“Penceritaan awak bagus, saya cuma mahu awak ubah bahagian ini dan ini. Mereka sekadar berjumpa dalam internet. Setelah perkenalan singkat, masing-masing jatuh hati. Dan, kalau boleh tambahkan unsur komedi, biar ceritanya tak terlalu tegang dan serius.” Shariff mengarah. Busyra terdiam. Shariff langsung sekali lagi, terus melanjutkan kata-katanya.
“Perkenalan berunsur suspens semacam itu, lebih menarik. Orang suka. Dan majalah kita setiap bulan, akan dapat rating tinggi. Saya mahukan setiap bulan, orang ternanti-nantikan kisah cinta Karmila dan Haziq.” Shariff memperbetul tali lehernya, rapi-rapi. Busyra mendengus, perlahan.
Ah, bahana menulis kerana manusia, maka jalannya juga akan dipengaruhi kehendak dan kesukaan manusia, meski bertentangan dengan jalan dan perintah Allah. Hatinya berbisik.
Dahinya berkerut seribu. Sekali lagi, Busyra mengeluh. Pendek kata, setiap patah kata Shariff, tak dipersetujui. Keluhan kecilnya didengari. Shariff mengerling tajam.
“Ada masalah?” Tanyanya, hairan.
“Pada saya, kronologi ceritanya sudah cukup baik. Saya tak mahu mencampur adukkan yang bathil dan hak. Encik Shariff lebih maklum tentang itu.” Busyra dengan lembut, menerangkan. Pada masa yang sama, dia menghormati Shariff Othman, pemuda lulusan jurusan undang-undang, merangkap ketua editor syariah di tempat kerjanya.
Kau masih seperti dulu, Busyra.. tak pernah mahu mengalah.
“Saya tak rasa, ada masalah. Mereka bercinta dengan cara yang benar. Tak ada makan-makan, menonton wayang, atau saling mesej dan bergayut di telefon. Cuma saja, terjumpa dan berkenalan di internet.” Nada ton Shariff mula meninggi. Sengaja, dia mahu menguji. Sesekali, dicubanya mengawal suaranya supaya tak mengeruhkan suasana. Cincin di jari manis Busyra diperhatikan.
“Tapi, watak Karmila dalam cerita ini seorang yang matang. Saya tak merasakan orang yang matang, mudah jatuh cinta tanpa usul periksa dulu kedudukan hatinya. Bukankah, kata Rasulullah, kita mampu berfatwa menggunakan hati?” Sekali lagi, Busyra bersuara.
Shariff, kau yang tak pernah berubah..
“Siapapun berhak jatuh cinta, Busyra! Cinta bukan macam suis, ada on-off. Dan, kita tak mampu tutup atau buka, bila-bila masa kita mahu. Bila sampai seru, bila-bila cinta itu akan datang! Kita tak boleh halang.” Shariff menegaskan. Dia bingkas membelakangkan Busyra, membuang pandangan ke luar tingkap. Jantungnya terasa berdegup kencang.
Busyra, kenapa kau tak pernah cuba untuk fahami aku? Walau sekali?
“Ya, saya setuju. Kita tak ada pilihan untuk kebarangkalian terjatuh cinta. Tapi, kita ada pilihan. Pilihan untuk meneruskan dan melayan rasa itu atau tidak. Pilihan untuk menimbangkan rasa itu, atas dasar iman atau nafsu. Kita mencintai bukan dengan hati saja, Shariff. Tapi, dengan akal juga. Malah, Karmila seorang Muslimah. Di hatinya, tentu ada iman untuk membezakan baik dan buruk, betul atau tidak, rasa cinta yang terbersit di hatinya. Saya hanya mahu membawakan watak Karmila yang itu, pada pembaca.”
Busyra, sesanggup ini, kau memerli aku?
Busyra masih mahu mempertahankan kehendaknya. Shariff menoleh ke belakang. Mata mereka bertembung sesaat. Busyra cepat-cepat mengalih pandang. Shariff menarik nafas. Anak rambutnya yang terlucut ke dahi, dibetulkan. Nafas dihembus, dan dia berdehem sekali dua.
“Kalau begitulah, cerita awak akan tampak sungguh sempurna. Tak natural. Perempuan yang teguh, tak tergoyah langsung dengan cinta. Adakah hati yang seperti itu? Atau awak mahu gambarkan itu diri dan prinsip awak, Busyra?” Shariff menjeling tajam, cuba memancing. Busyra kelihatan masih tenang.
Busyra, tenang kau yang seperti itu, selalu buat aku kacau..
“Tak natural, atau awak mahu kita meniru gaya Barat bercinta? Dan menyelaputinya dengan sedikit nilai Islam, seperti solat, puasa dan lain-lain? Sepertinya masih menjaga, tapi hakikatnya hati merana. Iman terseksa, tapi sebab sudah terbiasa, dosa pun tak terasa. Kebanyakan novel cinta, seperti itu. Sedangkan tugas penulis Muslim, membawa mesej yang benar dan mendidik masyarakat.”
Arghhh.. sehina inikah aku, menurutmu?
Shariff merasakan dirinya seperti direndah-rendahkan. Egonya dihenyak seorang perempuan yang lemah. Busyra masih tak mahu mengalah. Dia tetap meneruskan kata, masih tenang dan lembut. Masih sopan selayak manisnya nama Busyra, membawa maksud ‘khabar gembira’.
“Kita ada model kita sendiri, mengapa ditiru yang lain? Kalau Barat mengenengahkan romantis dalam percintaan, apakah kita fikir Rasulullah tidak romantis? Malah, saya kira Baginda lebih baik, cuma saja kita yang tak pernah mahu selidiki akhlaknya. Romeo pula yang diagung-agungkan. Apa rahsia kebahagiaan keluarga Ibrahim A.S, dan isterinnya Hajar hingga cinta tak terasa menyakitkan dan melemahkan, walau sering terpisah-pisah? Ataupun, kalau mahu digarapkan ‘natural’ dalam cerita, kenapa tak kita bangkitkan kisah isteri Al-Aziz, yang berhijrah dari cinta nafsu kepada cinta Tuhan? Masih bahagiakan dia, dengan Nabi Yusuf A.S?”
Serendah itukah, kau menilai cinta aku, Busyra?
Shariff sekali lagi terpukul. Tali lehernya dilonggarkan. Busyra masih tak mahu berhenti. Pintu yang ternganga, menampakkan dua tiga jasad yang sedang sibuk bekerja di luar. Mesin fotostat masih ligat berfungsi. Deruan penghawa dingin masih terasa dingin nafasnya. Pendek kata, di syarikat penerbitan tersebut, semuanya masih seperti sediakala. Pro U Media Sdn. Bhd. masih seadanya. Tiada beza apa-apa, kecuali seorang. Seorang Shariff Othman, yang tengah panas. Panas hati.
“Maaf Shariff, saya tak nampak erti cinta selain yang membawa kita kepada pencipta cinta. Tujuan, jalannya harus menepati kehendak Pencipta. Dan cara mencintai juga harus disesuaikan dengan syariat Pencipta. Cinta harusnya mendatangkan kebahagiaan pada hati, tapi kalau mencemar dan melanggar ‘manual’ bercinta yang Allah bagi, dan Rasulullah tunjukkan, saya yakin, itulah penyebab hati tak pernah rasa cukup dan puas. Tak bahagia.” Busyra mengerling lelaki dihadapannya, sekilas. Kemudian menujah pandang ke buku-buku yang tersusun berderet di atas meja di hadapannya.
Busyra, kau tahu aku tak bahagia! Tapi, kenapa kau tak pernah faham?
“Busyra, cukup. Saya tak mahu dengar lagi apa-apa dari awak. Nah, bungkus cerita awak. Saya cari yang lain.” Busyra akur. Meski ditolak, hatinya tak terasa apa-apa. Ah, betul sekali, pujian atau makian takkan menghidupkan atau mematikan karya. Rezeki di tangan Allah.
Jangan hidup bertuhankan cinta, Shariff! Selamanya, tak bahagia.
Hatinya mengiyakan, tapi entah kenapa tak terkeluar pada buah mulutnya. Busyra berlalu. Kain kurungnya melibas kiri dan kanan. Dan, Shariff dari jauh, hanya memandang tanpa kata. Hatinya sayat, sakit.
Busyra, kenapa kau masih tolak aku? Dari dulu, sejak di kampus.
Shariff mengeluh. Dan Busyra, dalam langkahannya, senyap-senyap mohon Allah datangkan hidayah. Mudah-mudahan, ilmu syariah di dada Shariff bukan dihafalnya semata-mata, tapi dipraktikkan. Muslim yang mempraktiskan Islam sepenuhnya!
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
(Al-Baqarah: 208)
Dia langsung bertakbir sendiri dalam hatinya.
_______
tema: cinta
arkib: februari/2012/penang
arkib: februari/2012/penang
13 comments:
Assalamualaikum. :)
karya akak?
w'salam wrt
yerp
utk majalah sbnrnya. tp karya nie sasarannya b'beza-beza. dan menulis ini, utk valentine; hari yg org selalu agung2kan cinta
bila bc balik, akak t'sedar yg penyampaian agak tegas sedikit. mgkn sbb time menulis nie pun tgh 'tegang' sama kot. hehe
by the way, mana yg rs sesuai dgn kfhmn dan diri alya, ambil sbg pedoman. mana yg tak, tinggalkan jauh2 okai :)
:)
angkat ibu jari...
Subhanallah. Bagi saya ok je. Malah terkesan. Inspired dgn pegangan busyra yg sgt firm dlm mnjga hati. :)
alyaa:
subhanallah
itu b'makna, hati alyaa yg lembut
:)
ps: eh, akak suke la nama 'alyaa'. seriusli. xD
Salam alayk.
Akak, sukalah post ni! Mabruk alaiki =)
Saya sebagai reader dan orang ketiga dapat rasakan betapa tenangnya Busyra dan betapa kalutnya Shariff throughout the story =)
Monolog2 dalaman tu pun menyuntik elemen macam berdebar gituh. Eheh =D
InshaAllah berguna, sebagai pedoman seorang muslimah dan pelajar, yg selalu berhadapan situasi macam ni, antara nak menegakkan hak, tapi kebatilan jua yang dipinta. Satu lagi, perihal hati yang tak habis2 berbolak balik. Esp bila berhadapan dengan muslimin -_-
Semoga terus thabat. Habaq mai kat saya kalau dah publish majalah nya ye =)
Allah.syukran kak. Saya pula pminat gelap akak ;)
Semoga kita dpt ketemu :)
hebat.
anis:
syukran anis
kalau itulah penerimaannya, b'makna Allah telah mudahkan. alhamdulillah
dah ada majalahnya, tapi dijual dlm uia dik. :)
alyaa:
eh? terima kasih. hehe.
i'Allah, boleh2 :D
farah:
alhamdulillah ;)
Kak, saya uia-ans juga, cuma di kuantan =D
Macam mana nak beli? =)
anis:
oh, ye ke?
keciknya dunia :)
erm, akak tak sure ada dijual or tak di sana. kalau tak ada, akak boleh tlg belikan, insyaAllah. cuma, bg akak address kat sana, nnt akak poskan. :D
oh, namanya majalah al-muharrik.
Limited edition ke kak? Boleh tak kalau saya book satu, so that whenever saya balik KL [inshaAllah end of this month], saya amik kat akak? Or saya mnta tlg kawan saya amikkan? =)
Maaf menyusahkan =)
anis:
erm, maaf dik, akak tak sure
tapi insyaAllah, akak cuba tanyakan dulu ye
okeh, boleh!
pleasure is mine
:D
Post a Comment