Pages

Monday, October 27, 2014

gara-gara lebatnya hujan, nikmatnya buku, dan manisnya Oldtown;

*edited

nah, sebuah reviu buku 'Angkatan Baru' - HAMKA;




bismillah

kanda,

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? andaikan dulu, persis yang dikarang Buya Hamka, menuliskan tentang zaman Bonda Syamsiar (bonda dinda, mertua kanda), begitu beradat. alim ulama' cuma bijak membaca kitab, tetapi tidak pandai membaca masyarakat (hlmn. 60).

kaum perempuan dihantar belajar tinggi-tinggi, biar terdidik jadi ustazah. namun, bersebabkan tidak jelas tujuannya, maka cuma buat dibangga-bangga di majlis-majlis keraian. sebagaimana cerita Bonda Syamsiar pada dinda;

"berlilit mukanya dengan mudawarah serupa, sama-sama kuning atau sama-sama merah, bedak selayang, bajunya sempit, seliparnya tinggi dan sarungnya halus. sedang si pengiring tadi, tiap-tiap bertemu dengan perempuan lain di jalan, dengan bangga menyapa orang lain itu, menunjukkan bahawa anaknya telah tamat sekolah." (hlmn. 5)

kanda,

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? apakah kanda seperti ayahanda Hasan, begitu jelas tujuan pekerjaannya? masih dinda ingat tutur kata Bonda Syamsiar, sewaktu diam-diam terkenang-kenang Ayahanda Hasan, suami pertamanya. kata Bonda Syamsiar, Ayahanda Hasan pernah satu kali, jujur menasihatkannya begini;

"kau hanya mempunyai satu kepandaian sahaja, rupanya, iaitu bercinta-cinta, tetapi kau tak pandai menjaga keberesan pekerjaan kita. kau tidak pernah menunjukkan kepada kekanda, jalan manakah yang lebih selamat untuk kita tempuh." (hlmn. 44)

sayang seribu kali sayang, sewaktu itu Bonda Syamsiar masih ralit dalam dunia romannya. jauh sekali cekap dalam mentafsir nasihat, disalah fahami pula pesan Ayahanda Hasan yang begitu mahal itu. apakah kanda akan mengatakan hal yang sama kepada dinda, andai dinda terhilang arah? ah, barangkali dinda harus terlebih dulu berwaspada, mengambil langkah berjaga-jaga dengan membina peribadi selayak Khadijah, meski jauh tidak terbanding! 

suatu ketika dahulu, kanda juga pernah bercerita tentang sosok ini, bukan? bukankah Khadijah sebelum bertemu Muhammad, dia adalah dia? punya identiti dan basirah (penglihatan hati) tersendiri, tidak mudah terikut-ikut budaya, tidak pula berjalan-jalan seperti wanita kebiasaan di pasar-pasar. tidak memilih lelaki sembarangan, meski dipinang oleh ramai golongan bangsawan. bahkan membangunkan peribadi sendiri, tidak menunggu atau tertunggu-tunggu untuk diubah. malah, sebelum dan selepas perkahwinan dia dan Rasulullah, dia adalah dia. barangkali bersebabkan itulah, dia tidak menunggu untuk menerima, malah dia sesungguhnya terlebih dahulu banyak memberi.

kanda, 

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? andaikan dulu, diceritakan Bonda Syamsiar lagi kepada dinda, begini lanjut kisah zamannya; 

"'pelajaran cukup sekarang, sehingga buku-buku falsafah karangan profesor yang tinggi-tinggi pun ada. cuma pelajaran akhlak itu sahaja yang kurang, sebab itu adalah pelajaran yang telah kolot, pelajaran surau 30 tahun yang lalu." (hlmn. 16)

berderau darah, bercampur rancu jiwa dinda ini, memikirkannya berkali-kali. dengarkah kanda ada pula ura-ura timbulnya di 'angkatan baru' kita ini, karakter para suami yang tidak-tidak? aduhai, di mana letak qawwam, seinsaf peribadi Ayahanda Hasan dulu? galau sungguh di hati dinda ini, apakah pemuda itu akan tampil di hadapan anak gadis kita nanti, selayaknya sebagai seorang pemuda? memetik semula semangat Ayahanda Hasan, sewaktu beliau bangga sekali menuturkan; 

"dia tidak hendak kenal lagi, dia hendak menunjukkan bahawa dia seorang lelaki." (hlmn. 42)
 "jangan saya diberi minum kehidupan, kalau akan dicampur dengan kehinaan. tetapi berilah saya seteguk air kematian, asal di dalamnya cukup kemuliaan. neraka dengan kemuliaan lebih kusukai menderitanya, daripada syurga dengan kehinaan." (hlmn. 45)

kanda, 

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? apakah perlu diulang tutur lagi kepada sekalian anakanda kita, akan kalimat keramat Ayahanda Hasan kepada bonda kita, Syamsiar? tentang hidup kita yang bertujuan!

"kau salah, Syam. segala mata pekerjaan itu mulia, asal kita bebas merdeka. bukan semata jadi guru sahaja mata pencarian di dunia, bukan untuk jadi guru sahaja kita bersekolah, tetapi untuk kenal sakit senang hidup." (hlmn. 44)

"hidup yang sekarang inipun lebih kurang tidak ada tujuan, Syamsiar!" (hlmn. 45)

kanda,

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? terngiang-ngiang lagi tulisan Buya Hamka (teman Ayahanda Hasan) itu. ulasnya berkenaan 'angkatan baru' di zamannya;

"tentu sahaja hikayat yang kukarangkan itu semuanya kejadian-kejadian dalam masyarakat. kampung tempat hikayat-hikayat itu terjadi di dalam masyarakat, kotanya ialah penghidupan, dan bahayanya diambil dari renungan, dari penderitaan dan keluhan (hlmn. 1)

kanda, 

'angkatan baru' kita ini, dari jenis yang mana agaknya? andai Buya Hamka masih di sini, iaitu di sisi kita, apakah yang akan dikarangnya tentang kita-kita ini? apakah akan dituliskannya sebegini lagi;

"suara hati, yang meminta perhatian dari pendidik-pendidik, dari penganjur perkumpulan, bahkan dari ninik-mamak adat sendiri. tentukanlah arah dari pendidikan anak-anak perempuan kita." (hlmn. 2)

kanda,
sekali lagi, 'angka..tan ba..ba..ru' ki..ki..ta ini, da..da..ri jenis yang ma..mana a..agaknya?

(menguap)

_______
ps: oh, saya suka 'idea' ini, meskipun saya jauh dari konservatif yang dimaksudkan:


2 comments:

Anonymous said...

Teringat waktu selesai baca buku ni, saya jadi takut.

Takut sebab diri sendiri perempuan.

Umairah. said...

anon;
sama-sama mendoakan, moga kita sama-sama berperanan besar :)