Pages

Tuesday, November 17, 2015

Lelaki dari Dhaka, bertemu Anis lalu membaca 'Thanks For The Feedback';

bismillah

(i)

ya, saya belum pernah menjejak Istana Budaya, walau sekali untuk menonton teater. namun, percubaan menonton 'teater amatur' di Main Auditorium, UIAM baru-baru ini sememangnya mengujakan. entahkan saya terlalu mudah mengagumi passion orang lain dalam sesuatu bidang, ataupun pengarahnya sememangnya hebat, ataupun mungkinlah kedua-duanya.

nah, bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya untuk mempersembahkan 'idea', 'pandangan', 'prinsip', 'watak' kita tentang sesuatu dalam penulisan, apatah lagi melalui dialog dan lakonan. sekurang-kurangnya pada saya, wayang kita adalah identiti kita dan itulah realitinya.


sesi pertemuan Mas Nasrul (Indonesia) & Ashok (Bangladesh) *kredit: Faaizz

untuk teater Lelaki Dari Dhaka, meski saya akui masih sahaja ada sisi-sisi ketidaksempurnaannya, namun saya suka sekali dengan garapan idea dan mesej tentang seorang lelaki dari Dhaka, Bangladesh. teradun kemas dengan isu global berkait kemiskinan dan penyakit katarak di sana, selain menyentuh sisi rasisme dan agama. ah, jujur saya katakan teater ini membuatkan saya harus 'menggali' semula tentang Dhaka dan isu-isu seputarnya. 

saya paling suka satu dialog yang saya kira antara punchline dalam teater ini;

 "Islam itu baik. tapi terkadang banyak penganutnya yang jahat." - Mas Nasrul

ada satu babak di mana Ashok dihalau dari masjid dengan kasar kerana bukan Muslim; Ashok dilabel buruk hanya kerana berbangsa asing dan bukan warganegara Malaysia. tidak terkecuali, terselit juga dialog-dialog yang melucukan dan menghiburkan, semisal ini;




nah, ini pula babak klimaks;


untuk masa-masa yang berharga, tahniah untuk krew dan tim Lelaki Dari Dhaka! terima kasih untuk tiket-tiket percumanya, hiks.


(ii)

Anis antara orang terawal yang mengunjukkan 'jalan cinta' kepada saya; tentang lelaki, tentang perempuan, tentang cinta. orang pertama yang tidak kekok bertanya tentang soalan-soalan peribadi semisal soal perkahwinan, meski perkenalan kami sewaktu itu tempohnya baru sehari. orang yang bersedia kongsi apa-apa sahaja, mendengar apa-apa sahaja, dan memberikan pandangan dan nasihat yang sememangnya wajar dan perlu. 

dia antara roomates yang paling saya rapat, dan hingga ke hari ini pun masih bertukar cerita. antara nasihatnya yang paling saya ingat, sebelum kami membawa haluan masing-masing;

"no worries insyaAllah, Allah will give all your best friends back in a form of one guy; - your husband!"

saya percaya, keberkatan hidup saya hari ini adalah tuntas dari doa-doa orang sekeliling, dan salah seorangnya adalah Anis. saya sangat yakin, dia juga sedang dan bakal menemukan teman-teman baiknya, dalam jiwa seorang lelaki yang telah selamat menjadi suaminya, hari Sabtu yang lalu. 




moga Allah terus melanjutkan barakah, lagi-lagi sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga. dengan orang yang benar, usah takut untuk memulakan perjalanan, kerana kita akan selalu berpeluang untuk bertumbuh, belajar dan mengenal. pesanan akhir, ketahuilah bahawa tiada yang sempurna, melainkan kita mencuba bersikap realistik terhadap hal-hal yang idealistik! hiks.

selamat menjadi isteri, Sayang!


iii)

minggu-minggu terkebelakang, saya belajar banyak tentang 'feedback'. hingga kini, malah sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat lari dari feedback. ada yang baik, ada yang buruk, ada yang positif dan ada yang negatif. pada saya, semuanya terletak pada kita untuk menyumbat akal dan minda kita dengan apa, sama ada mahu menerima atau menolak. 

saat ini sekalipun, berdamai dengan feedback tidak selalu mudah untuk seorang saya. adakala saya terlalu sensitif, egoistik, malah terlalu pesimis terhadap diri sendiri. adakala saya menjadi seseorang yang terlalu positif, optimis malah mahu berusaha untuk memperbaiki semua kekurangan. well, begitulah manusia apa adanya. maka, apalah salahnya kita belajar menjadi manusia?

membaca Thanks For The Feedback tulisan Douglas Stone & Sheila Heen merupakan antara cara saya memujuk diri. oh, sangat menarik! cuma, buku ini agak tebal untuk dihabiskan sekaligus. berkongsi semula feedback Faaizz suatu hari, katanya pada saya; "buku self-help bukan untuk dihabiskan, tapi untuk dibaca bila perlu!" ahah, boleh tahan menarik formula ini.

menurut Pengarang, ada berjenis-jenis cara pemberian dan penerimaan feedback. tidak tertinggal, mereka turut memberikan tips untuk lebih terbuka dalam menerima feedback, lagi-lagi orang yang sensitif macam saya (haha!).

namun, saya paling terkesan di bab ini, berdepan situasi saatnya seseorang yang berbeza dengan kita cuba memberikan feedback;

 


 inilah diversity; 'i agree to disagree'.

"IT'S HERE THAT WE OFTEN HAVE THE MOST ROOM TO GROW! WE NEED HONEST MIRRORS IN THE MOMENTS AND OFTEN, THAT ROLE IS PLAYED BEST BY THOSE WITH WHOM WE HAVE THE HARDEST TIME."

ah, selamatlah belajar, Umairah.
sekian.


Friday, November 6, 2015

Jumaat dan dialog-dialog jiwa;

bismillah

sesak!

minggu ini sahaja, feed dari Facebook saya memuatkan beberapa video yang berkisah tentang perempuan yang mula beralih arah, dari dunia skrin kepada dunia realiti; dari berkaca kepada pandangan umum seluruhnya kepada bercermin dengan pandangan dan nilai diri sendiri. 

entah, saya seolah-olah semakin merasakan manusia mulai sesak dengan kehidupan yang plastik. terwujud darinya, simptom-simptom yang pelbagai, hanya jika kita tonton dan sedar. antaranya, stres dan ketidaktenangan jiwa, perlumbaan material yang melampau hingga adab/akhlak terjejas, kerancakan dunia kapitalisme di serata bidang; tidak terkecuali yang memperguna agama demi wang ringgit, pengabaian sektor kekeluargaan kerana tuntutan kerjaya, monopoli golongan bangsawan atau elitis ke atas golongan lemah dan sebagainya. malah, ledakan informasi dan maklumat seakan-akan tidak terkejar, lebih buruk lagi apabila ia seakan-akan menjadi 'pertandingan', siapa lebih arif dan handal dalam mempersembah hujah-hujahnya. keadilan dan kebenaran bukan lagi matlamat akhir, yang ada hanya menang atau kalah sahaja.

manusia hilang arah, sebetulnya manusia hilang fokus. tidakkah solat kita jadi hilang roh dan khusyuk, doa kian sepi dan hilang makna, hubungan sesama makhluk jadi tandus dan kering, kerja-kerja jadi kurang itqan. tidak terkecuali, tempiasnya turut terkena diri saya sendiri. tidak lain, bersebabkan ingin 'mengejar' kesemua ini baik secara sedar atau tanpa sedar.

kalau bukan di negara kita sahaja, filem-filem Barat juga adalah interpretasi kepada kemelut dan permasalahan manusia hari ini. menonton siri The Maze Runner, Divergent dan The Hunger Games seolah-olah ada tema yang sama diangkat. kita seakan-akan 'dikuasai'  satu 'sistem' khusus; yang bijak harus begini, yang cantik harus begini, yang kaya harus begini, yang miskin harus begini hinggakan semua orang harus mengikut 'definisi' ini. manusia seakan ditelunjukkan ke arah semua ini, tanpa ada kebebasan untuk memilih. siapa yang rebel dan menentang, sama ada dialah yang akan terlebih dulu kalah atau tewas dalam 'perlumbaan' ini ATAU dialah terlebih dulu terkeluar atau terkecuali dari kelompok-kelompok ini; terasing tidak dipeduli atau dipandang sama sekali, dan menjadi makhluk yang sama sekali tidak berharga! lebih menarik lagi filem-filem ini di akhirnya menyimpulkan bahawa 'pembebasan' adalah jalan keluar.





saya tertarik di suatu hari terpandang satu buku bertajuk Manusia & Kemaruk Kebendaan tulisan Abu Al-Hasan Ali Al-Nadwi. entah, tajuknya seakan tuntas menjawab keserabutan kepala dan hati saya.

sekilas membaca reviu tentang buku ini, poin-poin ini terasa ada benarnya;
 
"perdaban materialistik adalah peradaban dajjal. peradaban yang menentang cara hidup beragama, ketundukan tunggal kepada Tuhan, yang lahir daripada dasar keuntungan kebendaan dan bertongkatkan kekaguman tak terbatas kepada keuntungan duniawi. seni, sastera dan falsafahnya sarat dengan kemaruk material dan keseronokan dunia, pujian kepada kecantikan wajah, batang tubuh dan objek-objek keinginan manusia – yang sepatutnya menjadi hak milik tunggal Tuhan. mereka akur dan tersungkur bersujud kepada nafsu."

"pada hakikatnya, inilah yang sedang berlaku. kebanyakan manusia telah mengangkat sumber-sumber alam, pencapaian teknologi dan kemahiran ke makam Tuhan; mereka menyandarkan harapan mereka kepada objek-objek material dan golongan pakar. Ini adalah bentuk perbuatan menyekutukan Tuhan di abad moden."

jujur, saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya kerana terbatas dan sedikitnya ilmu. sama ada ia pun plastik atau realiti, namun 'kesesakan' itu saya rasakan ada di mana-mana, menunjal-nunjal di dalam hati dan fikiran saya saban hari.

dari situ, saya tidak tahu berbuat apa-apa untuk mendiamkannya, melainkan pada keyakinan utuh saya, bahawa kebenaran dan ketenangan itu hanya pada sabda Nabi yang bermaksud; 

"aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku."  
(HR Malik bin Anas dalam Al-Muwattha')

moga Allah pelihara selalu jiwa dan hati ini, meski mujahadahnya selalu payah, sukar dan perit. 'menang'kan dan 'bebas'kan kami dalam perlumbaan ini oh Tuhan, biar yang kami cari adalah yang Engkau mahu.