Pages

Wednesday, March 30, 2016

khusyuk dalam The Lost Symbol.

bismillah

i.

WRI-TER
noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books. 

KA.FEIN masih menderu laju dalam darah saya saat ini. tidak dapat tidak, saya terpaksa akur, ia sememangnya ada kuasa dalam menggerakkan kepala dan jari saya sekaligus. hingga kini saya belum mendapat jawapan, mengapa kebanyakan penulis adalah seorang peminum kopi tegar walau tidak semuanya?

saya sedang mencuba untuk menulis lebih banyak, menyedari setiap satunya ada memori tersendiri. saya mahu mengulang baca, meski sayalah yang menulis dan sayalah juga yang membaca. kekangan masa, selain emosi yang mendesak, seringkali menghalang saya menulis; sama ada malu menuliskan atau resah dibacakan.

saya paling maklum, sayangnya jika tidak menuliskan, kerana hari-hari adalah refleksi yang berterusan. saya semacam Sylvia Plath sewaktu beliau sendiri akur, "every story, every incident, every bit of conversation is raw material for me." 



ii.

bercerita tentang 'conversation', sambil makan malam semalam, Faaizz suarakan pada saya tentang satu mesej dalam halaman-halaman The Lost Symbol, tulisan Dan Brown. nah, janganlah dibayangkan situasi ini persis acara bedah buku dengan sandaran hujah, jargon atau istilah yang hebat belaka. percayalah, ia berlaku dalam keadaan biasa-biasa sahaja semacam orang lain rancak bersembang dan bercerita sesantainya. sekurang-kurangnya, ayat "power ni power!" berdesing berkali-kali ke telinga, ketika saya ralit mengunyah nasi berlaukkan sup ayam. begitulah semangatnya orang di sebelah saya berkisah tentang penulis kegemarannya.

genre bacaan kami berbeza. dia pilih Dan Brown. saya pilih Elizabeth Gilbert. dia pilih Nizam Bakeri, saya pilih Imaen. dia pilih Stephen King, saya pilih Cecilia Ahern. namun satu keberuntungan besar bagi saya jika dia bercerita tentang apa-apa sahaja didengar atau dilihat, khususya yang dibaca. dengan sisi extrovert orang lain, kita yang introvert ini macam baca, tapi sebenarnya kita tidaklah baca pun, hiks! iyalah, dari A ke Z dia mampu bercerita dengan panjang lebarnya, phew. 


The Lost Symbol, Dan Brown

entah sejauh mana kebenaran fiksyen Dan Brown ini, saya suka tentang nilai F-O-K-U-S yang dikongsikannya. fokus adalah antara masalah terbesar saya. saya cukup mudah distracted, dan adakalanya cepat bosan dengan sesuatu. semua ini membuatkan saya ada kecenderungan untuk melakukan satu-satu kerja dengan sangat cepat atau sangat lambat. 

jujurnya, saya agak 'rimas' dengan kepesatan maklumat yang meruak hari-hari. ada sahaja yang harus difikirkan, dipertimbangkan, dibelek dan diamati saban hari, lagi-lagi dengan serba-serbi aplikasi hari ini. ada Facebook untuk diperhati, ada WhatsApp untuk dibaca, ada Instagram untuk dilihat atau ada e-mel untuk dibelek. oh, bukan! tidak saya nafikan, kepentingan setiap satunya. sehari tanpa internet, ada sahaja hal-hal yang tertinggal. saya tidak mahu bercerita tentang baik buruknya, tetapi dengan kebaikan yang ada, sejauh mana penggunaannya boleh dioptimumkan sebaik-baiknya?

peralihan maklumat demi maklumat, cerita demi cerita, berita demi berita, kisah demi kisah; tidakkah semuanya berlaku dengan cukup pantas dan cepat? maka kesannya, fokus saya untuk satu-satu benda hanya sekejap sahaja sebelum beralih ke hal-hal lain atau terkemudian. malah, tersedar saya bahawa pengamatan dan penelitan saya terhadap sesuatu juga tidak tajam atau kritis. saya cuma melompat dari satu ke satu, tanpa pemahaman yang semaksimumnya. fuh, apakah saya sahaja yang sebegini kompleks?  

kebetulan terbaca di halaman Facebook (Jejak Tarbiah), juga berkongsi seputar hal yang sama;

"kenapa perlu habiskan masa dan fokus untuk sesuatu yang kita tak jelas? samada untuk belajar, berhibur atau untuk kepuasan hidup. kita yang tentukan." #johngmiller #questionbehindquestion


merefleks nilai FOKUS ini semula, saya mengaitkannya dengan KHUSYUK, salah satu ciri yang ada pada mukmin. tidakkah Allah mencirikan orang yang berjaya, adalah orang yang khusyuk dalam solatnya? sesiapa yang khusyuk dalam solatnya, maka pastilah dia khusyuk dalam hal-hal lain. tilawah al-Quran misalnya, atau kerja-kerja harian, atau urusan-urusan lain yang menuntut prioritinya. 

seringkali, satu sifat yang baik akan membuahkan sifat-sifat baik yang lain. saya percaya andai khusyuklah orangnya, maka pastilah dia juga tenang, tidak gelabah, cermat dan teliti, sabar serta tidak terburu-buru dalam mengendalikan emosi dan perasaannya, hmm. 

mengingatkan betapa sukarnya untuk khusyuk hari ini, tersedar saya pada kebenaran satu hadis (sumber: artikel) daripada 'Ubadah bin al-Samit. beliau berkata kepada Jubair bin Nufair;

"jika engkau suka, aku akan menyebutkan ilmu yang pertama kali diangkat. ia adalah (ilmu) khusyuk. suatu masa nanti, kamu akan memasuki masjid namun tidak menemui seorang pun yang khusyuk."
(al-Mustadrak 'ala al-Sahihayn, kitab al-'Ilm no. 340-341)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata;

Ubadah berkata seperti itu kerana ilmu terbahagi kepada dua. bahagian pertama adalah ilmu yang terhasil di hati manusia iaitu ilmu yang berkenaan dengan Allah S.W.T, nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya yang melahirkan rasa takut, hormat, kagum, tunduk, cinta, mengharap, meminta dan bertawakal kepada-Nya. inilah ilmu yang bermanfaat sebagaimana kata-kata Ibnu Mas'ud, 'sekumpulan orang membaca al-Quran namun tidak melepasi kerongkongnya. andai kata al-Quran itu masuk ke hati, ia akan menetap dan memberi manfaat...'
bahagian ilmu yang kedua pula ialah ilmu pada lisan dan ilmu ini akan menjadi ajaran Allah S.W.T (untuk menyeksanya), sebagaimana dalam hadis, 'al-Quran akan menjadi hujah untukmu atau (hujah memberatkan) atasmu.'
(Ibn Rajab al-Hanbali, Jami'al-'Ulum wa al-Hikam, tahkik: Syu'aib al-Arna'ut, Riyad: Dar al-Muayyad, hadis ke-36, hlmn. 409)

padanlah Dan Brown menuliskan, orang yang melakukan yoga (meditasi) lebih panjang umurnya. namun, saya merefleks sebaliknya;

"sebab tulah Prof Syed Naquib al-Attas misalnya, walaupun sudah berusia, tapi 'akal'nya masih muda. orang-orang yang berilmu macam ini, begitu khusyuk dan fokus dalam ibadahnya (keilmuan), maka Allah pelihara dan jaga 'umur' akalnya!"

Allah, kurniakanlah kami kekhusyukan hati dan ketundukan jiwa; fokus, fokus, dan fokus!
merendahlah, hamba-sehambanya!


2 comments:

atenmunirah said...

Terima kasih sudi menjadi inspirasi, kak.
Akhirnya saya berjaya update blog selepas baca tulisan akak yang ini. hehe.

Umairah. said...

atenmunirah;
hihi. nampaknya akak kena tambah entri lagi, untuk aten update next entry pulak. hihi :p

tenkiu jugak, kita saling menginspirasi insyaAllah.
selamat terus berkarya! XD