Pages

Thursday, July 7, 2011

Gol.



A: Apa yang kau dapat dari perjalananmu? Sejauh ini?

B: Allah itu Al-Wadud. Bukan Al-Muhibb. Maksudnya sama, tingkatnya berbeza. Al-Wadud itu tingkat CINTA yang paling tinggi! Ah, aku cuma merasakan betapa Dia terlalu cinta kita, bukan? Meski kita sering beralasan, bertangguh-tangguh, adakala tidak ikhlas, malah kadang menjauh. Dia masih tetap juga mengukuhkan hati. 

A: Andai itulah jawapannya, apa yang kau mahukan demi membuktikan cinta kau pada Dia? Apa yang kau mahukan untuk tahqiqkan kefahaman kita dalam bentuk praktikal? 

B: Soalan itu benar menduga akalku. Ternyata, aku masih juga terawang-awang dalam membina cita-citaku. 

A: Bukan sengaja aku menduga. Hanya kerna aku ingin dakwah dan tarbiyah yang kita impikan mendarah daging. Tak tinggal menjadi kata-kata yang terawang-awang lalu hilang ditiup angin. Tidakkah kau kesal, andai tiada sempat kita dan ummah merasa kesannya?

B: Ya, aku tahu. Baru terasa, penuh karyaku lewat akhbar dan majalah. Namun, bimbang sekali impian yang tak terpeta menjadikan timbunan dakwat-dakwatku kelak tenggelam. Teringat-ingat kata Saidina Ali; kebatilan yang terancang akan menghancurkan kebenaran yang tidak tersusun. 

A: Ya. Benar sekali. Maka, jangan pernah kita merasa senang dengan istilah-istilah yang kita hafal. Jadikan mimpi hari ini menjadi kenyataan hari esok. Jangan biar perjalanan kita, pena kita, hanya tinggal kenangan, tanpa kita bangkit-bangkit menghulurkan penawar. Ayuh cepat-cepat peta mimpimu! Apa yang mahu kau perbuat? Apa yang mahu kau bina? Apa yang mahu kau cipta?

B: Lalu sahabat, apa yang kau mahu? 

A: Kau lihat sana.

B: Makcik.

A: Kerjanya apa?

B: Cleaner.

A: Tidakkah kau mahu lihat, makcik-makcik ini punya halaqahnya sendiri? Bukankah mereka wanita, yang punya suami dan anak-anak? Tarbiyah akan menjadikan mereka pekerja yang baik tanpa rungutan. Ini semua datangnya dari ikhlas yang dibina. Daun-daun akan terus berzikir mendoakan! Langsung mereka adalah isteri dan ibu yang baik juga di rumah. Isteri yang baik, berperanan besar menentukan tindak-tanduk suami dalam kerjanya. Fikirannya. Kepimpinannya. Dan ibu mampu memberikan kenyamanan pada anak-anaknya. Tidakkah kau nampak dampaknya begitu besar dan luas? Lihat pula di sana. Siapa mereka?

B: Guard. 

A: Tidakkah kau lihat, pakcik-pakcik ini punya potensi besar? Tidakkah kau mahu, mereka turut sama bersama dalam halaqah tarbawi? Bila iman terbina, dan hati terdidik, mereka bukan sekadar mengawasi keselamatan. Malah, mencegah mungkar juga! Mata-mata mereka digunakan untuk memastikan tempat kita selamat dari maksiat. Dan hati mereka lembut untuk sentiasa memberi nasihat. Lihat pula di sana. 

B: Cafe. Err.. kau maksudkan pakcik dan makcik di cafe?

A: Bayangkanlah andai mereka juga punya halaqah sendiri. Tidakkah makanan kita nanti selamat dan terjamin kehalalannya? Halalan thayyiba. Bersih! Malah, mereka juga antara orang-orang yang mendirikan solat ketika tiba waktunya. Bukankah kondisi baik dan buruk hati kita juga datangnya dari faktor-faktor itu, sahabat?

B: Dan.. andailah barang-barang keperluan masakan; sayur, ikan, ayam dan kesemuanya datang dari peniaga yang juga ada halaqahnya sendiri, tentu impaknya lebih luar biasa. Aku membayangkan laungan-laungan dan pekikan-pekikan mereka di pasar-pasar bukan sekadar seruan biasa seorang penjual kepada si pembeli. Malah seruan dan laungan ke jalan Allah. Teriakan yang menjual produk berharga. Mereka adalah duta kepada produk ISLAM itu sendiri! Malah, aku yakin dengan modal suara yang mereka ada, hati-hati manusia dengan mudah saja bakal tersentuh. 

A: Kau buat aku haru. Dan sungguh, itu impianku, sahabat!

B: Terima kasih untuk pertanyaan kau yang menyedarkan. Pencerahan bermakna. Ternyata aku masih belum berbuat apa-apa. Langkahku masih jauh. Adakala cepat sekali mengaduh letih. Doakan aku, teman. Doakan!

A: Allahummaghfirlana zunuba. Allahhumma tsabbit qulubana! Allahmmansurna ‘ala qoumil kafirin!

B: Amin. 

No comments: