Pages

Tuesday, October 7, 2014

maaf, saya mahu membebel seketika.

sebuah entri mengenang dia dan mereka;

bismillah

suatu petang dari petang-petang yang indah:

"sebab itulah kot, hubungan saya dan adik-adik tak berapa baik. rasanya betul kata akak, sebab saya sendiri tengah masalah."

saya menasihatinya begitu, bukan sebab dia yang sedang bermasalah. tetapi, saat itu hakikatnya saya sendiri yang sedang bermasalah. entahlah, setiap kali menjumpai dia dalam pertemuan demi pertemuan yang tidak dirancang, dan setiap kali dia berkongsikan masalah dan ujiannya, kata-kata saya kepadanya seringkali menampar dan menempelak diri sendiri. 

teguran dari Allah, mungkin. 

ketika itu, saya katakan padanya;

"sebab sedangkan kalau kita tidak mampu untuk mengubah sesuatu dalam diri kita, bagaimana mungkin kita boleh mengharapkan orang lain untuk mengubah sesuatu dalam diri dia? sebagaimana susahnya mujahadah kita untuk berubah, sebegitu jugalah susahnya dia untuk berubah. hakikatnya, kita sama sahaja dengan dia, walaupun struggle kita dan dia berbeza.

sebab itu jugalah akak selalu rasa, kalau akak susah untuk ubah sesuatu dalam diri akak, macam tulah jugak susahnya orang lain untuk ubah diri dia. kalau akak tak boleh berubah, jadi akak tak boleh harap orang lain untuk berubah. kalau akak sukar untuk berubah, orang lain pun sukar untuk berubah."

hmm.

--




hubungan diri dengan Allah, tidak dapat tidak akan selalu terkait dengan hubungan sesama manusia. entahlah, saya selalu merasakan bahawa andaikan saya bermaksiat dalam sesuatu perkara, maka tidak mustahil kemaksiatan itu akan tertempias mengenai orang-orang sekitar. sama ada hubungan menjadi retak atau sedikit renggang, ataupun mereka yang terhampir tidak dapat merasakan ketenangan ketika bersama saya. 

sebegitu juga ketika diri dalam keadaan iman yang meninggi, keberkahannya akan selalu terasa hingga mengenai orang-orang terhampir. saya senang dan selesa bersama dengan sesiapa sahaja, bahkan orang lain pun tidak mustahil untuk merasakan hal yang sama. 

sama juga halnya dalam bab-bab penghijrahan. andaikan orang-orang tertentu yang seringkali saya doakan perubahannya dalam sesuatu hal belum menemukan keberhasilan, maka orang pertama yang perlu dituding terlebih awal adalah diri sendiri. langsung bertanya semula;

"apakah ada hal-hal yang belum aku ubah dalam diri aku? kalau aku belum mampu untuk berubah, maka jangan harapkan orang lain untuk sama-sama berubah."

entahkan ada kebenarannya, tetapi saya sering percaya, prosesnya berbalik. Allah selalu Maha Adil dalam memakbulkan pengharapan kita. ya, Maha Cinta dan Maha Rahmat-Nya Dia, sudah tentu mengatasi segala-gala, bahkan tidak memerlukan apa-apa syarat ataupun sesuatu imbalan dari kita sekalipun. namun, setiap tawakal dan kebergantungan, harus beriringan dengannya sebuah usaha. saya percaya, usaha paling dini dalam membenahi setiap doa yang kita kirimkan bagi 'penghijrahan' orang-orang tersayang, adalah perubahan diri sendiri terlebih dahulu.

mujahadah yang sungguh-sungguh, walaupun (ya) saya arif sekali kesukaran dan kepahitannya seperti apa.

perlahan-lahan, saya yakin kesannya akan begitu terasa. ibadah, meski jauh dari sempurna namun nikmatnya begitu meresap. hubungan dengan makhluk, dan semuanya!

tersedar saya akan hakikatnya, sewaktu dia menuturkan kata-katanya yang paling menyentuh;

"akak...tahu tak waktu bila saya betul-betul boleh 'stop' daripada 'semua' itu?"
"oh bila?"
"sewaktu saya bersama-sama dengan akak dulu."

jujur, serasa seperti mahu menangis sedalam-dalamnya. jauh sekali merasakan penyampaian-penyampaian saya, atau kebersamaan-kebersamaan saya dengan dia dan mereka yang lain yang membuatkan dia sebegitu teguh dalam mujahadah-nya.

tidak, jauh sekali! sungguh-sungguh, bukan!

cuma, petang itu saya termuhasabah sendiri bahawa betapa sepanjang tempoh 'bersama' dia dan merekalah, hati saya sedang di takah terpaling rawan, sakit, dan perit bermujahadah dalam hal-hal saya sendiri. jujur, saya rindukan kepahitan dan kesakitan itu; selalu menuntun diri untuk sering-sering bersama-Nya. memaksakan diri untuk kerap bertilawah, kerap berjumpa-Nya, kerap istikharah, kerap mengadu, kerap mengharap, kerap menangis dan kerap meminta.

betapa kepahitan ternyata selalu menjadi ubat. jujur, saya betul-betul rindukan saya yang itu. jangan hilangkan, oh Tuhan.

terima kasih, adik.


2 comments:

Anonymous said...

terima kasih kerana menyentuh hati saya dengan tulisan2 akak.jzkklah.
-cik N-

Umairah. said...

cik N;
waiyyaki adik. doakan akak istiqamah :)