Pages

Tuesday, June 28, 2016

Ramadhan & Perempuan Cantik.

bismillah

mengarang di malam 22 Ramadhan yang sunyi, ditemani naskhah Duhai Perempuan, Menulislah Agar Engkau Semakin Cantik.

suatu keberuntungan bagi saya, menemukan tulisan penuh hikmah sebegini. pada saya, inilah pejuang 'feminis' yang benar, memperjuangkan hak sisi perempuan pada letak duduknya yang sebenar.


Duhai Perempuan, Menulislah Agar Engkau Semakin Cantik, Reni Nuryanti; hlmn. 8

sungguh, kefahaman saya selama ini telah tersalah. bahawa perempuan, dengan segenap tanggungjawab sebagai isteri atau ibu, boleh jadi keterbatasan baginya untuk terus berkarya. ada sahaja, masa-masa menulisnya seakan 'dicuri'. 

ada sahaja kerja-kerja yang 'menganggu' otak fikirnya, sebelum perkataan mampu dituntaskan pada kertas. baju belum dicuci, rumah belum disapu, kain belum dilipat, dan sebagainya, (belum lagi dengan tukar lampin atau suap makan anak, isk, isk, isk). hari-hari dan masa-masa lapang pula, entah ke mana pula keghairahan menulis, cis!

namun ironinya, bukan sifar perempuan yang menulis! sungguh sayang sekali, bila tidak dituliskan kerana pengalaman baik atau buruk yang tertulis adalah merakam jejak-jejak kita. tidak kiralah, kalah atau menang.

"kecantikanmu bukan dari kemolekan tubuhmu, tapi wujud oleh batin, saripati dari ketenangan, kelembutan, ketajaman pikir, dan kepekaan cara pandang. sedangkan mahkotanya: tulisan."
- Duhai Perempuan, Menulislah Agar Engkau Semakin Cantik, hlmn. 8

dengan perasaanlah seseorang perempuan itu hidup. ia akan tumbuh dengan baik, jika siramannya baik dan sebaliknya. nah, saya masih mahu menjadi perempuan yang secantik itu; berkata-kata lewat huruf-hurufnya.


ii

menghadiri sesi Diskusi Syariatullah-Sunnatullah baru-baru ini, tertarik saya pada salah satu topik sampingan yang dibincangkan. isu yang tidak dimasukkan Ustaz Hasrizal dalam buku Aku Terima Nikahnya. 

kata Ustaz, 'perkataan' merupakan antara elemen penting dalam pernikahan. dengan kata-kata, kita mampu menyampaikan dan menyatakan perasaan. ketandusan kata-kata dengan sebab ceteknya pembacaan, merupakan antara penyebab berlakunya perceraian.si isteri/suami tidak tahu memuji, menyatakan, menjelaskan, hinggakan keduanya hanya tahu melabel, menghukum dan menyalahkan sesama sendiri.

suka saya ketika Ustaz menerangkan isu ini dengan contoh perbualan beliau dan anaknya. saat masing-masing mendengar lagu Talking To The Moon, Ustaz meminta anaknya untuk menterjemahkan tajuk lagu ini. Yeop menjawab, "BERCAKAP DENGAN BULAN" Ustaz memintanya sekali lagi untuk menterjemahkan dengan lebih baik. akhirnya, Yeop mengalah dan meminta abinya pula memberikan jawapan. jawab Ustaz pula, "BERBICARA DENGAN REMBULAN."

keduanya sama sahaja, namun berlainan dari segi penggunaan bahasa. yang satu, kaku. yang kedua, lebih lunak dan sedap didengar. "dengan sebab inilah, Yeop tak boleh bercinta lagi..." itulah jawapan lanjutan Ustaz yang dikongsikannya pada kami. 

kata-kata selalu mengajar kita untuk berfikir, atau lebih baik lagi menyampaikan dan menyatakan pandangan, pendapat, perasaan dengan lebih baik. kata-kata adalah terbitan peribadi, bersumber dari nurani. baik akhlak, baiklah kata-kata. itulah yang saya percaya, sedari dulu. 

disklaimer: topik utama Diskusi Syariatullah-Sunnatullah bukan tentang nikah, ya. hasil diskusi, masih sedang diusahakan ditulis. ngeh.



iii.  

kata Erma Bombeck, "it takes a lot of courage to show your dreams to someone else." tidaklah saya tahu, apa yang Allah sediakan untuk saya di masa depan. usahakan saja apa jalurnya, sebab tiada yang sia-sia dalam perjalanan. 




maka 10 Jun yang lalu, pengalaman diinterviu masuk sebagai pelajar semula di ASWARA adalah salah satunya. tipulah kalau saya tidak ragu-ragu. namun, diterima atau tidak, paling tidak saya harus mencuba. entahkan apa kata putusnya, saya masih menunggu dengan debar. apapun yang ditakdirkan; baik ditolak atau diterima, saya yakin sekali ia pastinya baik untuk saya. 

sepulang dari interviu, dan hari kebelakangan macam 'dirasuk' pula dengan kata-kata dari buku-buku yang saya baca. aduhai, buku selalu menjadi teman yang manis begitu. 

Manuskrip Yang Ditemukan Di Accra, Paulo Coelho; hlmn. 63


The Year I Met You, Cecelia Ahern; pg. 9


iv.

sekianlah, menulis untuk saya jelas dengan perasaan sendiri, menulis untuk saya tahu apa yang tidak saya tahu, menulis untuk saya menjernihkan fikir, menulis untuk saya mengesahkan faham, menulis untuk saya meyakinkan diri, menulis untuk memberitahu bahawa saya masih ada. 





_____
ps: buku-buku di atas boleh didapatkan di sini;

Duhai Perempuan Menulislah Agar Engkau Semakin Cantik: Abu Ilkiya
Manuskrip Yang Ditemukan Di Accra: Jejak Tarbiah
The Year I Met You: Debook Room

6 comments:

dr.adilahhebat :) said...

Beautiful,
as usual.

dan bagiku,
cantik melalui tulisan itu bukti cantiknya jiwa.

love your writings k.umairah :')

moga Allah terus mengilhamkan kata-kata,
untuk menulis dengan bahagia,
despite of whatever condition you've been through and will be.

;')

Syuhada said...

Ah, saya pasti jatuh cinta setiap kali membaca post terbaru di sini! :)

Berkenaan (i), tersangatlah benar. Seringkali saya berasa terkilan kerana hampir kesemua blog kegemaran saya terbiar sepi tatkala penulisnya bertemu si cinta hati. Saya fikir, barangkali itulah lumrahnya: kita terpaksa melepaskan sesuatu yang kita minat (i.e. menulis) apabila sudah berkeluarga. Membaca petikan buku Reni Nuryanti di atas nyata memberi saya inspirasi untuk terus menulis, biarpun setelah direzekikan Tuhan untuk berkeluarga kelak.

Nurfatin said...

Alhamdulillah..prkongsian yg menarik ukht ^^ moga trus istiqamah dlm myampaikn kebaikan. Moga terus diberkati.. ameen.. salam ukhuwah.

Umairah. said...

dr.adilah;
jzkkheir adilah. doakan akak selalu. harapnya bila akak menulis, adalah yang terus membaca, haha :p

syuhadaa;
ameen, akak doakan yang sama untuk syuhadaa insyaAllah :D

fatin;
terima kasih fatin. salam ukhwah kembali :)

atenmunirah said...

kenapa setiap kali lepas baca post dari blog akak, saya rasa saya pun kena menulis paling kurang satu post baru di blog saya? Rasa macam akak bagi roh dari tulisan akak ni untuk mempengaruhi saya. Haha!Dah banyak sebenarnya draf dalam kepala ni nak ditulis, tapi tulah. Macam biasa, tertangguh. (ke ditangguh? Hm) As usual kak, teruskan menulis, supaya saya pun ter-rajin untuk menulis. hehe

dr.adilahhebat :) said...

jangan risau,
insyaAllah akan ada sentiasa yang menanti,
dengan penuh setia,
akan penulisan jiwa yang tak pernah tidak,
kena dengan jiwa :)