Pages

Tuesday, June 30, 2015

suatu malam mencuribaca Eat, Pray & Love;

bismillah
 
ah, lama sudah saya tidak menulis. padahal, sejujurnya berkali-kali saya cuba menulis. bahkan, ada beberapa entri yang saya drafkan, terbiar.
 
hakikatnya, saya tidak mahu terlalu lantang bercerita tentang dunia rumahtangga saya sendiri, namun bagaimana untuk seorang penulis yang sebelum ini, sudah terbiasa menuliskan perihal hidupnya; teman serumah, seofis, orang-orang yang ditemukan di jalan, bahkan hal-hal kerjayanya atau apa-apa episod hidup yang paling termaknakan di hatinya?
 
saya tahu saya wajar mengehadkan, dan saya sedang belajar meminimakan. ah, pergelutan dalaman selalu terkait hal-hal ini. cubalah terangkan kepada saya, bagaimana untuk saya menafikan kuot ini?

"if you're dating marrying a writer and they don't write about you — whether it's good or bad — then they don't love you. they just don't. writers fall in love with the people we find inspiring."
 
cubalah katakan, bagaimana untuk saya tidak menuliskan tentang seseorang yang cukup menginspirasikan? ergh, ampun untuk semua keterlanjuran.
 
(i)
 
serasa saya, berkali-kali saya katakan pada dia, saya ini perempuan kompleks, -terlalu. saya struggle untuk memahami diri saya sendiri, apatah lagi untuk memahamkan orang lain tentang seorang saya. definisinya penuh, tetapi tidak satu pun terjelaskan. saya tidak mampu menjelaskan saya seperti apa dengan kata yang paling tepat. saya tidak mahir menghuraikan perasaan dan emosi saya sendiri. saya cuma tahu, saat-saatnya fikiran saya sedang ribut, dan hati saya sedang banjir!
 
meski Umi Walid dulu pun harus mengandaikan atau mengandalkan, dan orang-orang terdekat harus lama meneka-neki. saya sendiri keliru dan kabur; saya boleh menjadi matahari, saya boleh menjadi bulan, saya boleh menjadi terang, saya boleh menjadi teduh, dan ya, sesekali, -hujan. ah, saya setuju sungguh-sungguh dengan kenyataan Stephen King yang satu ini;

"QUIET PEOPLE HAVE THE LOUDEST MINDS."

serius!
 
entah, dan tersedar saya akan satu hakikat bahawa Allah akan selalu memilih dan menghantar orang yang tepat dalam satu-satu kurniaan-Nya. dia tahu apa yang paling kita perlu dalam hidup. untuk kehadiran orang yang paling asing dalam hidup, nyatanya bimbang saya makin reda, ragu saya makin hilang, dan syukur saya melangit untuk hal yang satu ini! dia tidak pernah sesekali mendesak bertanya, jika saya tiba-tiba 'harus' menangis bila-bila masa. jangankan sensitif yang ini, mendatangkan sikap bersangka-sangka atau menduga-duga, "ah, kroniknya seorang perempuan!"

walaupun diumpamakannya kami seperti belut (eeeeeee!), namun saya tidak mampu menafikan kejujuran WS Rendra yang satu ini; 

"perempuan bagai belut, meski telah kau kenali segala lekuk liku tubuhnya, sukmanya selalu luput dari genggaman."
 
membelek-belek buku bacaannya, saya tertarik pada apa yang digariskan;


eat, pray, love; pg. 115

meski pada hemat saya; khususnya lelaki, bukankah dia akan selalu mendahulu dalam hal-hal yang rasional? bukankah dia terlalu berkehendak pada logik dan sebab? namun, suatu hal yang terhormat bagi saya, jika seorang lelaki tidak menanggapkan emosi perempuan adalah hal yang mudah dan remeh (walaupun ya, saya akui juga tahap annoyingnya itu, haha).
 
oh Tuhan, ini benar-benar menenangkan; kekalkanlah sabar dan tenang yang satu ini, sampai bila-bila!
 
 
(ii)

kita tidak akan mampu mencintai orang lain dengan sebebasnya, jika kita tidak terlebih dulu sepenuhnya menerima dan mencintai diri sendiri. ini juga masih menjadi antara struggle saya, hinggalah suatu hari dia berkongsi kuot dari buku yang sama;


eat, pray & love; pg. 19

cinta jenis ini, sama ada kita mencipta 'watak' dia mengikut kehendak kita, lalu kita kecewa atau kita mencipta 'watak' kita mengikut kehendak kita (tapi kononnya dengan kaca mata dia).

ergh, deep!

teruntuk saya dalam hal apa sekalipun, usahlah mengandai-andaikan peribadi orang lain sebegini dan sebegitu, hingga ia menyekat diri daripada menjadi diri sendiri, hmm.

 
(iii)
 
pernah suatu hari yang lain, dia mengingatkan saya semula tentang kata-kata yang pernah saya 'keramatkan' di dalam tulisan-tulisan saya, suatu masa dahulu;.
 
"cinta sama ada akan menghilangkan diri kita atau menemukan siapa kita."

hmm.
 
tahukah anda, satu hal yang tidak sesekali saya sesal, malah syukur ialah menuliskan kesemua 'ekspektasi' dan 'idea' saya tentang cinta dan perkahwinan sebelum bernikah. sesekali, membaca semula tulisan-tulisan saya yang lepas ini, seolah-olah kembali mengingatkan dan menyedarkan seorang saya; apa yang saya 'pernah' mahu? bagaimana figur seorang isteri yang 'pernah' saya ingin jadi? juga hal-hal lain yang pernah tercatat.

ya, ada yang benar, ada yang salah. ada yang tepat, ada yang meleset sama sekali. baik ya atau tidak, ia benar-benar memperbetul dan membuka dimensi yang baru. sungguh, saya benar-benar 'rasa' terdidik, meski cuma untuk tempoh pernikahan yang tidak sampai sepekan.
 
BOHONG!  untuk sesiapa yang berkata, cinta/perkahwinan tidak akan 'menghilangkan' dirinya walau sedikit. dominannya, sedikit sebanyak kami telah sama-sama bersetuju bahawa perkahwinan sememangnya 'kerap' mencuri masa-masa peribadi. impaknya, dia tidak boleh sewenang-wenangnya 'membaca' seperti kebiasaannya di masa bujang. malah saya sendiri akur, diri sendiri juga mengalami fasa-fasa perubahan sebegini.  
 
entah, walau sedaya apapun saya cuba mengawalnya, pendek kata ia sememangnya berbeza! tahu dan fahamlah saya akan kewajaran bagi kebanyakan perempuan yang sudah menikah, apabila dia makin kurang menulis. tidak lain, masa peribadinya telah berkurang, maka masa kontemplasinya turut berkurang, dan akhirnya berkuranglah masa untuk dia menulis dan menuntaskan kesemuanya dengan bebas! hatinya mulai didominasi dengan tuntutan lain yang lebih terjelas di depan mata, hingga kabur dan hilang semua rasa-rasa tadi! lalu akhirnya, mati tidak terbuku. (ah, mungkinlah saya seorang sahaja yang begini)

ah, fasa adaptasi memang begini, mungkin? sebelum kita benar-benar cekap mengendalikan semua hal dalam satu masa, termasuklah mengisi kesenggangan yang tidak terduga, dengan hal-hal yang kita suka.
 
cumanya, dia akan menemukan sisi saya yang lain. kalau dulu, dia tahu saya menulis, kenapa kini tidak pernah ternampak lagi? bahkan saya juga akan menemukan sisi dia yang lain. kalau dulu, saya tahu dia membaca, kenapa kini jarang-jarang sekali? malah, hal-hal lain juga yang pernah menjadi minat dan hobi kita di masa dulu. kita akan sama-sama tenggelam sekejap dalam tempoh adaptasi yang ini, hingga hilanglah sebab awal yang menjadi daya-daya penarik dan istimewa di awal perkenalan. kenapa kita mula terlihat membosankan dengan hidup yang stagnan dan kosong sesudah bernikah? lebih buruk lagi, jika masing-masing mulai menyangka bahawa keduanya seolah-olah tertipu dengan watak, peribadi dan minat yang sebenar.
 
ah, fasa adaptasi memang begini, mungkin? fasa mengenal diri sendiri dan pasangan, mengoreksinya dan menemukan solusi bersama. ah, wajarlah betapa penting kita mengenal diri sedalam-dalamnya sebelum bernikah, supaya kita lebih jelas dan maklum, serta mampu mengesan 'perubahan' diri yang bakal terjadi sesudah bernikah.
 
saya suka apabila kita mampu berbicara dan berbincang dengan cukup terbuka, macam kata Elizabeth, penulis buku yang awak sedang baca ini;


eat, pray and love; pg. 12

oh Tuhan, ini benar-benar menenangkan, terima kasih!
 
 
 
 

2 comments:

Anonymous said...

Hmmm
'Membaca'mu, bikin jiwaku melonjak jauh, bergelut dalam huruf-huruf; ah, lemas!

Rindu waktu-waktu kita dulu
Rindu zaman menulis dan membaca adalah sebahagian daripada masa senggangku. Hmphhh...

Rindu hakoks ;p

Umairah. said...

anon;

macam kenal je. macam kenal je.
hmm hmm.

acano nak membalas rindu ni? huhu.