Mac, 2010.
Kaca mata tebal berbingkai itu dilucutkan. Anak mata itu bulat-bulat, duduk letaknya dalam sekali. Aku hanya renung tajam-tajam. Mata itu kuyu, selalu menitiskan air mata taubat. Mata itu letih terkandung beban yang sarat. Dan, mata itu jujur, masih lagi penuh cinta dan kasih. Bayangannya mengilat, kekal sejernih 45 tahun lalu.
Dia hanya senyum lembut memandangku. Kami berdua-duan di pondok usang, merenung tingginya langit. Merasai hening suasana petang. Mengecap nikmat Tuhan serba serbi. Sungguh hangat dan mesranya alam.
Dan, saat alam berbisik, dia juga berbisik. Dalam lirih sayu, yang cukup mempesona. Kaca mata itu masih di genggaman.
"أنت عيني التي أرى بها"
"Engkau adalah sepasang mata, yang dengannya aku melihat.."
Aku sipu-sipu malu. Senyum selepas ditagih, dan melontarkan pula,
"أنت البيت الذي يكويني"
"Engkau adalah rumah yang di dalamnya aku sesungguhnya ada.."
Unggas mendecit.
Senja pun berlabuh.
Sesenja usia kami.
~Hikayat Dr. Omran.
+++++++
Disember, 2060
Hujan turun renyai-renyai. Nipis dan halus. Sawah menghijau, menyejukkan pandangan. Aku terbatuk-batuk kecil, sambil mengurut dada. Dari kantung seluar, aku keluarkan ia dan genggam dengan jari lima yang berselirat urat sini sana.
"Apa tu, Tok?" Bibir mungil itu laju menyoal.
"Ohh..ini?"
Tubuh itu terhinjut-hinjut. Kepalanya cepat sekali mengangguk.
"Cermin mata. Nenek kamu punya." Aku membalas.
"Ooooohh.." Balasnya, sambil asyik menjilat saki baki Tofiluk di jari.
Aku sekadar menggeleng.
Lalu, tersenyum panjang.
Mengenangkan..
"Engkau..
adalah sepasang mata
yang dengannya aku melihat.."
Lirih. Itu kata-kata dia.
Satu ketika.
Di sini, sawah yang hijau.
~Hikayat Tak Bernama.
No comments:
Post a Comment