Pages

Wednesday, April 29, 2015

dan kita pun basah kehujanan (i);

kalau hubungan kita dengan manusia cacat; bersangka-sangka, kurang empati, lekas baran, ego dan bongkak, zalim menilai, merasa diri cuma yang benar, ketergesaan menghukum, sukar mengakur dan menunduk salah, jelaslah tiada ke mana harus kita berpatah. eloklah andai kita cuma diam sebentar, dan merenung cacatkah solat, lompongkah zikir, tenatkah tilawah, keringkah muhasabah hingga iman terus melopong sunyi, terdiam kaku tidak bersuara?
 
cuma itu, sayang.  

gombak pun hujan,
dan kita pun basah kehujanan.

T.T

Thursday, April 23, 2015

TONTON DULU, BACA KEMUDIAN.

bismillah

"words are but symbols for the relations of things to one another and to us; nowhere do they touch upon the absolute truth." - friedrich nietzsche


 
bismillah
 
"the relationship between words and their meaning is a fascinating one, and linguists have spent countless years deconstructing it, taking it apart letter by letter, and trying to figure out why there are so many feelings and ideas that we cannot even put words to, and that our languages cannot identify." - source

semisal menikmatkan perasaan aneh, sebaik menyudahkan bacaan al-Quran meski cuma sehalaman dua;
 
semisal perasaan menghidu dan menyedut hirupan pertama dari secawan kopi panas;
 
semisal perasaan menonton renik-renik hujan yang jatuh mengena kaca tingkap lalu terburai pecah;
 
semisal perasaan melambai anak kecil dari tingkap kereta, lalu dia mengalihkan pandangannya, kemudian menengok lagi kali kedua tanpa dia senyum walau secalit (haha! saya suka ini);
 
semisal mengenang memori sebaik tercium bau-bau yang kekal (bau kereta kak jannah, contohnya, ihiks);
 
semisal malam sudah lewat, mata sudah mahu pejam, tetapi akal tiba-tiba menjentik sesuatu untuk ditulis (ergh!);
 
semisal perasaan menunggu orang di sebelah sana typing tak sudah-sudah, kemudian satu perkataan pun tak tertimbul (lulz);
 
semisal perasaan menghembus nafas panjang sewaktu terbaca sesuatu yang benar-benar mengujakan hati;
 
semisal ketidaksabaran jemari menaipkan sesuatu dan mengekalkannya di sini, dan selebihnya anda sambunglah sendiri.
 
heh.
 

Tuesday, April 21, 2015

MENJADI ENGKAU DI MATA AKU.

bismillah
 
sederhana berjubah dan bertudung labuh, dengan beg tangan dijinjit di celah bahunya. ya, islamik pada mata saya. namun, bukan! bukan kerana pakaiannya yang berlabel islamik ini atau gerak lembut santun yang membuatkan saya jatuh suka pada dia saat pertama kali memandangnya.
 
jauh sekali.
 
satu personaliti yang paling mengkagumkan saya pada seorang perempuan adalah kemampuan dia untuk membuatkan orang tidak terlebih dulu memandang pada apa yang dia ada atau pakai, tapi terlebih pada pesona dirinya. jauh sekali kecantikan fizikal, tapi aura kebaikan. entah, sukar sekali untuk digambarkan tetapi saya suka apabila seseorang mampu menjadi dirinya sendiri, berdepan dengan prinsip dan keyakinan dia yang sebenar-benarnya. tidak kekok, tidak janggal, tidak risau bahkan tidak sesekali merasa kalah.
 
dia 'tenang' memberi sebolehnya apa yang dia ada, dia 'tenang' mempamer sejuta kelemahan yang dia punya, dia 'tenang' berhadapan dengan orang-orang yang mungkin berbeza dari dirinya. ah, ringkasnya dia hanya 'tenang' menjadi dirinya.
 
saya selalu percaya, orang yang 'tenang' dengan dirinya adalah orang yang tidak melabel, menilai atau meletakkan dirinya pada apa-apa yang stagnan. misalnya, harta/wang ringgit, set kosmetik dan kecantikan, fesyen/pakaian berjenama, tahap pendidikan atau apa-apa yang ada di sekelilingnya untuk mewujudkan yakin. cukuplah, perawakannya sahaja membuatkan orang sekeliling merasakan dia ada dan punya sesuatu. ya, dia barangkali punya ini atau itu yang bersifat material, namun bukan itu yang menjadi nilai atau ukuran pertama pada dirinya.

dan saya tak ternampak apa-apa melainkan satu; taqwa. taqwa yang membuatkan dia cukup merendah hati, namun masih 'mengangkat' dirinya 'tinggi' atau merasa 'izzah di depan sejuta manusia, kerana Allah yang menciptakannya, Maha Tinggi! dengan Allah cuma, dia 'mencukupkan' dirinya. harga diri yang 'tinggi' ini, tidak tertakluk pada apa-apa yang bersifat duniawi, tetapi akidah, ibadah dan akhlaknya yang rabbani, hingga pancaran taqwalah yang benar-benar menonjolkan pesonanya!
 
memetik semula kata kak izzah;

"MAKIN MENDEWASA, MEREKA INI CANTIK; CANTIK DENGAN KEMATANGAN, PENGALAMAN, KEBIJAKAN DAN KEYAKINAN PENAMPILAN!"

noktah! dan 'kecantikan' itulah yang sebenar-benarnya ternampak pada mata saya. sebegitulah mungkin selayaknya imam syafie pernah menuturkan, "aku mencintai orang soleh meskipun aku bukan seperti mereka. semoga kelak aku mendapatkan syafaat dari mereka."
 
oh Allah, benihkanlah taqwa dalam diri aku, dan jadikanlah aku sebahagian daripada mereka!
 
 

Monday, April 20, 2015

catatan 1 Rejab yang syahdu, tsk.

bismillah

tidak tahu sebabnya, kebelakangan 'pulang bermalam' di rumah, ada sesuatu yang lain. entahkan sememangnya hal ini sebenarnya telah terbiasa berlaku, atau saya sahaja yang baru terperasan. ada sahaja pemberontakan demi pemberontakan dalam diri, di sepanjang keberadaan di rumah. namun saya diamkan sahaja, hinggalah di suatu hari sewaktu Ummi memanggil dari jauh, adik saya tiba-tiba menyahut;
 
" akak, Ummi panggil. akak buat sajalah apa-apa yang Ummi suka."
 
kata-katanya biasa sahaja, tapi cukup buat saya termuhasabah panjang. inilah mungkin 'struggle' yang terbiasa kita hadapi, tapi tak tersedar. membesar dan mendewasa kini di luar rumah, 'disogok' dengan ilmu dan pengetahuan, pergaulan dan persekitaran, dan sebagainya hinggalah perubahan demi perubahan yang berlaku membentuk 'kita' yang baru; sudut pandang, perbuatan dan sikap, corak perbualan berkenaan sesuatu perkara, seolah-olah semua makin ketara perbezaannya, dulu dan sekarang!
 
saat inilah kita mula bersoal jawab; 'kenapa mesti begini dan begitu', 'bukankah sepatutnya macam ini atau macam itu', 'bukan begitu, tetapi begini', 'itu salah, ini betul' dan sebagainya. Allahhu, moga terlindung dari sifat yang merasakan 'aku lebih tahu', atau 'aku lebih hebat' dan sebagainya hingga memenangkan pergolakan dalam diri, dan sanggup pula bertekak dan bertikam lidah demi hal-hal yang remeh. 

"...akak buat sajalah apa-apa yang Ummi suka." 
 
untuk hal-hal 'hikmah' sebegini, kalau Allah berniat mahu bagi, pada sesiapa sahaja pun Dia mampu bagi, hmm. terima kasih, Syirah!
 
kian saya seolah disedarkan dengan satu ayat al-Quran (17:24), tentang pemaknaan hakikat 'merendah diri' (wakhfihd lahuma janaah) terhadap ayah ibu, walau setinggi dan sebebas apapun 'sayap' (janaah) kita telah 'menerbangkan' kita dengan begitu jauh sekali. setinggi dan sejauh mana pun, tunduklah dan merendahlah kepada ibu dan ayah, bukan bersebabkan kasih sayang atau pengorbanan mereka, tetapi terlebih kepada sebab, ini adalah perintah Allah, -noktah!
 
sungguh bagi saya, antara mujahadah yang terbesar adalah menjadi seorang anak yang membawa rahmah pada ibu dan ayah. oh Allah, tumbuhkanlah rahmah dalam diri kami, dan tebarkanlah rahmah dari diri kami, serta jadikanlah kami anak-anak yang soleh dan solehah.
 
entah, tiba-tiba di tengah malam yang syahdu, rindu Ummi Walid, tskk.

Wednesday, April 15, 2015

sebuah percubaan menyelit di celah kerja-kerja editorial (ii);

bismillah
 
setiap kali 'berjuang' menulis artikel ketika saat-saat mendepani deadline, ada satu perasaan yang sukar tergambar. entah, saya selalu 'pesimis' merasakan saya tidak akan mampu menulis, lantaran dosa-dosa kering dan maksiat yang hanya saya sahaja yang tahu, terselindung di timbunan kebaikan yang ternampak pada mata orang.

setiap bulan, saya akan merasai 'keresahan' yang sama. berulang-ulang saya akan bertanya, 'kali ini, apa yang akan saya tulis?'

perlakuan saya tidak sebaik orang lain. akhlak saya tidak seteguh orang lain. ibadah saya tidak sehebat orang lain. amal dakwah saya tidak selaju orang lain. ah, cukuplah sebagaimana ar-Rasul S.A.W pernah mengungkapkan, "antum a'lamu bi umuri dunyaakum - kalian lebih tahu tentang perkara dunia kalian." sedemikianlah, saya lebih mengetahui dan mengenal diri saya sendiri sedalam-dalamnya!
 
kata orang, hati yang suci akan menyucikan. hati yang bersih akan membersihkan. namun, untuk satu hal yang saya 'belajar' di sepanjang tempoh hampir dua tahun di bidang editorial ini, proses itu hakikatnya berbalik. tak! kita bukan menulis sebab kita sudah tahu. tetapi kerana tidak tahulah, kita perlu menulis. sekurang-kurangnya, itulah yang saya paling terasa banyak 'diajar' untuk sepanjang tempoh 'pembelajaran' tidak rasmi di sini.
 
ketika menulis, hakikatnya saya terasa saya terlebih dulu menasihati diri sendiri. ia akan terngiang-ngiang, hingga membekasi hati dan amal saya terlebih dulu. ya, walaupun prosesnya perlahan, atau lambat, tapi lambat laun, perkataan-perkataan itu akan 'bercakap' semula pada masa-masanya.

jujur, setiap kali memulakan penulisan, saya akan bingung, kering dan tandus idea, dan saat itulah jua hati terlintas dan tangan tertadah untuk memohon, 'ya Allah, bersihkanlah hatiku, dan lancarkanlah mata penaku.' hah, dan ada hari-harinya saya pernah menangis juga sebab terlalu sukarnya menulis! untuk ini, saya selalu terasa Allah Maha Baik dalam memakbulkan. tulisan-tulisan yang tercipta sesungguh-sungguhnya bukan dari saya, bacaan saya, atau apa-apa yang ada pada saya, tapi dari Dialah yang melancarkan gerak mata pena.

ia seolah-olah 'gerakan' untuk terlebih dulu sampai kepada saya, ditelan dan dihadam lalu kemudian barulah tertulis sepenuhnya untuk disampaikan pula kepada orang lain. jujur, seorang penulis (atau saya seorang sahajalah begini) tidak akan mampu menulis sesuatu yang bukan -dia. apa yang saya alami, apa yang saya rasai, apa yang saya fikir, semuanya akan terungkap dalam satu artikel penuh yang memuatkan sisi-sisi saya yang sebenar. hati saya, jiwa saya, akal saya, bahkan struggle dan apa yang saya lalui hari demi hari. ia macam sedang memberitahu, 'hey, jangan risau. kita ada struggle tersendiri dan kau (pembaca) sebenarnya tak sendiri.'

mungkin sebab ini agaknya saya suka menulis. menulis adalah proses menjumpakan diri, menulis adalah proses mengenal diri, menulis adalah proses menasihati diri, menulis adalah proses memujuk diri, menulis ada proses meyakinkan diri, menulis adalah proses memberanikan diri, menulis adalah proses membebaskan diri, menulis adalah proses menjadi diri, menulis adalah proses memberitahu diri;

"i write because i don't know what i think until i read what i say." - flannery o'connor

"maybe writing is a bit more personal to me, compared to talking. i'm in my own world when i write. i'm in my invisible bubble. i'm alone. i'm free. i'm naked. i'm fearless." – wani ardy

hmm, selamat -lah menulis, saya.
 

sebuah percubaan menyelit di celah kerja-kerja editorial, dan nah;

bismillah

tak!
 
tak semudah itu untuk mengeluarkan kata-kata untuk orang yang kita tidak maksudkan. ia akan berdesing ke telinga pendengar, atau mungkin payau dan pahit untuk ditelan kalau tidak datangnya dari hati yang ikhlas.
 
sesetengah orang seringkali berkata pada saya, "untungnya jadi penulis. bukan, bertuahnya mampu menulis."
 
sebab bagi mereka, saya boleh 'menulis' apa-apa sahaja. saya mampu menyampaikan tentang rasa hati, tujahan akal, atau apa-apa sahaja dengan cuma menulis tanpa perlu berdepan. tapi entah, mungkinlah teruntuk seorang saya, perihal 'menulis' ini adalah sebuah 'pekerjaan' hati. maka, saya tidak boleh sewenang-wenangnya menulis, tanpa merasakan atau memaknakannya terlebih dulu. 
 
semisal kalau saya tidak berniat untuk menujukan kata-kata untuk orang-orang tertentu, ia tidak akan tersampai dengan sepenuh-penuhnya. prosesnya tidak lancar dan tersekat-sekat. biarlah saya mengarang ayat yang begitu puitis, manis bergula, puja puji tinggi melangit, bahkan bodekan atau pujuk rayu sekalipun, kalau saya tidak memaksudkan, pastinya ia tidak akan tersampai dengan tulusnya. ia akan terasa begitu asing, pelik, hambar dan janggal. bahkan, saya sendiri akan terasa maha pahitnya menelan kata-kata saya sendiri! kalau yang ditujukan mampu merasai, dia juga pasti akan merasai 'kering'nya kata-kata saya, hmm.   
 
sebaliknya, kalau saya benar-benar memaksudkan, sekalipun berulang kali ayat yang sama tertutur, itulah sebuah hakikat yang sebenar-benarnya! atau ahah, mungkinlah seorang 'saya' sahaja yang begitu serius sebegini, dan terlalu memaknakan sebuah 'kata-kata'.

"i love the swirl and swing of words as they tangle with human emotions."  - james a. michener

percayalah, kalau saya menulis saya betul-betul memaknakan. ah, betapa asyik bertangguh dan tertangguh kerana kerja-kerja lain dan alahai, lamanya saya tidak menulis di sini, huhuhu!

sebuah percubaan menyelit di celah kerja-kerja editorial dan nah, jelaslah bahawa saya sungguh-sungguh rindu blog saya, sekian.
 

Friday, April 3, 2015

tentang bagaimana suatu hari kita menulis;

bismillah

"writing is ninety percent procrastination: reading magazines, eating cereal out of the box, watching infomercials. it's a matter of doing everything you can to avoid writing, until it is about four in the morning and you reach the point where you have to write."  
– paul rudnick

saya sangka saya seorang sahaja begini. terima kasih Paul Rudnick.

hahahahaha, bertahun (-lah sangat) sudah saya 'tangguhkan' entri ini; menulis semula, menyimpan semula, menulis lagi, minum kopi, jalan-jalan, balik kampung, membaca, menonton drama, bersembang, dan itu dan ini dan hinggalah ke hari ini, dan nah klik;

-PUBLISH!

kami jalan laju-laju melintas kebanyakan orang. jalan yang sempit menambah sesak! ala-ala Kuch Kuch Hota Hai pula rasanya, sewaktu dia merangkul tangan saya dan kami berlari-larian dalam hujan, euwww.

sebelumnya, cuaca sangat terik. membahang, hingga saya meminta dia jangan salahkan saya apabila mukanya menggelap nanti. dia menampar-nampar saya, sambil tergelak manja. maka hari itu, hari yang agak istimewa, cuma berdua melintas lorong-lorong sempit di Masjid Jamek, hinggalah ke Dataran Underground, menyertakan diri dalam pesta buku 'Kolumpo Kita Punya'. 

dari satu meja ke meja yang lain, saya membelek buku-buku yang ada. kalau boleh saya jujur, entah mengapa saya tidak menemukan 'jiwa' yang saya cari. cuma satu saja antara yang terpilih, Karl Agan. itupun, dia yang sarankan pada saya. 

setelah puas mengeliling kawasan, kami duduk berehat sekejap. sewaktu penulis-penulis sedang rancak bercakap di depan, kami seronok memilih tajuk, bercakap-cakap di pentas belakang. saya katakan pada dia, saya rindukan puisi yang dalam. puisi yang lama. puisi yang dulu-dulu saya 'rakam' dengan mata sendiri tanpa kecanggihan kamera, dan salin satu-persatu perkataannya ke dalam buku nota. puisi yang dulu-dulu saya cedok isinya dari timbunan buku-buku di librari, ketika waktu-waktu senggang di sekolah.

kenapa tidak lagi kita begini? bukan, kenapa tidak lagi 'saya' begini? haha!

(ii)

beberapa hari lalu, dia whatsapp saya dan tiba-tiba bertanyakan saya tentang ini;

"umy, adakah disebabkan pertambahan usia rasa eager nak menulis tu kurang? sebab kononnya kita makin matang uruskan emosi atau kita makin belajar makna hidup, jadi tumpuan kita lebih kepada perkara lain?"

hmm, orang yang bertanya akan selalu terlebih dahulu memberikan jawapannya pada saya. tapi sungguh-sungguh, saya masih mahu bermanja dalam menulis, mahu bercinta, mahu memberontak, mahu menggedik, mahu merayu, mahu meminta, mahu menyatakan, mahu menguasa, mahu menginspirasi, mahu terasing dan pelik, dan menjadi 'saya' semahunya.

sebetulnya, saya mahu 'menyedut' nafas ketika menulis, dan biarlah pembaca yang 'menghembus' nafas tadi, dan berkata; "hahhhhhh, inilah yang aku rasa! inilah yang aku tak boleh keluarkan dari dalam diri aku."




persis masa saya mula berjinak-jinak dengan komputer dan 'menconteng' perasaan saya di situ, memiliki beberapa diari err buku yang saya pernah buang dan bakar sebab malu dengan apa yang saya tulis (hahaha), belajar menulis di blog dahulu seusia 18 tahun dan kemudiannya saya delete sebab malu dengan apa yang pernah saya tulis (hahaha), kemudian memiliki beberapa blog dan didelete, kemudian dibuat semula yang baru, kemudian didelete lagi (hahaha), dan akhirnya inilah satu-satunya yang kekal; itupun telah banyak saya lakukan 'transformasi' dengan mendelete entri-entri yang ntahpape, dan hari ini mulalah saya terasa sedikit menyesal, (hahaha).

kenapa tidak lagi kita begitu? bukan, kenapa tidak lagi 'saya' begitu? bukankah dari situ kita saling mengenal? dari huruf-huruf ini, kata-kata ini, cerita-cerita ini meski jauh sekali bersapa? jujur, keterasingan total yang terwujud telah mampu padam dan lenyap, cukup dengan hanya "dengan membacamu, aku mengenalku". bukankah kita terhubung dari cerita-cerita kecil ini?

masa-masa kita saling bertukar cerita, membalas komentar, mengisi cerita-cerita kita meski sekecil-kecilnya. tentang apa yang kita belajar di kelas, tentang apa yang kita lihat di perhentian bas, tentang apa yang kita ujarkan pada orang-orang di jalanan, hmm.

entah, sebab saya seringkali terinspirasi dengan cerita-cerita yang kecil, terbugar bahagia waktu tengah down apabila membaca bahagian-bahagian yang mudah ini, atau apakah apabila minda kita (saya) 'kecil' maka kita (saya) mudah cenderung untuk terkesan dengan hal-hal yang remeh?

the point of the daily diary exercise is not to record what you already know about what happened to you in the last 24 hours. instead, it's an invitation to the back of your mind to come forward and reveal to you the perishable images about the day you didn’t notice you noticed at all.

— lynda barry

tentang makcik yang menjual nasi lemak di tepi jalan dan anak tunggalnya penghidap penyakit buah pinggang, tentang makcik pekerja 7E yang geram dengan karenah pembeli akhbar, bayar duit tapi tak terkhabar, tentang makcik yang menunggu bas di tepi jalan semata-mata mahu membelikan roti canai untuk suaminya, tentang makcik yang berpeluang menunaikan haji bersama keluarga dengan pendapatan sebulan sebagai tukang cuci, tentang pakcik teksi yang dulu pernah bekerja di rumah mewah tapi bosnya tak pernah bahagia, tentang orang-orang di dalam tren.

dengan membaca atau mendengar; kita mengingatnya sekali. dengan menulis; kita mengimbas, mengenal, merekod, merakam, merasai, bahkan mungkin menghargainya sekali lagi.

I MISS YOU.
I MISS (US).

ya, barangkali kita sudah terlalu 'tua' dan 'dewasa' untuk ini semua; dan saya pula yang menarik nafas, bahkan saya juga yang menghembus nafas. hah!

terima kasih kerana terus 'membaca' saya!

Thursday, April 2, 2015

semalaman menyambung draf 1 April, nah;

bismillah
 
Steal Like An Artist, Austin Kleon; pg. 85
 
 
FIND PEOPLE ON THE INTERNET WHO LOVE THE SAME THINGS AS YOU AND CONNECT WITH THEM.
 
oh tolonglah, Austin Kleon!
 
menurutmu apa yang paling 'menakjubkan' terwujud di sisi-sisi aku? oh, tak ada yang menarik, sayang. sini, aku ulang satu-persatu.
 
tak ada yang menarik di pagi ini, melainkan aku tersenyum meleret saat membuka kantung emel, lantaran menerima err sebuku hadiah di hari lahir Jeff Goins. kau tahu, dia memberikan aku buku percuma yang harus ditebus di Amazon dan judulnya adalah 'You Are A Writer'.
 
tapi sayang, apakah Malaysia ini bukan Negara yang bertuah untuk penduduknya menerima hadiah yang sebegitu? apakah rakyatnya tidak gemar membaca, atau gara-gara karenah 1 April, atau sebenarnya bagaimana? ataukah aku sememangnya belum layak digelar dan bergelar 'A Writer' untuk menerima hadiah semolek itu? berkali-kali aku mencuba, namun hampa. entah, yang pasti ia bukanlah satu kesia-siaan sebab dari situlah aku terperasankan bahawa selama ini, hakikatnya aku telah punya satu akaun di Amazon, tetapi telah terlupa kata kuncinya (baca: password). hahahaharu sungguh!
 
oh, di minggu yang sama aku juga menerima 'hadiah' dari Bayyinah TV berupa langganan percuma selama 30 hari untuk menonton video-video ustaz kegemaran, Nouman Ali Khan. tapi sayang, kenapa harus di saat-saat 'emas' begini, broadbandku 'mati'? cukuplah kau tahu ia telah mati, dan tak perlulah kau tahu sebabnya. bagaimana mungkin untuk menontonnya di mana-mana dengan kuota internet dari telefon pintar yang begitu terhad? apatah lagi, tempoh 30 hari untuk video selambak itu, kau tahu boleh 'hilang punca' kita? namun begitulah, keterbatasan waktu kita sering menduga, bahkan fokus dan khusyuk kita untuk hal-hal yang tidak sewajarnya juga boleh jadi gangguan. ah, aku benci  tidak suka ini.
 
 
SHOW JUST A LITTLE BIT OF WHAT YOU'RE WORKING ON. ERR HANDY TIP, BRO?
 
ahah! tahukah kau, aku mempunyai hobi yang sekian lama telah terwujud sebati dalam diri, namun kini baru terperasankan keunikannya? ihiks.
 
 
 
 
teruntuk seseorang atau sesiapa yang istimewa, aku terasa alangkah lebih indahnya dihadiahkan kepadanya sebuah buku yang penuh highlight dan bertanda, berbanding buku yang baru dan kosong dari tulisan atau tanda apa-apa.
 
kau tahu, sebabnya? selain untuk trigger seseorang membaca buku yang kita hadiahkan, ia barangkali boleh 'memudahkannya' untuk membaca. dengan ini, dia mungkin hanya perlu skimming pada ayat-ayat penting yang telah kita tandakan (baca: highlight), atau secara tidak langsung kita telah 'menjentik' kecenderungannya untuk membaca genre buku yang tidak pernah menjadi minatnya.
 
bukankah ini lebih baik daripada buku yang kita hadiahkan cuma tersimpan sahaja di rak bukunya? percayalah, ini juga sangat membantu kita untuk lebih bersungguh-sungguh dalam pembacaan, selain mendorong dan membantu orang lain juga untuk 'membaca'! kah, macam iklan 'Marilah Membaca' sedunia.
 
terpaling uniknya, aku selalu 'membaca' dan 'mengenal' orang lain, dari lambakan quotes yang ditanda. hahaha, jaga-jaga. aku suka ini, sungguh-sungguh suka ini.
 
 
THINK ABOUT WHAT YOU HAVE TO SHARE THAT COULD BE OF SOME VALUE TO PEOPLE.
 
nah, apa lagi yang kau mahu tahu?
 
kebelakangan, kerja-kerja aku sederhana sahaja sibuknya. cuma kini, aku dan team editorial sedang bertungkus lumus cuba menyiapkan sebuah buku lagi yang tentunya bukan buku hasil karya aku. kau doakan dan nantikan sahaja kemunculannya, heh. 
 
terasa baru sahaja flush out isu yang lalu, kini berdepan pula dengan isu yang baru. begitulah, hari-hari terkedepan dan masa serta waktu yang begitu pantas mengejar. untuk masa-masa yang sebegini, aku suka sekali memaknakan kata-kata ini; don't count the days. make the days count!
 
aku suka sekali dengan 'iklim' di hangout kebelakangan ini. entah, mungkin saja topiknya kini sedang hangat diperkatakan di mana-mana. ada seseorang di ofis yang eloklah aku gelarkan dia sebagai 'kamus bergerak' sebab boleh dikatakan 'banyak benda' dia tahu, haha! dan baru-baru ini, dia kongsikan tentang lembu ini, hmm? (jangan tengok kalau ngeri, seram dan yang sewaktu dengannya).
 
hah, ada sahaja pengetahuannya yang menendang dinding akalku untuk sama-sama mengambil tahu, lebih-lebih tentang GST. aku suka apabila dia berkongsi tentang itu dan ini, meski bidang ekonomi dan hal-hal seputarnya, sesungguhnya bukanlah minat aku. entah, terasa seolah-olah sedang menerima enlightenment gittew! kau sendiri tahu bertaqlid buta dalam menyukai dan membenci, itu bukan sifat kita, sayang. aku suka ini, sungguh-sungguh suka 'iklim' belajar, mengajar dan diajar sebegini. terima kasih Allah, untuk orang-orang yang indah!
 
 
 
 
MENTION A GOOD BOOK YOU'RE READING
 
apakah kau mahu tahu, buku apa yang sedang membuat aku hampir separuh 'gila'? ah, kalaulah kau tahu betapa aku mahu menjadi selayaknya Fatma dalam 99 Cahaya Di Langit Eropa ini. separuh cuma kutonton filemnya, terus melonjak mahuku untuk memiliki novelnya dan akhirnya (ya!), untung saja ada seorang kawan yang memiliki dan menjualnya.
 
paling aku ingat, saat menonton ini emosi aku begitu terganggu, terutama ketika tertayang babak-babak haru, dengan lantunan musik yang 'pas' kata orang seberang, untuk membuat aku sungguh-sungguh sebak. hah, aku juga masih tidak percaya bagaimana mungkin aku sesebak itu? melankolis, dramatis, emosional, asdfghjkl;
 
 

"semua garis lurus ini adalah Axe Historique dan ini adalah ide Napoleon setelah dia melakukan ekspansi dari Mesir. nah, jika kita tarik garis lurus, ke arah Timur, kita bisa menemukan bangunan yang paling impresif di muka bumi ini. menurut kamu apa, Hanum?"

oh, mengujakan bukan? kau baca dan tontonlah sendiri, atau ya barangkali aku yang terlewat dan terkebelakang.
 
 
YOU HAVE CONTROL OVER WHAT YOU SHARE AND HOW MUCH YOU REVEAL.
 
nah Austin Kleon, ini aku setuju.
 
bak kata Neil Galman, "THE WISE MEN KNOWS WHEN TO KEEP SILENT. ONLY THE FOOL TELLS ALL HE KNOWS." sungguh, aku bukanlah golongan penegak tegar isu-isu feminisme, namun ternyata aku lebih tertarik dengan pegangan Emma Watson yang ini; "THE LESS YOU REVEAL, THE MORE PEOPLE CAN WONDER." ia macam wow! aku suka ini, sungguh-sungguh suka ini.
 
sekianlah.