Pages

Wednesday, December 1, 2010

Rindu.




Hmmm.

Paling penting, ialah hati yang bersih. Tenang dan damai dalam syukur dan redha. Apa yang Allah beri, genggam, kecap, gapai sedaya yang termampu. Segala yang Allah berikan, sesungguhnya telah cukup. Lebih dari cukup. Barangsiapa yang tidak pernah merasakan cukup dalam hidupnya, ini bermakna hatinya belum puas mengenal tentang Maha Adilnya Allah. Maha KasihNya Allah. Maha AgungNya Allah.

Bukankah dengan adil, kasih, sayang, cinta Dia yang melebihi segalanya, pasti diberikan kepada kita apa yang kita perlu? Walaupun, adakalanya bertentangan dengan kehendak dan kemahuan, harusnya kita sentiasa tersedar bahawa, Dia lebih mengetahui segalanya. Apalah sepicing ilmu yang kita ada, dibandingkan dengan kedalaman bumi, ketinggian langit, kedalaman hati dan jiwa, serta kedekatan Dia yang tak tergambar dek akal, fikiran dan hati?

Subhanallah.

Raihkan ikhlas dalam hati sedalamnya. Terimalah dengan terbuka pemberianNya. Ungkapkan rasa syukur, dalam sujud. Dalam senyum. Dalam tangisan. Dalam kata-kata. Dalam hati. Dalam tingkah laku. Dalam mimpi. Dalam angan-angan. Dalam harapan dan impian. Bahawa aku bersyukur. Bahawa aku redha, dengan segala ketentuanMu, Oh Tuhan.

Doaku saban hari adalah tanda kepasrahanku padaMu. Sesungguh-sungguhnya. Rela aku mengadu, merintih, mengharap pada Kau yang Maha Berhak, berbanding melepaskan keluhan berat yang tidak terdengar, oleh jiwa-jiwa manusia.

Izinkan aku untuk terus bersimpuh, meski dosaku menggunung tiada kata. Aku mahu mencuba, serta berusaha. Meraih pandanganMu padaku. Terimalah cintaku, dari hati yang masih sesungguhnya rapuh. Namun, cukup kuat untuk terus mencuba lagi.

Salam rindu buat Tuhan,
Hamba.








keluh kesah.
homey.

No comments: