Pages

Thursday, February 26, 2015

suatu dhuha dari dhuha-dhuha yang indah;

bismillah
 
 
 
 
paling sukar bagi saya, adalah untuk mendidik dan menjinak jiwa dan hati sendiri, lebih-lebih lagi apabila terkait dengan hubungan sesama manusia.
 
hinggalah saya terjumpa satu quote indah ini di ig, subhanallah cuma semudah itu. setiap kali, sesiapa sahaja yang terlintas di fikiran dan hati, baik atau buruk, meski sesukar dan seberat apapun, cukuplah diam-diam menghadiahkan sahaja dia sebuah doa seikhlasnya! paling berat dan payah untuk didoakan, paling ringan patutnya ia di mulut! ia benar-benar bagi saya suatu latihan bagi melunturkan ego, dan mengajarkan kerendahan. moga didengarkan para malaikat, bahkan turut terpalit doanya untuk kita yang tulus mendoakan!
 
benarlah kata Rasulullah, kaya yang sebenar-benarnya itu bukan kaya harta, tapi sungguh kaya jiwa! hatinya akan lapang dan tenang, jiwanya akan luas dan senang, malahan keseluruhan hidupnya tidak akan terbeban dengan rasa-rasa negatif, melainkan cuma yang positif. bukankah itulah 'bahagia' yang hakiki?

"ajarkan aku untuk selalu memiliki hati yang cantik. tidak peduli meski orang-orang tidak pernah sekali pun menyadari kecantikan hati tersebut."

― tere liye, berjuta rasanya
 
oh Allah, 'luaskan' jiwa kami, 'kaya'kan hati kami.
 

suatu pagi dari pagi-pagi yang indah;

bismillah
 
kata-kata yang takkan pernah saya lupa, sampai bila-bila. sebagai pahala dan ganjaran besar untuknya, maka saya kongsikan di sini;
 
"ada dua jenis kawan dalam dunia ini. pertama, kawan dunia. kedua, kawan akhirat. 'kawan dunia' akan selalu membuat kita merasa kerdil, dan dunia terasa cukup luas. 'kawan akhirat', akan membuat kita selalu merasa besar, dan dunia terasa sangat kecil."
 
tidak terlintas saya, untuk melabel jenis kawan-kawan tertentu dalam hidup. ia sekadar melintas lalu dan pergi. setiap satunya pasti akan memuhasabahkan, baik atau buruk. bahkan serasa saya, teruntuk orang-orang introvert, ia sememangnya di kategori orang yang tidak punya ramai kawan.
 
cuma untuk sesetengah keadaan, kata-kata 'kawan akhirat' saya ini, selalu merefleks diri saya sendiri sebagai seorang kawan; kawan duniakah atau kawan akhiratkah
 
apakah apa yang saya pakai, apa yang saya baca, apa yang saya makan, apa yang saya guna, apa yang saya tutur, apa yang saya main, apa yang saya tulis, apa yang saya dengar, apa yang saya kunjungi akan membuatkan sesetengah orang di sekeliling cenderung rasa terbanding, bahkan terasa dirinya kerdil, dan dunia sebegitu luas?
 
"kesederhanaan sering mengajar aku untuk menutup ruang-ruang nafsu yang tak perlu. dan mereka sesungguhnya 'sedang' mengajar, cukuplah yang kita punya, adalah yang Allah mahu."  
- catatan lama, jun 2013

hmm.

oh Allah, untuk ini sederhanakanlah hati dan jiwa; tidak merasa kurang saat tiada, tidak merasa lebih saat ada.
اَللَّهُمَّ قَنِّعْــنِيْ بِـمَا رَزَقْــــتَــنِيْ، وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ، وَاخْلُفْ عَلَى كُـلِّ غَائِـبَةٍ لِيْ بِـخَيْرٍ
"ya Allah, jadikanlah aku merasa qana’ah (merasa cukup, puas, rela) terhadap apa yang telah engkau rezekikan kepadaku, dan berikanlah barakah kepadaku di dalamnya, dan jadikanlah bagiku semua yang hilang dariku dengan yang lebih baik."

(HR al-Hakim)

Tuesday, February 24, 2015

untuk setiap yang 'hilang' dan 'jumpa';

entri ini sekian lama tertangguh sejak tiga hari lepas; melalui masa-masa sukar untuk fokus menulis (haha), tanpa mengantuk, ke walimah, sarapan pagi, idea hilang, mengemas rumah, dan sebagainya.
 
bismillah, dan nah;

(i)

 
 
"jika melihat Roger Federer bermain dengan melakukan pukulan-pukulan yang hebat, maka kita terasa amat kagum. namun, kekaguman itu akan menjadi lebih lagi, sekiranya kita sendiri bermain dan cuba melakukan pukulan sebagaimana yang dilakukannya. ia ternyata sukar dan tidak mudah!  
dan tatkala kita berusaha mencontohi corak permainannya, juga kehebatan pukulan tersebut, maka kita pasti akan menjadi bertambah kagum mengenangkan kesungguhan dia berlatih sehingga akhirnya melayakkan dirinya diangkat sebagai pemain terbaik dunia dalam sukan tenis."  
 
membaca ini, membuatkan saya mengangguk berulang kali. ia sungguh-sungguh mengesani hati saya, lebih-lebih lagi mengaitkan dengan apa yang telah saya lalui minggu lepas.
 
retreat yang sepatutnya ice-skating bersama opishmates 'merangkap' kawan-kawan-yang-kita-suka, berganti dengan archery lantaran tempat yang cukup sesak dan penuh, dan tidak sesuai untuk kami yang masih hmm, -beginner untuk mencuba-cuba bermain di situ. tambah pula, orang lain di situ sudah mencapai tahap pro, gaya skating pun ala F1!

namun, kita merancang, Allah merancang, dan perancangan Allah selalu lebih baik dan terbaik. sekurang-kurangnya, itulah yang paling saya percaya, meskipun 'game' saya di hari itu, adalah yang paling teruk. why so serious? it's just a game -lah, tapi still saya dalam kesedihan dan kepiluan yang teramat, tskkkk.
 
 

 
 
itulah kali pertama saya bermain. saya tidak pernah tahu apa-apa tentang archery, baik skill atau apa-apa info tentangnya, melainkan satu hal; ia antara tiga permainan sunnah yang menjadi prioriti Rasulullah S.A.W. cuma itu. selebihnya, saya baru tahu di hari itu bahawa Paolo Coelho, penulis antarabangsa yang terkenal dengan 'The Alchemist' memaksimumkan fokus dan konsentrasinya dengan memanah!




sekilas membaca info ini, saya macam, oh wow (mashaAllah)! sejak membaca What I Talk About When I Talk About Running, tulisan Murakami, saya tidak boleh berkata tidak, atau enggan, atau bukan, melainkan jujur dan akur bahawa admiration saya pada penulis yang berjiwa atlet ini bertambah-tambah. hmm, begitulah! 
 
melihat dari jauh, permainan ini sungguh-sungguh tampak mudah dan bersahaja. sekadar membidik panah, apalah yang susah? semudah tarik, fokus, dan lepas. itulah tanggapan awal saya, sehinggalah saya mencubanya sendiri. oh Allah! ia benar-benar tak semudah yang disangka, atau mungkinlah saya sememangnya orang yang agak blur dalam permainan-permainan tangan sebegini, hahahaha. berkali-kali saya diajar dan ditunjukkan teknik dan cara yang betul, namun masih juga gagal.

untuk satu permainan ini saja, ia seakan mewatakkan 'wajah' dan 'peribadi' saya yang sebenar, dalam kehidupan saya secara keseluruhannya. tentang yakin, berani, perspektif, perasaan, bahkan pandangan saya terhadap diri saya sendiri dan orang lain di sekeliling. ia menjumpakan 'saya' secara tidak langsung, apa yang saya mungkin terlepas pandang sebelum ini. apa yang saya perlu ubah, tangani, atasi, dan hadapi untuk menjadi orang yang lebih baik, dan cukuplah kesemua itu saya simpankan sahaja sendiri. cukuplah bagi saya, ia sehari yang mengajar sekaligus mendidik.
 
selain, saya betul-betul memaknakan apa yang ummu husna katakan; "kekaguman itu akan menjadi lebih lagi, sekiranya kita sendiri bermain dan cuba melakukan pukulan sebagaimana yang dilakukannya. ia ternyata sukar dan tidak mudah!"; bahawa ada sesetengah hal yang harus kita selami terlebih dahulu, untuk mengetahui susah payah, dan pahit maung orang lain. jika tidak 'mencuba'nya sendiri, sama ada kita akan terlajak menduga dan menghukum, atau kita sekadar 'take for granted'; tidak menghargai baik pemberian, usaha, mahupun strugglenya dengan sesungguhnya, atau kita cuma 'kagum' yang sekadarnya sahaja.

"it's easy to minimize a person's hurt without understanding the nature of pain. people often like to 'categorize' how much a person should or shouldn’t hurt about things. for example, when someone is upset about something, they say, "at least you're not paralyzed, or starving in africa." while it's 'imperative' to be grateful for what we have, i think people often mistaken the nature of pain, when they 'categorize' in this way.

a relationship break up can HURT MORE than struggling with cancer (true story). the criteria for how much something hurts is NOT DEPENDENT on the thing itself. it is dependent on two things:

i. the strength of the attachment.
ii. the level of divine help.
- yasmin mogahed; a reflection of pain 

maaf untuk orang-orang terdekat, kalau saya tidak cukup memahami atau terlebih menduga dan menghukum, atau tidak menghargai dengan selayaknya, fuh! benar lagi kata ummu husna, bahawa suasana hatilah yang akan membuatkan pemahaman itu akan selalu terwujud. tidak lain tidak bukan, ia datang dari 'keakraban' hubungan dengan Allah; lebih dekat ia dengan Allah, lebih empati ia dengan manusia!
 
"semakin saya menginsafi bahawa suasana hati memang banyak dibentuk oleh bagaimana akrab hubungan hati insani dengan Ilahi, Pencipta Yang Maha Tahu segala-galanya."  
- ummu husna

hmm.

dan kebelakangan, saya asyik ter-update dengan ig ustaz salim a fillah. seriuskah, ustaz pun tengah 'asyik' memanah sekarang? keren banget!


(ii)
 
maka cuti CNY di rumah kali ini, selain membasuh dan mengemas (walaupun malas) dan ya, memenuhi undangan walimah, saya sempat membaca dua buah buku. pertama, Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani. karya ini tentang agama dan pluralisme. seorang remaja yang berjiwa besar, dan mengambil tahu hal-hal seputarnya, lebih-lebih lagi tentang agamanya. untuk kemampuan menulis dengan indah, menyadurkan fakta, dan mewujudkan watak, bagi saya Faisal Tehrani sememangnya jaguh! novel ini agak berat, bersebabkan faktanya yang agak sarat dan penuh, namun suka saya untuk memetik kata-kata ini;

"tak semua orang baca buku cinta atau buku teks sahaja." zehra kadang-kadang mempertahankan. itu satu sikap zehra yang saya sukai. sungguhpun dia tidak menyetujui pemikiran saya dan menganggap saya sebagai 'ahli fikir fundamentalis', zehra tetap mendengar dan ikut sama meneroka loorng-lorong falsafah.  
sebab seperti saya juga, zehra percaya untuk menyelesaikan persoalan masyarakat sekarang, termasuk masalah remaja hari ini, dunia falsafah mesti digeluti. tetapi beza antara saya dan zehra ialah saya menggeluti dunia falsafah dengan sandaran Islam sedangkan zehra mahu menggeluti dunia falsafah dengan rasa merdeka dan tanpa terikat oleh apapun."

- tuhan manusia, ms 63

ah, sangat 'kena' dengan nuansa masyarakat hari ini. oh bukankah?

buku kedua, Bercinta Sampai Syurga, tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. buku kedua ini, bukanlah ditanggap 'membaca', tetapi pada saya lebih kepada 'mengulangbaca'. entah, tiba-tiba terasa mahu 'menjenguk' dan 'menjejak'nya semula. tersedar saya, buku ini dibeli pada bulan Mei 2009. oh, enam tahun sudah berlalu, dan inilah masanya bagi saya untuk menguji kefahaman dahulu dan semasa, gitu.
 
"i like people who i can occasionally have really deep conversations with, and at the same time joke around with them!" - kak syida

begitulah, alkisahnya; "I didn't change, I grew up!", eherher.

ah, memang betullah kata Richard Peck, "we write (think, react, act etc etc) by the light of every story we have ever read", hmm?

(iii)

untuk hal-hal yang tidak terkisah, terima kasih Allah untuk semuanya! cuti beberapa hari ini mengajar saya sungguh-sungguh erti tauhid dan kebergantungan dengan Allah, keegoan dan kebongkakan saya sendiri, kerendahan hati dengan Umi Walid, keberkatan dan kesyukuran untuk hal-hal sederhana, kemaksiatan dan keakraban hubungan dengan Allah, selain bertemu bersapa guru-guru lalu yang Allah jumpakan semula di walimah kawan-kawan.
 
sungguh-sungguh saya terharu, sewaktu di salah satu walimah kawan, Walid tiba-tiba panggil saya dari jauh dan tanya, "akak kenai dak ni?" saya tenung saja lama-lama dan, "ohhh, ustadddd!" raut wajah ustaz sudah sangat lain, berbanding beberapa tahun lalu ketika beliau masih mengajar saya di tingkatan dua. beliau tampak kurang bermaya, makin cengkung dan sangat kurus. kata Walid, ustaz mengalami strok baru-baru ini. apa yang lebih mengharukan saya ialah, Ustaz Mat masih ingat dan kenang nama saya.
 
"Umairah, mengaji mana la ni? hang bila pulak?"

krik krik.

oh Allah, rahmatilah mereka, peluklah mereka, dakaplah mereka dalam cinta kasih-Mu yang selalu!

sekianlah untul hal-hal 'hilang dan jumpa' saya, bagaimana pula dengan hal hilang dan jumpa yang saya edit ini? heh!
 

Tuesday, February 17, 2015

"you got all the world in here." - mom

bismillah


(i)

saya suka dalam pertemuan beberapa minggu yang lepas, dr. har berkongsi tentang 'meraikan kepelbagaian'. tentang kita, hakikatnya bukan saja meraikan kepelbagaian dari sudut agama, organisasi dan sebagainya, tapi kepelbagaian dari sudut latar belakang, umur, jantina dan sebagainya. kepelbagaian ini akan wujudkan beberapa reaksi dalam masyarakat, antaranya ialah; (i) total rejection, (ii) tolerate: raikan kepelbagaian sebagai peluang, dan bukan masalah. untuk ini, sangat perlu untuk kita ada kemahiran menangani kepelbagaian, lebih kreatif dan inovatif lebih-lebih lagi dari sudut pemikiran, hmm.

kata-katanya buat saya terlalu banyak berfikir, berfikir, dan berfikir. sungguh, orang-orang sebegini selalu pekat dengan idea, dan pemikiran yang luar biasa. saya suka apabila ia disadur kemas dengan lisan yang petah, dan bahasa yang tersusun, sesuai dengan pengalaman dan pemaknaan yang dalam. semacam menikmati ais krim untuk setiap jilatan, kata-katanya berlemak, bahkan nikmat dan menikmatkan. oh, lazat!

seringkali, saya di dalam apa-apa wacana ataupun diskusi ilmiah, ada sahaja idea dan pandangan yang tersekat, tidak mampu terlontar dengan baik dan saksama, hinggakan ia cuma berlegar-legar di ruang fikiran. adakalanya, saya mengalami masalah dalam menjelaskan sesuatu; apa yang saya rasa dan apa yang saya fikir. setiap kali orang lain meluahkan, barulah saya akan terfikir, "ahhh, inilah yang aku tak faham tadi. ahhh, inilah yang aku rasa tadi, " sekian, dan sekian.

entahkan, inilah yang ustaz hasrizal sebutkan; bahawa ketidakmampuan untuk melontarkan idea dan pemikiran, adalah bersebabkan kurangnya kosa kata dalam fikiran, hingga ia tidak mampu dilisankan dengan baik. oh, sayang! lebih malang lagi, apabila otak tidak mampu menjana idea dan pandangan sendiri yang lebih baik; tidak kritis, bak kata orang. punca paling ampuh, tidak banyak membaca. 

fuh!

(ii)




menonton gifted hands: the ben carson story baru-baru ini, benar-benar menginspirasikan, hah! melihatkan bennie yang dibesarkan oleh ibu yang tidah tahu membaca dan menulis, bahkan dianggap bodoh dan dungu di dalam kelas, hinggalah kepada peristiwa demi peristiwa yang membuatkan 'membaca' menjadi kebolehan dan kemampuannya yang utama. fuh! antara babak yang saya paling suka, adalah yang ini;

bennie: well, i don't know how.
mom: we're just gonna have to use to use our imagination.
bennie: i don't get one!
mom: of course you do, everybody got an imagination.
bennie: not me...
mom: of course, you do! listen to me, if i say, 'once upon a time, there was a little blue mouse', don't you see a little blue mouse?
bennie: no!
mom: bennie..
bennie: mom, my brain's too dumb...
mom: boy, your brain ain't dumb!
bennie: it is mom!
mom: you got all the world in here.



saya suka bagaimana bennie 'melihat' dunianya dengan pembacaan yang maksimum. dunianya seakan menjadi lebih luas dan terbuka! dia bebas dengan sesungguhnya. apa saja yang tidak diketahuinya, akan dicari dari buku-buku. ini langsung membuatkan kefahaman dan pemaknaannya dalam sesuatu bidang ilmu bertambah.

teringat saya pada salah seorang figur yang pernah saya temuramah dulu, bagi mengisi satu kolum dalam majalah jom! morgan, seorang revert, begitu 'memaknai' al-quran (meski waktu itu, beliau belum pun memeluk Islam) dengan pembacaannya yang meluas. sejarah, matematik, sains, dan 'dunia' ada di dalam otaknya. beliau sangat suka membaca! katanya, "saya takjub, sebab saya merasakan al-quran ada semua yang saya baca dan tahu. zaman arab jahili, misalnya."

saya akur, pembacaan saya agak kurang kebelakangan ini, hmm. melalui usrah semalam, salah seorang ukhti ada berkongsi, dia memegang pada satu prinsip dalam hidupnya: SPICES; (s)piritual, (p)hysical, (i)ntellect, (c)ash flowing, (e)motion, s(ocial). kalau dia mampu seimbang untuk kesemua ini, maka pertumbuhannya akan menjadi lebih baik. entah, saya sangat terkesan pada unsur spiritual dan intellectual semalam, fuh!

mr. darcy dalam pride and prejudice pun pernah mensyaratkan bahawa teman wanitanya mestilah, "and of course she must improve her mind with extensive reading." oh, saya sangat suka melihat orang yang fokus, dan saya sangat benci tidak suka pada distraksi saya sendiri, lagi-lagi sewaktu membaca.




ah, suatu nikmat yang sesungguhnya jika teman yang membuat saya langsung terlupa pada media sosial, gajet, dan sebagainya adalah -BUKU, lebih-lebih lagi al-Quran.

rindunya membaca, rindunya menghafal dengan sesungguhnya; oh Allah!

Friday, February 13, 2015

sepetang Jumaat, dan sebuah rekonstruksi jiwa;

bismillah
 
(i)
 
melepasi fasa-fasa sukar, akan selalu Dia iringkan dengan satu emosi atau perasaan khusus. entah, kalau ditanya apa objek yang terpaling ingin saya lukiskan, adalah perasaan saya sendiri. walaupun ya, memang mustahil sebab pertamanya, saya tidak mahir melukis, (err) macam Toyu dalam TDL. kedua, hal-hal seseni perasaan, adakah yang mampu melukiskannya? sebab hakikatnya, orang melukis 'dengan' perasaan, bukan melukiskan perasaan itu sendiri! 
 
cukuplah, satu patah kata Umar R.A untuk menerangkannya, "fa tabarakallahhu ahsanul khaaliqin (maka tabarakallah, pencipta yang paling baik)" yang menjadikan dan menciptakan manusia (al-Mukminun: 12-14), bahkan objek-objek dan hal-hal seseni perasaan ini.
 
saya suka, sebab meski 'pahit' dan 'sakit' di awalnya, namun perasaan-perasaan ini akan selalu menjejak saya ke belakang, berpatah semula ke satu-satu peristiwa dan membuatkan saya selalu 'terjaga' dan 'tersedar'. ada sebabnya, Allah mengkhususkan satu-satu perasaan itu begini dan begitu rasanya, menjadikannya ia sesuatu kejadian yang istimewa, sama ada baik mahupun buruk.
 
logiknya, kalau 'sakit', sebagaimana yang Ustazah Yasmin Mogahed katakan, kita akan selalu tersedar, dan cepat-cepat mengundur. persis keadaannya andai tangan terkena objek yang panas, kita akan cepat-cepat menarik tangan, demi melindungi diri dari rasa sakit. sebegitulah jua, Allah 'melindungi' hamba-Nya dari keterikatan yang tidak wajar dia dahulukan, melebihi Dia sendiri, sebab hati hakikatnya sedang disakiti.
 
meski tak termampu kita melukiskan perasaan, namun membelek semula kesemua entri lalu (matang, budak-budak, remuk, hancur, baik, buruk) yang mengundang kesemua perasaan 'malu', 'sakit', 'pahit', 'manis', dan 'suka', hakikatnya pertama-tamanya yang akan termuncul adalah;

"terima kasih Allah untuk kesemuanya!"
 
sebab musibah atau nikmat selagi datangnya dari Allah, sebagaimana yang dituliskan oleh Ustaz Salim A. Fillah dalam bukunya Dalam Dekapan Ukhuwah, memetik kata-kata sepasang anak beranak;

"kami tidak tahu ini rahmat atau musibah, tetapi kami berprasangka baik dengan Allah."

all is well; kesemuanya akan baik-baik saja dari-Nya, dan dengan izin-Nya.
 
(ii)
 
 
ahhhh, saya terlalu cemburu dengan orang yang dikurniakan al-hilm. sebagaimana kebaikan akan menghantarkan kepada kebaikan yang lain, maka sifat al-hilm ini akan selalu mampu memunculkan hati dengan sifat-sifat yang lain; sabar, tenang, lapang, dan lembut. pada saya, hati yang sebegini akan selalu mendorong pemiliknya berbuat apa saja jenis kebaikan, baik sukarela atau paksarela. jujur, teruntuk seorang saya, ini sangat sukar. bukan, sangat-sangat sukar!
 
dia mampu tersenyum pada semua orang, meski hatinya sedang sangat bersedih. dia boleh begitu bersemangat, meski hatinya sedang dirundung duka. logiknya, bukankah kita hanya akan 'cenderung' dan 'terbuka' untuk melakukan sesuatu kebaikan, apabila hati sedang bergembira? saat itu, tidak perlu disuruh, ringan saja mulut menyebutkan 'ya', untuk apa saja kerja baik mudah atau sukar.
 
namun, tidak untuk hati yang tenang ini, dia fleksibel bila-bila masa sahaja. takkan ternampak segaris duka sedikitpun, bahkan tersembunyi kesemuanya di dalam, hingga dia pula yang mampu memberi dengan sesungguhnya!
 
"not letting our mood affect the way we treat people is a forgotten sunnah" - sh nouman ali khan
 
ahhhh, saya terlalu cemburu dengan hati yang tenang. pada saya, hati yang tenang ini, tidak pernah bersangka-sangka, jauh sekali cemburu buta atau berhasad dengki, bergembira dengan kegembiraan dan kenikmatan orang lain, bersedih dengan kesedihan dan musibah orang lain, membuatkan orang selalu merasakan ada sesuatu, menghargai sebesar-besar jasa atau sekecil-kecilnya, meraikan dengan simpati bahkan empati, mudah memaafkan, berlapang dada menerima nasihat dan kritikan, jauh sekali menyimpan rasa, bahkan tidak pernah memperkecilkan dirinya, apatah lagi orang lain, hmm.
 
"jangan buat orang rasa jahat dengan kebaikan kita. jangan buat orang rasa kurang dengan kelebihan kita. jangan buat orang rasa duka dengan gembiranya kita. banyakkan mengajak, kurangkan mengajar. biasakan menggalak, jauhi menyalah. pilih cara positif, tinggal cara negatif."  
- ustaz hasrizal abdul jamil

pastinya, hanya orang yang begitu dekat dengan Allah, akan mampu 'setenang' ini. oh, bukankah?

"sesungguhnya kamu mempunyai dua akhlak yang sangat dicintai Allah dan Rasul-Nya, iaitu sifat al-hilm (lembut/tenang/mampu menahan emosi) dan al-anah (sikap tenang dan tidak tergesa-gesa)." (HR Muslim)

"jika Allah menginginkan kebaikan bagi sebuah anggota keluarga, maka Dia akan memasukkan kelembutan (al-rifq) kepada mereka." (HR Ahmad)
 
wahai al-Haleem, ilhamkanlah kami untuk selalu mendekati-Mu, dan rezekikanlah kami dengan sifat al-hilm, oh Allah!
 
 

Tuesday, February 3, 2015

hidupilah hidup dan terbanglah!

bismillah

izinkan saya bercerita apa-apa saja, sebelum ia mati lagi. untuk draf yang sekian lama tertangguh sejak dua hari lepas.

tulis, padam, tulis, ke rumah tok, tulis, umi panggil, tulis, adik call, tulis, orang datang rumah, tulis, dan nah entri yang berhari-hari tertangguh;
 
(i)

"akak tak risau kalau orang tak suka akak?" saya tengah kupas bawang waktu umi tanyakan hal ini. saya diam, kemudian membalasnya, "tak suka yang macam mana?" bla, bla, bla umi jawab, dan saya diam lagi. 

"insyaAllah, dak!" jawab saya lagi dengan keyakinan yang tinggi, walaupun hal-hal 'insekuriti' sebegini, selalu saja orang-orang semacam saya terbiasa alami. malah, selalu pun. namun saya selalu percaya dengan satu hal; hanya orang yang yakin sahaja akan selalu mampu meyakinkan. cuma satu, hanya apabila kita yakin dengan Allah, kita akan mampu yakin dengan diri sendiri, dan keyakinan itu tidak akan tersampai kalau hubungan dengan Allah retak dan jauh. noktah.

saya suka waktu-waktu ini, waktu senggang yang terisi cuma antara saya dan umi. ada saja pertanyaannya dan perbualan antara kami yang akan buat saya termenung dan berfikir panjang, membuatkan saya mempersoal prinsip, cara, malah sikap saya sendiri. saya suka bagaimana ia adakalanya menguji ketegaran dan keteguhan saya sendiri dalam sesuatu hal, bahkan adakalanya mendidik saya pun, dengan tanpa sedar. walaupun ahhhh, jiwa saya selalu saja goyah.

umi selalu dengan kejujurannya, saya suka itu. baik sikap mahupun kata-kata, dia mengujarkan ketidaktahuannya, kegelisahannya bahkan kemahirannya dalam apa-apa hal yang dia yakini kebenarannya dengan lantang. walaupun keyakinan itu berkaitan dengan hal yang saya sangka kecil. semisal suatu hari, dia pernah meminta saya menterjemahkan satu persatu maksud satu doa selepas solat untuknya, meski doa itu cuma diambilnya dari salah satu buku teks jqaf. 

entahkan mungkin, doa saya yang selama ini bersambut, adalah bersebabkan dari tangan umi yang menadah dengan sesungguhnya, bukan dari tangan saya.

ahhh, home where the heart is.

terima kasih umi, untuk pemahaman yang sesungguhnya. Allah, sediakan untuk umi syurga untuk kesabaran memelihara anak yang serumit ini, hah!

(ii)


 
seawal pagi ini, seperti tabiat kebiasaannya, umi sudah terpacak di luar, menyapu dan membasuh lantai. pagi-pagi yang saya cukup rindu! pagi-pagi yang dulu, menggembur tanah dan menanam pokok bersama. pagi-pagi yang dulu, mencuci tingkap luar rumah. pagi-pagi yang dulu, mengubah kedudukan pasu-pasu umi. pagi-pagi yang dulu bermain air di luar rumah.


 

pagi ini macam terimbas semuanya hal yang indah, perasaan dan semangat yang dulu. senikmat melalui pagi dengan melayan rancangan 'assalamualaikum' dari siaran tivi al-hjrah dengan secawan kopi. saya suka bagaimana cerita dan berita yang tertayang akan cukup menyegarkan hari saya, membuatkan saya selalu sahaja terinspirasi. saya sangat suka mendengar dan melihat passion orang lain, dalam hal-hal apapun; mengacara, membaca, menulis, melukis, berlari, bertukang, bergambar. ahhh, apa-apa saja!




dua hari lepas, saat menerima wasep dari fatin yang tiba-tiba, (entah) masanya macam tepat dengan kondisi saya sekarang. saya terlalu rindukan saya yang dulu, masa saya yang dulu, perasaan saya yang dulu; sewaktu saya mampu menulis sebebasnya. saya hari ini macam sumire dalam sputnik sweetheart, sewaktu dia mengatakan tentang ini;

"it's just that when i try to write, i can't. i sit down at my desk and nothing comes - no ideas, no words, no scenes. zero. not too long ago i had a million things to write about. what in the world's happening to me?"  
- sumire, sputnik sweetheart, pg. 68

jawab k, kawan kepada sumire

"i think right now it's like you're positioning yourself in a new fictional framework. you're preoccupied with that, so there's no need to put your feelings into writing. besides, you're too busy." 

mungkinlah. meski tidaklah sesibuk mana, namun masa belajar dan masa kini ternyata jauh bezanya. saya tidak boleh memilih masa yang saya suka untuk menulis, tetapi hari ini saya harus 'memaksa' diri untuk menulis, bila-bila masa sahaja dengan tanpa perasaan. kini, saya terikat dengan waktu kerja. saya tidak boleh bersantai-santai seperti dulu lagi, menikmati masa-masa ketika saya memang 'berperasaan' untuk menulis. setiap kali adanya 'perasaan' untuk menulis, terpaksa pula saya matikan untuk mendahulukan kerja-kerja lain yang lebih prioriti. sedangkan, perasaan tidak boleh on atau off macam suis. kita tidak mungkin boleh memetiknya sesuka hati. akibatnya, saya saban kali hilang 'masa' dan 'perasaan' itu. saya hilang 'terapi' dan 'bebas' yang itu.

(iii)

entahkan sama ada saya sahaja yang masih terperangkap dengan masa lalu, sukar untuk menjadi orang yang lebih fleksibel, ataupun sebenarnya pemilih ataupun takut, (ah entahlah), membuatkan saya langsung jadi begitu 'keras'. kerja-kerja editor juga (tidak dinafikan), menumbuhkan satu sifat yang saya sendiri susah untuk gambarkan. ia adakalanya buat saya jadi kaku dalam menulis, dan adakalanya tanpa sedar menyekat saya dari dalam, "jangan, kau tak boleh tulis tentang ini. jangan, bukan macam ni. jangan, tak elok!", dan macam-macam lagi yang membuatkan saya terus 'mati', dan 'hilang'.

ya, perasaan dan emosi saya hilang. 'kejujuran' saya juga hilang, hmm. apabila kurang menulis, maka automatiknya saya jadi kurang memerhati dan berfikir. bahkan, kurang juga membaca. atau sebenarnya, tak ada pun yang menyekat, dan saya yang menyekat diri saya sendiri untuk menjadi ini dan itu? ah, entahlah.

ini baru peralihan dari belajar ke kerja, belum lagi dari kerja ke kahwin dan itu dan ini dan sebagainya. adakah kita akan makin hilang dan tenggelam? perempuan, khasnya. dia seolah-olah menjadi dirinya yang baru, tidak lagi berbuat apa yang dia suka? tidak lagi bersama kawan-kawan yang dia suka? seingat saya, saya pernah terbaca salah satu dari artikel ustaz hasrizal yang menuliskan tentang ini dalam salah satu trilogi aku terima nikahnya. perempuan akan jarang lagi bersama kawan-kawan rapatnya yang dulu, sesudah berkahwin, dan bersebabkan itu sesekali beliau akan 'mengarahkan' atau dengan kata lain, mengizinkan dr. muna untuk keluar bersama kawan-kawannya, mengisi masanya sebagaimana dia yang dulu. (maaf, saya akan cari dan baca semula tentang ini, dan mungkin juga saya tersalah faham, huh)

saya rasa, ia antara terapi yang baik untuk seorang perempuan dan inilah akan membuatkan dia lebih gembira dan bahagia bahkan akan berkhidmat dengan lebih baik. oh, bukankah? atau saya sahaja yang punya persepsi begini, sebab saya selalu merasakan orang yang ada 'passion' (lebih-lebih lagi perempuan, err para isteri khususnya) dalam hal-hal tertentu (selain urusan-urusan rumahtangga) akan ternampak lebih charming dan menawan? fuhh! membaca, berkebun, renang, hiking,  misalnya? hmm ataupun saya saja yang degil dan selfish? hahahaha! rebellious but sweet, bak kata 'budak-budak' psikologi? kah! ataupun wanita yang sudah berumahtangga, sememangnya passion dia yang terutama adalah suami dan anak-anak? oh, mungkinlah saya yang belum punya komitmen sejauh itu saat ini, akan selalu saja tersalah menduga, lebih-lebih lagi tentang masa dan pengurusan, hmm?

untuk tahun ini saja, mashaAllah, penuh facebook dengan deretan event walimah. oh hanya Allah sahaja yang tahu, betapa happynya saya sebagai seorang sahabat!

(iv)

hari ini, perjalanan dari butterworth ke kl saya ulang baca buku favorit; one hundred names, cecelia ahern. saya suka sewaktu constance menasihatkan kitty tentang ini;

"sure, we cover politics but we cover the people behind the politics. we want them for their emotional journeys, not just so we can hear their policies but so we can hear the reason for the policies. what happened to make them believe this in this, what happened to make them feel this way? yes, we sometimes talk about diets, but not organic this and wholewheat that, but of why and who. we are all about people, about feeling, about emotions."

"nobody can pretend to know what people want to read, or hear, or see. people rarely know it themselves; they only know it after the fact. that is what creating something original is all about. finding the new, not rehashing the old and feeding a market."

one hundred names, pg. 11

saya rasa saya macam kitty logan yang hilang diri dia sendiri, hingga dia tidak lagi menjadi diri dia sendiri. ahhhhhhh, macam tak terselesai isu ini sejak dari mula saya bekerja dulu. mungkinlah saya stuck dalam moment terlalu lama. ataupun betul kata kawan baik saya, kita tak hilang, cuma sudah masanya untuk berpindah ke jiwa yang baru dalam situasi yang sekarang? sudah sampai masanya untuk beluncas jadi rama-rama, sebab kepompong tidak sesuai untuk keadaan dia lagi. cuma isunya, saya cukup berani untuk terbang atau tidak?

tak ada yang kekal dalam dunia ini Umairah, sebab hanya Allah dan Syurga saja yang kekal. redah saja, hidupilah hidup dan terbanglah, oh! macam Syirah dengan bebelannya pada saya semalam, "dalam hidup ni, mana ada yang senang kak oiiiii. nak amik lesen kereta pun susah!" (refer pada diri dia sendiri, yang tengah belajar memandu sekarang, ihiks)

sekianlah, weekend saya di rumah yang sunyi tanpa adik (nun di sarawak sana), ammar (nun di sheffield sana) dan iman di (kubang pasu sana).

selamatlah kita menjadi rama-rama yang cantik, biidznillah.