Pages

Monday, April 20, 2015

catatan 1 Rejab yang syahdu, tsk.

bismillah

tidak tahu sebabnya, kebelakangan 'pulang bermalam' di rumah, ada sesuatu yang lain. entahkan sememangnya hal ini sebenarnya telah terbiasa berlaku, atau saya sahaja yang baru terperasan. ada sahaja pemberontakan demi pemberontakan dalam diri, di sepanjang keberadaan di rumah. namun saya diamkan sahaja, hinggalah di suatu hari sewaktu Ummi memanggil dari jauh, adik saya tiba-tiba menyahut;
 
" akak, Ummi panggil. akak buat sajalah apa-apa yang Ummi suka."
 
kata-katanya biasa sahaja, tapi cukup buat saya termuhasabah panjang. inilah mungkin 'struggle' yang terbiasa kita hadapi, tapi tak tersedar. membesar dan mendewasa kini di luar rumah, 'disogok' dengan ilmu dan pengetahuan, pergaulan dan persekitaran, dan sebagainya hinggalah perubahan demi perubahan yang berlaku membentuk 'kita' yang baru; sudut pandang, perbuatan dan sikap, corak perbualan berkenaan sesuatu perkara, seolah-olah semua makin ketara perbezaannya, dulu dan sekarang!
 
saat inilah kita mula bersoal jawab; 'kenapa mesti begini dan begitu', 'bukankah sepatutnya macam ini atau macam itu', 'bukan begitu, tetapi begini', 'itu salah, ini betul' dan sebagainya. Allahhu, moga terlindung dari sifat yang merasakan 'aku lebih tahu', atau 'aku lebih hebat' dan sebagainya hingga memenangkan pergolakan dalam diri, dan sanggup pula bertekak dan bertikam lidah demi hal-hal yang remeh. 

"...akak buat sajalah apa-apa yang Ummi suka." 
 
untuk hal-hal 'hikmah' sebegini, kalau Allah berniat mahu bagi, pada sesiapa sahaja pun Dia mampu bagi, hmm. terima kasih, Syirah!
 
kian saya seolah disedarkan dengan satu ayat al-Quran (17:24), tentang pemaknaan hakikat 'merendah diri' (wakhfihd lahuma janaah) terhadap ayah ibu, walau setinggi dan sebebas apapun 'sayap' (janaah) kita telah 'menerbangkan' kita dengan begitu jauh sekali. setinggi dan sejauh mana pun, tunduklah dan merendahlah kepada ibu dan ayah, bukan bersebabkan kasih sayang atau pengorbanan mereka, tetapi terlebih kepada sebab, ini adalah perintah Allah, -noktah!
 
sungguh bagi saya, antara mujahadah yang terbesar adalah menjadi seorang anak yang membawa rahmah pada ibu dan ayah. oh Allah, tumbuhkanlah rahmah dalam diri kami, dan tebarkanlah rahmah dari diri kami, serta jadikanlah kami anak-anak yang soleh dan solehah.
 
entah, tiba-tiba di tengah malam yang syahdu, rindu Ummi Walid, tskk.

No comments: