Pages

Monday, February 27, 2012

Doraemon Nobita II.


Nobita tergelak besar. Melihatkan lukisan Doraemon yang gajah-tak-gajah-unta-tak-unta itu, Nobita merampas batang kayu dari genggaman tangan Doraemon. Dan dia melukiskan yang baru. Kantuknya serta merta hilang.

Setelah beberapa garisan dikenakan pada pasir-pasir halus, ternampaklah wajah binatang yang baru. Walaupun hakikatnya, lukisan Nobita lebih dahsyat ‘kegajahan’nya, Doraemon senyum-senyum saja. Malas mengatakan apa-apa.

“Ini apa?” tanya Nobita.

“Er.. un.. un.. unta.” Jawab Doraemon, teragak-agak.

“Bagus! Ini barulah namanya unta!” kata Nobita, bangga. Kepala Doraemon, diusap-usap. Doraemon senyum lagi.

“Oh, apa yang awak mahu simpulkan, dari unta tadi?” sambungnya lagi.

“Begini. Saya cuma mahu jelaskan tentang kualiti versus kuantiti tadi. Kenapa Ustaz Sinyu beria-ria mengajak awak dan saya ke halaqah. Kenapa Ustaz Sinyu tak pernah-pernah berputus asa, malah bersemangat sepanjang masa. Sebab inilah.”

“Sebab dia ada unta ajaib, kah?” Nobita membuntangkan matanya. Doraemon mendengus.

“Sebab, ada satu hadis yang menerangkan tentang manusia. Sabda Rasulullah SAW, “Manusia itu seumpama sekelompok unta; ada seratus ekor tetapi tidak ada yang boleh dijadikan tunggangan.” Doraemon kembali serius. Nobita terangguk-angguk.

“Ini menunjukkan pada kita, manusia yang bermutu dan berkualiti sedikit bilangannya. Seperti sedkitnya bilangan unta tadi, hinggakan walaupun ada seratus ekor, hampir tak ada satu pun, yang boleh dijadikan tunggangan.” Doraemon menggoyang-goyangkan telunjuk kanannya. Sejak bersama Ustaz Sinyu, gerak-geri mereka hampir sama.

“Jadi, adakah halaqah itu sebagai salah satu daya usaha untuk mengkualitikan?” Kali ini, mata Doraemon membuntang pula. Pertanyaan Nobita yang sebegitu, sungguh tak terduga. Doraemon gembira sekali, hingga dia tanpa sedar terlompat-lompat sendiri. Mahu saja sujud syukur, tapi terteringat wuduknya sudah terbatal.

“Ya, benar Nobita. Tapi, atas kita juga mahu dikualitikan ataupun tidak. Mahu belajar ataupun tidak. Malahan, dari hadis itu, dapat juga kita simpulkan; kualiti lebih baik dari kuantiti. Banyak contoh-contoh yang boleh didapatkan dari Al-Quran.” Nobita mula menunjukkan reaksi minat. Dia diam, dan menunggu butir kata seterusnya. Doraemon pun menyambung.

“Kisah perang Badar, yang jumlah Muslimin, sangat sedikit.” Doraemon mengeluarkan terjemahan Al-Quran dari poketnya. Lalu, dihulurkan pada Nobita yang sedikit tercengang-cengang.

“Al-Imran: 123”. Nobita lalu, membuka dan membacanya. Doraemon seterusnya menyambung lagi.

“Seterusnya, perang Hunain. Dalam peperangan ini, Muslimin hampir kalah. Mereka terlalu merasakan bilangan yang banyak dalam kalangan mereka, mampu mengalahkan tentera Kuffar, tetapi hakikatnya tidak. Mereka kalah teruk pada pusingan pertama, dan mengalami kerugian yang besar. Lalu, mereka bertaubat atas sikap sombong dan bangga diri, dan mohon pertolongan dari Allah. Akhirnya, sampailah bala tentera Allah, yang tidak dapat dilihat oleh pihak musuh.” Nobita memperbetul duduknya. Kaca matanya digesek-gesek, dan disangkutkan semula ke pangkal hidung.

“Surah?” tanyanya.

“Erm, cuba tengok At-Taubah, ayat ke 25 dan 26”. Doraemon cuba mengingat-ingat.

“Di sini, bukankah kita dapat lihat keteguhan iman dan kemantapan semangat hakikatnya lebih kuat berbanding bilangan?” tanya Doraemon, menguji. Nobita mengangguk, setuju.

“Kisah-kisah tentang pengkualitian, boleh didapatkan melalui kisah sahabat juga!” Kali ini, telunjuk kirinya pula digoyang-goyangkan.

Nobita memulangkan terjemahan Al-Quran. Dia bangun, berdiri. Mengusir pasir-pasir yang melekat di seluarnya.

“Mahu ke mana?” soal Doraemon, pelik.

“Sudah Asar, kan?”

“Ya. Ya.”

Doraemon menggigit bibir.


______
-bersambung

*huraian kualiti atas kuantiti; saya rujuk Bab 2: Keutamaan Kualiti ke atas Kuantiti; Fiqh Aulawiyyat; Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi. saya sangat suggest kawan-kawan baca buku ini dan bincang. membuatkan kita banyak berfikir dan mencerahkan, insyaAllah. librari uiam; ada, kalau nak pinjam. 

membaca itu, jalan hidayah. bukankah? :)

*kembali ke Doraemon Nobita I

4 comments:

Zimah Zaiwani said...

SUKA SANGAT!!!!

kak umai, jomlah jmp. ajar zmah cr menulis cerpen mcm ni. sgt suka :')

Umairah. said...

alhamdulillah.
insyaAllah, bleh. :)

kalau akak free, and ada kat centre, akak cntct zimah, insyaAllah.

Anonymous said...

osem! like u :)

hehe,jumpa mlm ni.

Umairah. said...

bcuz i ve a friend;
she's osem,
and her name is huda.

:')