Pages

Monday, June 20, 2011

JUARA-SATU-DUNIA.



Dia lain dari yang lain.

Aura diamnya berbeza, sudah cukup menggetarkan naluri dan rasa. Dia tak perlu berkata banyak. Dia tak perlu bicara yang berpatah-patah. Cukup dengan senyum. Cukup dengan tingkah spontan dan bersahaja!

Ah!  

Dan, aku belajar bahawa ada kasih terucap lewat tingkah. Tingkah ikhlas, hasil tulus rabaan cinta seorang bapa kepada TuhanNya. Mengalir deras, hingga anak-anak jua akan terasa penangannya.

Mungkin saja, lahirnya dia dari keluarga sebegitu, menjadikan dia seorang yang sebegitu. Tidak, tiada pernah aku menyalahkan. Kerana dia, adalah dia. Namun, aku sesungguhnya tahu. 

Dia gigih belajar dari proses hidup. Dia keras berusaha memberikan yang terbaik. Dia ternyata mencuba. Dan usahanya yang jerih aku nampak pada zahir. Itu sudah cukup buat aku bahagia! Cukup untuk aku bebas menconteng syukur pada langit-langit, awan-awan, tasik dan lautan, serta tanah pada bumi! 

Kasihnya tak terpamer pada kata, tapi geraknya cukup untuk aku merasai nikmatnya air mata! Cukup untuk aku meraba cinta dari tangan, jasad, dan roh seorang bapa! Hah, dan memikirkannya saja, kali mataku sering pecah tiba-tiba. 

Banjir!

Seperti saat ini.


++++


Ummi, Ummi, Ummi, dan Walid,

Kita banyak belajar dari proses hidup. Ilmu agama yang membenih di hati, sesungguhnya akan mencambahkan nilai iman. Menjadikan hidup makin lama, makin terasing dari jahiliyah. Walau hakikatnya, kita tidak bermula di peringkat awal. Walau kita tidak membenahinya di titik mula. 

Kita sesungguhnya belajar dari pengalaman, dan memperbetul sedikit demi sedikit. Dan, akhirnya perlahan-lahan, rumah terisi dengan Dhuha. Maghrib berkesinambung dengan alunan ayat Al-Quran seisi keluarga. Proses untuk membentuknya, ternyata bukan seminggu dua bukan? Alhamdulillah!

Doa Akak, moga makin bersinar cemerlang dengan roh ad-deen dalam rumahtangga. Itu yang Akak belajar, dari proses pembelajaran Ummi dan Walid. Keberkahan datangnya dari ikhlas seorang suami dan ayah. Dari redha seorang isteri dan ibu. Dari doa dan pengharapan tanpa putus pada Dia, melalui lisan kedua-duanya!

“Dan (mereka adalah) orang-orang yang berdoa: “Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyejuk (pandangan) mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” 

[QS Al Furqan: 74]


Dan, moga saja impian yang masih terbuku dalam jiwa ini, saat dan detik ini akan terlaksana jua, satu hari nanti. 

Moga Allah beri kekuatan. Moga!

Ya Allah, saksikanlah ikrarku. Mereka tidak pernah walau sedikit mengurangkan hak-hak seorang ibu dan seorang ayah kepada anak-anaknya. Tidak pernah aku rasa kurang. Tidak pernah aku rasa sedikit.

Kasihi mereka, cintai mereka, peluklah mereka dengan rahmat dan cintaMu tanpa pernah henti. Tanpa pernah putus! 

Syurga, adalah mahar terbesar, untuk kasih dan sayang yang tak terbeli ini. Hadiahkanlah mereka, SyurgaMu. Jadikanlah kami anak yang soleh dan solehah, agar doa-doa kami mampu menjadi jaminan buat mereka di akhirat kelak! 

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.

[Al-Isra’ : 24]

Jadikanlah kami, laksana burung-burung yang walau jauh terbang mengelilingi dunia, namun masih tetap merendahkan sayap, mematuk di bumi. Walau menggunung ilmu di dada, walau berpangkat tinggi, walau apa saja, namun masih tunduk mencium kaki mereka dalam rangka mentaatiMu, Ya Rabb!

Mohon dengan sangat. T_T

Selamat Hari Bapa.

Walid; Bapa-Juara-Satu-Dunia! 
Ummi; Ibu-Juara-Satu-Dunia!

[^_^]v



1 comment:

khairunnisa.bohari said...

Semoga kita sama-sama menjadi ibu juara satu dunia dan diberi 'bapa juara satu dunia'. =)