau tu. semut pun lari :p
kbai.
Post a Comment