Pages

Sunday, April 15, 2012

PERTANDINGAN.

Usai Asar, dua anak muda itu tegak berdiri menyalami jemaah di situ. Doraemon harus melompat sedikit demi sedikit bagi menyamakan ketinggiannya dengan yang lain. Adakalanya, demi melihatkan Doraemon yang keletihan melompat, Nobita mengangkatnya. 

Ah, baik budi sungguh rakan baiknya yang satu ini. Budak-budak melintas, berlari riang- riang ria mengelilingi Doraemon. Teruja! Nobita pantas memberi salam, memuliakan mereka. Doraemon menjeling. Nobita tahu, hatinya sedang bertanya, “Kenapa? Kenapa? Kenapa?” 

Tanpa banyak kata, Nobita bersuara; “Bukankah Rasulullah pernah melakukan hal yang sama?” Mulut Doraemon yang bulat itu menganga luas. “Ewah, dulu-dulu Umar Al-Khattab. Dah jadi Anas bin Malik kau sekarang!” Dia sengih kemudiannya, bangga. 

“Kalaulah Sizuka ada, kalaulah Sizuka ada..Mahu tak cair kau tengok Nobita sekarang!” Terdetik di hati Doraemon, sipu-sipu malu. Sizuka tak ada pun, Allah tetap ada memerhatikan gerak-geri Nobita. 

“Oh Nobita, kau mula menjadi Abu Bakar, yang sentiasa mengalahkan amal sahabatnya ‘Umar. Aku jadi malu sendiri denganmu!” Ulangnya lagi, tanpa terdengar ke telinga Nobita yang sibuk melayan karenah budak-budak pantai, yang dari tadi asyik memicit-micit pipinya. 

Keriuhan sudah mula sunyi. Entah ke mana pula, budak-budak itu berlari. Ke pantai barangkali, bermain sepak takraw. Budak-budak yang tak hanyut dengan teknologi memang begini fe’elnya. Bukan bersendiri-sendiri depan komputer, atau PS, atau apa-apa gajet lagi. Tapi iyaaaa, beginilah! 

“Memandangkan kau Bitt, aku tengok dah makin hebat meniru sahabat Rasulullah, apa kata kita main kuiz dulu, menantikan mesin masa aku yang rosak itu, dibaiki?” Nobita mengangguk, setuju. 

“Aku tanya, kau jawab.” Kata Doraemon. 

“Ini tidak adil! Aku tanya, kaulah yang jawab.” Nobita membalas kemudiannya. 

“Baiklah. Kita berselang-seli saja. Aku tanya kau jawab. Kau tanya, aku jawab. Tapi, kalau aku menang, apa hadiahnya?” 

“Lamaran kau ke daurah minggu ini, aku akan terima. Promisee!” Hati Doraemon mengembang, semangat. Doraemon berjaya menghalaqahkan rakannya itu, tapi belum berjaya mengajaknya ke daurah demi meningkatkan pertumbuhan sahsiah dirinya. Ini satu kesempatan. Tak boleh disia-siakan! 

“Oh, thank you Allah!” 

“Baik, mulakanlah sekarang. Kau tanya dulu!” Nobita mula berfikir-fikir. Doraemon jadi debar. Mana taknya, dari awal perjalanan Nobita terlalu asyik dengan bukunya. Ralit dalam pembacaan, sampai tak tersedar mereka terdampar entah ke kampung mana gara-gara mesin masanya rosak. 

Pasti telah dikhatamnya buku “Tokoh-tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah” yang menghimpunkan puluhan sahabat dan tabi’in. Pasti telah dihafalnya, dan akan dikepal-kepal, digentel-gentel, dan digula-gula dalam soalan-soalan yang bakal ditanya. 

Hah! Hatinya jadi makin gementar. Peluh mula merenik, membasah dahinya yang biru.  

"Baiklah, soalan pertama. Beliau seorang penghafal Al-Quran. Satu ketika beliau pernah berkata, “Sungguh malang nasibku sebagai seorang penghafal Al-Quran, kalau lari dari medan tempur.” Dan kerana itu, beliau menggali lubang kuburnya sendiri. Beliau juga pembawa panji, yang bila tangan kanannya putus, tangan kirinya mengambil posisi. Dan bila tangan kiri putus, lengannya pula mencapai panji. Hingga akhirnya, beliau syahid. Siapakah beliau?"

Doraemon sengih. Mudah! Kerana dia pernah menghafal hadis Rasulullah, tentang empat sahabat yang disebut-sebutkan ‘arif dan a’lim dalam selok-belok Al-Quran. Salah seorangnya, Salim Maula. Dan dialah yang menggali kuburnya sendiri. 

“Salim Maula Abi Hudzaifah.” Pantas, Doraemon menjawab. Tangannya yang tak berjari ditepuk-tepuk. Comel sungguh. Nobita hanya ketawa. 

“Tepat sekali. Tahniah. Giliran kau.” Doraemon berdehem. “Habislah kau Nobita!” Dia mengekek ketawa, sebelum serius bertanya. 

"Dengarkan, soalan kedua. Dalam perang Uhud, ada seorang sahabat yang berjalan penuh angkuh. Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda, “Ini adalah gaya jalan yang dibenci oleh Allah, kecuali di tempat ini (yakni di medan perang)” Kau rasa, siapa sahabat ini?" 

Nobita tergaru-garu kepala. Otaknya ligat berfikir. Pap! Ibu jarinya bertemu jari manis. 

“Abu Dujanah! Dia yang menyahut pedang Rasulullah di saat tiada pun yang maju, berani. Kan? Oh, sungguh hebat!” 

Doraemon tercengang. Makin hebat pula hafalan si Nobita ini. Nobita mencapai biskut empat segi Hup Seng di depannya. Lalu, dicelup ke dalam air teh yang suam-suam panas. Nikmat sungguh dimakan waktu-waktu petang yang dingin-dingin berangin seperti ini! 

“Haa, cepat. Soalan seterusnya.” Doraemon mendengus. 

“Kita masuk zon perang Hunain pula. Teng teng tereteng teng.” Mulutnya bersiul-siul. Nobita mengangkat kening. Konon-konon, baru memasuki zon seram. Zon kegagalan Doraemon. 

“Hisy, cepatlahh!” Gesa Doraemon, mula rimas. Ya, diakui juga dia pendebar orangnya. 

“Dalam perang Hunain, Rasulullah pernah berkata: “Siapa yang berhasil membunuh tentera musuh, maka miliknya semua harta rampasannya!” Erm, hebat bukan Rasulullah sebagai seorang motivator?” 

“Ya. Ya. Ya. Tapi, apa soalannya?” Doraemon makin cemas. Kepalanya sibuk-sibuk mengingat perang Hunain. 

“Cubalah bertenang, Mon. Kau ni, hisyy.. gelabah!” Sinis Nobita tak menunjuk riak apa-apa. Padahal, hatinya sedang ketawa bagai nak rak. 

“Mendengarkan itu, sahabat ini menyahut seruan Rasulullah dan berjaya membunuh ramai sekali tentera musuh. Siapakah beliau?” 

Doraemon buntu. 

Melihatkan sahabatnya yang buntu dan cemas, Nobita sungguh kasihan. 

“Baiklah. Aku bagi klu lagi. Dia juga suami kepada Ummu Sulaim. Sewaktu ingin menikah, Ummu Sulaim meminta islamnya dia sebagai mahar perkahwinan mereka.” 

Doraemon senyum panjang. Bukan senyum kerana tahu jawapan, tapi senyum kerana melihatkan sikap Nobita yang mula berubah dari errr, sedikit jahat kepada baik. 

“Senyum-senyum, tahulah tu. Haa, apa jawapannya?” 

“Thalhah b. Ubaidilah. Dia juga antara 10 sahabat dijamin Syurga, bukan?” 

Nobita mengangguk. 

“Baik, giliran kau.” Saat ini, suasana tiba-tiba sepi. Mata Doraemon basah. Oh, dia menangis! Tapi kenapa? 

“Kau kenapa?” Tanya Nobita, kehairanan. 

“Untuk soalan yang seterusnya ini, aku tak mampu. Jadi sedih, teringatkan perihalnya seorang sahabat ini.” 

“Siapa dia?” Nobita jadi ketidaktahuan. Dia pula yang cemas. 

“Tsabit bin Qais.” Balas Doraemon. 

Nobita cuba mengingat-ingat sahabat yang satu ini, tapi gagal. 

“Ceritakan pada aku kisahnya. Jujur, aku tak tahu.” 

Suasana jadi sepi-sesepinya. Doraemon mengambil nafas. Air matanya dikesat. Sebelum bercerita, Doraemon bertanya: 

“Pernah kau dengar ayat ini; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi.” Dari surah Al-Hujurat, ayat kedua.” 

Nobita mengangguk. Pernah ditadabburnya surah itu bersama Ustaz Sinyu minggu-minggu lepas. 

“Baik. Kau tahu, Tsabit ini orangnya lemah pendengaran. Maka, kalau dia bercakap suaranya akan jadi kuat. Boleh jadi, sewaktu beliau bercakap dengan Rasulullah, suaranya akan meninggi. Maka sewaktu turunnya ayat ini, Tsabit duduk termenung di tepi jalan dan dia menangis teresak-esak. Bila seorang sahabat melintasinya, dan bertanya kenapa dia menangis, katanya, “Aku khuatir ayat ini turun berkaitan tentangku.” 

Giliran Nobita pula menitis air mata. 

“Bukankah kita dapat lihat, betapa sensitifnya para sahabat dengan amaran, perintah, larangan yang Allah turunkan? Hingga hati-hati mereka merasakan bahawa setiap ayat, diturunkan hanya dan untuk mereka?” 

Doraemon menyambung kata. Dan ini, membuatkan Nobita makin tak terdaya menahan tangisnya yang melebur, dahsyat. 

“Bila hal ini terdengar pada Rasulullah, kepada Tsabit baginda berkata: “Apakah kamu redha hidup terpuji atau gugur sebagai syahid dan kamu masuk ke dalam Syurga?” 

Lalu Tsabit ini berkata: “Aku redha dengan khabar gembira dari Allah dan RasulNya, dan aku tidak akan meninggikan suaraku di atas suara Rasulullah untuk selama-lamanya.” 

Kemudiannya, turunlah ayat ke-3, “Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah, mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa.” 

“Aku..” Doraemon mengesat air matanya yang berjujuhan. Kerongkongnya rasa perit. Sakit sekali untuk mengeluarkan ayat seterusnya. 

“Aku tak melihat apa-apa melainkan mujahadah dan perjuangan para sahabat untuk mengatasi segala kelemahan mereka untuk Allah, untuk Allah, untuk Allah dan demi RasulNya. Hal ini, buat aku sebak kerana aku pada hakikatnya, masih tak berbuat apa-apa. Aku masih redha dengan kelemahanku. Aku masih tak bersungguh memenuhi kehendak Allah. Aku masih lengah dalam memerhatikan maksiat dan kelakuan burukku. Aku masih berterusan melakukan hal yang sia-sia, yang langsung tak ada nilainya pada Allah. Aku masih bertangguh dalam menyegerakan hal-hal kebaikan. Sedang pengakhiranku yang abadi ada di sana; sama ada Syurga atau Neraka!” 

Nobita merintih dalam tangis yang tak berkesudah. 

Untuk pertandingan ini, ternyata Doraemon menang. Nobita kalah. Bukan menang dalam pertandingan kuiz sahabat, tapi menang dalam perebutan hati. 

Hati seorang Nobita! 





_____
kisah dipetik dari buku yang Nobita baca; banyakkan nama-nama sahabat yang 'baru' kedengaran di telinga kita? maka, jomlah kita tingkatkan pembacaan bersama-sama! ewahh :))

*halaqah - erm, boleh dikatakan 'usrah' juga
*daurah - seminar
*tadabbur -membincangkan konteks ayat Al-Quran, dan mengaitkannya dalam kehidupan

5 comments:

faaizz d. zul said...

salam alayk'

terbaik la entri macam ni.
kisah teladan disulami ulasan buku.

genius.

fUyUki said...

:')

Umairah. said...

faaizz
w'salam wrt

“there is nothing to writing. all you do is sit down at a typewriter and bleed.” -hemingway

maka, semua orang pun boleh
insyaAllah, tak ada yang tak genius!

:)

fuyuki
:))

Jamilah Mohd Norddin said...

Doraemon dan kisahnya kembali. :P

Umairah. said...

jamilah:
:')