Pages

Tuesday, November 23, 2010

Bila Dia berkata.

Takdir Allah memang sama sekali tak terduga. Tiada yang mustahil, jika Allah memang berkehendakkan sesuatu. Pertemuan kita, penghijrahan kita, perpisahan kita, semuanya ada makna tersendiri yang tak mampu diungkap dengan kata-kata. Ada hikmahnya yang tersendiri, jika diulah satu persatu. Sama ada kita sedar atau tidak sedar saja. 

Ceritera novel memang indah. Susunan drama dan filem walaupun cacat pada mulanya, ada klimaks, dan watak antagonis yang pelbagai ragam, tetap juga terkandung makna yang tersendiri. Ada penghujung yang menggembirakan, meskipun mungkin kematian menjemput dulu, sebelum hero dan heroin bersatu. Mungkin juga datangnya pihak ketiga yang menyelamatkan keadaan. Jahat berubah jadi baik. Pemaksiat mula menyesal dan kembali ke pangkal jalan. Anak bertemu ibu kandung. Tak kurang juga balasan setimpal yang mula sedikit demi sedikit mengganggu ketenteraman si penjahat. 

Normal, sebab segalanya tersusun. Ada pemula, dan ada penamat. Memang indah, dan cukup perisa.

Mungkin kehidupan kita tak seindah itu. Tak termampu berangan sejauh itu. Tak tergapai setinggi itu. Namun, bila fikir-fikir balik, takdir Allah siapa yang boleh duga? Oleh sebab akal manusia takkan mampu tercapai sejauh itu, maka bukankah sememangnya yang harus ada dalam fikiran, harusnya yang baik-baik saja? 

Herm.

Bila memandang segalanya dengan mata hati, baru akal mula tercerna. Mengintai kembali episod demi episod, meraih segalanya dengan secukup-cukup rasa, memang tak tersangka, hakikatnya kita benar-benar melaluinya. Persis. Macam drama. 

Bila Allah berkehendakkan sesuatu, bila Allah mahu kita bersatu, bila Allah mahu hati menyatu, siapa boleh halang? Hakikatnya, sudah hampir beberapa tahun. Tanpa sedar, kita sama-sama melaluinya, meski yang di sana mungkin sudah mendahului. Sini mungkin hanya hujan, dan di sana sudah merasai keindahan butir-butir salju.

Apapun jua, laluannya masih sama. Penghijrahan yang sama. Hanya bila Allah kata YA. Mungkinkah juga kita sedang menyelak halaman yang sama, dari buku yang sama? Aku rasa, YA.

Sekali lagi, siapa boleh duga? 
Allahhu Allah.

No comments: