denai-denai dia lalu, bising tapi sepi
biasa laju-laju, jadi santun halus
dia tak kenal siapa, tak mahu kenal siapa
libas-libas kain dia tak peduli
asal kaki sampai dan hati terus berkata-kata
jiwa resah entah puncanya
yang dia tahu kata-kata kosong
walau berapi-api tetapi
tanpa makna luhur dari hati
perit, perit berkata tanpa pemaknaan
perit, perit memahamkan tanpa pembinaan
dia mahu menangis tapi tak tersampai
dia mahu meluahkan tapi tak terkeluar
dia mahu menjerit dia mahu meratap
dia mahu merayu dia mahu meminta
tapi tetap dia diam berjalan terus
tanpa menoleh tak peduli
walau siapa memandang
sampai dia arah tujuan
menancap wajah ustaz dari kaca tivi
"ujian Allah pahit tapi manis"
tetap air mata tak keluar-keluar
sekeras apakah hatinya
sehitam apakah jiwanya
dia tak tahu perbuat apa
mahu menangis air mata tak sudi
mahu berteriak masih malu
mahu berkata siapa mampu arif
dia mampir tuangkan sos
dengan harga seringgit
dia lahap terus kentang goreng
satu-satu masih di situ
dengan ustaz yang tadi
kenyang pun tidak
bahagia pun tidak
puas pun tidak
dalam letih yang masih bergelayut
duduk sekejap menatap ruang-ruang siber
buang peluh dan penat
masih juga tak kunjung-kunjung
apa? apa? apa? yang masih kurang
penghambaan rasa layu
khusyuk apatah lagi
jauh menghilang entah ke mana
dalam konon letih penat
dan entah apa alasan tercipta
dia rasa mahu tatap sekejap 'pecah'
ah, mungkin bahasa gurau senda
boleh jadi pengubat jiwa 'gila'
tapi kitab hijau dia pegang dulu
lantun ayat satu-satu, semuka dua muka
tiga muka dan dia rasa mahu baca terus
hingga akhirnya dalam mendakap
kitab ke dada dia terbaring lemah
dan dalam layu mata yang makin terkatup
ada panas, oh Tuhan!
dia akhirnya menangis
entah, entah sebab apa
tapi dia tahu
dia puas, dia lega
____
"sesungguhnya dalam hati terdapat luka yang tidak boleh dijahit kecuali dengan menghadap penuh kepada Allah swt. di dalamnya juga ada keterasingan yang tidak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah. di dalam hati juga ada kesedihan yang tidak akan mampu dipadamkan kecuali oleh kebahagiaan yang memudah kerana mengenal Allah dan ketulusan berinteraksi denganNya. di dalam hati juga terdapat kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu menuju kepada Allah. di dalam hati, juga terdapat gelojak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali dengan keredhaan akan perintah, larangan dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan denganNya." -ibnul qayyim al-jauzi
No comments:
Post a Comment