Pages

Thursday, January 2, 2014

refleks awal 2014;

bismillah

Januari 1, sebenarnya sama sahaja seperti hari-hari kebiasaan. namun, ada sesetengahnya yang mungkin menjadikannya sebagai satu aras atau kayu ukur, untuk dilihat prestasi usaha dan mujahadahnya. 

ada juga yang berkemungkinan menjadikannya sebagai satu permulaan untuk memulakan sesuatu yang baru, memperbaiki azam dan niat, meski hakikatnya setiap hari kita harus melakukannya. 

HIKMAH, kata Baginda; adalah barang Mukmin yang hilang. maka ambillah ia, di mana pun ia ditemukan. maka peganglah, ambillah, kautlah selagi mana ia memberi 'makna' dan kebaikan kepada diri sendiri. 

--

menyebutkan tentang hijrah, solat dan al-Quran merupakan antara hal yang terpenting bagi saya, untuk diperbaiki saban hari. meski harus bermula dari yang sekecil-kecil usaha! 

sekadar berkongsi, saya sangat suka satu status ini, yang hingga ke hari ini masih terbuai-buai dalam ingatan;


memperbaiki dari sudut menyegerakannya, memperbaiki mutu bacaan, melatih kekhusyukan, memberi pemaknaan, menjiwai ketertiban, dan seluruhnya, hingga benar-benar merasakan diri sedang berdialog dan berhubung dengan Allah S.W.T. 

Allahhu! 
cukup indah, bukan? 

lalu, ia benar-benar 'menjaga' kita, daripada kemaksiatan dan kemungkaran, pada saat kita yang memulai menjaganya, subhanallah! langsung membuktikan kebenaran hakikat firman-Nya; "sesungguhnya solat dapat mencegah daripada kemungkaran" (al-Ankabut: 54) 

--

hati dan jiwa seseorang yang tak memiliki al-Quran di dalamnya, ibarat rumah yang kosong, kata Rasulullah. (HR at-Tirmidzi)

bukankah yang kosong, akan mudah terpenuhi oleh apa-apa sahaja? dari yang sebesar-besarnya, hinggalah yang sekecil-kecilnya. lebih-lebih lagi, yang tak ternampak pancaindera; syaitan dan 'kawan' seangkatannya, naudzubillah. lalu mudahlah merebak bisikan halus, dan was-was yang melampau. hasad dengki, tamak, suudzhon (sangka buruk), dan sifat-sifat mazmumah yang lain. 

bila tiada al-Quran di dalam hati, tercabutlah juga rasa-rasa tenang. tenang yang sepatutnya mengawal kalut dan resah. tenang yang sepatutnya mengendur marah dan putus asa. tenang yang sepatutnya mengubat ego, sombong, riak, mahupun sum'ah (bangga diri). sebab kata Baginda S.A.W lagi; 

"tidaklah berhimpun suatu kaum di salah satu rumah Allah untuk membaca al-Quran dan saling mempelajarinya, kecuali akan turun kepada mereka sakinah (rasa tenang) dilingkupi oleh rahmat, dikelilingi oleh malaikat dan disebut oleh Allah di hadapan (malaikat) yang berada dekat-Nya."

(HR. Muslim)

tersangat mahu agar al-Quran menjadi pendamping yang sebegini;

salah? selak al-Quran. rindu? jumpa al-Quran. letih? baca al-Quran. debar? tatap al-Quran. marah? kucup al-Quran. sakit? junjung al-Quran

al-Quran, al-Quran, al-Quran.

sampai hanyut jatuh cinta, lalu hurufnya mendarah. perkataannya mendenyut nadi. maknanya menggerak basirah. yang menuntun salah, menyederhanakan rindu, menghilangkan letih, mengendurkan debar, merawatkan marah.

 persis firman-Nya dalam Yunus: 57;

"wahai manusia! sungguh telah datang kepadamu pelajaran (al-Quran) dari Tuhanmu; penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman."

--


Allah, masukkanlah kami dalam kedua-dua golongan ini; yang mengerjakan solat, dan yang membaca al-Quran, serta tidak jemu-jemu berusaha memaknakan (mengamalkan) kedua-duanya.

ameen.

ps: pesan untuk diri, diri, diri, diri yang terutama. tegur saya, doakan saya! :)

No comments: