Pages

Tuesday, October 21, 2014

sepetang di Puduraya;

masjid jamek, #randomoctober

bismillah

entahkan saya yang terlalu naif, atau sebenarnya dia yang licik? entahkan saya yang terlalu menduga-duga atau sebenarnya dia sememangnya terlalu memerlukan?

ah, entahlah.

saya benar-benar tidak dapat menolak ketika dia mundar-mandir sambil terkumat-kamit, berterus-terang di bibir, "akak tak ada duit. suami akak tak sampai-sampai lagi sejak pagi tadi." saya benar-benar bingung, sama ada dia sedang mengadukan nasibnya kepada saya, atau sekadar suka-suka mengeluhkannya?

apabila mendekat, ternyata dia benar-benar berbau hamis peluh, atau (mungkin) juga berbau hancing dari si anak yang tidak berganti lampinnya sejak pagi.

"ini ha, anak akak. lapar, dari pagi tak makan lagi."

dia mundar-mandir lagi sambil mendukung si anak lelaki, sekitar tiga tahun. wajahnya cukup meresah. jujur, melihatkan wajah dia dan anaknya, ada kecurigaan bertamu di hati saya. "apa ini benar-benar anaknya? atau…?"

ah, prejudis!

ketika sedang ralit mengopi sendirian di salah satu bangku, perbualan kami bermula. ketika itu, dia tiba-tiba menegur saya, "adik, sekarang pukul berapa?"

bas Syirah, dari KL ke Butterworth telah berangkat kira-kira sepuluh minit yang lalu. petang semalam, sementara menunggu waktu solat Asar, saya memutuskan untuk ‘bersendirian’ seketika di Puduraya. melihatkan wajah-wajah manusia, adakalanya menebarkan pesonanya tersendiri.

ah, entahlah!

bercerita tentang dia dan si anak yang kelaparan tadi, maka kami sama-sama menuju ke gerai kebab berhampiran. dia memesan dua bungkus roti prata, dan sebungkus air soya. antara perasan kasihan dan keliru, saya mengangguk sahaja dan mengeluarkan beberapa keping not.

sambil terus mengunyah roti, dia terus bercerita lagi. bermula dari kisah dia sebagai isteri nombor dua, hinggalah pada pekerjaan suami yang berulang-alik membawa lori. kehadirannya di situ, cuma sedang menunggu si suami yang akan membawa balik susu dan pampers, dan di tangannya kini langsung kosong, tidak berduit.

saya terus bingung lagi, mendengarkannya sahaja kesemuanya!

"guard tu pun kenal akak, dik. tadi akak sembang dengan dia. dia baru kerja seminggu kat sini." dia menjuihkan bibirnya ke arah seorang lelaki. saya melontarkan pandangan ke arah lelaki tersebut, yang sepertinya sedang sibuk berkawal. terperasankan dia sedang diperhati, saya cepat-cepat mengalihkan pandangan. dia berumur kira-kira hujung 20-an, bertubuh kurus dan rendah, lengkap berpakaian seragam. di tangannya pula, ada sebatang rod berwarna hitam yang kebiasaannya dibawa oleh seorang pengawal keselamatan.

saya mengangguk-angguk. kira-kira 10 minit kemudian, pemuda itu menghampiri kami sambil tersengih.

"sedap ke kak roti tu? nak sikit, boleh? saya dah makan tadi. cuma nak rasa je makanan kat kedai-kedai sini." dia lantas mencubit sedikit, roti yang sudah berbaki separuh di tangan wanita tadi.

antara pandangan prejudis dan senyum ikhlas, saya makin bingung; apakah keterasingan antara orang-orang di jalan mampu pergi sejauh ini? bahkan, tiada yang meragukan untuk saling berbagi makanan? meski untuk hanya sekeping roti yang berbaki separuh di tangan?

antara berbuat baik dan berburuk sangka, antara mengikhlaskan atau mengutamakan kewaspadaan, saya seringkali keliru untuk memilih keduanya. andai Rasulullah bertemu orang-orang ini, apa yang Baginda akan lakukan untuk pertama kalinya?

bahkan seringkali terwujud perasaan, akhlak tak memerlukan syarat apa-apa, bukan? ia adalah tindakan yang semulajadi terjentik, tanpa terlebih dulu ada syak wasangka atau fikiran bukan-bukan.

hmm, entahlah. tetap dan masih membingungkan! paling meragukan, kisah-kisah orang seperti ini cumalah sebuah retorik untuk dijadikan sebuah entri oleh penulis blog picisan.

ps: selamat bercuti seminggu, Syirahhhhhhhhhhhh (T.T)

3 comments:

Anonymous said...

“Some tourists think Amsterdam is a city of sin, but in truth it is a city of freedom. And in freedom, most people find sin.” ―John Green

Jamilah Mohd Norddin said...

Hm...
kisah perempuan ini seakan sama.

...
lokasi pudu, cuma tempatnya beza.

Umairah. said...

anon;
:)

jamilah;
ohya? :) rindunya pada jamilah.