Pages

Wednesday, July 23, 2014

nota Ramadhan 25.

bismillah

(i)

dua hari lepas, sewaktu sedang duduk-duduk di kafe HS, datang seorang adik menghampiri saya. masing-masing bersalaman dan berpelukan, seterusnya kami saling bertukar cerita. hinggalah terhenti kepada suatu topik;

"saya rasa, masa saya sangat kosong bila tak boleh puasa, tak boleh solat.."

"erm, akak pernah dengar satu talk dari ustaz ni. kata dia (dari seorang ustaz lain), perempuan yang haid, Allah masih 'mengira' amalan-amalannya. kalau dia orang yang di masa sucinya, terbiasa dengan bangun malam, tilawah dan sebagainya, maka sewaktu haid pun, pahalanya akan masih berjalan sebagaimana dia di waktu suci. Allah kan Maha Adil?"

"subhanallah, akak.."

tiba-tiba air matanya tumpah, dan dia sungguh-sungguh menangis!

sewaktu berkongsi tentang hal yang sama, dengan ukhti yang lain, responnya sangat membuatkan saya bermuhasabah panjang. katanya;

"untuk ditetapkan pahala yang sebegitu ketika waktu haid, sejauh manakah kita telah 'jujur' pada Allah, dengan amalan-amalan kita di waktu suci? sejauh manakah Allah mengenali kita? sebagai orang, karakter atau ciri yang bagaimana?"

Allahhu!

(ii)

semalam adalah halaqah terakhir sebelum masing-masing pulang bercuti di kampung. untuk halaqah kali ini, murabbi banyak berkongsikan seputar lailatulqadar. 

antara yang paling mengesankan saya ialah tentang doa dan permintaan kita kepada Allah S.W.T. seluas apa tawakal kita kepada Allah? setinggi mana kita bergantung harap kepada Allah? sebanyak mana harapan dan permintaan kita kepada Allah?

kata murabbi terkasih;

"untuk setiap malam, spesifikkan doa kita. satu malam, satu doa yang khusus yang diulang-ulang. maka, setiap malam akan jadi malam yang istimewa untuk kita bermunajat kepada Allah S.W.T."

subhanallah!

maka, untuk hari-hari dan malam-malam yang masih berbaki di dalam Ramadhan; bulan rahmat, bulan maghfirah, bulan terbelenggunya syaitan, bulan bergandanya pahala, bulan terbukanya pintu syurga, bulan tertutupnya pintu neraka, terus-teruslah menyebut Allah, menyeru Allah, memanggil Allah, meminta dengan Allah S.W.T.

sebagaimana terungkap maksud sabda Nabi S.A.W; jilatlah jari-jari sesudah makan, kutiplah butir-butir makanan terakhir yang bertaburan, bersihkanlah, dan makanlah, kerana kita tidak pernah mengetahui, barangkali di situ adanya barakah. 

"sesungguhnya kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan." (hr muslim)

maka, sebegitulah juga kita cuba menyikapi, mungkin hari-hari dan malam-malam terakhir ini, terisi dan terkumpul barakahnya yang maha banyak, meski di awal dan ditengahnya kita sedikit kalah atau kecundang. moga kita tidak tergolong menjadi orang yang dilalaikan oleh syaitan daripada terus berdoa dan berharap kepada Allah S.W.T. 

"sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu." (hr at-tirmidzi)

"tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepada-Nya, maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan." (imam ibn athaillah)

kawan, teruslah berprestasi! teruntuk orang yang seringkali optimis dan bersangka baik dengan Allah, harapan selalu ada.

:)

 


Monday, July 21, 2014

SUATU JANJI.

bismillah

berjanjilah pada diri, untuk selalu tersenyum suka mahupun duka. berjanjilah pada diri, untuk cuma mengumbarkan rasa-rasa tenang dan bahagia, agar orang lain turut terinspirasi dan termotivasi. berjanjilah pada diri, untuk mengeluh bahkan mengaduh hanya teruntuk Allah; untuk Dialah cuma ketawa dan air matamu. kecewa dan harapanmu. sakit dan senangmu. hanya Dia; tiada yang lain! hanya Dia yang menaklukkan seluruh hatimu; rasa-rasa bahagia dan derita.

berjanjilah pada diri untuk cuma mengungkapkan syukur dan redha. berjanjilah pada diri untuk selalu meraikan kelemahan orang lain dan menghargai kelebihannya. berjanjilah pada diri untuk selalu mencintai orang lain, hingga membuatkan dia selalu merasakan ada. berjanjilah pada diri untuk memberi tanpa mengharapkan apa-apa, melainkan kerana cinta kerana Allah yang sesungguhnya! berjanjilah pada diri untuk membuang seluruh prasangka, melainkan baik-baik cuma. berjanjilah pada diri untuk mengemukakan seribu satu alasan sebelum menjatuhkan meski satu hukuman. berjanjilah pada diri untuk terlebih dulu mendengar sedalam-dalamnya kerana sifat empati yang tinggi.

berjanjilah pada diri, untuk bersedia menerima apa-apa nasihat dan teguran, tanpa sesekali cuba 'mempertahankan' keegoan diri. berjanjilah pada diri untuk selalu mengoreksi diri hingga yang ternampak cuma keaiban-keaiban diri yang banyak, dan kemuliaan-kemuliaan orang lain yang tinggi! berjanjilah pada diri untuk tidak membuat orang sesekali merasakan kerdil dan kecil, bahkan besar dan hebat di sisi kita.

berjanjilah pada diri membuatkan orang selalu berasa selesa untuk bercerita apa-apa sahaja tentang dirinya, baik buruk atau cacat celanya dengan paling jujur dan terikhlas! tanpa takut, tanpa ragu, tanpa rasa dihukum, diejek, direndahkan atau diperlekehkan. berjanjilah pada diri untuk selalu berkata-kata dengan 'bahasanya', sabar memahamkan, telus mengajarkan, tidak gopoh-gapah dalam membentuk atau mengubah dirinya. berjanjilah pada diri untuk selalu memberi harapan, galakan, sokongan dan motivasi, hingga orang yang tersungkur boleh bangun, malah yang jatuh mampu bangkit dan berlari! 

berjanjilah pada diri untuk selalu menghargai apa-apa pemberian, baik kata-kata, perbuatan mahupun harta dengan menyebut-nyebut dan mengingat-ingat kebaikannya! berjanjilah pada diri untuk selalu sensitif dan peka dengan hati dan perasaan orang lain, meski terpapar cuma di raut wajahnya. berjanjilah pada diri untuk mendahulukan kata maaf dan terima kasih.

berjanjilah pada diri untuk selalu memperbaiki diri, meski dalam ruang lingkup terkecil. berjanjilah pada diri bahawa ruang islah dan pembaikan selalu ada. harapan selalu ada. cahaya selalu ada. terpenting, Allah selalu ada, mengira setiap satu titis mujahadah, meski sekecil-kecilnya! berjanjilah pada diri untuk tidak sesekali berputus asa, bahkan selalu-selalu mengujarkan;

"Allah; yang paling maklum, paling mafhum, paling arif, dan paling tahu tentang aku, saksikanlah bahawa aku sedang berusaha!"


Friday, July 18, 2014

Malam Ini Bukan 'Ghazal Untuk Rabiah'.

bismillah

9 Julai 2014 
11 Ramadhan 1435 H.

"Syg, mlm ni Old Town plz?" Satu notifikasi melalui Whatsapp diterima. Farrah memuncung. Cepat-cepat dia membalas.

"Old Town lg? Bosanlahhhhhhh."

"Dekat dgn ofis. Hr ni OT. Keluar jauh2 nnt, jalan jam. I taknak buka atas jalan. Syg, plzzzzz?"
Farrah akhirnya akur. Maka hari ini, iftharnya di Old Town lagi, buat kali kelima. Beginilah berteman lelakikan orang-orang sibuk. 24 jam kerja, sibuk semedang!

"Kenapalah muncung sangat ni? Sini, I suap." Farrah mencuka lagi. Sengaja dibuatnya begitu biar Razif tahu; dia memang sedang merajuk, dan ini memang masanya untuk dipujuk!

"Okay…okay. I janji, kali ini last!" Razif mengangkat tangan, konon berikrar. Mata seorang perempuan dari meja hujung tidak berkedip memerhati. Aneh, barangkali.

"Hisyyy, malulah orang tengok. Macam budak-budak." Farrah pantas menjatuhkan tangan Razif.

"Aha, tahu pun!"

"Eh siapa?" Kening Farrah terangkat.

"You lah. Merajuk macam budak-budak." Balas Razif, kemudian tergelak besar. Farrah mendengus.

"Dahlah, malas layan. Projek apa yang busy sangat seminggu ni?" Suapan Razif terhenti. Mulutnya sengaja diherotkan ke kiri. Farrah cepat-cepat mengatup mulut.

"Okay, okay. I lupa. Waktu makan, kita makan. Kita bincang pasal lain." Farrah tersenyum manis.

Drama TV beralih kepada sedutan-sedutan berita utama malam ini. Farrah sempat menangkap beberapa butir perkataan dari skrin TV di kafe tersebut. Ismail Haniyyeh, Gaza, Israel. Perkataan-perkataan yang sama, terdengar di radio pagi tadi.

Farrah menggeleng kepala. Sedutan berita yang sungguh menyayat hati. Tergamam Razif memerhatikan riak wajahnya.

Razif serta-merta menalakan wajahnya ke kaca TV.

"Hmm, perang yang tak berkesudahan. Entah bilalah akan berakhir.." katanya, sambil terus menyuapkan spageti yang sudah berbaki separuh. Farrah masih membatu.

"I teringat Rachel Corrie." Farrah menelan liur. Mulutnya terasa berpasir. Entah, tidak berselera untuk meneruskan suapannya.

"Haa, siapa?" tanya Razif terpinga-pinga.

"Rachel Corrie. Ala, aktivis yang perjuangkan isu kemanusiaan Palestin tu."

"Taulah you wartawan. Tapi, I tak sangka you minat isu-isu ‘berat’ macam ni. Sampaikan nama-nama aktivis pun you hafal," balas Razif, menjuihkan bibirnya.

"Eh tadi you drive ke naik tren?"
Razif mengalih topik.

Jawapan Razif membuatkan Farrah terus membeku, terdiam. Entah kenapa, sama ada Razif yang terlalu jujur berpendapat, ataupun hatinya yang terlalu sensitif. Setiap kali Farrah ingin menyuarakan tentang sesuatu yang kurang diminati Razif, pantas sahaja dia melompat ke isu lain.

"Cepatlah makan. I nak balik." Ujar Farrah, tegas.

"Aik, cepatnya?"


"Dah tu, tadi siapa yang banyak kerja sangat?"

Farrah cepat-cepat mengemaskan barang-barangnya. Telefon bimbitnya diletakkan semula ke dalam poket kemeja. Dia bingkas berdiri.

"I balik dulu. Bye!"

Derap demi derap meninggalkan Razif yang terkulat-kulat. Farrah sedar, dia sangat kejam membiarkan Razif sendiri di situ. Ya, sangat kejam apabila tindakannya itu terlalu drastik dan tiba-tiba. Namun, untuk yang entah ke berapa kali diperlakukan sebegitu, dan untuk hari ini sahaja, dia menurut kata hatinya, "Razif, hari ini I pula mahu menang!"

Razif mengeluh. Segelas kopi ais diteguk laju.

--

12 Julai 2014
14 Ramadhan 1435 H



Secawan kopi masih panas. Farrah duduk bersila mengadap komputer ribanya. Laman Twitternya berterusan termuat penuh dengan berita-berita terkini daripada Gaza.

Dia menjeling sekilas ke telefon bimbitnya. Dua saat kemudian, getarannya berhenti. 35 missed calls daripada pemanggil yang sama, tidak berjawab sama sekali.

Fokusnya kini tertumpu pada isu-isu Gaza. Entah kenapa, perasaannya begitu terhiris sejak pertama kali mendengarkan tentang ini. Perasaannya bercampur baur. Hatinya sayat. Jiwanya terluka. Matanya tidak tertahan untuk melihat foto-foto yang terus bersimbah dengan darah dan air mata. Dia penat!

Dia perlukan seseorang untuk bercerita tentang ini. Tentang kecamuk jiwanya, tentang amukan perasaannya, tentang gelojak emosinya yang bertalu-talu menuntut sesuatu.

Sebetul-betulnya, dia sebenarnya rasa helpless!

Lalu, hari ini (sebetulnya, malam ini) jurnalnya bukan lagi seputar isu golongan-golongan yang tertindas. Bukan lagi stastik atau angka. Bukan lagi fakta demi fakta. Bukan lagi tentang menteri-menteri, bangsawan, atau autokrat ternama.

Malam ini, dia menuliskan tentang Gaza yang meluruskan hatinya. Dia menuliskan tentang Gaza yang membuatkan dia bertanya tentang sesuatu. Dia menuliskan tentang keraguannya seperti;

"Apakah 'tangannya' benar-benar suci dan bersih, untuk terangkat doa-doanya ke langit? Apakah akan terpeduli rintih dan rayunya atau ia hanya terhijab dan terselindung oleh aib dan dosanya? Apakah akan terkabul segala pinta dan harapnya atau tertahan tidak didengarkan?"

(Saat ini, bayangannya memunculkan wajah Razif; melutut dengan sejambak bunga, menghulurkan tangannya untuk disambut dengan tangan halus si gadis dengan kata, "I maafkan you", sambil berterusan menyanyikan Ghazal untuk Rabiah. Bukan, sebetulnya Razif selalu menyebut nama panjangnya, ‘Farrah Rabiah’. Kemudian, Farrah akan terkekeh ketawa dengan kesumbangan suara itu, dan hubungan mereka akan kembali baik seperti biasa.)

Namun hari ini, perasaannya berbeza. Entah, tetapi rasa helpless itu cuma terubat dengan itu; melalui dua tangan yang tertadah ke langit. Bukan lagi hiburan sumbang Ghazal Untuk Rabiah dari Razif. Sejujurnya, dia hanya mahu dunia aman. Dia mahu dirinya 'aman'.

Malam ini, dia menuliskan tentang ‘Operation Protective Edge’ nya sendiri. Dia mahu sekali doa-doanya terijabahkan, rintih rayunya terpeduli, dengan dia terlebih dulu menjadi sebenar-benar Muslim!

(dipetik dari sini)

Malam ini, dia menuliskan tentang Gaza yang mencerahkan hatinya. Malam ini dia menuliskan tentang Yahudi tulen dan Nasrani tulen yang sedang 'memanggil' Muslim tulen!

Malam ini dia menuliskan tentang Gaza yang memanggil-manggil dirinya.

Malam ini, bukan lagi Ghazal untuk Rabiah.
Malam ini Ghazzah untuk Rabiah.

Monday, July 14, 2014

nota Ramadhan 16.

bismillah

separuh Ramadhan telah berlalu meninggalkan. jujurnya, ada (terlalu banyak) kesia-siaan dan penyesalan yang cukup berbekas di hati saya. terlalu! ada hari-harinya yang bukan sekadar terasa payah dan lelah, bahkan kalah! ada hari-harinya yang mungkin di perhitungan Tuhan, sekadar kedahagaan dan kelaparan. ada hari-harinya yang maha beratnya tilawah, jemunya tarawih, pahitnya mujahadah, malasnya istiqamah. 

namun, untuk tempoh setahun ini (Ramadhan lalu), dan separuh Ramadhan yang telah berlalu ini, cukup-cukup mengajar saya tentang satu nilai; BARAKAH.

"secara sederhana, barakah adalah bertambahnya kebaikan dalam setiap kejadian yang kita alami waktu demi waktu."
"..bahawa di saat apapun barakah itu membawa kebahagiaan. sebuah letup kegembiraan di hati, kelapangan di dada, kejernihan di akal, dan rasa nikmat di jasad. barakah itu memberi suasana lain dan mencurahkan keceriaan musim semi, apapun masalah yang sedang membadai.."

"barakah itu menyediakan rengkuhan, dan belaian lembut di saat dada kita sesak oleh masalah."
(saksikan bahwa aku seorang muslim, ust. salim a. fillah; hlmn. 249-251)

sepertinya, barakah itu magis; yang barakah itu selalu menakluk sempurna, namun yang sempurna itu belum tentu memiliki barakah!

cukuplah, apabila Dia menitipkan barakah dalam satu-satu hal, meski 'payah', meski 'letih', meski 'jemu', meski 'mengantuk', meski 'tidak berkecukupan', meski 'sedikit', meski 'jauh dari keselesaan' percayalah untuk semua dan segala 'ketidaksempurnaan' ini (baik yang disebutkan, mahupun tidak), bakal beriringan dengannya kebaikan yang maha banyak; sama ada pulangannya dikembalikan dalam bentuk 'ketenangan hati', atau 'kepuasan jiwa', atau bahkan kebaikan itu, tanpa tersedar ternampak sedikit demi sedikit pada diri sendiri. 

hingga di akhirnya, kita pasti dapat merasakan sesuatu yang beza! mungkin saja, tilawah terasa makin mengasyikkan, qiyam terasa lebih menginsafkan, siyam (puasa) terasa lebih menikmatkan, bahkan hablun minannas (hubungan sesama manusia) pun terasa lebih menghubungkan. 

andaikan segala 'kesempurnaan' sudah terpenuhi, namun sesuatu yang diharapkan tidak terjadi selayaknya, tidak mendatangkan kebaikan, sebaliknya kemudaratan kepada diri, berpatah jejak dan kembali bermuhasabah;

"APAKAH ADA BARAKAH DALAM AMAL-AMAL KITA?"

berulang kali, untuk setiap 'kejatuhan' ini, jangan berputus asa dengan segala kekurangan. jangan berhenti walaupun jauhnya tersungkur, jangan cepat tunduk pada kekalahan, jangan terus berhenti daripada memohon rahmat dan maghfirah, agar Dia dengan segenap maha kecintaan dan kemurahan kurnia-Nya, mengurniakan barakah dalam amal-amal kita!

seperti mengena dengan kata-kata ustaz dalam slot tazkirah ikim.fm pagi tadi;

"perkiraan akal tidak sama dengan perkiraan Allah."

oleh sebab kita tidak pernah tahu nilaian Allah terhadap kita itu 'berapa' dan 'bagaimana', cukuplah kita membersihkan semula niat, memperbaiki kekurangan, dan mengupayakan segalanya dengan paling baik dan terbaik, meski harus bermula kesemuanya semula dari awal. 

Allah, Engkau sesungguhnya Maha Tahu.


"..so that I may take into heart all the lessons, for as long as I live in this dunya."

--

"I don't share my thoughts because I think it will change the minds of people who think differently. I share my thoughts to show the people who already think like me that THEY'RE NOT ALONE.

- quoted


Tuesday, July 8, 2014

suatu pagi, menyorot Falsafah Hidup;

bismillah

terima kasih Imam as-Syafie, menguntaikan satu hikmah yang besar; "aku diam, sampai aku tahu mana yang lebih baik; diam atau bercakap."

terlalu banyak! 

terlalu banyak hal-hal yang kita (hmm, saya) ingin bicarakan saban hari. berupa pengaduan kecil atau besar, keluhan ringan atau berat, bahkan penjelasan dan alasan yang tidak terhitung banyaknya! betapa kita mahu orang tahu, kita mahu orang faham, kita mahu orang dengar, kita mahu orang arif, kita mahu orang sedar, kita mahu orang rasakan segala keluh kesah, sakit derita, beban tanggungan, resah gelisah, emosi perasaan yang kita alami setiap hari. khasnya, untuk orang-orang yang memang kita terlalu ingin atau selayaknya mendengarkan kesemuanya!

namun, mengingatkan semula kata-kata Saidina Umar al-Khattab; "aku tidak pernah sesal kerana diamku, tetapi seringkali aku sesal kerana percakapanku", menggambarkan betapa diam hakikatnya selalu lebih menguntungkan.

lebih-lebih ternikmatkan lagi, apabila yang tercurahkan semuanya teruntuk Allah yang menjadi gembira dan sedih kita, air mata dan ketawa kita. bahkan bukankah kedudukan-Nya di hati, akan menjadi lebih dekat dan istimewa? kejap dan rapat!

sebab, tiada sesiapa lagi yang kita izinkan menaklukkan jiwa raga kita, melainkan Dia semata-mata. sebab tiada sesiapa lagi yang kita benarkan untuk mendengarkan kesemuanya, melainkan Dia semata-mata. sebab tiada sesiapa lagi yang kita halalkan untuk tahu dan arif kesemuanya, melainkan Dia semata-mata!

Allah, lepaskanlah dari lidah dan tanganku, sesuatu yang Engkau halalkan cuma; baik harus atau wajib. Allah, lindungkanlah aku dari sepinya diam tanpa tafakkur. 

Engkaulah sebaik-baik al-Haadi. 


 
hamka, falsafah hidup (sumber: jejak tarbiah)


Monday, July 7, 2014

Saleem Semalam.

bismillah

ustaz cuma meluangkan masa antara lima ke sepuluh minit untuk sesi tazkirah ringkas sebelum solat Isyak. kebiasaan yang dilazimi sepanjang Ramadhan ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, atau nama ringkasnya Masjid UIA. 

ustaz ini, saya tidak kenal namanya. tetapi, cukup-cukup arif suaranya. beliau antara ustaz yang saya sangat kagumi, seringkali membentangkan isu-isu yang tampak remeh dan kecil, tetapi cukup besar pada pemaknaan. hal-hal penyucian hati, lebih-lebih lagi akhlak sesama manusia. 

semalam, sebelum solat Isyak, beliau membawakan satu ayat al-Quran yang cukup ringkas, tetapi cukup mengesani hati. 

"ويحسبونه هينا وهو عند الله عظيم"
"..dan kamu menganggapnya remeh, padahal dalam pandangan Allah itu soal besar."
(an-Nur: 15)

subhanallah!

ayat ini, hakikatnya bersangkut rapat dengan 'hadithul ifki' - kisah Saidatina Aisyah R.A yang difitnah melakukan perbuatan sumbang. berita ini tersebar dari mulut ke mulut dengan sewenang-wenangnya, sedangkan ia sama sekali tidak benar. lantaran itu, Allah S.W.T membenarkan dan memenangkan Saidatina Aisyah dengan turunnya ayat ini, langsung mengatakan bahawa perbuatan yang dianggap remeh ini, di sisi Allah cukup-cukup besar dan berat nilaiannya.

semalam juga, ustaz membawakan beberapa contoh perbuatan yang dilazimi masyarakat - kecil dipandang manusia, tetapi cukup besar di sisi Allah. antara yang paling ustaz tekankan ialah perbuatan memutuskan silaturrahim sesama manusia. 

saat paling menyentuh hati saya, ialah bilamana ustaz membawakan satu ayat lain;

"إلا من أتى الله بقلب سليم"
"kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (bersih)"
(asy-Syu'ara': 89)

Allahhu!

apakah kau telah cukup jamin bahawa hatimu telah bebas suudzhon (sangka buruk), dengki, dendam (jauh dari kemaafan), hasad, marah, al-kibr (bongkak), sombong, sum'ah (merasakan diri bagus/meninggi diri), riak, keras, dan ego sesama manusia, hinggalah kau bertemu Allah dengan qalbun saleem?

mungkin ringan pada manusia, tetapi cukup berat di sisi Allah!

Allah, tarbiyahkanlah hati-hati kami, sucikanlah ia untuk bertemu dengan-Mu dalam keadaan paling saleem (persih dan sejahtera), meredhai dan diredhai!

--
"fasting does not change Allah. He is the same yesterday, today and after the fast. but fasting will surely change you" - sh. ilyaas el badr
 #perfectyourmanners

ameen, ameen, ameen.