Pages

Friday, March 25, 2011

Kata dia: "Jiwa militan itu.."



Kata dia:

"Militan yang difahami dalam Malaysia itu KERAS. 
Tapi, militan di negara-negara seberang itu..AKTIF!"

Kata dia:

"Fitnah yang menimpa wanita bertimpa-timpa, maka yang harus mengubah dan mendidik itu harusnya wanita juga. Lalu, siapakah wanita-wanita itu? Tentulah yang faham agama sebaiknya."

Kata dia:

"Harus difahami bahawa dakwah bukan terpikul di pundak lelaki sahaja. Harusnya disusuri kembali rentetan sirah, dikenali kembali dua wanita dalam perjanjian Aqabah II, dan bagaimana hijrah seorang Ruqayyah, keteguhan seorang Ummu Salamah, ketegasan seorang Ramlah, kecekalan seorang Nusaibah Ka'ab, keberanian seorang Sofiyyah Abd. Muthalib, kesungguhan seorang Ummu Sulaim, dan kesetiaan seorang Khadijah. Bukankah mereka juga wanita?" 

Kata dia: 

"Militansi itu adalah kejelasan dalam agama, dan keberanian mempertahankan agama. Tanpa sedikitpun mengabai atau mencabut fitrah wanita; lembut serta malu yang Allah anugerahkan." 

Kata dia:

"Militansi itu aktif. Bukan saja di luar, malah rumahtangga tak kurang hebatnya. Cekap mengurus suami dan anak-anak. Malah, masyarakat di sekelilingnya turut sama dipeduli. Bekerjaya. Kesemuanya hakikatnya insijam, dan bersinergi. Menghasilkan formula yang sungguh luar biasa. Dakwah yang berjalan, rumahtangga yang bahagia, serta kerjaya yang terurus." 

Kata dia:

"Tarbiyah menemukan formula itu. Kita dididik untuk selalu qiyam, dan puasa. Untuk selalu muhasabah dan mencuci hati. Untuk selalu memberi dan menerima. Kita dididik dalam suasana "payah" kepada "ringan" memberi nasihat, "perit" kepada "rela" menerima teguran. Kita dididik dalam suasana ukhwah, dan berdepan dengan segala macam jenis manusia.

Sangat sukar, dan prosesnya sungguh panjang sekali. Kesabaran, keteguhan, pengorbanan, berlapang dada, dan kesemua itu mulanya pahit, namun di akhirnya ada kemanisan."

Kata dia:

"Mulakanlah mencecep formula itu dari sekarang. Jangan merasakan bahawa perubahan itu boleh dibuat dalam masa yang singkat. Segala kebaikan yang dikembangkan pada masa sekarang inilah yang akan menjadi acuan, dan akan dibawa bersama-sama pada masa hadapan.

Pengalaman lalu, terlalu banyak mengajar dan membentuk diri. Kalau masih kurang pada bab ini, maka baikilah yang ini. Kalau masih jahil tentang itu, maka tampunglah segera yang itu. Agar nanti, kita tidak melatah, dan cekap mengurus kesemuanya dengan kemampuan diri sendiri- qadiran 'ala kasbi. Berdikari! 

Penyayangnya seorang ukhti pada ukhti yang lain, satu hari nanti akan jadi seorang ibu yang penyayang pada anak-anak. Kecepakannya mengurus dan melaksana program masa-masa ini, akan buat dia cekap mengurus kerjaya, rumahtangga, dan masyarakat pada masa depan. Kata-kata manisnya, murah senyumnya, tenangnya dia pada sahabat-sahabat, juga akan menjadikan dia seorang yang begitu kelak.. " 

Kata dia lagi:

"Apabila melihat kekurangan diri, muhasabahlah. Dan, berusahalah untuk mengubah. Tegas dengan diri. Keras dengan diri sendiri. Carilah segala macam cara untuk kita tinggalkan keburukan, maksiat, kecacatan, dan kejahilan yang masih lagi menghantui diri. Ada masanya nanti Allah akan uji, dan ingatlah bahawa ada pahala serta ganjarannya untuk itu."

Kata dia lagi:

"Masing-masing daripada kita ada kelemahan tersendiri. Tolong-menolonglah antara satu sama lain, dan saling memperbaiki." 

Kata dia lagi:

"Tarbiyah itu 24 jam sehari. Bukan meninggalkan maksiat hanya ketika dalam usrah atau halaqah. Bukan menjadi baik sewaktu dalam ta'lim sahaja. Bukan beriman hanya ketika menghadiri majlis ilmu. Bukan hanya ketika bersama sahabat yang baik."

Kata dia lagi:

"Orang yang lemah, serta tidak banyak beramal akan mudah hilang. Kerana, hati yang tidak disinari cahaya itu susah sekali nampak kebaikan-kebaikan yang datang."

Kata dia lagi:

"Ikhlaslah. Berdoalah dengan sebanyak-banyaknya, dan benarkanlah niatmu. Moga nanti, mudah untuk Allah memperlihatkan segalanya. Mudah untuk kita berfikir, merasa, dan bertindak. Jagalah kebersamaan dengan Allah."

Kata dia lagi:

"Jadilah orang yang sibuk. Kerana orang yang sibuk dengan hal-hal kebaikan, takkan sempat untuk menyibuk dengan hal-hal keburukan. Dia tiada sempat untuk berfikir hal-hal negatif, serta tiada waktu untuk berkhayal tentang hal-hal yang tak berfaedah."

Kata dia lagi:

"Jadikan usrah atau halaqah yang dua-jam-sekali-seminggu itu caj atau bekalan untuk seminggu. Jadikan ia sebagai kekuatan dan energi untuk diri bertahan. Ilmu yang didapatkan dari usrah atau halaqah, harusnya diserap, dihafal, dan dipraktikkan. Kemudian disebarkan! Bukan tinggal teori semata-mata. Inilah formula kejayaan Rasulullah dan sahabat-sahabat 1400 tahun dulu."

Kata dia lagi:

"Selalulah bersama sahabat yang baik. Sahabat yang mengingatkan diri pada Allah. Bila bersama mereka, kita hanya akan jadi baik, dan tak berbuat dosa atau maksiat. Dari persekitaran itulah, yang akan membentuk diri. Dari situlah juga, akan berlakunya peningkatan dalam amal. Seterusnya, akan sebati menjadi akhlak dan tabiat. Moga kemudiannya, Allah akan meningkatkan lagi kefahaman kita dalam agama."

Kata dia lagi:

"Jagalah hubungan dengan Allah. Jaga iman kita. Kerana, iman itulah yang akan membuatkan hati selalu tenang. Selalu sangka baik dengan Allah. Selalu mendapat petunjuk dan nasihat daripada Allah. Bila tersilap langkah, Allah akan betulkan. Bila gerak kerja melemah, atau ada yang tidak kena, Allah akan bagi tanda-tandanya."

Subhanallah.

--

Oh!
Sungguh jauh rasanya. 
Sangat-sangat jauh!

Ya Allah, 
Mudahkanlah langkah,
Bukakanlah hati,
Lapangkanlah dada,
Terangilah akal.

Untuk PERJALANAN aku
yang masih jauh lagi.

Amin.


3 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah umai.. boleh post dalam al-fahmu atau masukkan dalam majalah.. agar yang lain juga dapat manfaatnya.

olahan yang sangat bagus. jazakilah ukhti

Anonymous said...

tiya suka post ni. kata2 dari siapa ye tu umy?

NH said...

akak suka yang ini subhanallah!