Pages

Friday, September 30, 2011

Simpan, buat yang halal.



Air tasik beralun seperti jatuh renik-renik hujan. Walhal hari masih terlalu cerah, terik dan terasa bahangnya. Muncul seekor, dua ekor, dan yang ketiga anak ikan melibas-libas ekor kiri kanan. Tahulah kami makhluk itulah punca air jadi berpusar-pusar. Hingga kami sangkakan hari hujan, meski matahari masih merembang kuat. 


"Bukan hujan rupanya." Dia senyum.


"Kecewakah?" Aku bertanya, dan dia menggeleng.


"Panas pun nikmat anugerah Allah juga, Kak. Selimut saya, kering!" Dia tergelak pula. 


"Kalaulah hati kita, boleh terasa dosa pahala, macam Kakak perasan pusaran air tadi. Nikmat juga, kan Kak?" Dia menyambung lagi.


"Awak, Kakak bukan ahlul lughah. Janganlah berbahasa." Aku berbasa-basi. Dia menyeringai.


"Tapi, kenapa? Hati problemkah?" Tukas aku, tertanya-tanya.

"Sikitlah, Kak." Pendek. 

Derap kaki masih melangkah. Kembang kelopak kiambang sesekali terusik. Gara-gara pasangan ikan uda dan dara asyik bercak-cak. Macam Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud menyanyi lagu "Sandarkan Pada Kenangan". Pergh! 

Hah, mungkinkah?
Spontan, aku tersengih. Ada-ada saja.

"Kakak tahu, antara perubahan saya yang paling besar sejak mengenali tarbiyah?" Dia serius benar. Mataku menenung tar dalam-dalam. Cuba menghayati.

"Hubungan saya dengan lelaki. Tarbiyah mengajar saya malu. Entah, mungkin kerana aktiviti-aktiviti kita, meski ada brothers, tapi selalunya berasingan. Kalaupun bercampur, brothers di depan, dan sisters di belakang. Malah, untuk bercakap sesama kita ada pengantara orang tua, makcik atau pakcik yang lebih dewasa. Untuk mengenal, apatah lagi. Mustahil." Dia diam sejenak, mengambil nafas.

"Saya tak rasa itu buat-buat atau pura-pura. Saya dapat rasakan, itu tindakan spontan. Akhlak tak boleh pura-pura kan, Kak?" Aku mengangguk.

"Alhamdulillah." Aku menyungging senyum. Lagi sekali.

"Tapi, Kak.. buat benda baik itu mudah. Tapi istiqamah dengan benda baik bukan mudah." Penyataannya aku faham. Dia alami konflik jiwa. Atau mungkin, sejarah berulang?

"Puncanya?"

"Saya rasa.. society. Eh, tak. Saya sendiri yang tak mampu kawal. Tak jaga taqwa. Saya kembali saya yang dulu. Saya ada rasa happy kalau lelaki menegur saya. Bercakap dengan saya. Bergurau dengan saya. Hati saya sakit kan, Kak?"

Sedikitpun aku tak terkejut.

"Itu normal. Awak pun tahu, positif negatif tak pernah menolak." Hujung kening diangkat. Dia diam. 

"Apa saya perlu buat, Kak?" 

Sesampai di pondok kayu berhampiran Bangunan Education, aku berhenti. Sebotol air mineral dikeluarkan,  lalu diminum. Dia melabuhkan punggung, duduk bersebelahan.

"Perasaan "berdosa" itu, nikmat. Sebahagian dari anugerah juga. Lagi nikmat, kalau kita sedar yang perbuatan kita itu satu dosa. Dan, mengubahnya!

Kita pernah mengalami keadaan tanpa bersua dan bercakap dengan lelaki, melainkan dalam keadaan terpaksa, terdesak, atau punya hajat yang penting. Kita terdidik dengan agak lama.

Dan keadaan tiba-tiba berubah. Setelah lama dalam keadaan "terjaga", tanpa diduga kita dapat peluang untuk bercakap, bersembang, bergurau. Dan, kita rasa "happy". Seronok!

Erm, cuba kaitkan situasi ini dengan situasi masa hadapan. 

Kita tak pernah bercakap, bergurau, berbaik-baik, bertanya khabar dan sebagainya dengan lelaki ajnabi. Kita terjaga. Tapi, satu hari, Allah hadiahkan pemuda beriman, jadi yang halal. Bukankah akan datang happy itu juga? Tapi, Kakak yakin perasaan itu tentunya lebih nikmat! Lebih dari happy yang ktia rasa awal-awal tadi. 

Sebab.. adanya redha Allah.

--

Anggaplah happy itu macam serbuk-serbuk dalam sekarung guni besar. Kalau kita gunakan serbuk-serbuk itu sekarang, rasa happy kita akan berkurang.

Mungkin yang tersisa hanya sedikit, untuk diguna pada masa hadapan. Sayanglah!

Pendek kata, Allah akan bagi nikmat yang sama. Tapi, sebab kita pernah guna nikmat tu sebelum masanya, maka pada masa hadapan nikmat tu dah berkurang. 

Macam juga dengan orang yang berehat-rehat di dunia. Kerehatan dia di akhirat kelak, pasti berkurang!

Allahhu Allah.

Ya Allah, peliharalah hati, hati, hati, hati, hati. Bolak-balik yang kadangkala iman cetek ini tak mampu mengawalnya. Kuatkanlah, teguhkanlah! T.T

Amin.




Thursday, September 29, 2011

Satu Hari.



Antara post yang tertangguh. Nak jugak tekan publish tengah-tengah malam ni. Walaupun, sebenarnya bukanlah masa yang sesuai. Huh.

Esok. Hmm, esok? Esok. Esok. Ya, esok! Hari yang mendebarkan. Huu. Rabbi yassir wa la tu'assir. :)



= = = = = = = = =


Bangun awal pagi, alhamdulillah! -ibadah

Bangunkan roomates kerana Allah- ibadah

Berwuduk, bersugi amalkan sunnah -ibadah

Qiyam dua rakaat- ibadah

Solat nawafil- ibadah

Solat wajib -ibadah

Zikir, al-mathurat -ibadah

Mandi kerana nak sihat tubuh badan, nak bersemangat menuntut ilmu, nak kuat beribadah pada Allah- ibadah

Bismillah, pilih baju, iron baju kemas-kemas, pakai baju cantik-cantik dan sederhana, tutup aurat kerana Allah -ibadah

Breakfast- sihat tubuh badan, bertenaga, bekerja untuk Allah -ibadah

Dengar radio rancangan baik -ibadah

Senyum dan bermanis muka pada roomates kerana Allah -ibadah

Beri salam, jawab salam, bermanis muka pada yang lain -ibadah

Jalan kaki atau berkenderaan ke kelas -ibadah

Tepati waktu -ibadah

Bersalaman dengan kawan-kawan -ibadah

Hormat lecturers- ibadah

Membaca, mengingat, menulis, menghafal, menjawab dan mungkin jugak  presentation? -ibadah

Berfikir -ibadah

Jalan ke masjid, duduk di masjid, solat di masjid -ibadah

Qoilulah (tidur sekejap sebelum Zohor) -ibadah

Nasihat kawan-kawan -ibadah

Lunch dengan sederhana untuk sihat, dan bertenaga untuk Allah- ibadah

Baca Al-Quran satu muka kerana Allah -ibadah

Tersepak batu, tolong alihkan -ibadah

Ternampak sampah, tolong buangkan- ibadah

Meeting! Itqan dan ihsan dengan kerja, jaga muamalah dan ikhtilat, program bermanfaat untuk orang lain kerana Allah -ibadah.

Discussion ilmiah- ibadah!

Ajak adik-adik, kawan-kawan berhalaqah kerana Allah -ibadah

Ke library baca buku, tambahkan ilmu- ibadah

Hadiri majlis ilmu, halaqah -ibadah

Ajak kawan-kawan ke majlis ilmu -ibadah

Belanja kawan-kawan -ibadah

Dengar , dan tengok video yang baik-baik -ibadah

Baca paper, update news dari saudara-saudara Islam yang lain- ibadah

Call ummi walid, ibu ayah, mak bapak, mama papa -ibadah

Tanya khabar adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, sahabat handai -ibadah

Kemas bilik, tempat tidur, basuh baju kotor (lagi baik cuci pakai tangan sendiri-heh!), susun buku, sapu sampah sebab nak jadi Muslim bersih -ibadah

Diuji, teruji, dan sabar -ibadah


= = = = = = = = = = = =


Islam adalah cara hidup, secara keseluruhan. Bukan separuh-separuh! (Al-Baqarah: 208)

Islam adalah patuh, tunduk dan taat. 

Dan, Islam mengajar bahawa hidup ini tiadalah semata-mata melainkan untuk beribadah kepada Allah. (Az-Dzariyat: 56)

Semuanya ibadah, hanya bila matlamatnya baik, caranya baik, dan diniatkan kerana Allah.

Senangkan nak dapatkan pahala? Cumanya dalam sehari berapa agaknya pahala "berkurang" sebab dosa-dosa "bertambah"? Tolak campur dengan hal-hal lagho dan tak bermanfaat. Tolak campur dengan hati yang belum sempurna ikhlasnya dalam ibadah. Yang entahkan amalan-amalan itu, ayam tak patuk. Itik pun tak sudu. Muflis!

Allahhu Allah. T.T

= = = = = = = = = = = =


Senangnya nak buat, tapi susahnya nak istiqamah! (Hud:112) Tambahan, manusia ini pelupa dan lemah (An-Nisa': 28)! Malah syaitan telah bersumpah akan menyesatkan kiri, kanan, depan, belakang. (Al-A'raf:16-17) 

Lalu, aku bertanya pada diriku; akan kuatkah kaki ini melangkah? Tegarkah hati ini bersendiri? Mampukah jiwa ini teguh? Apakah tertampung amal yang sedikit, on-off, jarang-jarang ini, untuk membayar harga dan nikmat Syurga?

Inikah sebabnya..

Terbinanya halaqah ilmu di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam agar wujud suasana tarbawi. Saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran (Al-'Asr: 3). Saling memberi dan menguatkan. Bermula dari peringkat membacakan ayat-ayat Allah, menyucikan hati, hinggalah ke tahap menumbuhkan iman dan menguatkannya. (Al-Jum'ah:2) 

Selain wujud evaluation Rasulullah terhadap ibadah para sahabat, sebagai galakan untuk terus berbuat, tanpa henti. Sebagai bukti, keimanan yang di dalam, akan menyerlah kekuatan menentang kuffar.

Inikah sebabnya..

Tampil Hasan Al-Banna, memperhalusi tarbiyah Rasulullah, lalu disusunnya menjadi satu sistem tarbiyah. Harapan meninggi demi mencetak generasi peribadi menggugah, yang pernah dulu menyejarah, membangun ummah. Mendalami sekecil-kecil sunnah dalam bersugi, bermanis wajah dan salam, hinggalah kesebesar-besar sunnah, yakni dakwah seantero dunia. Akhirnya bangkit menentang sekularisme yang cuba mewarnai "Muslim" dengan acuan Barat.

Hidup lebih terarah, pada tujuan pengabdian yang sebenar-benarnya dan khalifatullah. 
Subhanallah!



= = = = = = = = = = = = 


Ya Allah, jadikan waktu-waktu kami bermakna.
Ya Allah, jadikan hari-hari kami bermakna.
Ya Allah, jadikan kami sebenar-benar Muslim.
Ya Allah, warnailah kami dengan acuanMu. (Al-Baqarah:138)

Ya Allah, tetapkan hati kami untuk hidup dalam nafas tarbiyah.
Mengoptimumkan masa-masa, hidup, mati, ibadah hanya untukMu.

Selamanya untukMu!


Amin.








____
betulkanlah, andai aku tersalah. :)


*kredit: pic


Wednesday, September 28, 2011

hidup kita, mati kita.



"hidup kita,
..ialah mati kita."

bagaimanakah pengakhiran kita?
hmm.

allahhu allah.
T.T



____
video lain: islamictube.

Ah-ha! :)

Salam'alayk.

1. Creative Writing Workshop


2. Intellectual Forum


3. Seminar Penulisan Putra Putri Nusantara


4. Lain-lain event yang best, boleh tengok sini jugak.




_____
klik untuk larger image. 
*will grow longer. 

:)

Tuesday, September 27, 2011

Lega Yang Dua.



A: Aku ada masalah. Bolehkah kau jadi pendengar? Mahukah kau pinjamkan aku, waktumu sesingkat yang mungkin?

B: Itu sesungguhnya hakmu, jika nasihatlah yang kau mahu dari aku. Ini pesan Rasulullah. Maka, wajar sekali aku penuhi. Ceritakanlah.

A: Ini bukan masalah wang. Bukan juga harta benda. Bukan soal pelajaran. Tapi, makhluk kompleks, bernama manusia. Objek tiada perasaan, sewenang-wenangnya kita boleh perbuat sesuka hati. Tapi manusia punya perasaan, kita tak mampu agak kata hati. Kau setuju?

B: Ya. 

A: Jadi, apa nasihatmu untuk menenangkan hati yang serba kalut memikirkan tentang manusia? Kekecewaan mereka terhadap diriku. Kemarahan mereka, kebencian mereka, dan lain-lain.

B: Ketahuilah kawan, aku manusia lemah, tak selalu punya waktu untuk mendengar. Kebetulan, saat ini masa yang sesuai untuk kita saling berkongsi. Dengarkanlah nasihat ini. 

Mungkin ada SATU kelegaan selepas kau meluahkannya padaku. Kepuasan kerana telah meluahkan masalahmu. Namun, tidak akan terselesai juga rasa kalut yang mendatangi hati. 

Erm, mahukah kau, kalau aku cadangkan satu lagi cara demi memperoleh DUA kelegaan?

A: Kongsikanlah, agar hati aku lebih tenang.

B: Bila mengadu pada Yang Maha Kuasa, kelegaan pertama ialah ketenangan pada hati sendiri. Keyakinan, kepercayaan, dan keimanan kita pada kekuasaan Allah malah bertambah-bertambah. Dialah penyembuh saat sakit. Dialah pengaman saat takut. Dialah peneduh saat terik. Dialah penyaman saat dahaga. Dialah penenang saat gusar. Kerana Dialah sesungguhnya Maha Pencipta!

Keduanya, manusia di sekelilingmu antara makhlukNya juga. Pintalah agar dilimpahkan kasih sayang antara engkau dan mereka. Dihilangkan rasa mazmumah dalam diri. Ditautkan cinta dan disuburkan nikmat ukhwah fillah. Bukankah dengan keyakinan ini akan menemukan kelegaan yang kedua, bahawa Dia pasti akan memperbaiki hubungan kita sesama manusia? Bukankah juga penyelesaian ini yang kau mahukan?


Doa yang baik dengan cara yang baik tiada alasan untuk tertolak, kawan!
Berlarilah menuju Tuhanmu. Dialah yang PERTAMA, selamanya!


27 sept: praktis; Dia yang pertama! :D








____
rasa macam post ni complicated sikitlah. entah tersampaikah maksud entri? =.='

btw, video nie macam relate jugak dengan post nih. 
agak panjang, tapi boleh dengar sikit-sikit. 
tak rugi, best-essttt~ :)


*kredit pic

Monday, September 26, 2011

Ba'da 'Isyak.

aku cuma mahu bertanya, sekilas. 
seringkas, yang hanya hati boleh berkata YA, atau TIDAK.

dalam sehari-hari, sejauh manakah kebersamaanku dengan Allah?

andai pada solat, tersingkapkah hijab tanpa tabir, antara hatiku dan "roh"Mu?
andai pada muamalah, sampaikah cinta tanpa terucap, dari bumi ke langitMu?
andai pada ilmu, luruskah hati hingga huruf-huruf telus bersuara pada akhlakku?
andai pada kesibukan, sampaikah itqanku hingga mizan memberat di kananMu?
andai pada auratterlindungkah 'aib jasad, cacat hati pada makhluk jua padaMu?
andai pada dakwah, apakah sekadar hak insani, atau jujur tamakkan redhaMu?

sampaikanlah padaku,
ikhlas, ikhlas, ikhlas.


___
ba'da 'isyak, 26 sept.
sum/11

Saturday, September 24, 2011

satu tiga.

hari; satu, tiga
sem satu
tahun tiga

gombak.

"pembelajaran berlaku hanya bila ada perubahan." -ustaz akmal, 2011.

:)

Friday, September 9, 2011

Seindah Adik.






"Ya Allah, tunjukkanlah kepadaku akhlak yang terbaik, sebab tidak ada yang memberikan petunjuk kepada akhlak yang terbaik kecuali Engkau. Ya Allah, palingkan aku dari akhlak yang buruk, sebab tidak ada yang memalingkan akhlak  yang buruk kecuali Engkau."

Allahhu Allah.:'(




____
"orang-orang beriman yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan manusia yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (hadis sahih, riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi.)


*pic: kredit

Geraham.

"Sampai masanya tibanya waktu,
Redup hati kamu berdua,
Bila dua jasad bersatu,
Hidup mati jadi bersama."

[Hikayat Merong Mahawangsa, produk KRU]

Mahukah kau dengar ceritaku? Bukan, bukan. Ini bukan hikayat karut Hikayat Merong Mahawangsa meski puisinya sungguh indah. Ini hikayat tanpa puisi, tapi bagiku terkandung hikmah seribu satu. 

Hikmah bahawa hidup ini adalah satu anugerah, meski sebatang.. errk gigi?

Sudah kutanyakan pada hatinya, dan dia menjawab telus jujur. "Ya", untuk aku coretkan serba satu persis kisah yang diceritakannya. 

Kata dia, dia pernah trauma. Satu ketika dahulu, dan dia membesar dengan trauma itu. Trauma dengan doktor gigi, lantaran pernah giginya diproses rakus, tanpa belas. Sakit menahan pedih, dan terseksa menahan garangnya seorang doktor perempuan. Dan doktor itu adalah salah seorang kakitangan kerajaan. Sejak itu, dia seolah berjanji pada diri, takkan pernah lagi menjejakkan kaki ke Klinik Gigi, walau siapapun doktornya. 

Kata Hasan Al-Banna, bagi seorang Muslim, sekurang-kurangnya sebulan sekali dia harus menjalani rawatan kesihatan. Ini, penting! Oleh sebab trauma yang sudah membengkak, dia tiada pernah peduli. Hinggalah, ke hari ini. Giginya berlubang teruk, dan sakit! Akhirnya, dengan nasihat, sokongan, dorongan, dan bantuanku, dia bersetuju ke klinik gigi.

Gerahamnya harus dicabut segera, sebelum makin teruk sakit yang ditanggung. Mulalah dari suntikan yang pedih-pedih gigitan semut merah di kiri, kanan, tepi, belakang geraham itu, hinggalah ke kapas yang disumbat demi menahan lelehan darah merah tanpa henti. 

Phew. Dan, aku juga terlihat ada percikan darah mengena di kerudung merah jambu yang dipakai.

"Kau tahu, hilang sebatang geraham, hilang nikmat makan kueytiaw dan nasi goreng!"
"Kau tahu, hilang sebatang geraham macam hilang sebelah buah pinggang."
"Kau tahu, hilang sebatang geraham, macam hilang diri sendiri."

"Tapi, aku tahu kau takkan pernah tahu sebab kau tak pernah rasa." Itu kata dia.

Kata aku pula,

"Hilang yang satu, tapi kau masih punya yang lain."
"Hilang yang satu, tapi kau masih sempat mensyukuri yang lain."
"Hilang yang satu, tapi kau masih sempat menghargai nikmat Allah."
"Hilang yang satu, tapi kau masih sempat merasai sakit itu rencah hidup."
"Hilang yang satu, tapi kau masih sempat menjaga anggotamu yang lain."

"Usah dipandang satu yang kau hilang, pandanglah ribuan nikmat yang masih kau miliki."

Oh!

Satu hari nanti, akan kukisahkan lagi kisah dia bilamana aku jadi seorang nenek. Biar cucu-cucuku tahu mengambil hikmah. Bahawa hidup ini anugerah, dan nikmat meski hanya sebatang gigi. 

Dan, aku yakin sekali. Cucuku, Muhammad yang bijak pasti bertanya itu dan ini. Aku pasti, dia akan minta aku mengangakan mulut. Dengan celoteh nakalnya, dia pasti akan bertanya:

"Nenek, kenapa gigi nenek hilang satu? Gigi nenek kawan Mat hilang semua?"

Aku pasti tersenyum puas. Membelai manja, dan merangkul mesra:

"Pertama, sebab nenek pernah takut dengan Doktor Gigi."
"Kedua, sebab gigi nenek pernah berlubang teruk."
"Ketiga, sebab sejak itu, nenek berjanji akan menjaga kesihatan sebaiknya."

Saat itu, aku sungguh yakin. Muhammad pasti berbangga besar sebab ada nenek yang mampu drive pada usia 60 tahun, untuk bawa dia dan sepupu-sepapatnya ke klinik gigi sebulan dua kali.

Phewww. 
Heheh. :P

Amin. :)






_____
"hendaklah engkau segera bersegera melakukan general check-up secara berkala atau berobat, begitu penyakit terasa mengenaimu. di samping itu, perhatikanlah faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh. dan hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan." -hasan al-banna, rpim bhgn II, hlmn. 177

*kawan-kawan, sama-sama jaga kesihatan.  xD

mimpi-mimpi kecil dunia.










___
ps: dan err..walaupun kita tak sebaik mana untuk mengimpi suami dan isteri yang soleh dan solehah. bukankah doa juga adalah sebahagian dari takdir? Dia tentunya "melorongkan" usaha.

..tapi, "aku punya mimpi yang LEBIH dari itu". hmm. moga Allah lorongkan!


pic: kredit


Wednesday, September 7, 2011

"Aku hanya mahu sesederhana itu. Susahkah?"










_____
"Writing is a way of talking without being interrupted." -Jules Renard.

"You are what you write." -Helvy Tiana Rosa.



"Akak dah dapat. Terima kasih. :)"


"Tahaddhu Tahabbu."

Ukhti, 


Jazakillahhukhayran.
Barokallahhufik.
Ma'aki at-taufiq wannajah fi limtihan ad-dirosatil 'ulya.


:)




____
7 September 2011.
12.30 tengahari.
Penang.



Tuesday, September 6, 2011

kekal fleksibel, tapi praktikal?



ps: anis (rumate) yang ajar buat macam ni. beli satu buku yang cantik sikit. khaskan untuk tulis quote dari ceramah on9/lectures/buku-buku/twitter/fb/blog/public figures/daurah/etc. nasihat simple. boleh jadi "teman" waktu tunggu bas, bayar yuran, tunggu giliran, tunggu lecturer, lepak, dan sebagainya. :) boleh cuba, macam best jugak~  xD


Folder dan dokumen-dokumen lama dipunggah. Terjumpa part ini dalam cerpen (cerpan sebenarnya, sebab agak pan-jang) yang dikarang. Sampailah juga dalam beberapa pages di MW. Cumanya, tak pernah habis (huhu). 

Bila baca balik, macam biasa akan tersenyum-senyum sendiri. Sebab apa yang ditulis waktu itu, hakikatnya menggambarkan emosi waktu itu. Dan, kadang-kadang macam lawak juga.  Sebab terasa diri sungguh tidak matang. 

Tapi, ada juga part yang menyentuh hati. Sebab mungkin juga pemikiran, tingkah laku, akhlak kita yang waktu itu, lebih baik berbanding sekarang.  Yang kini, mungkin ter-berubah sikit. Ter-jahat, dan ter-lupa mencuci hati. (hmm)  

Persis! 
Macam sekarang.

Itulah kan, orang kata tulisan kita boleh "menembak" kita balik.
Positif atau negatif, tak mengapalah. 
Sekurang-kurangnya, nasihat buat diri sendiri. 

Cukuplah muqaddimah.

Copy dan paste. Tapi, tak semualah. Mana tahu, ke depan-depan lagi, boleh jadi novel? Tak bestlah kalau dah baca dulu, kan? (ahah) Berangan! :P


++++++

"Hati manusia itu, sekejap saja Allah boleh ubah."

Ya, betul. Hatinya mengakui. 

"Siapa sangka yang dulu jahat, sekarang boleh jadi baik? Dan, siapa yang boleh jamin, yang dulu baik, sekarang masih lagi baik?"

Hmmm. Betul juga. 

"Sebab itu, kita tidak berhak untuk menghukum. Sebab nilaian baik di mata manusia, belum tentu baik bagi Allah. Dan nilaian jahat di mata manusia, kita tak tahu, dia mungkin kelak mulia di sisi Allah."

Rakaman ceramah dua bulan lepas itu diulang-ulang. Berpuluh-puluh kaset tersusun rapi di rak meja. Memang menjadi hobi, setiap kali ke kuliah mana-mana perakam Sony akan dibawa. Rakaman akan diulang dengar, lebih-lebih lagi bila ada waktu senggang sebegini. 

Hari ini pula, masuk hari keempat dia uzur. Keuzuran buat jiwa kadang-kadang terasa kosong. Benarlah, solat itu sungguh penghubung jiwa hamba dengan Tuhannya. Meski boleh saja ketika waktu uzur, mulut berzikir, dan hati boleh ingat Allah, namun tidak akan pernah sama dengan merasai nikmat rukuk dan sujud dalam solat. 

Bila terasa kosong inilah, jiwa perlukan pengisian. Pengisian langsung, dan dia rasa kaset-kaset itu boleh juga sedikit sebanyak mengubat hati.

"Baik dan jahatnya manusia takkan pernah berhenti. Sekali buat jahat yang kecil, tak mustahil dia akan buat jahat yang lebih besar kelak. Begitu juga kalau buat baik. Kalau baik yang kita sudah rasa terbaik pada hari ini, mungkin ada yang lebih baik dari itu. Pendek kata, kita berubah setiap hari. Walaupun cuma ruang-ruang kecil."

Dr. Mira masih terus dengan bicaranya. Sofea masih setia dengan earphone yang disumbat ke telinga. 

Ya. Betul sekali. Dulu, rasa macam sudah faham Islam. Memegang jawatan dalam ABSAR (Angkatan Briged Sahsiah dan Rohani) di sekolah macam sudah cukup bagus. Akhlak macam sudah baik. Diri pun macam sedia faham dengan tugas-tugas pendakwah; menyeru makruf dan mencegah mungkar. Rupanya, belum lagi.

Hinggalah menjejak ke sini, jiwa macam baru kenal Islam. Kenal tarbiyah. Diri yang boleh dikatakan sebagai kakak naqibah dulu, macam tak kena. Banyak kemahiran yang belum dikuasai. Ilmu pun, makin dipelajari, makin rasa diri ini jahil.

Sofea mengeluh perlahan. Namun, dalam diam tautan syukur Allah menemukan dia dengan butir paling berharga. Mutiara yang tak pernah berkedip, terus memancar, demi menyinari sekeping hati.

Tarbiyah yang banyak menghentam jiwa. Sakit, tapi manis. Tarbiyah yang banyak menggegar naluri dan rasa. Pedih, tapi nikmat. Tarbiyah yang mengajar nilai ukhwah. Ukhwah yang harus tegar menelan kekurangan diri. Sedia ditegur bila-bila masa. Sedia menasihati, bila perlu. Tarbiyah yang mengajar harga iman, dan nilai malu. Tarbiyah yang membentuk nilai ikhlas. Tarbiyah yang mengajak diri menjaga kesucian hati. Tarbiyah yang mengekang jalan-jalan ke arah maksiat. Tarbiyah yang memperkenalkan cinta hakiki. 

Dalam tempoh mengenal tarbiyah, dia jatuh dan bangun. Prinsip tarbiyah kadang banyak yang tak selari dengan tabiat dan kemahuan diri.

Susah. Susah sekali. 


++++++


Sesudah baca, rasa diri macam Sofea. Dan Sofea macam diri sendiri. Susahnya mengekalkan momentum "tarbiyah" dalam diri. 

Kadang-kadang, diri tahu ini salah. Ini betul. Tapi, selagi mana belum jadi prinsip dan sistem dalam diri, maka  diri tak mampu untuk beramal. Dan bila tak cuba beramal, tak mudah jadi tabiat. Dan, bila tak jadi tabiat, tidaklah terbentuk serta kekal sebagai akhlak. Maka, kekallah diri sebagai orang yang tahu, tapi tak beramal. 

Tak payah berbicara tentang orang lain. Cukuplah, diri sendiri.

Betapa susahnya.

Susahnya mengikis jahil. Membina prinsip. Membentuk tabiat. Dan, membina akhlak. Dan yang paling penting, istiqamah dengannya. Di mana-mana, bila-bila masa dan dengan siapa-siapa pun.

Alangkah, bestnya..
Dapat jadi orang yang baik, sebaik itu! :)


"Jangan pakai dua topi. Satu yang ditarbiyah. Satu lagi bukan. Kerana kita adalah hamba RABBANI." (DT, 19 Jun 2011) 

Oh, macam mana nak kekal fleksibel, tapi praktikal?







___
selalu teringat lirik lagu nie, kalau terasa diri dah tukar blog jadi diari.  


"kasihan, mungkin dia tidak punyai kepakaran
kasihan, mungkin dia perlukan perhatian.."


:)


ps: i love you too.

 

Yang selalu menjaga imanku,
Walau aku mungkin marah? Mungkin membentak?
Mungkin menjauh? Mungkin membenci?

Yang selalu cemburu aku bermaksiat pada Allah,
Walau aku mungkin mengeji? Mungkin menghina?
Mungkin melupakan?

Yang selalu mencintaiku ikhlas keranaNya,
Walau aku mungkin menghilang? Mungkin tak bertegur?
Mungkin menjeling?

Yang selalu mendekatkan aku padaNya,
Walau aku mungkin menolak? Mungkin menghilang?
Mungkin menyepi?

Walau ada semua kemungkinan,
Hati kita Allah yang pegang.

Ya, adakalanya dorongan nafsu
Aku cuba menghilang, cuba menyepi, cuba diam,
Cuba melupakan

Apa yang aku dapat?
Makin cinta, makin rindu, makin kasih.

Anehkan?

Sebab, hati kita Allah yang pegang.
Sebab, cinta kita milik Allah.
Sebab, rindu kita milik Allah.

Dia berhak membolak-balikkan hati,
Sesuka yang Dia mahu, sekelip mata!

Belajarlah aku,
Mencintai dengan iman.
Cinta Allah kita dapat, cinta manusia pun kita dapat.


ps: i love you too. for the sake of Allah. jazakillahhukhayran. (:

Monday, September 5, 2011

Ikatan.



= = = = =
petang, 4 syawal.

berkemas-kemas. penang menyeru. langkawi "menghalau".

"ala, nanti kakak rindu najwa. jom, pi rumah kakak, nak dak?"

najwa diam.

"jomlaa."

najwa geleng.

"nanti kakak rindu."

najwa masam. 
maksu balik. 
najwa peluk maksu. 
najwa bisik.

"mama, depa kata depa rindu kat adik."

maksu sengih.

"sapa nak rindu kat adik?"

najwa jawab.

"paklong det."

maksu gelak. 

"manaaaa? paklong tak rindu kat adik aih."

najwa berlari-lari. bersandar tepi pintu.
dan mula berkata-kata lagi.

"hampa jangan rindu kat kami. kami tak rindu kat hampa pun."

:')

= = = = =
indahnya.
kalau kita berkeluarga di dunia,
kekal berkeluarga di Syurga.

cuma,
kadang-kadang, ikatan kita ikatan manusiawi.
bukan ikatan Ilahi. bukan ikatan akidah.

sebab itu, hilang amar makruf.
hilang nahi mungkar.

ya Allah.
;(

= = = = =
herm, obses update. sebelum berangkat pulang. uia pula yang menyeru. ikatan di sana pula yang memanggil.



Sekali lagi..

quote! :)


"Anak-anak itu hendaklah dilatih menjadi pejuang Allah maka mereka perlu mendidiknya dengan piawaian Allah. Jika piawaian itu menyatakan mereka perlu dididik tanpa ibu untuk menjadi mujahid yang unggul maka tanpa ibulah." (pg. 21)

"Hassan Al-Banna menyuruh semua ahli Ikhwanul Muslimin supaya jangan minum teh, kopi, dan minuman ringan kecuali benar-benar perlu atau terpaksa." Nazneen memberikan penjelasan. (pg. 26)


= = = =
"Nazneen pengikut jemaah?"

"Kita semua satu jemaah. Islam. Bukankah Rasulullah pernah bersabda, apabila kamu tidak dalam jemaah, kamu seperti biri-biri yang terlepas daripada kelompoknya dan mudah diserang oleh serigala." 
= = = = 


"Anak-anak saya perlukan seorang ibu yang tahu ilmu dunia dan tahu ilmu akhirat. Seorang ibu yang bijak pandai. Seorang ibu yang tahu menghormati ayah mereka. Ibu yang tahu kedudukannya di sisi ayah mereka. Ibu yang tahu potensi mereka, yang akan mengajar mereka menjadi manusia dan bukan sekadar menjadi seorang orang." (pg. 95)

"Tapi kebanyakan mereka hanya mampu melahirkan orang. Tidak banyak perempuan yang mampu melahirkan manusia." (pg. 95)

"Ibu imam abu hanifah ditanya, bagaimana dia dapat melahirkan anak seperti imam itu? Dan dia menjawab; aku mendidik anakku 20 tahun sebelum ia lahir." (pg. 142)

"Maksudnya, dia mendidik dirinya sejak remaja. Jika dia mahu anaknya mencintai ilmu, dia dulu perlu mencintai ilmu. Jika dia mahu anaknya mencintai Allah, maka dia dululah yang mencintai Allah. Saya mahu anak saya menjadi kedua-duanya dan berdikari." (pg. 142)

"Kelincahan, keriangan tenaga, dan kelasakan seoang anak kecil, semuanya dia peroleh daripada ibunya sejak ibunya masih dara lagi." ~petikan dari "Gitanjali" karya Rabindranath Tagore. (pg. 142)


= = = =
"Saya minta Cikgu Nazneen tunggu sehingga saya 25. Tapi..itu belum tentu dapat menutup mulut orang cuma setidak-tidaknya suara saya akan didengari."

Begitu sekali kau mencintai Nazneen?

"Maruah Cikgu Nazneen ialah maruah saya. Saya akan jaga sedaya-upaya." tegas Ahmad pada dirinya sendiri.

"Awak sangat cintakan Nazneen." Bushra membuat penyataan.

"Allah saja yang corakkan cinta saya. Bukankah celupan Allah itu celupan terbaik?"
= = = =



*re-read; setulus setia seindah nama, siti hazneza abd. hamid, cetakan pertama 2007.

Sunday, September 4, 2011

kenapa?


pernah tak?

kadang-kadang, maaf kita mendahulukan manusia berbanding maaf pada Allah.

maaf, kerana kita terpaksa menolak. maaf kerana kita terpaksa ignore. maaf kerana kita terpaksa delete. maaf kerana kita terpaksa block. maaf kerana kita terpaksa lupakan. maaf kerana kita terpaksa menjauh. maaf kerana kita terpaksa berbeza. maaf kerana kita terpaksa diam. maaf kerana kita terpaksa stop. maaf kerana kita terpaksa tegas. maaf!

maaf kerana kita terpaksa ini dan itu, semata-mata mahu melaksanakan perintah Allah sebaiknya. mahu jadi Muslim. mahu jadi Mukmin.

namun, meski perintah Allah kita ikut, dan larangan Allah kita tegah, dan kita cuba-cuba jadi Muslim, dan kita mahu jadi Mukmin..

kenapa masih ada rasa keterpaksaan?
kenapa masih ada rasa berat?
kenapa masih belum benar cinta?
kenapa masih belum benar benci?

dan, kenapa masih mendahulukan maaf pada manusia
berbanding maaf pada Allah

..kerana kita belum
benar-benar ikhlas
benar-benar benci
benar-benar cinta

pada laranganNya.
pada perintahNya.

"ampunkanlah ya Allah, kerana masih juga gagal mendahulukanMu."
:'(


___
kredit pic: original.