Pages

Friday, April 22, 2011

Jujur.




Saya baca buku baru. Buku yang buat jiwa melantun sebak. Tenggelam dalam kesedihan kerana muhasabah. Kesedihan kerana cinta masih amat tipis. Kesedihan kerana diri belum matang menilai. Kesedihan kerana diri belum bebas sepenuhnya. Kesedihan kerana diri belum bersedia memilih. Tulus, ikhlas, dan redha. Siap dengan ketentuan Tuhan. Berjalan tanpa pernah henti menuju redha.

Dan, saya memilih untuk rela menangis dalam ramai. Tengah dalam hiruk-pikuk tengahari rembang. Panas dengan kebanjiran peluh-peluh manusia. Seolahnya, saya sendiri. Di situ. Hentian Duta.

Dan, sungguh. Perjalanan apakah ini? Satu-persatu cahaya menyerak masuk, dan saya terpinga-pinga. Moga dalam doa dan harapan, keadaan serba tidak tahu ini diperjelas dengan nikmat hidayah Tuhan. Dengan taufiq cintaNya.

Ya Allah, aku sesungguhnya tidak mengerti. Tunjukkanlah. Selaklah hijab yang belum tersingkap. Andai maksiat masih mengotori hati, menghijab datangnya hidayah, bantulah aku untuk mengupaya dan mengganda cinta buatMu. Dalam sujud yang dipaksa-paksa, dalam zikir yang dipayah-payah, moga nanti nikmat itu bakal terasa. Sendiri tanpa paksa.

Amin.

Inilah coretan yang buat mata menangis. Apakah kau bakal menanggung sebak juga sahabatku? Menelan air mata sendiri? Tanpa mempeduli mata-mata sekelilingmu?

"Ada seorang sahabat yang berjihad dengan gagah berani dalam sebuah pertempuran di masa Rasulullah. Ketika pertempuran berakhir, Rasulullah memberikan kepadanya bagiannya dari rampasan perang. Tetapi dia menolak dan berkata, "Demi Allah! Bukan untuk ini saya berperang bersama engkau. Saya berperang bersamamu agar saya terkena anak panah di sini lalu saya mendapati janji syurgaNya!" Dia menunjuk pada tenggorokannya. Setelah sahabat ini beranjak, Rasulullah bersabda, "Jika dia jujur pada Allah, Allah akan memenuhi kata-katanya!"

Benar. Ketika perang usai, sahabat ini ditemukan dalam kondisi syahid dengan anak panah menancap di lehernya. 

Apa yang kita ambil dari kisah ini? Setidaknya, saya belajar bahawa, ketika kita jujur pada Allah atas target-target kita, Dia akan menggenapkannya untuk kita. Pasti. 

(Saksikan Bahwa Aku Seorang Muslim, Salim A.Fillah, hlmn. 221)

--

Ketika kita jujur. 
Hanya ketika kita jujur dengan Allah.
Benar-benar jujur.

Ini yang buat jiwa menggelora resah. Dan laluan ramai bagaikan sepi. Kosong.
Khali.

Apakah kau benar berjanji setia untuk mengupaya dan mengganda cinta buat Tuhanmu?
Apakah kau ikhlas berjuang melawan hawa nafsumu?
Apakah kau rela benar ditarbiyah dan mentarbiyah?
Apakah kau bersedia mengubah dan memimpin diri, dan berhijrah demi Allah?
Apakah kau rela berkorban jiwa raga, perasaan, harta benda, masa dan tenaga buat kalimah lailahaillallah?
Apakah kau tegar menanggung sakit saat prinsip bakal tergoyah dan tercabar?
Apakah kau sanggup mengikis kotoran-kotoran yang masih hinggap pada hati?
Apakah bersedia?

Andai niatmu sungguh benar, Allah pasti membenarkan!
Belajarlah untuk jujur. Didiklah untuk ikhlas.

2 comments:

sumaiyah rushdan said...

mohon untuk copy dan paste

..بنت يوسف.. said...

Assalamu'alaikum...
akak ada buku ni...
best..
^__^