Pages

Sunday, December 7, 2014

suatu sore bertemu jaka yang pekak, di penjuru yang lengang;

*edited

bismillah

hampir-hampir saya terbayangkan saya seolah-olah gadis ini (ihiks). anda akan faham, kalau anda pernah tertengok filem pendek yang ini. mengisahkan tentang seorang lelaki dan seorang gadis yang hmm (ah, membazir perkataan rasanya untuk saya ceritakan kesemuanya. sungguh, malam ini saya benar-benar mahu kedekut kata.)

nah, tonton dulu sebelum baca.

bezanya kisah saya tadi dan kisah di dalam filem pendek itu, si lelaki itu yang mendekati saya. oh, dia tidak cuba-cuba mencuri perhatian saya, lebih-lebih kerana cinta. dia juga tidak menyanyikan apa-apa lagu, khas teruntuk saya. dia juga tidak menutup lampu untuk mengatakan atau sedaya upaya memberitahu kewujudan dia di situ.

sedang asyik makan bersendirian di penjuru sebuah restoran, dia cuma mendekati saya dengan mengetuk meja, perlahan. kemudian, dengan senyum manisnya, dia menghulurkan satu kad kecil yang tertulis beberapa perkataan. berkerut dahi saya membacanya satu persatu.

"kami ditakdirkan bisu dan pekak."

entah perkataan apa lagi seterusnya, saya tidak mampu mengingat; yang pasti, dia ada menjual beberapa rantai kunci (baca: key-chain) yang diperbuat daripada kayu. santun sekali dia menyusun satu-persatu di atas meja, sambil menunggu saya memilih. kesemuanya cantik, tetapi saya tidak berminat.

jujur, saya tidak mampu membuang 'curiga' yang tetap terjentik di hati. namun, bukan kecurigaan saya yang menjadi tanda tanya di sini. saya lebih tertarik untuk bercerita tentang, betapa saya senang dan suka dengan cara kami berdua; diam dan senyum tanpa kata apa-apa. entahlah, (tetapi, bagi saya) adakalanya diam lebih menonjolkan yakin dan hormat. oleh sebab dia pekak dan bisu, maka tiada tertimbul sepicing suara pun yang kekok dan menggetarkan antara kami.

dengan tanpa suara, saya tidak merasa dipaksa untuk membeli apa-apa. dengan tanpa suara, tidak ada sedikitpun bisik rayu atau bunyi rintih daripada dia. dengan tanpa suara, dia tidak akan sesekali mendengarkan getar ragu, sebersalah, bahkan curiga saya padanya. maka, tidak akan terwujud langsung apa-apa rasa tidak senang di hati, baik dari saya atau dia. pendek kata, semuanya akan baik-baik saja.

diam kami seperti yang pak sapardi bingkiskan dalam puisi segaknya;

"kami berdua saja
bercakap tanpa kata
bagi satu rahasia
ucap kan patah sayapnya
terdiam penuh tenaga"

- sapardi djoko damono

akhirnya, selepas saya menggeleng sambil menghadiahkan senyum, dia pun mengangguk dan membalas senyum seperti di awalnya. kemudian, menyusun kembali barang-barangnya dan terus berlalu. mungkin untuk kali yang entah ke berapa kali, masih juga dia mengetuk meja, tidak putus asa menjual produknya lagi. sedangkan saya, terus tenang melayan nafsu makan bersendiri di penjuru restoran.

menuliskan tentang diam dan suara ini, teringat saya akan 'dunia yang lengang', sebuah tulisan penulis favorit, aan mansyur di dalam bukunya, 'kepalaku: kantor paling sibuk di dunia.'

tulisnya begini;

kkpsdd, aan mansyur; hlmn. 4

pedulikanlah, jika penulis lebih memilih untuk menggunakannya buat kekasih. teruntuk kita (aku) buat renungan sekilas, apakah agaknya perkataan yang akan kita pilih dan guna, apabila kita cuma diperintahkan untuk berkata-kata tiga puluh patah kata cuma dalam sehari?

apakah kita akan cuma menuturkan cinta, atau terus membiakkan benci? ah, alangkah kalau aku lebih berhati-hati menggunakan kata, tidak pernah membazir, hingga terduduk, jatuh muflis.

"kepada-Nyalah akan naik perkataan-perkataan yang baik, dan amal kebajikan Dia akan mengangkatnya."

(fathir: 10)

Allah, kurniakan kami hati yang jernih, untuk menuangkan isi yang cuma indah dan manis.
ameen.

2 comments:

Anis said...

Mungkin anis akan menulis the remaining words. Write instead of speak. Tp anis tetap suka puisi di atas kak. Daebak!

Umairah. said...

anis;
but writing pun still words sayang.
pemerintah kata, tak boleh. haha. tak aci tau kalau tulis, hiuhiu :p