Saya mengeluh sendiri. Pagi yang suram. Rasanya, saat ini amal sedang melemah. Hati tidak tenang. Dan, tulisan ini pun terasa gerakannya tidak melaju. Perlahan, dan tersekat-sekat.
"Hmm..sukarnya menjaga TAQWA."
Seperti mahu menangis untuk mengungkap kata seterusnya. Berat di jari, berat lagi di hati. Kata-kata yang bakal terlontar ini, sungguh pedoman buat diri. Bukan lagi sentuhan lembut, tapi perlu pada semburan kuat berbaur ancaman. Untuk diri.
Ya, diri! Diri, diri, diri, diri.. SAYA!
Malah saat suramnya cuaca, dan mendungnya hati ini, terkenang-kenang kata Ubai bin Ka'ab pada Umar Al-Khattab, saat ditanya tentang perihal TAQWA.
Ubai: Bukankah anda pernah melewati jalan berduri?Umar Al-Khattab: Ya.Ubai: Apakah yang anda lakukan saat itu?Umar Al-Khattab: Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.Ubai: Dan..itulah TAQWA.
Bagaimana agaknya kita melalui jalan yang berduri? Ya, penuh hati-hati. Bimbang kaki berdarah ditusuk panahan duri. Sedemikian, kisah ini mengajar perlunya HATI-HATI dalam AMALAN. Sensitif dengan dosa, walaupun sekecil-kecil perkara. Dan, jangan pandang ringan dengan pahala, walaupun sekecil-kecil amalan. Itulah TAQWA.
Kisah Umar Al-Farouq ini berkali-kali diulang dalam halaqah. Dipesan. Malah, saya kira pesanan dan nasihat yang ditujukan buat insan-insan lain, harus dulu kena pada saya. Mulut orang yang bercakap itu sesungguhnya lebih dekat dengan dua telinganya yang mendengar. Maka, wajib dia yang dahulukan dulu praktikalnya.
Tapi, ternyata.. hmm. Saya jadi malu dengan diri sendiri. Malu dengan mulut ini yang berkata-kata. Malu dengan dua pasang telinga ini yang mendengar. Sering malu juga dengan jari-jemari yang tidak kurang petahnya "bersuara".
++++
"Bagaimana mahu betul-betul menjiwai taqwa?"
Sebak. Kelopak dua mata ini mula hangat.
"Sukarnya!"
Mahu sekali punya malu dengan Allah, melebihi malu pada manusia. Mahu merasai kebersamaan Allah saat bersendiri atau dalam ramai. Hmm.
Kadang-kadang, pernah tak rasa kecewa dengan diri sendiri?
Atau pernah tak, ada ketika dan harinya, bila dosa menggunung, kita rasa tak layak untuk kembali pada Allah? Malu yang sesungguhnya! Dan, adakalanya itu jadi penyebab kita makin jauh dan jauh dari Allah. Ibadah makin kurang, maksiat makin bertambah, malah skalanya makin menjadi-jadi. Hari demi hari.
Saya pernah. Malah, berkali-kali.
Selama itulah, hati ini perlu didesak untuk selalu merasai bahawa itu semua hanyalah propaganda SYAITAN yang mahu diri makin jauh dari Allah.
Kononnya dia selalu berbisik:
"Kau tak layak lagi bertemu Allah, dengan dosa sebanyak tu. Tak payahlah, buang masa saja!"
Sedangkan duhai hati, kau perlu tahu..
"Kasih kau ya Allah, sungguh Maha Luas dari dosa aku, bukan?"
++++
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari TuhanMu dan kepada Syurga yang luas seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa." (Al-Imran: 133)"..(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.(Al-Imran: 134)
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan terkeji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui." (Al-Imran: 135)"Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan Syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.." (Al-Imran:136)
Bantulah aku, untuk belajar mencintai TAQWA.
Amin ya Rabb.
;'(
1 comment:
dan berbekallah... :)
Post a Comment