Pages

Monday, May 16, 2011

Seindah Kirmizinya Langit.



"Mabruk. Akhirnya melangkah juga kau. Rumahtangga Islami yang bermula dari individu Muslim. Macam yang pernah kita bicarakan dulu." 

Dia senyum galak. 
Merah merona wajahku.
Tenggelam dalam malu yang sipu-sipu.

Kirmizinya langit hari ini memeta satu rindu. Gerimis-gerimis yang mengalunkan aroma. Panah-panah kilatan di langit itu, bagai suara yang menyambar jantung anak muda.  

Satu petang. Satu senja. Satu suara. 
Dan puluh-puluh kata yang membuka minda.  


+++++++++ 


Saat aku mula meragui dunia baru yang sedang aku alami. Gundah gulana yang langsung tak seindah kirmizinya langit. Pada puncak bukit itu, kita rupa-rupanya saling meneriak. Cuba menegakkan benang yang sedia kering. Tidak basah.


"Aku tidak mengerti  sama sekali apa yang aku sedang lalui ini.."

Aku jadi terngiang-ngiang. 

Pada saat kau kata,

"Kenang kembali dakwah Rasulullah. Dari mana mulanya? Apakah di tengah-tengah Kota Madinah?" 

Dan, aku terdiam seribu kata. 

Mata aku terus ligat memancing agar kau terus melontar kata. Nada kau masih lembut, tapi sungguh tegas. Cukup buat roma aku menegak. Bukan kerana sejuk tentunya. 

Kau menyedut nafas sesaat dua. Dan, terus berkata-kata. Lagi dan lagi.
"Bukankah seruan bermula di Beit Al-Arqam? Pada asasnya, yang mana sahabat dibina dalam bentuk usrah. Dan, cuba saja kau lihat bagaimana hasilnya?"

Mata aku memanah jauh ke atas. Seekor burung masih merayap bebas. Kelihatannya sedang berusaha keras agar mampu sayapnya menyentuh langit kirmizi itu. Ia terbang lagi, tinggi-tinggi. 

"Ah, itu bukan masalahnya. Cuma, aku tak yakin. Apa benar, aku memang orang yang layak untuk berada di sini? Dalam lingkungan seperti sekarang?" 


Satu keluhan berat dilepaskan. Ada sebak dalam nadaku yang bercantum di hujung kata. 

Dia tergelak, sinis.

"Kau bijak. Namun, apa yang membuatkan kau tiba-tiba berfikir secetek ini? Betapa syaitan berjaya memujuk dan menghasutmu."  


Kali ini, giliran dia pula menghela nafas. Berat. Kata-katanya benar-benar menghiris. Aku terdiam, mencari kembali hujung pangkal buah bicara. 

Merasionalkan segala kata, daripada menurut emosi semata-mata.

Dia menyambung lagi. Masih tenang, dengan riak wajah selamba.

"Kalaulah seruan dakwah itu hanya untuk orang-orang yang "terpilih", atas standard apa yang kau rasa perlu kita ukur? Tudung labuhnya? Kopiah putih? Cara dia bercakap? Pengetahuannya? Fikirannya?" 

Aku bungkam. Berfikir. 

"Hah..Standard?" Taluan suara hati.

Mengulang perkataan itu, sejenak terbayang-bayang wajah Dr. Ismail Mamat. 

Ya. Beliau pernah menyebutnya. Petang Selasa yang lalu. 

Lelaki itu berwajah lembut, punya dua tanda di dahi. Pensyarah aku yang baik hati. Beliau mengajar subjek Islamic Ethics.  

Tiba-tiba saja suaranya bergema, bagai kilatan langit yang pejam celik. Kejap datang, kejap pergi. Beliau mula bersyarah lantang, tentang bezanya Islamic Ethics dan Western Ethics.

"Teori Barat mendefinisikan akhlak sebagai teori "Utilitarianism." Manfaat bersama. Andai hasil kajian atau eksperimen menunjukkan sekelompok majoriti menyokong ini dan ini, maka itulah yang akan dipegang sebagai akhlak. Muktamad.

Dan Islam sama sekali menolak teori ini walaupun secara saintifiknya, sesuatu perlakukan mungkin diterima oleh sekelompok manusia yang majoriti. Sebab hakikatnya, Islam hanya berpegang pada hukum Allah. Bukan pertimbangan manusia.

Kalau Dia kata solat itu wajib, meski eskperimen menunjukkan ramai manusia memilih untuk tidak solat, solat itu tetap juga menjadi wajib. Tsabat. Kukuh. Tiada perubahan dalam hukum Allah."    


Aroma gerimis mula bertebaran. Rintis-rintis yang syahdu. Tidak masuk dengan suasana yang benar-benar tegang. Kami masih tidak berganjak. Dan, dia masih tidak mahu lepas berbicara. 

"Memanglah Utilitarianism tidak ada kaitan sama sekali dalam bab ini. Cumanya, sipi-sipi mungkin ada. Maksud aku, dari segi pertimbangan yang semata-mata menggunakan logik akal, dan emosi manusia. 


Dari segi menghukum sesuatu, tanpa sedar kita mungkin terkena tempias teori Barat. Sedangkan kita sama sekali tak ada standard itu, sebab hanya Allah yang punya. Dan kau perlu tahu lagi sekali, menghukum itu bukan sebahagian dari akhlak kita. 


Sebagai seorang Muslim."

Magis. 


"Kau ahli nujum atau apa? Sampai fikiran aku pun kau boleh baca?"  


Berkeriut kening aku.
Dia masih melempar senyum. 


Gerimis halus menampar pipi. Lembut-lembut saja. Penenang pada ketegangan yang berarus deras. Lebat dengan kata-kata penuh hujah.  


" Sekalipun ada standard untuk diukur, apakah semua Muslim itu kelihatan seperti Muslim? Atau yang kelihatan seperti Muslim itu benar-benar Muslim?"   


Dia berpaling ke kanan. 
Mencari anak mata aku, dan merenung dalam-dalam. Mencari kata putus, atau mungkin juga satu jawapan. Setulusnya. 

Aku hilang kata.

"Layak atau tidak, itu belakang kira. Sebab kaedahnya, kita memang bermula dengan "pembinaan" individu itu sendiri. Biar benar-benar menjadi Muslim. Hatta dari zero sekalipun dia bermula. 


Tarbiyah dari sekecil-kecil perkara. Jangan hanya kau pandang bab aurat dan pergaulan. Pandang juga bab berthaharah dengan siwak, bahaya lidah, menjaga kehalalan harta, memenuhi janji, dan lain-lain. 


Jangan tak tahu, bab menyebarkan salam pun termasuk dalam skop pembinaan individu Muslim yang sempurna. Proses ini bermula dari jahil, tak tahu apa-apa. Kepada tahu dan faham. Kemudiannya, mampu beramal. Bila terbiasa menjadi amalan dan tabiat, sebatilah ciri-ciri ini sebagai akhlak dalam diri."

Dia menepuk belakangku berulang kali. 

Dan berkata:

"Kau pun tahu bukan, tsaqofah menggunung sekalipun, fikrah sehebat mana sekalipun, tanpa amal, tetap tak membawa erti apa-apa. Jangan rasa lemah. Jangan rasa tiada apa-apa yang berubah. Percayalah, kau sedang dibina."


Dia menghitung nafas lagi.



"Terus gigih. Bukan untuk mencari diri yang sebenarnya. Tapi membina dan membentuk diri yang sebenar-benarnya!"


+++++++++







hermmm..

tensen la study history.
sah, bab NIAT  tak terbina dengan betul-betul lagi.