Pages

Tuesday, October 28, 2014

"I never had a single argument with my wife, but we had lots of debates." - Mr. X

bismillah



serasa saya, bulan-bulan kebelakangan ini, saya seperti sedang benar-benar 'dibasuh', diajar dan dididik untuk disagree; sama ada saya yang tidak bersetuju dengan orang lain, ataupun orang lain yang tidak bersetuju dengan saya. namun, masing-masing mampu saling menghormati dan mencintai antara satu sama lain.

wajar sekali, adanya ketidaksefahaman antara kedua pihak, bersebabkan kita manusia dijadikan Allah berbeza-beza. ada yang cukup tertutup, ada yang terbuka, ada yang jumud, ada yang lembut, ada yang tegas, ada yang feelingless, ada yang sensitif, ada yang begini dan begitu. kesemuanya bersebabkan ilmu, pengalaman, pendidikan, taraf hidup dan sebagainya. maka, memaksakan orang lain untuk berfikir, bertindak bahkan membuat pilihan seperti kita adalah sesuatu yang paling mustahil. 

bukankah dalam menentukan hukuman buat para tawanan Badar, Umar R.A dan Abu Bakar R.A juga berselisih pendapat? bahkan, termasuklah dalam menetapkan hukuman buat golongan riddah (murtad), sesudah kewafatan Rasulullah. sedangkan keduanya, paling terhampir dengan Baginda S.A.W. malahan, keimanan keduanya sangat tidak diragui.

sejujurnya dahulu, saya seringkali berasa pedih, sedih, terluka, hilang keyakinan apabila pendapat tidak diraikan. saya cenderung berkawan dengan orang-orang yang sependapat cara, pegangan dan prinsip. namun entah, makin berkawan dengan orang-orang yang tidak sealiran dengan kita, adakalanya menemukan kita dengan kejelasan. ia akan selalu membuatkan kita berfikir dan bertanya kembali, apakah kita sedang di jalan yang benar? apakah kita sedang melakukan sesuatu yang benar? apakah yang kita sedang tuju ini benar dan sebagainya, hingga semulajadinya ia akan membuatkan kita melalui proses pencarian, dalam apa urusan sekalipun.

saya seperti mahu mengangguk penuh dengan tulisan ini, memetik semula kata-kata Redza Minhat dalam sebuah acara Borak Buku;

"maka, bagaimana berkompromi dengan idea-idea luar tanpa mengurangi dan menggoyah prinsip, ialah dengan 'the ability to reason'".  - bro faaizz

entahkan saya yang tersalah memahami konteks sebenarnya atau bagaimana, namun pembaca bebas meletakkan kefahamannya sesuai dengan apa yang dialami dan dirasai bukan? ahah!


 

sementalahan mendatangi Heroes sebelum ini juga begitu. bro kashmiri juga mengingatkan hal yang sama, usah cuma berkawan dengan orang-orang yang berpakaian seperti kita, bercakap seperti kita, atau mereka yang cuma membenarkan setiap patah perkataan kita. ia akan selalu membawa kita mengenal diri sendiri dengan lebih dalam dan dekat, bahkan mempersoalkan hal-hal yang tidak pernah kita temukan sebelum ini; lebih terbuka dan lebih jelas dengan apa yang kita mahu dan cari.

saya sedang belajar untuk berkompromi. saya sedang belajar untuk bertenang dan berlapang dada. saya sedang belajar untuk lebih positif dan terbuka. saya sedang belajar untuk menerima dan merendahkan hati, bahawa ada masa-masanya saya akan dilukai dan terluka. pahit dan sakit. saya sedang belajar mencelikkan diri bahawa ada masa-masanya saya akan tidak disukai, tidak disenangi, dan barangkali dibenci. ini semua bukan cuma bersebabkan khilaf atau salah diri atau dia atau sesiapa, namun hanya  kerana manusia sememangnya berbeza! 

terima kasih untuk manusia yang tidak mudah-mudah bersetuju dengan saya, bahkan menegur dan menasihati saya dengan caranya tersendiri. terima kasih untuk orang-orang yang tidak takut untuk berbeza dengan saya, malahan tidak putus-putus memperjuangkan prinsip dan pegangannya. 

terima kasih Allah, untuk semuanya!

redhailah perbezaan, raikanlah persamaan, tuaikanlah cinta, mudah-mudahan rahmah Allah memayungi kita, selalu dan sentiasa!

 "I was a very rich man. Not with money, but with love. I never had a single argument with my wife, but we had lots of debates." - Mr. X

 ps: kenapa rasa #lulz sangat tulisan ini? ah, "promote what you love instead of bashing what you hate!" :)

Monday, October 27, 2014

"The light which shines in the eye is really the light from the heart." - Rumi

bismillah

alangkah tenangnya orang yang tidak melabel atau menghukum, sedangkan siapa tahu diam-diamnya juga, cukup jelas sekali menyatakan prinsip?

saya benar-benar merasakan terjaga dan celik dengan pernyataan ini;

"Allah menimbang amal hamba dengan neraca kadar imannya. hingga walau amal seorang mukmin itu kecil, Dia meluaskan berkahnya." - Ibn al-Jauzy

siapa kita untuk menduga kecil besar iman seseorang? siapa kita untuk meneka dalam dangkal iman seseorang? cuma pada Allah, terletak semuanya. boleh jadi, setitik amal dengan keluasan imannya itu, bak kata Ibnu al-Jauzy, berkahnya mengalir tidak berpenghujung. 

kawan, pandangan kita ini selalu kabur.

siapa tahu, barangkali sudah merimbun rendang pohon-pohon amalnya kini di Syurga, meski jasadnya masih di bumi? siapa tahu, barangkali sudah penuh, bahkan memberat tidak tertampung timbangan di sebelah kanan, lantaran amalan-amalan rahsianya? siapa tahu, sudah banyak hati-hati yang tersentuh dengan kemuliaan dan kemurahan hatinya?

kawan, hati kita ini mungkin tersalah.

cukuplah kisah Nu'ayman Ibn 'Amr yang bertalu-talu dikisahkan menjadi 'ibrah (pengajaran). betapa dia ini seorang yang kerapkali didatangkan kepada Nabi, untuk dihukum sebatan. berkali-kali meminum arak, berkali-kali menerima hukuman. namun, sewaktu Saidina 'Umar mencelanya atas kekerapan perbuatannya ini, Rasulullah S.A.W menegahnya dengan berkata (maksudnya), "janganlah engkau mencelanya. sesungguhnya aku tahu, dia sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya!"

didiklah hati untuk merendah, terlebih dahulu melantun istighfar, terlebih dahulu menghitung khilaf dan aib diri yang berjuta. bimbang tersalah menghukum, akhir-akhirnya menjadi penghapus segala amalan yang baik. sedarlah, hati-hati yang cantik sahaja yang akan selalu memandang keindahan!





oh Allah, lindungilah hati-hati kami yang bongkak dan keras ini. sederhanakanlah segala yang kalut dan riuh, biar ia cuma tertegak di atas hal-hal yang benar.


gara-gara lebatnya hujan, nikmatnya buku, dan manisnya Oldtown;

*edited

nah, sebuah reviu buku 'Angkatan Baru' - HAMKA;




bismillah

kanda,

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? andaikan dulu, persis yang dikarang Buya Hamka, menuliskan tentang zaman Bonda Syamsiar (bonda dinda, mertua kanda), begitu beradat. alim ulama' cuma bijak membaca kitab, tetapi tidak pandai membaca masyarakat (hlmn. 60).

kaum perempuan dihantar belajar tinggi-tinggi, biar terdidik jadi ustazah. namun, bersebabkan tidak jelas tujuannya, maka cuma buat dibangga-bangga di majlis-majlis keraian. sebagaimana cerita Bonda Syamsiar pada dinda;

"berlilit mukanya dengan mudawarah serupa, sama-sama kuning atau sama-sama merah, bedak selayang, bajunya sempit, seliparnya tinggi dan sarungnya halus. sedang si pengiring tadi, tiap-tiap bertemu dengan perempuan lain di jalan, dengan bangga menyapa orang lain itu, menunjukkan bahawa anaknya telah tamat sekolah." (hlmn. 5)

kanda,

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? apakah kanda seperti ayahanda Hasan, begitu jelas tujuan pekerjaannya? masih dinda ingat tutur kata Bonda Syamsiar, sewaktu diam-diam terkenang-kenang Ayahanda Hasan, suami pertamanya. kata Bonda Syamsiar, Ayahanda Hasan pernah satu kali, jujur menasihatkannya begini;

"kau hanya mempunyai satu kepandaian sahaja, rupanya, iaitu bercinta-cinta, tetapi kau tak pandai menjaga keberesan pekerjaan kita. kau tidak pernah menunjukkan kepada kekanda, jalan manakah yang lebih selamat untuk kita tempuh." (hlmn. 44)

sayang seribu kali sayang, sewaktu itu Bonda Syamsiar masih ralit dalam dunia romannya. jauh sekali cekap dalam mentafsir nasihat, disalah fahami pula pesan Ayahanda Hasan yang begitu mahal itu. apakah kanda akan mengatakan hal yang sama kepada dinda, andai dinda terhilang arah? ah, barangkali dinda harus terlebih dulu berwaspada, mengambil langkah berjaga-jaga dengan membina peribadi selayak Khadijah, meski jauh tidak terbanding! 

suatu ketika dahulu, kanda juga pernah bercerita tentang sosok ini, bukan? bukankah Khadijah sebelum bertemu Muhammad, dia adalah dia? punya identiti dan basirah (penglihatan hati) tersendiri, tidak mudah terikut-ikut budaya, tidak pula berjalan-jalan seperti wanita kebiasaan di pasar-pasar. tidak memilih lelaki sembarangan, meski dipinang oleh ramai golongan bangsawan. bahkan membangunkan peribadi sendiri, tidak menunggu atau tertunggu-tunggu untuk diubah. malah, sebelum dan selepas perkahwinan dia dan Rasulullah, dia adalah dia. barangkali bersebabkan itulah, dia tidak menunggu untuk menerima, malah dia sesungguhnya terlebih dahulu banyak memberi.

kanda, 

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? andaikan dulu, diceritakan Bonda Syamsiar lagi kepada dinda, begini lanjut kisah zamannya; 

"'pelajaran cukup sekarang, sehingga buku-buku falsafah karangan profesor yang tinggi-tinggi pun ada. cuma pelajaran akhlak itu sahaja yang kurang, sebab itu adalah pelajaran yang telah kolot, pelajaran surau 30 tahun yang lalu." (hlmn. 16)

berderau darah, bercampur rancu jiwa dinda ini, memikirkannya berkali-kali. dengarkah kanda ada pula ura-ura timbulnya di 'angkatan baru' kita ini, karakter para suami yang tidak-tidak? aduhai, di mana letak qawwam, seinsaf peribadi Ayahanda Hasan dulu? galau sungguh di hati dinda ini, apakah pemuda itu akan tampil di hadapan anak gadis kita nanti, selayaknya sebagai seorang pemuda? memetik semula semangat Ayahanda Hasan, sewaktu beliau bangga sekali menuturkan; 

"dia tidak hendak kenal lagi, dia hendak menunjukkan bahawa dia seorang lelaki." (hlmn. 42)
 "jangan saya diberi minum kehidupan, kalau akan dicampur dengan kehinaan. tetapi berilah saya seteguk air kematian, asal di dalamnya cukup kemuliaan. neraka dengan kemuliaan lebih kusukai menderitanya, daripada syurga dengan kehinaan." (hlmn. 45)

kanda, 

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? apakah perlu diulang tutur lagi kepada sekalian anakanda kita, akan kalimat keramat Ayahanda Hasan kepada bonda kita, Syamsiar? tentang hidup kita yang bertujuan!

"kau salah, Syam. segala mata pekerjaan itu mulia, asal kita bebas merdeka. bukan semata jadi guru sahaja mata pencarian di dunia, bukan untuk jadi guru sahaja kita bersekolah, tetapi untuk kenal sakit senang hidup." (hlmn. 44)

"hidup yang sekarang inipun lebih kurang tidak ada tujuan, Syamsiar!" (hlmn. 45)

kanda,

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? terngiang-ngiang lagi tulisan Buya Hamka (teman Ayahanda Hasan) itu. ulasnya berkenaan 'angkatan baru' di zamannya;

"tentu sahaja hikayat yang kukarangkan itu semuanya kejadian-kejadian dalam masyarakat. kampung tempat hikayat-hikayat itu terjadi di dalam masyarakat, kotanya ialah penghidupan, dan bahayanya diambil dari renungan, dari penderitaan dan keluhan (hlmn. 1)

kanda, 

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? andai Buya Hamka masih di sini, iaitu di sisi kita, apakah yang akan dikarangnya tentang kita-kita ini? apakah akan dituliskannya sebegini lagi;

"suara hati, yang meminta perhatian dari pendidik-pendidik, dari penganjur perkumpulan, bahkan dari ninik-mamak adat sendiri. tentukanlah arah dari pendidikan anak-anak perempuan kita." (hlmn. 2)

kanda,
sekali lagi, 'angka..tan ba..ba..ru' ki..ki..ta ini, da..da..ri jenis yang ma..mana a..agaknya?

(menguap)

_______
ps: oh, saya suka 'idea' ini, meskipun saya jauh dari konservatif yang dimaksudkan:


Sunday, October 26, 2014

kompleksnya entri ini, jaga-jaga!

bismillah

saya katakan pada dia yang bertanya, saya seperti Mr. Darcy sewaktu meluahkan semua kepada Lizzie;

"in vain have I struggled. it will not do. my feelings will not be repressed. you must allow me to tell you how ardently I admire and love you."
- jane austen, pride and prejudice

tulisan adalah kecintaan bagi saya. bahkan, setiap kali menulis, saya hakikatnya sedang bercinta. bercinta dengan diri sendiri, bercinta dengan huruf-huruf, bercinta dengan kelemahan, bercinta dengan kekuatan, bercinta dengan apa yang saya tulis. bercinta dengan orang-orang atau watak-watak yang saya tulis. bercinta dengan sesungguhnya cinta!

entahlah, kadang-kadang ia tidak terkawal. melimpah ke ruang-ruang yang tak tersengajakan. menyentuh sisi-sisi yang tidak selayaknya. hinggakan, ada sebahagian dari dalam diri saya mengatakan ia tidak wajar. macam Murakami mengatakan, "there are certain things, no matter what, you have to keep inside."

namun, seringkali hal-hal yang saya benar-benar ingin disimpan itulah yang paling tertonjol dengan tanpa sedar. lolos tercicir tanpa kesengajaan. saya benci keadaan itu, sesungguhnya! saya tidak gemar keadaan-keadaan apabila saya mampu terlalu terbuka dan terlalu jujur.

walhal, sisi lain dari saya pula mengatakan mengapa saya tidak boleh jujur saja, menuliskan semua kegelisahan saya sendiri? 'Brave', kata Sara Bareilles;

"but I wonder what would happen
 if you say what you wanna say
 and let the words fall out
 honestly I wanna see you be brave"

siapa boleh menduga, ada yang turut merasakannya, namun tidak mampu diluah dengan kata-kata? hinggakan, apabila dia membaca saya, dia menemukan dirinya, sebagaimana asyiknya saya membaca 'mereka' yang berhasil menemukan saya dengan diri saya sendiri.

meski cuma, seputar hal-hal remeh. hal-hal yang golongan intelektual pandang sebelah mata, atau ketawa sinis atau bahkan tidak pandang langsung! namun, merefleks semula kata Ustaz Hasrizal;  

"jika hidayah Allah boleh datang melalui iktibar seekor nyamuk, kenapa perlu malu kalau buku yang mengundang perubahan diri kita adalah buku yang kaum intelektual cebikkan bibir mereka?"

ah, barangkali saya yang terlalu keras menghukum diri sendiri. untuk ini, mungkinlah wajar juga saya mengangguk penuh dengan kata-kata Muharikah;


har har har,
saya mohon maaf atas komplikasi seorang wanita yang sukar difahami ini. John Gray, saya memang salute anda, bagaimana anda mampu begitu sukses menuliskan ini? saya sendiri baru tersedar akan hakikat ini;


mars and venus together forever, pg. 120

ah, biarlah seombak mana pun jiwa saya, gelisah inilah yang menghantarkan kepada sesuatu. sesuatu yang boleh saya pandang, saya sentuh, saya rasa, dan akhirnya saya tulis; mewujudkan saya di mana-mana, memberitahu bahawa saya ada. barangkali menjadi warisan pada generasi demi generasi, untuk suatu hari nanti, mampu lagi saya berkata;

hari ini, kami berkata
"bapak, kami selongkar album lama
dan temukan puisi bapak di sana"

esok hari, mereka bercerita
"bonda, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan bonda di sana"
siapa tahu, inilah masanya untuk menulis sebebasnya, sebelum saya hampir tidak menulis lagi, atau tulisan saya mulai berubah? tiada lagi gelisah demi gelisah, ranap demi ranap, hancur demi hancur? oh, tolonglah. saya tidak mahu begini;

"saya bukan penulis. jadinya saya hanya mencari-cari jawapan: kenapa membaca dan menulisnya menjadi malas setelah berpasangan?

ah, semua ini tak perlu pada penjelasan.

saya pasti, lelaki paling naif pun akan faham. peranan perempuan dan rasa kebertanggungjawabannya sangat tinggi. segala emosi ranap resah gelisahnya sebelum ini juga dibawa pergi dengan bunga-bunga segar yang dijadikan perhiasan pelaminan dan akhirnya layu tak dihiraukan. ceh." 
- rapunzel, buku conteng aishah

oh, tolonglah! saya tidak mahu begitu. maka, inilah saatnya untuk terus menulis. bukan, saya mesti terus bercinta!


ps: nah, ini juga untuk kau yang tidak putus meminta, 'kejutkan aku, bila kau bersedia'. sedarlah, hari ini ku telah 'terjaga, ku disentuh lembutnya suria'. - nasTIYA :p


Tuesday, October 21, 2014

sepetang di Puduraya;

masjid jamek, #randomoctober

bismillah

entahkan saya yang terlalu naif, atau sebenarnya dia yang licik? entahkan saya yang terlalu menduga-duga atau sebenarnya dia sememangnya terlalu memerlukan?

ah, entahlah.

saya benar-benar tidak dapat menolak ketika dia mundar-mandir sambil terkumat-kamit, berterus-terang di bibir, "akak tak ada duit. suami akak tak sampai-sampai lagi sejak pagi tadi." saya benar-benar bingung, sama ada dia sedang mengadukan nasibnya kepada saya, atau sekadar suka-suka mengeluhkannya?

apabila mendekat, ternyata dia benar-benar berbau hamis peluh, atau (mungkin) juga berbau hancing dari si anak yang tidak berganti lampinnya sejak pagi.

"ini ha, anak akak. lapar, dari pagi tak makan lagi."

dia mundar-mandir lagi sambil mendukung si anak lelaki, sekitar tiga tahun. wajahnya cukup meresah. jujur, melihatkan wajah dia dan anaknya, ada kecurigaan bertamu di hati saya. "apa ini benar-benar anaknya? atau…?"

ah, prejudis!

ketika sedang ralit mengopi sendirian di salah satu bangku, perbualan kami bermula. ketika itu, dia tiba-tiba menegur saya, "adik, sekarang pukul berapa?"

bas Syirah, dari KL ke Butterworth telah berangkat kira-kira sepuluh minit yang lalu. petang semalam, sementara menunggu waktu solat Asar, saya memutuskan untuk ‘bersendirian’ seketika di Puduraya. melihatkan wajah-wajah manusia, adakalanya menebarkan pesonanya tersendiri.

ah, entahlah!

bercerita tentang dia dan si anak yang kelaparan tadi, maka kami sama-sama menuju ke gerai kebab berhampiran. dia memesan dua bungkus roti prata, dan sebungkus air soya. antara perasan kasihan dan keliru, saya mengangguk sahaja dan mengeluarkan beberapa keping not.

sambil terus mengunyah roti, dia terus bercerita lagi. bermula dari kisah dia sebagai isteri nombor dua, hinggalah pada pekerjaan suami yang berulang-alik membawa lori. kehadirannya di situ, cuma sedang menunggu si suami yang akan membawa balik susu dan pampers, dan di tangannya kini langsung kosong, tidak berduit.

saya terus bingung lagi, mendengarkannya sahaja kesemuanya!

"guard tu pun kenal akak, dik. tadi akak sembang dengan dia. dia baru kerja seminggu kat sini." dia menjuihkan bibirnya ke arah seorang lelaki. saya melontarkan pandangan ke arah lelaki tersebut, yang sepertinya sedang sibuk berkawal. terperasankan dia sedang diperhati, saya cepat-cepat mengalihkan pandangan. dia berumur kira-kira hujung 20-an, bertubuh kurus dan rendah, lengkap berpakaian seragam. di tangannya pula, ada sebatang rod berwarna hitam yang kebiasaannya dibawa oleh seorang pengawal keselamatan.

saya mengangguk-angguk. kira-kira 10 minit kemudian, pemuda itu menghampiri kami sambil tersengih.

"sedap ke kak roti tu? nak sikit, boleh? saya dah makan tadi. cuma nak rasa je makanan kat kedai-kedai sini." dia lantas mencubit sedikit, roti yang sudah berbaki separuh di tangan wanita tadi.

antara pandangan prejudis dan senyum ikhlas, saya makin bingung; apakah keterasingan antara orang-orang di jalan mampu pergi sejauh ini? bahkan, tiada yang meragukan untuk saling berbagi makanan? meski untuk hanya sekeping roti yang berbaki separuh di tangan?

antara berbuat baik dan berburuk sangka, antara mengikhlaskan atau mengutamakan kewaspadaan, saya seringkali keliru untuk memilih keduanya. andai Rasulullah bertemu orang-orang ini, apa yang Baginda akan lakukan untuk pertama kalinya?

bahkan seringkali terwujud perasaan, akhlak tak memerlukan syarat apa-apa, bukan? ia adalah tindakan yang semulajadi terjentik, tanpa terlebih dulu ada syak wasangka atau fikiran bukan-bukan.

hmm, entahlah. tetap dan masih membingungkan! paling meragukan, kisah-kisah orang seperti ini cumalah sebuah retorik untuk dijadikan sebuah entri oleh penulis blog picisan.

ps: selamat bercuti seminggu, Syirahhhhhhhhhhhh (T.T)

Friday, October 10, 2014

terawal menjadi aku;

aku suka hal-hal terawal. misalnya, keterjagaan terawal sebelum subuh. hirupan terawal secawan kopi saban pagi. lintasan rasa terawal sebelum menulis. bau gerimis terawal sebelum lebat. sebak sesal terawal sebelum banjir. kejanggalan terawal sebelum mesra, dan terawal menjadi aku sebelum orang lain (alangkah!)

di sebalik kata-kata yang tertinggal (ix);

pernahkah anda diberi satu artikel, dan si pemberi itu bertanya, "apa yang kau fikir tentang artikel ini?"

untuk sesetengah keadaan, aku tidak merasakan si pemberi itu cuba-cuba menguji kapasiti intelektual atau kefahaman orang yang ditanya. tidak!

namun, ia lebih kepada percubaan merungkaikan apa-apa yang ada di dalam kepalanya sendiri. ia ada, tetapi sembunyi. ia ada, tetapi tidak terungkaikan. ia ada, tetapi tidak terluahkan. hinggalah, ada seseorang yang membantunya untuk merungkaikannya sedikit demi sedikit.

baiklah, sekarang ingin sekali aku bertanya; "apa yang kau fikir tentang entri ini?"

Wednesday, October 8, 2014

di sebalik kata-kata yang tertinggal (viii);

source: ig women_of_paradise


entahlah, aku lebih suka begini; cerita yang tak sempurna, yang ada marah, yang ada rajuk, yang ada sakit, yang ada sedih, yang ada tawa, yang ada bahagia, yang ada sesal

sebab hidup memang indah begitu; yang sepak-terajang, yang calar-balar, yang sakit-pahit, yang dirancang tak jadi, yang menerjang tiba-tiba, yang diundang tak berkunjung, yang dibuang lolos kembali, yang membuat engkau hanya menjadi engkau, yang aku hanya menjadi aku, yang kita hanya menjadi kita, dan bukan siapa-siapa. khusus dan istimewa, titik

ya, memang indahnya begitu bukan?

Tuesday, October 7, 2014

maaf, saya mahu membebel seketika.

sebuah entri mengenang dia dan mereka;

bismillah

suatu petang dari petang-petang yang indah:

"sebab itulah kot, hubungan saya dan adik-adik tak berapa baik. rasanya betul kata akak, sebab saya sendiri tengah masalah."

saya menasihatinya begitu, bukan sebab dia yang sedang bermasalah. tetapi, saat itu hakikatnya saya sendiri yang sedang bermasalah. entahlah, setiap kali menjumpai dia dalam pertemuan demi pertemuan yang tidak dirancang, dan setiap kali dia berkongsikan masalah dan ujiannya, kata-kata saya kepadanya seringkali menampar dan menempelak diri sendiri. 

teguran dari Allah, mungkin. 

ketika itu, saya katakan padanya;

"sebab sedangkan kalau kita tidak mampu untuk mengubah sesuatu dalam diri kita, bagaimana mungkin kita boleh mengharapkan orang lain untuk mengubah sesuatu dalam diri dia? sebagaimana susahnya mujahadah kita untuk berubah, sebegitu jugalah susahnya dia untuk berubah. hakikatnya, kita sama sahaja dengan dia, walaupun struggle kita dan dia berbeza.

sebab itu jugalah akak selalu rasa, kalau akak susah untuk ubah sesuatu dalam diri akak, macam tulah jugak susahnya orang lain untuk ubah diri dia. kalau akak tak boleh berubah, jadi akak tak boleh harap orang lain untuk berubah. kalau akak sukar untuk berubah, orang lain pun sukar untuk berubah."

hmm.

--




hubungan diri dengan Allah, tidak dapat tidak akan selalu terkait dengan hubungan sesama manusia. entahlah, saya selalu merasakan bahawa andaikan saya bermaksiat dalam sesuatu perkara, maka tidak mustahil kemaksiatan itu akan tertempias mengenai orang-orang sekitar. sama ada hubungan menjadi retak atau sedikit renggang, ataupun mereka yang terhampir tidak dapat merasakan ketenangan ketika bersama saya. 

sebegitu juga ketika diri dalam keadaan iman yang meninggi, keberkahannya akan selalu terasa hingga mengenai orang-orang terhampir. saya senang dan selesa bersama dengan sesiapa sahaja, bahkan orang lain pun tidak mustahil untuk merasakan hal yang sama. 

sama juga halnya dalam bab-bab penghijrahan. andaikan orang-orang tertentu yang seringkali saya doakan perubahannya dalam sesuatu hal belum menemukan keberhasilan, maka orang pertama yang perlu dituding terlebih awal adalah diri sendiri. langsung bertanya semula;

"apakah ada hal-hal yang belum aku ubah dalam diri aku? kalau aku belum mampu untuk berubah, maka jangan harapkan orang lain untuk sama-sama berubah."

entahkan ada kebenarannya, tetapi saya sering percaya, prosesnya berbalik. Allah selalu Maha Adil dalam memakbulkan pengharapan kita. ya, Maha Cinta dan Maha Rahmat-Nya Dia, sudah tentu mengatasi segala-gala, bahkan tidak memerlukan apa-apa syarat ataupun sesuatu imbalan dari kita sekalipun. namun, setiap tawakal dan kebergantungan, harus beriringan dengannya sebuah usaha. saya percaya, usaha paling dini dalam membenahi setiap doa yang kita kirimkan bagi 'penghijrahan' orang-orang tersayang, adalah perubahan diri sendiri terlebih dahulu.

mujahadah yang sungguh-sungguh, walaupun (ya) saya arif sekali kesukaran dan kepahitannya seperti apa.

perlahan-lahan, saya yakin kesannya akan begitu terasa. ibadah, meski jauh dari sempurna namun nikmatnya begitu meresap. hubungan dengan makhluk, dan semuanya!

tersedar saya akan hakikatnya, sewaktu dia menuturkan kata-katanya yang paling menyentuh;

"akak...tahu tak waktu bila saya betul-betul boleh 'stop' daripada 'semua' itu?"
"oh bila?"
"sewaktu saya bersama-sama dengan akak dulu."

jujur, serasa seperti mahu menangis sedalam-dalamnya. jauh sekali merasakan penyampaian-penyampaian saya, atau kebersamaan-kebersamaan saya dengan dia dan mereka yang lain yang membuatkan dia sebegitu teguh dalam mujahadah-nya.

tidak, jauh sekali! sungguh-sungguh, bukan!

cuma, petang itu saya termuhasabah sendiri bahawa betapa sepanjang tempoh 'bersama' dia dan merekalah, hati saya sedang di takah terpaling rawan, sakit, dan perit bermujahadah dalam hal-hal saya sendiri. jujur, saya rindukan kepahitan dan kesakitan itu; selalu menuntun diri untuk sering-sering bersama-Nya. memaksakan diri untuk kerap bertilawah, kerap berjumpa-Nya, kerap istikharah, kerap mengadu, kerap mengharap, kerap menangis dan kerap meminta.

betapa kepahitan ternyata selalu menjadi ubat. jujur, saya betul-betul rindukan saya yang itu. jangan hilangkan, oh Tuhan.

terima kasih, adik.


"hari ni lu ta cuti ka?"

bismillah



sudah saya katakan, ia akan terjadi pada minit-minit yang tidak sepatutnya. kali ini, saya sedang enak bersila di atas kerusi bernombor 1C betul-betul di belakang pemandu, bersebelahan seorang gadis muda, sedang nyenyak tertidur. di ribaannya pula, terletak elok sebuah buku.  

"oh Allah, itu buku Menalar Makna Diri, kan? kan? kan?"

lagi 5 km, akan sampai di Persimpangan Bukit Merah. jujur, kilometer-kilometer sebelumnya, menemukan beberapa peristiwa yang mencalit seulas senyuman!

terpaling indah, sewaktu Uncle Ah Yap (bukan nama sebenar) berhenti di plaza tol. kelihatan seorang anne berdiri di tepi kaunter, mempamer wajah manis sambil menghulurkan seikat surat khabar. barangkali, akhbar-akhbar percuma.

uniknya, saya tidak merasakan mereka saling mengenali, tetapi keramahan di wajah keduanya (dari cermin sisi dan cermin pandang belakang), jelas sungguh-sungguh ternampak.

pertanyaan-pertanyaan semudah dan seringkas, "hari ni lu ta cuti ka?" walaupun masing-masing sedia tahu, bukankah hakikatnya mereka sedang bekerja?

aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaah;

"it has long been an axiom of mine that the little things are infinitely the most important." - arthur conan doyle

ditulis di dalam bas semalam, dengan tambahan pendek di hari ini;

"ya, hari ini saya bekerja; kerja-kerja editing masih banyak, dua artikel belum siap dan oh, tajuk isu #33 juga belum ada!"

terus tenang, dan enjoy bekerja!

Thursday, October 2, 2014

how i met myself (v);

bismillah



ya, kadang-kadang saya mengenali diri sendiri melalui, (erm) personality test (sigh!). ini adalah jawapan untuk personality test yang entah kali ke berapa;

linguistic thinking
you like to talk, listen, read, and write – and then talk some more. you express yourself in language and you think in language, too, rather than in images. you are intrigued not only by the meaning of words, but also the sound of them, and their rhythm. you are probably able to pick up foreign languages relatively easily.

mungkin bersebabkan ini, saya agak mengambil masa untuk menaip dan menghantar mesej pada seseorang. bimbang ia disalah tafsir; sama ada melukakan atau membahagiakan. sebagaimana kata-kata Jim Rohn, yang hingga ke hari ini, saya masih terkenang-kenang;

"you can't be lazy in language; it costs too much. what if you meant to say "what's troubling you?" and instead you said "what's wrong with you?" wow, that's too big a mistake!"

kesalahan, ketidaksengajaan atau kesalahfahaman orang lain ini, membuatkan adakalanya saya cenderung menjadi seorang yang terlampau perasa dan sensitif, sedangkan bagi orang lain, ia bukanlah apa-apa (sigh! sekali lagi). 

merasionalnya, sebagaimana saya tidak pernah faham atau sukar mengenali orang yang begitu perasa dan sensitif andai saya terkurang atau terlebih dalam bentuk acts of service (pelayanan atau servis), atau quality time (masa), atau gifts (hadiah), atau love languages (bahasa-bahasa cinta) lain yang diperbincangkan Chapman dalam bukunya 'The Five Love Languages', sebegitulah juga orang lain sukar untuk memahami betapa words of affirmation (kata-kata atau perkataan) betul-betul 'hidup' dan 'bernyawa' dalam diri saya.

bagi saya, atau bagi mereka, mengulang semula kata Jim Rohn, "it costs too much!"

walaupun adakalanya ada sesetengah hal, sepertimana Imam Syafie menuturkan, "memenuhi hati semua manusia adalah hal yang paling mustahil untuk dilakukan", namun cukuplah alangkah kalau kita boleh sentiasa mencuba dan berusaha untuk saling berbagi dan memahami. 

- teruntuk saya, terutamanya.

ps: jangan percaya sangat personality test (tipu juga kadang-kadang), dan jangan lama sangat melayan lifehack, serius boleh addicted ._.