Pages

Monday, March 2, 2015

dan saatnya terangkat ke langit-langit;

bismillah

"saya tak tahulah akak, saya boleh dapat atau tak tempat praktikal tu. kadang, macam mustahil je."   
luahnya pada saya semalam, sewaktu kami sedang duduk-duduk berdua.

"erm, dah mintak dengan Allah? doalah. tak ada yang mustahil bagi Allah, tau?"
 
saya senyum dan mula bercerita padanya tentang peristiwa yang terjadi pada saya beberapa minggu lepas.
 
entah, peristiwa yang mendobrak hati jiwa serta langsung benar-benar mengubah persepsi dan sikap saya tentang sesuatu. tentang hakikat doa dan tawakal, meski berulang kali sudah saya diberi taujihat tentang ini. namun, 'ibrahnya tidak sama seperti apa yang saya alami sendiri.
 
ajaib dan aneh, kata orang, atau sebenarnya saya saja yang jenis terlalu 'memperbesar' setiap littlethings dalam hidup, hmm? entahlah.
 
bersebabkan kecuaian saya sendiri, suatu hari saya tertinggal spek di dalam bas persiaran yang tidak jadi saya naiki, atas sebab-sebab yang tidak mampu dielakkan. hari itu, dunia saya terasa kabur sahaja. walaupun (ya!), saya memang jenis yang pakai-tanggal-pakai-tanggal spek ini, namun tetaplah hati saya meresah, malahan berulang kali mengutuk kecuaian diri sendiri. spek itu, sungguhlah 'sesuatu' bagi saya! namun, hah apakan daya, halnya sudah terjadi.
 
keesokan paginya, sesampainya di terminal bas yang sama, saya ke kaunter semula, dan bertanyakan kemungkinan sama ada saya boleh mendapatkan spek saya semula di mana-mana.

"ni bas persiaran dik. bas ni memang takda kaunter khas."
"plat bas 7776 ni, ada tiga buah dik. susah tu nak cari."
 
kata-kata petugas kaunter saat itu, membuat saya percaya dan redha, bahawa mahu atau tidak, saya terpaksa membeli spek yang baru. pagi itu, sesudah mendapatkan plat nombor bas yang akan saya naiki, dan sementara menunggu di platform, terlintas di hati saya untuk berjalan-jalan di sekitar, sekadar meninjau-ninjau kalau-kalau ada lagi bas yang semalam. meski saat itu, hati saya bulat dan tekad mengatakan adalah mustahil untuk saya menjumpai spek saya semula.
 
"eh, 7776?"
 
meluru saya mendapatkan driver bas di situ, dan meminta izinnya sama ada saya boleh memeriksa kalau-kalau itulah basnya, dan mungkin spek saya masih ada di situ. dia cuma angguk. bersungguh-sungguh saya cari di setiap ceruk seat atas dan bawah, namun 'hmm, mungkin ni bas lain'.

hampa.

"erm, tak ada. thank you uncle." saya senyum. 
"bas ni dah sampai ke johor sana. itupun dah banyak kali orang kemas dan cuci. susahlah nak jumpa!" 
"oh okay. its okay uncle."
 
elok sahaja saya menapak untuk turun dari bas tersebut, uncle tersebut meraba-raba di bahagian depan bas, dan mengangkat sesuatu.
 
"haa, yang ini, bukan?" memandang objek kecil di tangan uncle, terkelu saya, tidak terkata apa-apa. melopong saya di situ.
 
"oh ya Allah, itu spek saya! thank you uncle. thank you so much!" berkali-kali saya ucapkan terima kasih.
 
pagi itu, sebelum berangkat ke KL, Umi rangkul bahu saya, dan peluk saya kejap-kejap. saya katakan pada Umi, "Umi tau, akak doa sungguh-sungguh semalam."
 
"ya Allah, terharunya Umi."
 
kata Umi, itu kuasa doa. terharu dengan Maha Baiknya Allah, dan terharu dengan Maha Kuasanya Allah. suatu muhasabah untuk saya, supaya jangan pernah meremehkan doa meskipun untuk hal-hal yang kecil, apatah lagi yang besar. sekalipun bukan dari tangan kita, mungkin sahaja hajat, keinginan, atau urusan kita dipermudah bersebabkan tangan-tangan orang lain yang mendoakan. tetaplah, ia masih sebuah doa.
 
apa sahaja yang terlintas, apa sahaja yang menjadi kehendak, lancarkan saja mulut untuk berdoa. sejak peristiwa itu, benar-benar saya merasakan 'perbualan' saya dengan Dia, tidak sebatas sesudah solat, atau ketika bersimpuh untuk berdoa, tetapi ia terasa lebih kerap dan panjang. pada bila-bila masa sahaja, hati terasa mahu berdoa; basuh baju, kemas bilik, baca buku, masuk ofis, teringat kawan, baca blog, kagum, sedih, prasangka, marah dengan sesiapa, mula usrah, malas bekerja, dan sebagainya.


imam al-ghazali
 
namun, saya masih berlatih dengan sesungguhnya. adakalanya, saya seperti mulai faham akan kata-kata Umar R.A yang ini; "sesungguhnya obsesi aku bukan pada terkabulnya doa, kerana aku tahu Allah akan memakbulkan. namun, obsesi aku ialah pada keinginanku untuk menuturkan doa."
 
teringatkan kata-kata Umar R.A, saya mula bertanya tentang 'obsesi' saya sendiri, dan ternyata ini yang paling sukar; apakah saya akan terus semangat berdoa seperti ketika pertama kali menuturkannya? apakah saya akan terus khusyuk berdoa? apakah saya akan terus menikmatkan doa? apakah saya akan terus yakin dan percaya dengan doa? apakah saya akan terus istiqamah berdoa? 
 
inilah juga mujahadah yang sebenar. saat hati terasa cukup mendekat dan menghampir dengan Allah, doa terasa meluncur laju di lidah macam air, fokus, tenang, bahkan khusyuk. ada masa dan ketikanya, begitu sayu sampai boleh menitis air mata kerana nikmatnya rasa menghamba pada Allah. tauhid dan kebergantungan yang sesungguhnya; bahawa pada Allah itu, ada semuanya dan tidak ada pada sesiapapun. kepercayaan yang paling utuh, dan ampuh! namun saat-saat lalai, leka, dan alpa, perasaannya tidak senikmat itu. mulut terasa berbuih, namun kata-kata tidak termaknakan sedikit pun di hati. sekadar melintas lalu, dan pergi, atau cuma sekadar menggugurkan kewajipan untuk berdoa.
 
oh Allah.
 
perasaan-perasaan bercampur-aduk ini kerapkali saya alami, hinggalah saya membaca sebahagian daripada puisi Jalaluddin Rumi. katanya;

 
"jika engkau belum mampu berdoa dengan khusyuk, maka tetaplah persembahkan doamu yang kering, munafik dan tanpa keyakinan; kerana Tuhan, dengan rahmat-Nya akan tetap menerima mata wang palsumu!"  
- jalaluddin ar-rumi
 
hmm?
 
teruntuk hal apapun, kecil atau besar, semiskin apapun nilai sebuah doa, atau sehina apapun para pendoa, tuturkanlah sebebasnya; itulah ketundukan dan obsesi yang sesungguhnya!
 
Dia dengar.
bukan, Maha Dengar.
 
 

No comments: