Pages

Friday, November 6, 2015

Jumaat dan dialog-dialog jiwa;

bismillah

sesak!

minggu ini sahaja, feed dari Facebook saya memuatkan beberapa video yang berkisah tentang perempuan yang mula beralih arah, dari dunia skrin kepada dunia realiti; dari berkaca kepada pandangan umum seluruhnya kepada bercermin dengan pandangan dan nilai diri sendiri. 

entah, saya seolah-olah semakin merasakan manusia mulai sesak dengan kehidupan yang plastik. terwujud darinya, simptom-simptom yang pelbagai, hanya jika kita tonton dan sedar. antaranya, stres dan ketidaktenangan jiwa, perlumbaan material yang melampau hingga adab/akhlak terjejas, kerancakan dunia kapitalisme di serata bidang; tidak terkecuali yang memperguna agama demi wang ringgit, pengabaian sektor kekeluargaan kerana tuntutan kerjaya, monopoli golongan bangsawan atau elitis ke atas golongan lemah dan sebagainya. malah, ledakan informasi dan maklumat seakan-akan tidak terkejar, lebih buruk lagi apabila ia seakan-akan menjadi 'pertandingan', siapa lebih arif dan handal dalam mempersembah hujah-hujahnya. keadilan dan kebenaran bukan lagi matlamat akhir, yang ada hanya menang atau kalah sahaja.

manusia hilang arah, sebetulnya manusia hilang fokus. tidakkah solat kita jadi hilang roh dan khusyuk, doa kian sepi dan hilang makna, hubungan sesama makhluk jadi tandus dan kering, kerja-kerja jadi kurang itqan. tidak terkecuali, tempiasnya turut terkena diri saya sendiri. tidak lain, bersebabkan ingin 'mengejar' kesemua ini baik secara sedar atau tanpa sedar.

kalau bukan di negara kita sahaja, filem-filem Barat juga adalah interpretasi kepada kemelut dan permasalahan manusia hari ini. menonton siri The Maze Runner, Divergent dan The Hunger Games seolah-olah ada tema yang sama diangkat. kita seakan-akan 'dikuasai'  satu 'sistem' khusus; yang bijak harus begini, yang cantik harus begini, yang kaya harus begini, yang miskin harus begini hinggakan semua orang harus mengikut 'definisi' ini. manusia seakan ditelunjukkan ke arah semua ini, tanpa ada kebebasan untuk memilih. siapa yang rebel dan menentang, sama ada dialah yang akan terlebih dulu kalah atau tewas dalam 'perlumbaan' ini ATAU dialah terlebih dulu terkeluar atau terkecuali dari kelompok-kelompok ini; terasing tidak dipeduli atau dipandang sama sekali, dan menjadi makhluk yang sama sekali tidak berharga! lebih menarik lagi filem-filem ini di akhirnya menyimpulkan bahawa 'pembebasan' adalah jalan keluar.





saya tertarik di suatu hari terpandang satu buku bertajuk Manusia & Kemaruk Kebendaan tulisan Abu Al-Hasan Ali Al-Nadwi. entah, tajuknya seakan tuntas menjawab keserabutan kepala dan hati saya.

sekilas membaca reviu tentang buku ini, poin-poin ini terasa ada benarnya;
 
"perdaban materialistik adalah peradaban dajjal. peradaban yang menentang cara hidup beragama, ketundukan tunggal kepada Tuhan, yang lahir daripada dasar keuntungan kebendaan dan bertongkatkan kekaguman tak terbatas kepada keuntungan duniawi. seni, sastera dan falsafahnya sarat dengan kemaruk material dan keseronokan dunia, pujian kepada kecantikan wajah, batang tubuh dan objek-objek keinginan manusia – yang sepatutnya menjadi hak milik tunggal Tuhan. mereka akur dan tersungkur bersujud kepada nafsu."

"pada hakikatnya, inilah yang sedang berlaku. kebanyakan manusia telah mengangkat sumber-sumber alam, pencapaian teknologi dan kemahiran ke makam Tuhan; mereka menyandarkan harapan mereka kepada objek-objek material dan golongan pakar. Ini adalah bentuk perbuatan menyekutukan Tuhan di abad moden."

jujur, saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya kerana terbatas dan sedikitnya ilmu. sama ada ia pun plastik atau realiti, namun 'kesesakan' itu saya rasakan ada di mana-mana, menunjal-nunjal di dalam hati dan fikiran saya saban hari.

dari situ, saya tidak tahu berbuat apa-apa untuk mendiamkannya, melainkan pada keyakinan utuh saya, bahawa kebenaran dan ketenangan itu hanya pada sabda Nabi yang bermaksud; 

"aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku."  
(HR Malik bin Anas dalam Al-Muwattha')

moga Allah pelihara selalu jiwa dan hati ini, meski mujahadahnya selalu payah, sukar dan perit. 'menang'kan dan 'bebas'kan kami dalam perlumbaan ini oh Tuhan, biar yang kami cari adalah yang Engkau mahu. 


No comments: