Pages

Wednesday, June 1, 2011

Hikmah.

 


Semalam, saya datang mendekat. Dia, pada saat itu sedang menyelak halaman Al-Quran. Saya seru namanya, perlahan. Saya rangkul dia dalam pelukan. Entah bagaimana, air mata saya gugur. Haru. 

"Terima kasih.." Saya tutur, perlahan. Dua patah itu saja yang terlafaz. Dia menepuk bahu saya, walaupun nyatanya masih dalam keadaan terpinga-pinga. Pelik barangkali.

Saya hanya mahu melafazkan syukur! Syukur yang tidak terhingga. Hari ini rasanya telah genap dua minggu. Mungkin? Dua minggu yang payah. Mujahadah diri. Barulah sedar, sebenarnya kita mampu. Cuma, tidak mahu saja yang selalu membunuh mampu.

Aaaaahhhhh. Entahlah. 

Dingin Subuh yang masih berbaki, warna pagi yang masih kelam, membuatkan hati tiba-tiba jadi sayu. Pandangan yang ditebarkan dari tingkat atas Sumaiyyah, ke bumi dan ke langit tinggi terasa menyusup ke sukma. Saya jadi bisu tiba-tiba. 

Sangat bukan mudah meninggalkan sesuatu yang telah sebati jadi akhlak. Sangat sukar. Saya mulai faham kepentingan peringatan berterusan. Tazkiyatunnafs! Keperluan pada majlis-majlis ilmu, kerana peringatan yang pertama belum tentu berbekas di hati. Walaupun berbicara tentang topik yang sama, namun boleh jadi pada peringatan ke sepuluh, baru kita faham dan terus bangkit dari lena yang panjang.  Baru tersedar dari kelekaan!

Untuk saya yang telah ke sekian kali mendengar tentang cinta Allah, kesedaran itu hakikatnya baru datang. Baru terasa ke hati! Hidayah dari Allah, dan tidak pernah disangka-sangka, asbabnya dia. Dia yang menceritakan pada saya tentang false attachment dalam nada santai.
"Tanpa sedar, kita mungkin salah meletakkan pada siapa yang harus kita ingat lebih. Dan pada apa yang harus kita cinta lebih. Fikirlah, dalam sehari pada siapa yang kita selalu ingat? Atau benda apa yang paling banyak kita fikir?"

Saya mula meneka.

Blog?
Facebook?
K-Pop?
Mak?
Games?
Tidur?
Masa bersantai?
Makan?
Movie?

Dan banyak lagi. 

Dia sambung lagi.  

"Benda yang kita banyak fikir dalam sehari tulah, hakikatnya benda yang kita TERLALU CINTA! Orang yang kita sering teringat-ingat tulah, hakikatnya orang yang kita PALING CINTA!"

Sunyi sejeda. Saya terkedu.

Sedangkan, hakikatnya kedudukan Allah patut paling tinggi antara semua benda! Dialah yang wajib kita CINTA melebihi apapun."

***

Sejak itu, saya mula terfikir-fikir tentang cinta yang wujud dalam diri. Pada siapa, dan pada apa, CINTA saya diletakkan. Nyatanya bukan Allah. Astaghfirullah. 

Mujahadah untuk meninggalkan segala karat jahiliyah sukar sekali. Patutlah adakalanya hati rasa tidak tenang. Tidak pernah puas! 

Andailah cinta tertinggi itu kita letakkan pada manusia, percayalah! Kita tidak akan pernah merasai ketenangan dan kepuasan. Kerana keinginan manusia itu unlimited. Dan menjadi fitrah manusia untuk memenuhi kehendak orang yang dicintainya. 

Kalaulah fitrahnya sifat manusia sebegitu, apakah orang yang kita cinta akan selalu meminta hal yang sama berulang kali? Mana mungkin! Hari ini dia nak kita pandai masak, esok mungkin dia mahu kita tahu menjahit pula. Unlimited!

Itu kalau manusia.
Benda akan membuatkan kita semakin tamak. Orang yang metarialistik tak akan pernah puas dengan apa yang dia ada. Dia akan kejar lagi, dan lagi. Tenangkah hati untuk hidup dalam keadaan "mengejar" sepanjang masa? Sangat penat, bukan?

Cinta Allah mendidik hati. Menghiburkan jiwa. Menggulung resah. Subhanallah! 

*** 

Decit burung tanpa henti melafaz syukur. Riangnya di waktu pagi melebihi waktu tengahari atau petang. Mungkin saja dia juga faham, hari ini hari baru. Permulaan untuk menata amal-amal yang baru. 

Tarbiyah sesungguhnya bukan saja mengajar, tapi mendidik.

Ruang waktu yang diperuntukkan ke halaqah, kesibukan mengendalikan program-program menyebar makruf, cuti yang dimanfaatkan untuk kemahiran ini, itu, dan sebagainya moga diniatkan kerana Allah. Jangan kesibukan dan kepenatan hanya mendatangkan lelah semata-mata. 

Allah mahu kita sibuk, kerana Dia mahu waktu-waktu kita dibelanjakan atas jalanNya. Dia sayang! Moga kesibukan itu terletak dalam rangka ketaatan, dan ibadah kepadaNya. Sepanjang masa! Dia mahu kita jadi pengurus waktu yang baik, hingga tiada sempat untuk berfikir hal-hal duniawi. Tidak sempat untuk berbual-bual kosong.

Ya Allah, indahnya!

Adakalanya, kenikmatan dunia ditarik dan dirampas dari diri. Kita sedih kerana merasakan kita kehilangan barang yang disayangi. Hakikatnya, mungkin saja barang itu telah mendapat kedudukan pertama di hati, dan bukan Allah. Maka, dengan kasih dan sayangNya, Allah tarik kerana Dia mahu kita BEBAS dari penjara itu. Bebas dari cinta yang menyimpang itu, dan kembali mencintaiNya.

Allahhu Allah.

***

Pelukan terlerai.

"Akak pandai tajwid tak?"  

Saya kesat air mata yang masih berbaki. Dia masih lagi menyelak halaman terjemahan Al-Quran. Teragak-agak saya menjawab.
  
"Erm, tak pandai sangat. Tapi, bolehla kalau sikit-sikit." 
"Akak ajar boleh tak?"

Itu hari pertama Kelas Tajwid berjalan. Kelas Tajwid dari personal tutor yang juga sedang belajar mencintai Yang Haq. Kelas Tajwid dari mentor yang dikejutkan mentee bangun tahajjud setiap pagi! Oh! Heh. T_T

Kelas Tajwid yang dapat mengelakkan diri dari kembali tidur selepas Subuh. Kelas Tajwid yang santai. Kelas Tajwid yang hari ini dikacau lebah bunga. Saya baru tahu lebah ada jenisnya. 

"Lebah bunga tak kacau orang la.."

Ini kata Sidi Dan yang dulu pernah kisahkan pada saya tentang cicak. Hari ini lebah pula. Sidi Dan yang selalu cool. ;')

Kelas Tajwid, yang moga terus membuka cinta, dan rindu keranaNya. 

Kelas Tajwid yang moga Allah berkati.

Amin ya Allah. Amin.





*mereka terlalu banyak mengajar dan mendidik!  ya Allah, sayangi mereka. 

*ISLAM itu komprehensif. dakwah dan tarbiyah bukan di usrah saja, tapi dalam nada santai dan bersahaja, dakwah dan tarbiyah itu sentiasa wujud. sentiasa ada!  sentiasaberlaku. kita semua adalah du'at, dan kita bebas bercakap tentang ISLAM bila-bila masa! ^____^

*saya cuma mahu dididik lagi. diajar lagi untuk ikhlas. untuk kurangkan kejahilan yang menggunung,  untuk tampung kelemahan yang mendebu, untuk buang attachment pada hal dunia yang masih sangat banyak. sungguh lemah! bantu saya. amin. T_T 




 



 

No comments: