Pages

Wednesday, November 24, 2010

Cinta.

Riuh rendah rumah. Biasalah, kalau semua cuti dan masing-masing ada di rumah. Rumah pun boleh tahan bersepah, kalau tak ada yang ambil peduli. Barang-barang penuh. Mana taknya, yang dari Labu bawa balik segala khazanah. Dari Penang pun, angkut segala macam beg macam bercadang duduk rumah selamanya. 

Mujur yang dari Gombak, satu beg saja. Kalau tak, nak sumbat dalam bilik manalah agaknya. Seronok bila ramai-ramai berkumpul. Segala macam cerita akan terhambur. Gelak ketawa akan pecah suasana sunyi. Riang ria yang tak tergambar dengan kata. 

Inilah yang selalu jadi bahan untuk ketawa sejenak, setiap kali resah gelisah di pinggir kota. 

Setiap kali rindu datang, tiba-tiba menggigit jiwa. 

Makan sama-sama. Gelak sama-sama. Kecoh sama-sama. Nyanyi sama-sama. Juga mengaji Al-Quran sama-sama selepas waktu Maghrib. Walaupun, hakikatnya baca sendiri-sendiri. Selagi mana rutin itu ada, rasanya sudah cukup lega. 

Cuma, kena peringat selalu, takut ada yang lupa. 

Bila fikirkan soal kasih sayang atau cinta, tak kisahlah cinta berlainan jantina mahupun sesama adik beradik, hakikatnya walau melimpah sebanyak mana pun, hakikatnya Dia yang bagi. Kita tak ada kuasa untuk mencintai seseorang, kalau perasaan itu Dia cabut tiba-tiba.

Jadi, kadang-kadang terfikir. Kita boleh pilih, cinta yang kita nak datangnya dari apa. Dari Dia, atau dari nafsu. Cinta yang datangnya dari Dia, tentunya tulus, ikhlas, dan kekal. Bila mencintai seseorang kerana Allah, jiwa akan jadi tenang. Kita takkan buat sesekali yang melanggar perintah Tuhan. Apa yang kita harapkan dari cinta itu adalah, redha dan kasih sayang Allah. Cinta yang datangnya dari Dia, dan kembali pada Dia juga. Kita akan jaga orang yang kita cinta, agar sentiasa sama-sama mengikut landasanNya. Semahu-mahunya, cinta yang bukan sekadar dunia, tapi akhirat. 

Tapi, kalau sayang yang datangnya dari hawa nafsu, sememangnya indah pada pandangan mata. Tapi, cukup menyeksakan. Cinta itu fitrahnya suci. Kalau dikendalikan oleh hawa nafsu yang jahat, berserta perasaan yang kotor, sememangnya tak boleh naïf, hasilnya akan kotor juga. Hati kita mana mampu hadam benda-benda yang bukan fitrah. Melencong tersasar, lalu kitalah yang jadi mangsa. Merana dalam cinta.

Salah siapa? Bukan salah cinta pun. Cinta macam hantu. Ramai yang sibuk mengatakan tentang cinta, tapi jarang yang terjumpa. *quote dari cerita ChapalRela rasanya tadi.*

Ermm.

Memang harap sangat kasih sayang dan cinta yang tumbuh dalam rumah ini, datangnya dari Allah. Kembalinya juga pada Allah. Bila ada redha dari Dia, barulah kekal bahagia. Moga sampai ke Syurga. 

Memang ada yang saling mencintai di dunia, tapi jadi musuh di akhirat. Memang jelas terang, peringatan Allah dalam Al-Quran.

“Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak-anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yanag amat besar.” (Al-Anfal: 28)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka..” (At-Taghabun: 14)

Kurniakan kami cinta, datangnya dariMu, kembalinya padaMu jua.
Amin.

No comments: