
"Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah."
[Al-Hajj: 5]
Sekadar perkongsian buat hati. Buat jiwa yang gersang.
Sedang bumi yang kering hari-hari lalu,
Allah basahkan dengan hujan petang,
Lalu kita sejuk, nyaman dan tenang..
Apatah lagi, hati yang duduk melekap dalam jasad ini..
Yang bersama-sama kita, membentuk peribadi..
Sepanjang masa, detik dan ketika.
Tentu harus lebih lagi siramannya.
Tentu harus lebih lagi siramannya.
Allahhu Allah..
Kata-kata di bawah ini, saya petik dari bicara dan luahan hati seorang Makcik, yang sering juga bertandang ke UIA Gombak, memberikan taujih dan nasihat terutamanya dalam program Women Issues setiap minggu.
Kata-katanya berkesan, dan sungguh berbekas di hati. Dan, saya terpanggil untuk berkongsi, agar kita dapat menikmati perasaan itu bersama. Moga Allah selalu pimpin hati-hati kita, dan mempermudahkan langkah-langkah kita menujuNya.
Ameen Ya Rabb.
:(
:(
+++++++
"..Selamilah sedalam-dalamnya lautan tarbiyah, maka akhawat akan dapati begitu banyak rahsia yang akan tersingkap. Perbanyakkan dan khusyukkan solat sunat (di antaranya) disertai dengan tangisan taubat, maka akhawat akan dapat rasakan kebersamaan Allah pada setiap ketika. Pada masa itu, insyaAllah maksiat sudah melarikan diri, sudah tidak menjadi perhiasan hidup ini, kerana dapat merasakan asma' Allah, Yang Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan lain-lain.
Ketika itu juga Allah akan datang berlari kepada kita dengan memberikan keberkatan dalam kata-kata, perbuatan, tindakan. Di situ nanti, Dialah yang akan menjadi Pelindung, Penjaga sehingga apa yang diberikan kepada kita, meskipun suatu yang pahit, pedih tetapi semua itu terasa kemanisannya kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang.
Apabila banyaknya ibadat sunat yang dibuat, maka pendengaran kita adalah pendengaran Allah, penglihatan kita adalah penglihatan Allah. Sudah mudah menjaga pandangan, sungguh manisnya menjaga kesucian hati. Di situlah nanti sebarang hubungan dengan lelaki (meskipun sedikit) tidak disukai dan cuba untuk mengelakkannya. Kerana kasihnya Allah, maka ketika sampai masanya, (Dia Maha Mengetahui), Dia pertemukan jodoh dari kalangan orang-orang soleh.."
~Makcik Zah.
+++++++
*akhawat: saudara-saudara perempuan
*asma' Allah: nama-nama Allah
* kata-kata makcik yang berikut, "..apabila banyaknya ibadat sunat yang dibuat, maka pendengaran kita adalah pendengaran Allah, penglihatan kita adalah penglihatan Allah.." bertepatan dengan hadis ini :
“Barangsiapa yg memusuhi waliKu, maka Aku mengizinkannya dengan berperang. Dan tiadalah seseorang hamba itu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa yang Aku telah fardukan padanya. Dan sentiasalah seseorang hamba itu mendekatkan diri kepada Aku dengan melakukan perkara-perkara sunat sehinggalah Aku mencintainya. Maka apabila Aku mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang dia melihat dengannya, dan tangannya yang dia membuat sesuatu dengannya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Dan sekiranya dia meminta kepadaKu nescaya Aku akan perkenankannya, dan sekiranya dia meminta perlindungan kepadaKu nescaya Aku akan melindunginya.”
[Riwayat Bukhari]
Amin.
Amin.
Amin.
hujan! :)
hujan! :)
No comments:
Post a Comment