Pages

Wednesday, November 19, 2014

Tertulislah Sudah Sebuah Entri Tertangguh;

Bismillah




(i) 
"Because she feels misunderstood, I guess. Because it never comes out clearly enough when she tries to speak!"
Ya, sayalah itu. Nah;




Tiada yang meragukan dengan doa ibu, pasti sahaja Allah sudi memperkenankan. Apatah lagi, apabila diucapkan dengan terpaling ikhlas dan luhur, di senggang-senggang Dhuha. Entah, saya selalu percaya ini dengan sungguh-sungguh. Maka pagi semalam, sebelum apa-apa saya taipkan dahulu sesuatu khusus untuk Ummi, memohonkan kiriman doanya.

Keserabutan semalam, hilang. Debaran semalam, beransur lega. Saya tidak merasakan saya telah melakukan yang terbaik, atau memberikan idea-idea baru yang cemerlang, namun semuanya terasa dipermudahkan dan dilapangkan, syukur!

"Kadang-kadang.." kata Pooh, "Hal-hal yang kecil dan sederhana selalu terlebih mengisi dan memenuhkan ruang hati."
Brainstorming | Pastry Ville: Nov, 18.

Begitulah hakikatnya. Terima kasih Ummi, dan sokongan kawan-kawan yang kita suka. 

ii)

"Because she wants to rephrase the world, to take it in and give it back again differently, so that everything is used and nothing is lost."

Ya, sayalah itu. Nah;

Semalam, menyinggah Masjid UIA sebaik habis kerja, saya cuba untuk melelapkan mata sekejap sementara menunggu Isyak. Oh, suara Ustaz Ibrahim Nuhu yang agak lantang kedengaran, membuatkan hajat saya tidak kesampaian. Maka, saya memaksakan diri juga untuk mendengar dalam keadaan separa sedar, walaupun (entah kenapa), semalam letihnya sungguh luar biasa! (letih berfikir agaknya, lulz).

Hal-hal yang Ustaz sampaikan, tidak pernah sesekali mengecewakan. Meski diulang-ulang isi yang sama, teguran yang sama, nasihat yang sama, ia pasti tetap akan menggegarkan hati. Malah, sentuhannya barangkali mampu membocorkan air mata!

Tidak lain, orang-orang sebegini selalunya hubungannya cukup dekat dengan Allah, membuatkan apa sahaja yang disampaikan benar-benar sampai. Cukuplah dengan bersembang-sembang dengan kedua anaknya sahaja, sudah jelas ternampak kesolehan si ayah!

Kata Ustaz semalam, orang-orang yang bertawakal sepenuhnya dengan Allah, hatinya akan cukup 'rileks' dan tenang, sebab dia tahu dan yakin, Allah Maha Berkuasa dalam setiap urusan hidupnya. Orang-orang ini juga, hatinya akan cukup 'contented', tidak sibuk-sibuk ingin juga memiliki apa yang orang lain miliki. 

Terimbas satu nota, yang pernah saya tuliskan untuk diri sendiri dahulu sewaktu melintasi salah-satu ayat daripada surah at-Taubah ini;

"Ketenangan selalu ada teruntuk orang-orang yang seringkali merasa cukup dengan Allah, 
dan segala pemberian-Nya. Allahhumma ja'alna minassyaakirin."


Usai Isyak, wrapped up untuk semalam pula;
"..sebab orang yang yakin sahaja yang akan terus-menerus berdoa!"

Hmm. 
(ii) 

"Because it's something to do to pass the time until she is old enough to experiences the things she writes about."
Ya, sayalah itu. Nah;




Dua hari lepas, saya ke sini dan berlagak sebagai mahasiswa! (hahaha). Jujurnya, saya bukanlah orang yang kritis dalam mengupas sesuatu isu, lebih-lebih lagi perihal politik semasa. Maka, tujuan ke sini adalah salah satu cara bagi melihat dan mendengar orang-orang lain berfikir, menyumbang idea, berdiskusi, dan berbincang tentang sesuatu isu. Ia boleh jadi mampu membuka satu dimensi baru dalam diri. Juga, 'berkenalan' dengan orang-orang yang mungkin berbeza dengan kita. Bukankah perbezaan itu hakikatnya suatu rahmah? Ahhhh, seronok!

Menyimpulkan forum ini dari sudut perspektif saya sendiri, saya melihat setiap front mahasiswa ternyata mempunyai 'warna' dan identiti masing-masing. Terlihat acuan tersendiri, dari rahim 'komuniti' mana ia dilahirkan, dibentuk atau ditarbiyah. Baik IKRAM Siswa, PKPIM, GAMIS, PPUM mahupun kumpulan-kumpulan lain. Namun, interaksi antara kesemuanya benar-benar mengindahkan nuansa forum. 

Saya merasakan, pencarian melalui diskusi demi diskusi, wacana demi wacana selalu mencerahkan, malah membuatkan kita bertanya dan bersoal siasat kembali ke dalam diri, hinggalah pencarian kepada kebenaran tertemukan. 

Saya suka perasaan-perasaan ini, yang membuatkan saya tersedar siapa saya, ke mana saya, apa yang perlu saya lakukan dan sebagainya. Merefleks semula kesemua kata-kata panelis forum, dan soalan-soalan yang ditanya hadirin, seolah-olah telah meletakkan di kedudukan mana saya berada sekarang. Ia seolah-olah bertanya semula; Dulu, saya mahasiswa di 'kelas' yang bagaimana? Buku-buku apa yang saya baca? Apa yang telah saya buat? Apa yang telah saya fikir? Apa yang saya cari, dan apa yang saya mahu jadi? Siapakah saya? Bagaimanakah saya? Ia bagai memperkenalkan saya dengan diri saya semula!

Ya, sekalipun belum dituntas semua 'kesedaran' tadi sepenuhnya kepada amal, perbuatan, dan gerak kerja, sekurang-kurangnya proses kesedaran itu telah berlaku, meskipun sekitar 'memberontak' di dalam diri sendiri. Ia pasti akan terus berlegar-legar, sampailah ia bersedia untuk membuat perubahan. Sebagaimana kata satu pepatah, sekalipun belum mampu berbuat kebaikan atau menebar manfaat buat orang lain, kemampuan menegah diri sendiri daripada berbuat kejahatan atau kemungkaran itu sudah pun lebih daripada memadai. Tidak dinafikan, kemampuan untuk berbuat lebih daripada itu, tentulah lebih baik dan ganjarannya lebih besar! Namun, secara jelasnya baik perubahan itu besar atau kecil, ternyata 'kemampuan' ini tidak lain, masih juga lahirnya dari sensitiviti dan kesedaran yang disuntik awal-awal tadi.

Keduanya, saya tidak merasakan forum ini perlu dihadiri oleh golongan mahasiswa sahaja. Masyarakat keseluruhannya juga, supaya sentiasa disedarkan tentang tanggungjawab dan peranan mahasiswa yang sebenar. Sekurang-kurangnya, apabila golongan mahasiswa ini 'terlena', masyarakat inilah nantinya yang akan membuatkan mereka ini, 'terjaga' semula; menegur, menasihati dan mendidik. Bukankah proses itu menjadi lebih harmonis begini; check and balance (sekat dan imbang)? Ahhhhh.


"Mahasiswa tidak akan memberontak, kalau tidak dihentak-hentak. Mahasiswa tidak akan memberontak kalau universiti mengambil sikap mendidik, bukan mengherdik atau mencekik. Kalau ini terjadi, maka logiklah kalau mahasiswa menjerit!"

Sekalipun bukan untuk orang lain, apa sahaja yang kita lihat, kita baca, kita dengar, selalunya pasti akan membentuk satu idea, prinsip atau cara pandang baru tentang hidup dalam diri. Seterusnya, pastilah akan membentuk karakter dan peribadi.

Mudah-mudahan, itulah yang akan menjadikan diri lebih baik berbanding semalam!

"Tapi bagi kita sebagai Muslim, masih ada makna inti yang lebih dalam yang harus kita temukan melalui ajaran agama kita yang membimbing dan mengantarkan ke sulbi makna-makna. Ilmu mengantarkan kita kepada kesadaran kemanusiaan, tapi wahyu mengantarkan kita kepada kesadaran berketuhanan di balik semua nilai kemanusiaan tersebut."
- Ahmad Zairofi AM, Majalah Tarbawi Edisi 252

Oh Allah, rendahkanlah hati kami untuk lebih memahami; tidak gopoh, tidak riak, tidak sombong dan tidak keterlaluan.

Ameen.
_____
Saya sedang bercita-cita dan bersemangat waja untuk menulis setiap hahahahahahhahari (lulz). Demikianlah ini adalah tulisan yang sepatutnya habis ditulis semalam, tetapi tertangguh lantaran tertidur kepenatan. Heh.


Monday, November 17, 2014

Ini bukan sebuah Muhasabah Cinta!

Bismillah

Meninggalkan zaman kampus untuk tempoh hampir setahun lebih, jujurnya terlalu banyak hal-hal kecil dan sederhana yang saya rindukan! 

Seseorang yang akan menyapu roti bakar bersalutkan marjerin dan jem strawberi. Seseorang yang akan membancuhkan secawan kopi Adabi di waktu pagi, atau secawan coklat panas di waktu malam sebelum tidur. Seseorang yang akan perlahan-lahan menutup lampu waktu-waktu terlelap keletihan meski masih lengkap bertelekung. Seseorang yang akan membangunkan qiyam keesokannya dengan penuh kasih. 

Seseorang yang akan diam-diam menampal 'sticky notes' di board peribadi. Seseorang yang akan mengesat air mata tanpa berkata apa-apa. Seseorang yang akan bercerita itu ini tentang perjalanan hari-harinya. Seseorang yang akan menuntun salah silap dengan teguran paling lembut dan hikmah. Seseorang yang akan berkongsi siri lectures, lagu, filem, buku, nota, tazkirah pendek, dan apa-apa sahaja tanpa bimbang sedikitpun, termasuklah membacakan 'quotes' atau baris-baris perenggan daripada bahan-bahan bacaan yang disukainya!

Kalau pagi ini, masih di bilik yang sama, salah seorang daripada mereka pasti akan mencelah ke compartment saya, dan kami akan bercerita panjang tentang apa sahaja sambil bersarapan bersama. Dia yang satu ini pasti akan menolak Twiggies saya, atau cuma makan separuh, kemudiannya menggelengkan kepala menunjukkan betapa tidak berminatnya dia untuk menyudahkan yang separuh lagi. 

Kalau pagi ini, masih di bilik yang sama, saya pasti akan secara tiba-tiba seperti selalunya, bertanyakan dia;  

"Pernah rasa hati kita kesat semacam? Khususnya bila kita terlalu terdedah dengan ruang media sosial yang menyesakkan? Rasa kesal apabila tidak mampu mengawal diri sendiri. Bangun pagi, off alarm dan belek phone dulu. Habis doa lepas solat, belek phone dulu. Sambil menunggu apa-apa atau sesiapa, belek phone dulu. Lepas makan, belek phone dulu. Sebelum sesudah tilawah, belek phone dulu. Sampai masjid pun, belek phone dulu? Sesak!"

Hingga hal-hal ini mungkin mencantas khusyuk solat atau merampas fokus tilawah. Fikiran terganggu, bahkan perasaan juga terbelenggu. Saya sesungguhnya tidak suka dengan attachment yang menyesakkan sebegini. Ia adakalanya berlaku secara tanpa sedar, hingga tidak terkawal.

Mungkin juga dia akan membalas pertanyaan dan pengaduan saya, dengan berkongsikan video Nouman Ali Khan yang ditontonnya berserta kata-katanya sekali

"Materialism is killing us. The real solution to materialism is understanding the book of Allah. The more you start understanding the book of Allah for yourself, you will no longer be interested in materialism. It will not fulfill you. It will leave you empty."

Saya barangkali akan terkedu dan mengangguk berulang kali, dan mengatakan betapa lintasan hati sebegini (rasa kesat, kosong, bersalah, berdosa) dan sebagainya kebiasaannya akan bertandang sekejap-sekejap ke hati. Itupun hanya apabila Allah menginginkan dan berkehendak memberi. 

Syukur, jika masih berperasaan sebegini, seolah-olah ada sesuatu yang tidak beres atau selesai di hati sendiri. Apapun yang kita ada, baik orang atau barang, tidak akan sesekali mampu memenuhkan hati, melainkan Allah semata-mata. Itulah puncak ketenangan yang paling teguh, sedikitpun tidak meragukan.

"Syukur, kalau Allah seringkali bagi kemampuan pada kita untuk 'menegur' dan 'menasihati' diri sendiri. Pendek kata, kemampuan untuk merefleks atau bermuhasabah. Beza bukan antara belajar dan mengambil pelajaran?"

Seterusnya, saya pasti akan, "Ah-ha!" dan dengan seluruh keterujaan dan kesungguhan, memaksanya membaca apa yang saya terjumpa di buku beberapa minit lalu. 

"Nah, baca yang bergaris ini. Bacalah, bacalah, bacalah."

Dia mungkin akan bermasam seketika, dan kemudian akan membacanya juga meski dalam keadaan paksarela, seperti selalunya juga.


kompilasi majalah tarbawi - edisi 251-260


Sesudah baca, sama ada dia akan bertanyakan semula kefahaman saya sebab betapa sukarnya bagi dia untuk memahami Bahasa Indonesia, ataupun dia akan turut bersama-sama mengangguk setuju dan berkata, "Betulllllllllllll!"

Kalau masih di bilik yang sama, saya mungkin akan menyelak ke halaman seterusnya, dan memaksanya untuk meneruskan pembacaan lagi, sambil berkata, "Ini yang last! Paling best!"

kompilasi majalah tarbawi - edisi 251-260

Dia masih akan setia membacanya, dan kami akan terus bercakap-cakap lagi dan lagi.  

Hahhhhhhh, itulah antara random acts of kindness yang sungguh-sungguh saya rindukan dan sukar ditemukan lagi. Lebih-lebih lagi, saat-saat melalui rutin office hour sebegini. Itulah hari-hari yang segar, hari-hari yang berlakunya pertumbuhan rohani dan intelek. Hari-hari yang menyamankan, menikmatkan bahkan membuka luas ruang-ruang muhasabah dan kesedaran!

Namun masih, ruang 'belajar' dan 'mengambil pelajaran' itu meski dengan atau tanpa mereka, harus selalu berlaku, bukan? 

Ini bukan sebuah Muhasabah Cinta! Demikianlah, tertulis sebuah Muhasabah Rindu.

Sunday, November 16, 2014

Sabtu dan duit, duit, duit.

Bismillah

Kata Dian Nafi;
"Menulis memang bukan mengeluarkan, tetapi aktivitas membobol berbagai sekat dalam diri dengan di luar dirinya, dengan apa yang menggelisahkannya sehingga mencapai kemapanan rasa untuk digelisahkan kembali."

Ah, bagaimana untuk saya keluarkan kesemua kegelisahan saya ini melalui kata-kata? Ia tampak lebih selesa dan tenang berada di dalam, walhal kegelisahan saya sudah mampu untuk membakar seluruh hati dan jiwa saya.

Sebagaimana tajamnya kata David Ramirez, "I could start fires with what I feel for you."  Ok, tipu.

Nah, inilah kegelisahan pertama.

"Okay, sekarang cuba check whatsapp masing-masing dan listkan lima orang kawan yang sangat kerap kita hubungi. Boleh jadi, hampir setiap hari." 

Saya cuba untuk senaraikan, tetapi hampa. Ya, memang ada kawan-kawan yang kita kerap hubungi, namun tidaklah hampir setiap hari. Kalau ya pun, kebiasaannya cuma perbincangan di dalam group

"Okay, kalau sudah senaraikan lima orang tadi, cuba tengok pula dua puluh kawan teratas yang kerap kita hubungi. Kemudian, dua pulih lima yang teratas pula."

Untuk menyenaraikan kesemuanya, prosesnya terasa makin payah.  

"Susah, bukan? Kita ini sebenarnya, hanya ada beberapa orang teman paling rapat. Hanya berapa kerat sahaja kawan yang betul-betul kawan. Ada orang yang sebenarnya, tidak pernah kisah pun sama ada kita jemput dia atau tidak ke majlis perkahwinan kita. Kita yang susah-susah fikir, mahu jemput sipolan ini dan sipolan itu dan sebagainya, hingga akhirnya membebankan diri sendiri, sebab menelan belanja yang tinggi, melebihi kadar kemampuan."

Ini antara 'dialog' paling menarik yang Pakdi (Suzardi Maulan) kongsikan dalam Bengkel Intensif 'Fulus Oh Fulus' di Wisma Sejarah semalam. Pertama kali juga saya merasakan, program bertema perkahwinan yang jumlah bilangan peserta perempuannya seimbang dengan jumlah peserta lelaki. Menakjubkan! Barangkali bersebabkan ia menjurus kepada hal-hal teknikal, khususnya melibatkan pengurusan harta dan kewangan. 

Jujur, saya tidak merasakan program sebegini cuma wajar dihadiri orang-orang yang sedang dalam persiapan menuju walimah, namun sangat bagus untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui lebih tentang pengurusan kewangan. Lebih-lebih lagi, teruntuk saya yang tidak pernah berminat langsung berfikir tentang isu-isu 'teknikal' sebegini. Serius!


Antara hal-hal yang saya rasa menarik dan cukup 'mindblowing' ialah tentang;

1. Pemilihan bakal suami atau isteri - sekufu dari sudut harta

Bukanlah bermaksud status atau gaji mesti setara, namun lebih kepada kefahaman yang sama tentang pengurusan harta dan kewangan. Masing-masing tahu dan faham kepentingan menyimpan wang, kesediaan untuk menganggung kesusahan atau kesenangan bersama, kerelaan untuk mengorbankan kehendak atau keinginan dan sebagainya, termasuklah kefahaman yang cukup tentang peranan masing-masing; suami yang mencarikan dan memberikan sejumlah wang dan isteri yang menguruskan wang dan menentukan belanja harian. 

Inilah kelemahan saya yang paling nyata.

contoh belanja bulanan Fazlina

Melalui contoh belanja yang Pakdi kongsikan semalam, belanja Fazlina untuk pembelian buku cuma RM300 setahun? Seriuskah? Ini bermakna RM25 untuk sebulan? Oh, mampukah saya? Ahhh, kita cut dinner!

2. Kahwin: antara adat, syariat atau trend?

"Siapa ingat, tahun bila MyVi kuning ni femes?" - Pakdi

Ada yang jawab tahun sekian dan sekian. Hakikatnya, hal-hal yang 'trendy' ini, cuma hanya akan diingat ketika waktu itu sahaja, dan bukan berterusan.

Antara persoalan lain yang Pakdi timbulkan dan saya rasa menarik untuk sama-sama difikirkan ialah;
- Berapa kerap kita akan membelek semula album perkahwinan sesudah berkahwin?

- Berapa ramai antara kita yang akan terus makan telur yang diterima sebagai goodies di majlis-majlis perkahwinan? 

- Adakah kita antara orang yang akan menyimpan dan mengumpul kesemua potpuri/pewangi yang diterima sebagai goodies dari majlis perkahwinan?

- Adakah orang masih sebut-sebut tentang baju yang dipakai pengantin setahun yang lepas? Adakah majlis setahun yang lepas masih disebut dan dikenang orang lain hingga sekarang?

- Adakah kita lebih memilih hantaran/allowance dari suami yang berbentuk banyak dan 'hangus' sekaligus, ataupun dalam jumlah yang sedikit, tetapi jangka hayatnya adalah sepanjang hidup, misalnya perlindungan takaful? 

- Apakah keperluan untuk mempersiapkan kenduri yang grand? Tujuan?

- Adakah kita bersedia menjadi raja sehari di majlis perkahwinan, tetapi hamba seumur hidup (dengan bebanan hutang, terutamanya hutang pembiayaan peribadi khusus untuk majlis perkahwinan)?

3. Penyimpanan wang teknik surah Yusuf - bermula sesudah mendapat gaji pertama.

i.    FASA 1

"Dia Yusuf berkata, "Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan." (Yusuf: 47)

Zaman senang (kerja sungguh-sungguh, dapat gaji simpan dahulu dan tukar kepada aset). Inilah fasa buat-buat miskin, gunakan wang untuk keperluan sahaja. Paling penting, jangan kisah apa orang kata walaupun terpaksa guna kereta buruk, meskipun mampu untuk guna yang lebih mewah.
 
ii. FASA 2

"Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari apa (bibit gandum) yang kamu simpan." (Yusuf: 48)

Zaman sesak (simpanan atau aset dapat membantu kita)

iii. FASA 3

"Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur)." (Yusuf: 49)

Zaman senang balik, baki simpanan aset / aset diguna untuk melabur
 

4. Kepentingan mencatat setiap perbelanjaan harian, termasuklah perbelanjaan yang kecil (snek, teh, dan sebagainya).

Kadang-kadang, kebocoran duit adalah disebabkan hal-hal belanja yang kecil. Selain buku, saya merasakan portion belanja saya yang terbesar adalah ini (haha). Twiggies, Revive, Magnum dan lain-lain.

Sebulan: RM 345.00 | Setahun: RM 4140.00

 5. Teknik-teknik menyimpan wang
i. Tabung keluarga - simpanan setiap bulan
ii. Kempen hijau - kumpul dan simpan RM5 sahaja (Saya tengah praktis yang ini, hihi)
iii. Simpan di tempat yang susah dikeluarkan
iv. Buku simpanan - diberi pada orang-orang tertentu yang tidak boleh kita 'control' (mak ayah)

6. Pengenalan kepada proses pembelian rumah dan penggunaan istilah bank 

Penting untuk mengambil tahu, supaya tidak mudah ditipu dan tertipu, hmm. 



7. Fakta tentang punca utama perceraian adalah kewangan, berdasarkan kajian Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM). 


Rancanglah perbelanjaan dan penyimpanan wang anda. Ah, itulah take-home-message paling 'umppph' yang saya dapatkan semalam. Antara lainnya juga, "You don't need to have a big wedding to have a memorable wedding."

Terpenting, bagaimana untuk menjemput barokah hingga para tetamu yang berkunjung terasa tenang, gembira, meski cukup sederhana? Oh, entahlah. Hal-hal semisteri dan seseni ini, tidak lain cuma Allah sahajalah yang paling mengetahui. Apa lagi, kalau bukan doa sahajalah yang menjadi penghubung antara hamba dan Tuhan, langit dan bumi?

Hmm.


Nah, inilah kegelisahan kedua.

Juga tentang graduan, kerja, gaji, duit, hutang, dan hal-hal seputarnya.


Sempat juga menyelitkan diri ke Buku Jalanan UIA semalam, dalam acara Tayangan & Diskusi Filem: Jalan Pintas. Sambutannya tampak kurang menggalakkan, tetapi terlihat kesungguhan tim ini. Sayangnya, bersebabkan masalah teknikal, tidak mampu berlamaan-lamaan di situ.

Maka, tidak sempatlah untuk mendengar kesemua diskusi (teknikaliti, tema, kupasan mesej filem), sebab faktor masa yang tidak mengizinkan. 

Tidak mahir saya untuk berkongsi tentang ini, cukuplah memetik kata Fadli al-Akiti;
"Aku sudah lama tidak dituang dengan filem-filem tidak senang duduk, kerana filem-filem jenis ini (seperti di atas) selalunya mengganggu aku, buat aku depress, buat aku down (dan aku selalu sahaja mengelak). Filem ini berjaya melakukan itu. Ini kekuatan Ayam Fared dan Nam Ron."



Cukuplah, menggelisahkan!

Friday, November 14, 2014

Throwback: Mencari Min.

Majalah JOM!: Isu Ramadhan
Rambut ikal mayangnya terjuntai melepasi paras bahu. Getah berona jingga yang digunakan untuk mengikat rambutnya, turut melurut kemudian terjatuh ke lantai.

"Along!!!!!" jerit Najmina, kuat. Dia mendengus, gara-gara diusik tocang rambutnya.

"Shhhh, perlahan sikit. Atuk tengah tidur tu!" Farhan melekapkan jari telunjuk ke bibirnya. Sambil mengomel, Najmina cekatan mengelus-ngelus rambutnya semula. Kali ini, sengaja dibuat sanggul meninggi pula. Farhan terkekeh-kekeh ketawa, geli hati.

"Min tengah baca buku apa? Khusyuk sangat dari tadi." Tangan Farhan cepat menyambar remote TV, lalu duduk bersebelahan Najmina. Tubuhnya disandarkan ke sofa. Butang 'on' pada remote ditekan, matanya pula melekat di kaca TV. Melalui siaran Islamedia, Sheikh Mansour kelihatan sedang bersungguh-sungguh menghuraikan makna al-Qadr dari sudut bahasa dan istilah.

Buku berkulit ungu yang sederhana tebalnya kemudian diangkat, ditayang-tayangkan di hadapan wajah Farhan. Sekilas, tajuk yang tertulis dibacanya satu-persatu, Nasihat Ramadhan Orang-Orang Soleh.

"Buku siapa? Ayah Ngah?" duga Farhan. Najmina mengangguk. Dari petang tadi, habis rak buku Ayah Ngah dipunggahnya. Sejak bekerja, jarang-jarang sekali dapat balik menjenguk Atuk dan saudara-mara lain di kampung. Walhal, di sinilah tempat dia membesar. Kali ini, entah angin mana datang, sanggup pula dia mengambil cuti sebulan tanpa gaji semata-mata mahu menghabiskan Ramadhannya di sini.

"Along..." Suaranya lirih.

"Hmm?" Saat ini, Sheikh Mansour sedang membincangkan persediaan menghadapi lailatulqadar. Mata Farhan masih tidak beralih dari kaca TV, khusyuk menghayati.

"Orang yang terikat dan terbeban dengan dosa, kakinya tidak akan mampu berlari dan mengejar kelebihan Ramadhan! Dosa-dosa itu telah membuatkan dia ‘letih’. Itulah pentingnya istighfar!" tegas Sheikh Mansour mengingatkan.

Gulp!

"Along…dengar tak ni?" Najmina mengeluh.

"Ya, tengah dengarlah ni." Balas Farhan, ringkas.

"Along tak rasa Ramadhan kali ini, hmm...lain sikit?" Najmina memalingkan tubuhnya, mengadap Farhan. Wajah abangnya ditatap dalam samar-samar cahaya pendarfluor.

"Lain macam mana?" Farhan serius menyahut, agak aneh dengan pertanyaan adiknya.

"Entahlah. Rasa macam banyak benda berlaku Ramadhan kali ini. Hati Min tak macam selalu. Pendek kata, rasa lainlah!"

Farhan tersengih nakal. Riak muka adiknya betul-betul diamati.

"Rasa yang baik ke buruk? Imam mana pulak yang buat hati Min sangkut ni?"

"Along…Min seriuslah!" Suaranya sengaja ditinggikan. Kemudian, direndahkan semula. "Erm, rasa yang baik. Tapi, Min confuselah. Min macam ada split personality."

"Split personality?" Pantas, Farhan mengangkat kedua-dua kakinya ke atas sofa. Lantas, dipeluknya pula erat-erat. Wajahnya cemas, pura-pura ketakutan. Langsung Farhan ketawa mengejek. Ada-ada sahaja istilah yang keluar dari mulut pelajar lepasan psikologi di sebelahnya ini.

"Diri yang split tu macam mana?" Farhan menyoal lagi, terus meraikan. Suara cengkerik sayup-sayup pula berdesing ke telinga. Selang beberapa minit, kedengaran jujuhan air paip dari ruang dapur di belakang rumah. Mungkin Atuk yang menjadi kebiasaannya, ke bilik air malam-malam begini.

"Erm, Along kan kenal Min. Selesa dengan jeans. Tudung pun ikut yang mudah sumbat. Stokin pun, kadang pakai, kadang tak. Solat itu solatlah, tapi tak adalah macam Along yang tambah dengan solat-solat sunat. Al-Quran pula, kalau rajin baru Min baca. Qiamullail? Sebulan sekali pun tak boleh jamin tau!"


"O..kay." Lambat-lambat Farhan membalas. "Jadi…apa yang splitnya?" Tanyanya lagi, meminta penjelasan.

"Min rasa lain, Along. Macam ada suara dalam hati Min. Dia suruh Min ubah ini, ubah itu. Senang kata, sekarang Min tak selesa dengan diri sendiri. Min rasa Min banyak berubah. Along, Min ni hipokrit ke?"

Najmina benar. Semenjak beberapa hari di kampung, dia nampak lain. Bangunnya awal berbanding orang lain. Tilawah al-Quran semacam sudah jadi rutin wajib setiap kali selepas solat. Bacaan buku-buku agama bertambah, malah hampir setiap hari rak-rak buku Ayah Ngahnya diterokai. Desktop pula terisi dengan folder khusus untuk koleksi e-book, yang entah dari laman web mana dikutipnya. Banyak! Peliknya, harddisknya yang sebelum ini ‘sarat’ dengan lagu-lagu dan filem-filem makin berkurang, digantikan dengan koleksi-koleksi ceramah agama, siri kuliah diskusi ilmu, dokumentari dan sebagainya. Pelik!

Wirid al-Ma’thurat diwajibkan pagi dan petang. Jarang pula ternampak dia melongo lagi di depan TV seperti kebiasaannya sebelum ini. Bahkan, dia jadi takut-takut untuk tidur selepas waktu Subuh. Dia makin mendengar kata, tidak banyak lagi merungut atau mengaduh. Hubungan dengan orang lain pun, makin hari makin mesra.

"Min yang inikah yang dia kata bukan diri dia? Split personality?"
Gumam Farhan.

Najmina kembali menyarung kaca matanya, mahu meneruskan pembacaan. Farhan menapak ke almari kaca setinggi tubuhnya, lalu mencapai al-Quran mini berwarna coklat yang terletak di rak paling atas. Diselaknya beberapa halaman yang bertanda. Disuakannya pula kepada Najmina yang masih terpinga-pinga.

"Nah, baca ni." Tanpa banyak soal, lirik mata Najmina jatuh pada surah al-Ahzab ayat ke 70 dan 71, yang diwarnakan dengan pen penyerlah berwarna kuning terang. Warnanya sudah sedikit kabur.

"Yang ini?" Tanyanya lagi, meminta kepastian. Farhan mengiyakan. Najmina kemudian membacanya satu persatu, lancar.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar. Supaya Ia memberi taufik dengan memperbaiki amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan."


"Ada rasa apa-apa tak dengan ayat ni?"
Farhan cuba menguji. Najmina menggeleng.

"Baca lagi, kali ini dengan hati." Najmina tampak segan, namun dia baca lagi. Diam-diam, di dalam hati. Usai baca, Najmina tetap menggeleng juga.

"Along…terangkanlah." Dahinya berkerut.

"Mungkin apa yang Min alami, bukan split-personality. Tapi, Along rasa Min mungkin tengah mencari diri yang hilang?" Farhan mengambil tempatnya semula. Sheikh Mansour sedang asyik bercerita perihal ‘tetamu’ malam lailatulqadar. Sayup-sayup terdengar kata-katanya lagi, "Boleh saja Allah bagi kita mengantuk, kalau Dia tidak mahu kita sebagai tetamu lailatulqadar. Dia lebih Maha Tahu sesiapa yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya! Apakah kita di antaranya?"

Gulp!

"Dari dulu, Along tengok Min memang macam ni kan? Apa yang hilang?" Min yang terdiam lama bertanya lagi. Farhan tersentak. Kemudian, menyambung perbualannya semula.

"Ermm.. mungkin ‘fitrah baik’ kita? Dulu, Allah gabungkan penciptaan kita dengan tanah dan roh milik-Nya. Jadi, apa-apa yang dari Allah itu, sudah semestinya baik!" Najmina makin keliru.

"Maksudnya, awal-awal kita memang sudah baik? Macam tu?" Farhan mengangguk, bersetuju. Dia meneruskan kata-katanya lagi.

"Tapi apabila makin membesar, ‘fitrah baik’ kita tadi mungkin berubah sedikit demi sedikit. Itulah yang Along cakap, ‘hilang’ tadi. Ia bergantung pada persekitaran kita. Kalau berdamping dengan orang-orang yang ingat Allah, maka kita tidak akan mudah hanyut, Min. Kalau persekitaran kita baik, ‘fitrah baik’ itu, lebih mudah terjaga dan terpelihara!"


Najmina tertunduk. Kolam matanya mula bertakung. Hatinya tengah berperang hebat. Suara hatinya sedang menghakimi diri. Ada benarnya kata Farhan. Dia sedang mencari dirinya yang hilang. Diri yang dahulunya mengaku Allah itu Tuhan. Diri yang dahulunya pernah bersumpah janji setia dengan Rabbnya.

Dia sedar, ini bukanlah split personality. Ini proses menjejak kembali. Pencarian itu pula menyebabkan pertembungan antara fitrah dan janjinya yang dulu dengan Najmina yang sekarang; Najmina yang part-time Muslimah. Sebab itu, dia keliru. Kerana itulah, dia berasa seperti mempunyai dua personaliti yang berbeza.

"Tapi Along, kenapa baru sekarang Min rasa semua ni?" Najmina sebak.

"Ayat tadilah, jawapannya. Makin kita bertaqwa, makin Allah perbaiki amalan-amalan kita. Ramadhan ini, Along tengok Min banyak mengaji. Banyak baca buku-buku agama. Jaga pandangan mata dan hati. Tak lagi terikut-ikut dengan hawa nafsu. Selalu dengar tazkirah, peringatan dan lain-lain. Maka, hati jadi makin terang. Fikiran pun makin bercahaya! Bila nafsu terkurung, maka mudah untuk iman memandu kita ke jalan-jalan yang baik. Makin lama, kita makin kenal diri sendiri. Paling penting, kita ‘jumpa’ semula dengan ‘fitrah suci’ yang dulu!"
Hurai Farhan, panjang lebar.

Najmina mengulang lagi bacaannya. Al-Ahzab ayat ke-70 dan 71. Hakikatnya, tiada dua Najmina. Hanya satu. Dulu, kini dan selamanya. Najmina yang sepenuhnya Muslimah, cuma dia hilang. Hilang dalam dirinya sendiri.

"Along, terima kasih banyak-banyak!"
Najmina senyum haru.

"Min..." Sederap Farhan menghampiri. Tidak semena-mena, Pap! Sekali lagi sanggulnya terurai. Farhan cepat-cepat berlari meluru ke biliknya. Najmina merengus.

"Atuuuuuuuuuuuuuuukkkkk!" Laungnya kuat. Najmina langsung cepat-cepat mengatup mulutnya, tidak sedar bahawa jam sudah menunjukkan hampir 2.00 pagi.

"Moga Ramadhan kali ini, mampu mengembalikan kita pada fitrah kita yang sebenar-benarnya." Kata-kata terakhir dari Sheikh Mansour, sebelum ulang siaran rancangannya berakhir.

Wednesday, November 12, 2014

Perempuan Di Tangga I.

bismillah

menjerit-jerit dia di suatu hari, dalam keadaan yang tidak semena-mena. satu pejabat riuh, mendengarkan jeritan dia yang bercampur tangisan. antara kami ada yang menjenguk dari cermin luar. sekilas terpandang seorang perempuan dalam lingkungan umur 30-an sedang terduduk sambil meraung-raung.

saya dan dua orang kawan lagi menghampirinya, memikirkan mungkin sahaja dia memerlukan apa-apa pertolongan.

"akak ok?" tanya saya teragak-agak. dia terus meraung lagi, kuat. kemudian, masing-masing antara kami cuma diam, sengaja membiarkannya bertenang seketika. salah seorang dari kami masuk ke dalam pejabat semula, mengambil segelas air. 

"suami saya...ceraikan saya..." katanya tersekat-sekat. matanya memerah, air matanya pula makin menganak deras. raungnya makin kuat kedengaran. 

"sampai hati dia...ceraikan saya. talak tiga!" jelasnya lagi. saya sangat terkejut dan terkilan bercampur kasihan, sedih, dan kecewa. apatah lagi, apabila dia memberitahu selanjutnya lagi bahawa lafaz talak dilafazkan oleh suaminya cuma melalui telefon, beberapa minit yang lalu.

"saya tak pernah minta sesen pun dari dia. kenapa dia buat saya macam ni?" luahnya lagi. kami hanya mampu mendengar. saya menggosok-gosok bahunya, cuba menenangkan. meski saya tahu, mustahil untuk seseorang bertenang dalam keadaan sedemikian rupa.

antara kami cuma berdiam, lama. saya sendiri hilang kata, tidak tahu perkataan apa paling sesuai untuk menenangkannya dalam keadaan sebegini. sabar? redha? tenang? termampu cuma bersilih ganti menggosok bahu dan merangkul tangannya.

itu permulaan saya mengenalinya beberapa bulan yang lalu, sebelum hari-hari terkemudian kami saling berbalas salam dan bertanya khabar. hari-hari selepas peristiwa itu, dia tampak lebih bersemangat dan bertenaga.

namun beberapa hari ini, saya tidak ternampak kelibat dia lagi menyapu sampah di sekitar sini. terlihat cuma seorang lelaki yang menggantikan tugas-tugasnya sebelum ini. 

betapa ada orang-orang di dunia ini, sangkanya mungkin hidupnya cuma kecil-kecilan, tidak bermanfaat besar, namun hakikatnya cukup memberikan kesan pada orang-orang sekeliling. jujur, dia antara orang yang tanpa sedar telah memberikan makna khusus tentang hidup, dalam hari-hari saya. seseorang yang telah mengajarkan erti sebenar sebuah 'syukur', 'bahagia', dan 'sempurna'.

indahnya kalau hidup kita pun begini, menjadikan orang-orang selalu merasakan ada sesuatu, dan mampu berbuat sesuatu. seseorang yang akan didoakan oleh orang lain secara diam-diam, kerana telah menunjukkan kebaikan yang mungkin kecil maknanya pada dia, namun begitu besar kesannya pada kita.

hah!

"I want to inspire people. I want to ignite aspirations in people to the point they will say 'because of you, I didn't give up" -anon

oh terima kasih, kakak.
Allah, lindungi dia selalu.

Tuesday, November 11, 2014

dan hari ini, sudahkah hujan merintik lagi?

bismillah

"If I love myself I love you. If I love you I love myself" - Rumi

lama saya terfikirkan tentang kata-kata Rumi yang satu ini. walhal, sifirnya cukup mudah; dengan hanya mencintai diri sendiri, kita akan mampu mencintai orang lain, dan keduanya takkan kita termampu, melainkan dengan pertama-tama mencintai Allah; bergantung kepada Allah, berharap kepada Allah, bertawakal kepada Allah sepenuh-penuhnya!

kebelakangan ini, saya merasakan tahap keyakinan saya begitu rendah. saya cenderung menjadi seorang yang begitu pesimis, takut, hilang percaya, dan sebagainya. akibatnya, cara pandang, tindakan, perbuatan dan keputusan saya akan terarah mengikut perasaan-perasaan ini. sebagaimana yang dituliskan Dr. Ibrahim Elfiky di dalam bukunya 'Dahsyatnya Berperasaan Positif';

"perasaan menjadi bahan bakar manusia. ruh memerlukan rumah sebagai tempat tinggal, yaitu jasad. jasad membutuhkan dinamo sebagai penggerak, yaitu akal. dan dinamo membutuhkan bahan bakar supaya berfungsi. bahan bakar tersebut adalah perasaan. jadi, bahan bakar manusia adalah perasaan. perasaan tersebut melahirkan perilaku." - hlmn. 42

hah!
betapa buku yang baik selalu menjadi guru terbaik bila-bila diperlukan, menempelak, menegur bahkan menasihati dengan cukup sembunyi, diam dan sopan.

sementara bersiap-siap untuk tidur semalam, juga sebagai muhasabah untuk diri saya sendiri, saya tanyakan dia soalan ini;

"sarah rasa, umy orang yang confident? jujur, please?"

"susah nak jawab soalan umy ni. hmm, di tengah-tengah kot. kalau umy boleh buat sesuatu benda, confidentlah. kalau benda tu umy tak pernah buat, mestilah kurang confident. sarah rasa, semua orang pun macam tu." 

entahlah, sama ada saya seorang sahaja ataupun sememangnya semua (khususnya, perempuan) begini. ada masa-masanya, keyakinan tidak terjelas. gementar, gelisah, debar, takut dan resahnya tidak terkhabar. anehnya, dia sendiri tidak mampu memahami dan menguraikan kesemuanya! malahan mungkin, dia sendiri barangkali takut dengan ketakutannya sendiri. 

mengenali 'orang-orang' ini, membuatkan saya tersedar satu hakikat tentang 'keyakinan' ini. terima kasih Murakami, kerana telah menjelaskan kesemuanya, sepadan dengan jiwa saya rasakan;




tanpa sedar, mengenalkan saya dengan kekuatan yang perlu dibina, memberitahu saya tentang keyakinan yang perlu dilentur, mengajar saya tentang kepercayaan yang perlu ada. malahan, mendidik saya bahawa hidup bukan cuma untuk menerima, tetapi memberi, dan untuk memberi, tidak dapat tidak, jiwa perlu sangat tegar dan kuat.

sebegitu uniknya perempuan Allah jadikan, untuk sepenuh-penuhnya memberikan kasih sayang, menjadi tempat teduhan dan sandaran, memberikan sumbangan terbesar kepada masyarakat, bagaimana mungkin boleh begitu mudah hilang yakin, malahan takut dengan bayangan sendiri? sedangkan Dia sahaja sudah cukup-cukup percaya, dengan meletakkan pada tubuh sebuah jiwa yang cukup besar, emosi yang cukup gagah, bahkan perasaan yang cukup jitu untuk menampung tanggungjawab dan peranan ini kesemuanya?

mengapa begitu mudah mengalah? mungkinlah kita (aku) yang terlalu banyak menduga-duga? mungkinlah kita (aku) yang terlalu kompleks? mungkinlah, kita (aku) sahaja yang menjauh, hingga sumber kekuatan terutama hilang, dan kepercayaan pada-Nya jatuh sifar. 

oh, janganlah!

"..there is no perfect way. it's about listening to them and to your own voice, your own instinct of love. which is so very simple and fun." - sarah hampson

bismillah!