Rembang mentari terasa mencekik. Urat tengkuknya tegang. Berkali-kali diteguknya Revive, entah sebagai pengubat dahaga, atau penjana tenaga? Teman di sebelah sekadar ralit memerhati. Peluh merenik laju, dari dahi kemudiannya menuruni pipi. T-Shirt merah menyala berlatarkan anak-anak tangga "Maratib 'Amal" itu basah lencun.
Mereka duduk sebentar, menghempas lelah setelah mengelilingi satu pusingan penuh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Matahari menginjak naik, menebarkan cahayanya ke seluruh alam. Air di tasik yang tenang, tampak berkilau di depan mata. Sungguh tajam sekali.
Keluhan berat dilepaskan. Dia yang dari tadi asyik memerhati, akhirnya pecah suara dahulu.
A: Kau cakap ramai yang nak turun riadhah. Mana yang lain?
B: Entahlah. Aku dah mesej, call. Tapi, tak berjawab. Tidur lagi, kot? Adik-adik kau ramai ke yang turun?
A: Ada juga, beberapa orang. Tu ha, belakang kita saja.
Persis seekor buaya, datang seekor biawak mengacau ketenangan tasik. Mungkin saja mahu mengisi sunyi yang tiba-tiba menguasai suasana. Namun, langsung tak menggugat diam sejeda dua orang anak muda ini.
B: Aku penatlah...
Dia pula yang mengambil tempat. Nadanya hiba sekali.
A: Takkan baru satu pusingan, dah penat? Biar betul, kau atlet sekolah?
B: Bukan itulah, Bro!
A: Habis tu?
B: Halaqah yang aku bawa tak jalan. Minggu demi minggu, berapa kerat saja yang datang. Adik-adik aku di rumah, dah berbuih aku cakap, masih tak berubah. Roomates aku pun, tiap-tiap hari aku kejut bangun Subuh, tapi susahlah. Dan, hari ni pun, tengoklah. Planning pun tak jadi. Kadang-kadang, aku rasa letih. Apa yang aku buat, tak menjadi. Apa yang aku rancang, tak terlaksana. Hmmm..
A: Istighfar, sahabat. Istighfar! Jangan biar rasa sombong menguasai diri.
B: Sombong?
A: Kadang, baru berbuat sedikit sudah mengaduh letih. Kadang, baru diuji sedikit sudah mengeluh. Temukan kembali, di mana IKHLAS kita?
B: *diam*A: Kita bukan Tuhan. Lalu, kenapa mahu mempersoalkan bila? Biarlah Allah yang menentukan natijahnya. Kita hanya berusaha. Maka, jangan bertindak sebagai Tuhan sedangkan kita hanya manusia biasa. Kenapa mahu sombong?
B: Jadi, selama ini aku sombong?
A: Kau bukan menyeru manusia ke arah diri kau yang lemah. Tapi, ke arah Allah yang Maha Kuasa. Kita mahu sama-sama untung di Syurga. Sama-sama beriman, dan tinggalkan jahiliyyah di dunia. Maka, jual beli kau takkan pernah rugi. Harus sedar itu. Usahlah kecewa. Usahlah bersedih hati.
Rembang matahari merembeskan peluh. Demikian panasnya hati, sedang mengalirkan air mata. Air mata penyesalan.
B: Aku lupa. Aku lupa kisah Nabi Nuh, yang 950 tahun berdakwah tanpa henti. Sedang anak, dan isteri tak pernah mengikuti. Aku lupa. Aku lupa kisah Rasulullah S.A.W. yang dibaling batu di Thaif hingga berdarah-darah. Dicaci, dimaki, dihina malahan dirancang untuk dibunuh! Aku lupa. Aku lupa kisah Imam Ahmad yang tidak pernah berhenti mengajar. Jawapannya hanya satu, "Aku akan berehat, hanya bila kakiku melangkah ke Syurga.."
A: Kembalilah menyucikan hati. Mungkin pintu-pintu kebaikan orang lain, tersekat kerana maksiat kita. Dan, jadikan amal-amal sebagai darah daging, yang akan menguatkan IMAN, dan meneguhkan langkah.
Revive diteguk lagi. Entah sebab apa kali ini?
Moga bendalir yang mengalir, dan tenaga yang teralir menjana 1001 perubahan. Anjakan paradigma dalam diri, bermula dengan kekuatan tarbiyah dzatiyah.
Hasan Al-Bana: "Islah nafsak, wad'u ghairak: Perbaikilah dirimu, dan serulah orang lain!"
Amin ya Allah. Amin.
++++
SYURGA itu mahal. Maka, harga pengorbanan yang harus dibayar itu tinggi nilainya. Tanyakan pada hati, apakah kau jamin ayah ibu, adik-adik bakal bersama di Syurga? Apakah kau jamin sahabat tersayang, akan bersama-sama di Syurga? Paling penting, apakah kau jamin, amal-amal yang kau buat melayakkan kau ke Syurga?Ikhlaskah? Allah redhakah?"BEGIN WITH THE END IN MIND".;'(
*kamus:
revive: minuman isotonik
maratib 'amal: pembentukan dunia islam, yang bermula dari individu muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim, dan seterusnya.
halaqah/usrah: i. bahasa: bulatan ii: istilah: bulatan kecil yang di dalamnya ada perkongsian ilmu agama/pembentukan akhlak individu.
jahiliyyah: i. bahasa: bodoh ii: istilah: segala yang bertentangan dengan ajaran Islam.
tarbiyah dzatiyah: didikan dalaman/hati/rohani.
*entri ini untuk aku, aku, aku, aku, aku, aku.. "umairah shafei". T_T
No comments:
Post a Comment