Pages

Tuesday, July 21, 2020

menulis seperti Nicole, Marriage Story (2019).



 
"What I love about Charlie" - Nicole, (Marriage Story, 2019)
 
 
KOPI. MARATHON. KASUT. ONE PIECE: sinar matanya secemerlang bebola api ketika berbicara tentang ini atau apa-apa sahaja yang memancing minatnya, tiada limitasi. dia terlalu ramah ketika berdua, memilih diam jika terlalu ramai. begitu senang berteman, suka menerima tamu, begitu berbeda dengan aku yang janggal, tetapi dia dengan begitu selesa, mudah membawa diri di kenduri-kendara.

dia selalu tampil ringkas dan sederhana, tidak membataskan diri untuk mesti punya apa-apa. misalnya, dia boleh memasak apa sahaja dengan bahan yang ada, bukan suatu kemestian adanya bahan itu atau ini. uniknya, setiap kali itulah masakannya menjadi. dengan pes mee goreng, dia jadikan nasi goreng. dengan sedikit rempah, ayam atau daging diperap jadi secukup rasa. adakala selalu culas meletakkan apa-apa barang ke tempatnya semula, atau aku sebenarnya yang terlalu cerewet? ahah!

dia suka bermain dengan skru, tukul, gerudi dan peralatan seangkatan – seorang ‘handyman’ pada mata aku. dia senang membaiki kipas, membetulkan lampu, menukang meja atau memasang apa sahaja sebolahnya dengan kudrat sendiri persis Ayah – barangkali idola nombor satu di hatinya.

dia jarang menjelaskan tentang perasaannya, atau aku sebenarnya yang terlalu meraikan hal ehwal emosi? pernah di Jogja, katanya perasaan adalah beban yang wajar diminimalkan. tetapi jika aku terlalu larut dalam emosi, butuh masa dengan menyepi untuk merasionalkan kesemuanya, dia juga akan berdiam diri. namun entahkan diamnya bermakna ingin merai atau sebenarnya malas peduli? aku sendiri tidak pasti, tetapi setiap kali aku berdiam diri, emoji ciuman dan pelukan yang sesekali random itu ternyata begitu menenangkan.

seorang yang pandai menggunakan wang, tahu berjimat – seringkali melebihkan keperluan isteri dan anak. sesekali membebeli isteri yang cuai, gopoh, tertinggal itu ini, malas mendobi, berlebihan menata emosi dan adakala berbelanja yang tidak perlu.

dan seorang Abah yang sering peduli hal-hal kecil; kuku ‘Akeef yang panjang, tubuh ‘Akeef yang kemerahan gatal, gigi ‘Akeef yang tidak bergosok, atau tangan ‘Akeef yang terkadang begitu lekas memukul sana sini, serta hal-hal lain yang butuh perhatian seorang Abah sebetulnya.

ah, kita selalu cenderung melihat secebis keaiban, jarang sekali menutup cela dengan segala kebaikan. adakala kita seperti Nicole dalam Marriage Story yang begitu lekas dan mudah menafikan. ketika dia dengan tulus berkata;
 
 “I’m not going to read this out loud. I don’t like what I wrote.” - Nicole (Marriage Story, 2019)
 
 tidak, hari ini aku ingin menulis, bercerita, berteriak selantangnya seperti aku.

No comments: