Pages

Wednesday, December 31, 2014

nah, terakhir untuk 2014;

bismillah

untuk setiap keraguan dalam keputusan, 'remember why you started' selalu memenangkan hati dan jiwa. antara yang saya terbiasa buat ialah menjumpakan semula rasa-rasa awal, ketika saya bulat menetapkan sesuatu; "untuk apa? kenapa? siapa? bagaimana?", hinggalah akhirnya saya akan tenang semula, merasional semuanya sebab dan musabab yang membuatkan saya bermula, untuk urusan apa-apa sekalipun. 

misalnya, saya akan berulang kali membelek dan membaca semula nota-nota, entri-entri atau emel-emel tertentu yang tertuju kepada diri sendiri. inilah barangkali keajaiban menulis yang ditulis anais nin, "we write to taste life twice, in the moment and in retrospect", atau apa yang saya pernah coretkan dalam catatan peribadi;

"sebab menulis selalu menjejak kita ke masa-masa lalu; apa yang terkebelakang, apa yang terkedepan, apa yang tercapai, apa yang terlupa, apa yang tertinggal, apa yang terabai, apa yang tersisih, apa yang tersimpan...semuanya!"

sebab menulis mengingatkan saya tentang satu figur. figur yang bebas berfikir tentang hal-hal yang dia suka. figur yang selalu meragui niat dan gerak langkahnya sendiri, tetapi itulah yang menjadikannya lebih baik, agar dia tidak sembrono terturut dengan apa atau siapa yang dia cinta. dia tidak mahu begitu, dan tolong, jangan benarkan dia menjadi begitu! jangan benarkan dia memperturutkan saja apa inginmu, bimbang kebenaran yang barangkali ada dalam dirinya, terus malap dan tidak menyala.

sebab menulis mengingatkan saya tentang satu figur. figur yang tidak mahu mulutnya dikunci dengan cinta. izinkanlah dia untuk terus 'bercakap' dan menyampaikan hati dan akalnya sendiri, kerana itulah inginnya; menjadi figur yang bukan ingin menang, tetapi benar. figur yang bukan mahu ego, tetapi jujur. bantahlah dia, kalau salah. tegurlah dia, kalau khilaf. itulah yang akan membuatkan jalan dia dan barangkali jalan anda selalu tercerahkan. 

sebab menulis mengingatkan saya tentang satu figur. figur yang saban 'rebel' dalam senyap, atau cuma riuh dari dalam, tetapi itulah yang akan membuat dia mempersoalkan semula tentang apa yang dia percaya, apa yang dia mahu, dan apa yang dia rasa sebenar-benarnya. seterusnya, menyatakannya dengan jelas dan berani tentang lemah khilafnya, kesukaan dan ketidaksukaannya, pandangan dan prinsipnya dengan begitu lantang dan terang-terangan, meski tidak dinafikan selalu sahaja ada gugup dan debarnya.

sebab menulis mengingatkan saya tentang satu figur. figur yang begitu takut tentang apakah yang akan orang fikirkan tentangnya? apakah orang akan menyukainya? apakah orang akan menyenanginya? apakah orang akan menerimanya seadanya dia? namun dari takut itulah, dia menumbuhkan yakin dan percaya selayaknya pada Dia. dari takut itulah jua, dia cuba menemukan orang-orang yang dia mampu untuk meletakkan rasa percayanya dengan sesungguhnya! dari takut itulah, dia belajar membina yakinnya, bahkan mencabar dirinya untuk menjadi lebih berani. dari takut itulah, dia mengatakan kepada dirinya sendiri, bahawa hanya orang yang ingin menerima akan takut, tetapi tidak untuk orang ingin memberi. belas kasih dan rahmahnya sifat pemberi ini, akan membuatkan dia mencuba untuk memberi apa sahaja yang dia ada, suka atau tidak.

sebab menulis mengingatkan saya tentang satu figur. figur yang sesekali goyang dan rapuh di dalam, sesekali sensitif dan emosional, sesekali terlalu idealistik dan terawang-awang, sesekali terlalu rumit dan kompleks. figur yang sesekali terlalu tinggi angan-angan dan cita-citanya, sesekali terlalu berani, sesekali terlalu yakin, sesekali terlalu positif, sesekali terlalu tiba-tiba, sesekali terlalu sembunyi. ah, figur yang sebetulnya cuba menjadi manusia yang sebenar-benarnya; yang bangkit bila jatuh, dan yang berjalan cuba berlari.

sebab menulis mengingatkan saya tentang satu figur. figur seorang perempuan yang (ah, Tuhan saja yang tahu hal-hal selebihnya yang dia masih selindung), figur yang mahu terus membaca dan membacakan, "or better yet...", kata Rosemarie Urquico, "...a girl who writes!". ya, figur seorang perempuan yang terus menulis, -di sini. cuma itu, untuk tahun-tahun mendatang! mahukah anda terus membaca? (K. tambahan, figur yang mengada, kah!).

oh, doakan dia menjadi lebih berani!

tskkkkk ._.
hai dua kosong satu lima.


rantings akhir Disember-lah (kot?).

bismillah

hampir lebih dari seminggu bercuti di rumah baru-baru ini, membuka sangat banyak ruang muhasabah untuk diri saya sendiri. serasa lama sudah tidak berlama-lamaan sebegini di rumah, menghirup angin di tempat sendiri, ahhhhhh! sememangnya tidak dinafikan, antara solusi terbaik dalam merendah atau menunduk jiwa, adalah berdampingan dengan keluarga, lebih-lebih lagi dengan orang tua. ia terlalu banyak mengajar saya, sungguh! bukan, sungguh-sungguh!

saya rasa 'lost', kosong! saya seperti sungguh kaku, tidak tahu berbuat apa-apa. ilmu, sijil, kemahiran, atau apa-apa sahaja yang dipelajari di luar rumah (di kotaraya ini), lebih-lebih lagi taraf pendidikan (meski tidak dinafi kepentingannya), tetaplah 'siapa kita' yang sebenar-benarnya yang menjadi nilai utama.

di kampung, atau dalam kalangan orang kebanyakan, hakikatnya kita tidak akan bercerita buku-buku apa yang kita baca, idea-idea apa yang kita rencana, gagasan-gagasan apa yang kita bina, pertubuhan-pertubuhan apa yang kita ikuti, apatah lagi mencanang apa-apa yang kita rasa hebat di mata kita. semuanya bagai terkunci, kerana ada yang akan lebih memikat hati. sekalipun kita berbuih dan berhabuk bercakap tentangnya; percayalah, sama ada orang diam tidak mempeduli, atau mereka cuma diam kerana tidak mengerti.

usahkan memiliki apa-apa, ada sesuatu yang lebih awal berbicara dan sampai ke hati. semisal halus dan santun budi bicara, atau pada perbuatan menziarah, berkunjung, dan bertegur sapa. urut picit kaki yang mungkin lenguh kerana dimamah usia. cekatan meracik bawang, menggaul rempah atau menguli tepung di dapur. mencium tangan, tersenyum mesra atau semudah pertanyaan 'apa khabar?'. rancak berbual tanpa harus berfikir untuk berkata-kata tentang apa, dan hal-hal lain yang tidak tersebut. sungguh, ia tidak semudah kita menghafal teori-teori itu untuk 'menjadi' kesemua ini, lebih-lebih lagi untuk anak-anak muda yang tidak terbiasa. akhlak tidak terbentuk dalam sehari dua, ia semulajadi terbentuk dalam diri menjadi peribadi yang tidak dapat dibuat-buat. kita tidak akan mampu menipu, kawan.

entah, itu lebih memikat hati saya saat melihatnya lebih mampu membahagiakan hati orang tua, atau menarik senyum ceria pada wajah kanak-kanak. oh Tuhan, betapa melangitnya cemburu saya! semudah dia menjadi dirinya sendiri, berbanding mengangkat sijil-sijil agung atau mengheboh pekerjaan-pekerjaan hebat di mata orang lain, cuma sesederhana itu.

oh, alangkah kalau saya mampu seperti dia!

mungkin kerana ini buya hamka pernah berpesan dengan tutur kata hikmahnya;

"buku adalah sahabat yang karib, tetapi harus kita hati-hati. mentang-mentang bersahabat karib dengan buku, janganlah diputuskan persahabatan dan pergaulan dengan manusia. banyak ulat buku yang putus pertaliannya dengan manusia, hanya fikirannya yang menerawang, tetapi beku bila bergaul. lidahnya beku, kerana buku! - ajaib!

peribadi, hlmn. 74

ajaib kawan, ajaib!
terima kasih, buya.

Monday, December 29, 2014

membaca Kevan Lautenschlager.

bismillah

membaca tentang Kevan, bagai membaca diri saya sendiri. jujur, sepanjang entah filem apa yang tertayang di dalam bas sepanjang perjalanan dari Butterworth ke Puduraya, saya cuma menyelak helaian demi helaian dari Chicken Soup For The Coffee Lover's Soul.

bercerita tentang Kevan atau gelarannya 'Cheese', dia merupakan seorang anak muda yang berkawan rapat dengan anak Puan Dawn. oleh sebab wataknya yang 'pelik', pendiam, maka Puan Dawn sangat curiga hingga harus bersoal jawab dengan anaknya tentang Kevan. hinggalah suatu hari, saat Kevan bermalam di rumahnya, prejudisnya langsung hilang. lebih-lebih lagi, saat Kevan menegurnya di suatu pagi, ketika Puan Dawn sedang membancuh kopi. 


chicken soup for the coffee lover's soul, pg. 72-73

selebihnya, perbualan mereka makin rancak dan ia sungguh mengagumkan! penyudahnya, "when the conversation shifted to the day's activities, Kevan grew quiet again and allowed others to make plans." ah, mungkinlah Kevan hanya memilih saatnya untuk dia bersuara, ketika tertentu, masa tertentu, saat tertentu, topik tertentu yang dia merasakan lebih bebas untuk berkata-kata. 

ceritanya biasa-biasa sahaja (tiada klimaks, tiada kematian, tiada perpisahan) tetapi oh, kenapa mata saya berair tiba-tiba? serasa macam Kevan 'menjawab' diam gugup dan senyap sepi saya selama ini. dia tidak membuat saya sebersalah setelah 'membaca' diri saya sendiri. terasa saya seperti ada kawan yang cukup memahami. ah, sememangnya buku yang baik tidak semestinya memerlukan jargon yang luar biasa, bukan? sekurang-kurangnya cukuplah tidak membuat kita merasa sepi dan aneh (blergh, sadis sungguh!).



berkisah tentang ini juga, pernah satu kali, saat lantang menutur al-Fatihah dalam saf bersama-sama Umi, suara saya tiba-tiba pecah dengan tangis. berulang kali saya cuba mengatur nafas, tetapi hampa sebab mata makin banjir dengan air mata. akhirnya, Umi beralah dan solat jemaah kami pun terputus saat Umi bertanya, "kakak…kenapa?" saya cuma termampu diam dan geleng, kemudian dengan masih tersekat-sekat, "Umi maghrib dululah."

ada kala saya merasakan baiknya rasa-rasa seperti ini, apabila kita cuma membuka mulut ketika 'mendekat' dengan Tuhan. saya cukup-cukup rindu saat hati saya (kononnya) menanggung beban yang teramat berat, hingga pecahnya di celah sujud yang langsung tiba-tiba, sedangkan saat itu hakikatnya saya sedang uzur. saat itu, telah cukup membayangkan betapa tidak tertahannya saya untuk sungguh-sungguh bercerita, cuma pada Dia yang saya sangat percaya, paling tahu dan paling arif tentang saya seluruhnya. oh, manisnya!

teruntuk sifat saya yang satu ini, adik selalu memberi pesan, bukan sekali tetapi berulang-ulang kali, "akak cakaplah apa yang akak rasa." jujurnya, bagi orang lain, mungkin itu sangat mudah, semudah 'ya...bercakap!', tetapi tidak untuk orang-orang semacam saya. kata-kata akan tersampai dalam maksud yang lain, dan akhirnya diam adalah medium termudah. bukan tidak pernah saya cuba, tetapi seringkali saya gagal. hinggakan disalahfahami dengan sesuatu yang lain. adakalanya, mungkin sampai melukakan, sedangkan saya tidak pernah sesekali bermaksud sedemikian. namun ada masa-masanya, saya bebas. ada orang-orangnya, saya bebas. ada ketika-ketikanya, saya bebas. ada topik-topiknya, saya bebas. oh Tuhan, kompleks bukan?

"there are some things about myself i can't explain to anyone. there are some things i don't understand at all. i can't tell what i think about things or what i'm after. i don't know what my strengths are or what i'm supposed to do about them. but if i start thinking about these things in too much detail the whole thing gets scary. and if i get scared i can only think about myself. i become really self-centered, and without meaning to, i hurt people. so i’m not such a wonderful human being." 
- murakami, the elephant vanishes

ahhhh Murakami tetaplah Murakami, untuk yang entah ke berapa kali, ini pun cukup memenangi hati!

"they don't know how to express exactly what they feel, so they say and do the exact opposite. they hurt people that way, for no reason at all, and they hurt themselves all."

percayalah, barangkali rumah (saya) nanti akan penuh dengan Surat-Surat Perempuan Johor Gombak. hmm k, klasik sangat. Emel-Emel Perempuan Gombak la kot, eh?

terima kasih untuk 'Puan-Puan Dawn' dalam hidup saya!

"over the course of one cup, hearts open. and sometimes hearts are healed. that's one mighty powerful cup." - csftcls, pg. 201

teruntuk apapun, segenap hal-hal yang tidak terkisah, perubahan diri mahupun jagat raya, duhai mampir cerahlah mentari, pelangi terpaling indah pasti 'kan tiba!

Wednesday, December 17, 2014

"denganmu, izinkan aku cuma menjadi aku; denganku, silakan engkau menjadi engkau."

bismillah

"can i be with you, and yet still see myself?"

tidak rugi menjadi diri sendiri, sayang. kau boleh membuka mata dan menginspirasi seseorang, bahkan seluruh dunia sekalipun! menulis, misalnya. andai kau peluk tubuhmu, sembunyi batang penamu, hapus seluruh emosi dan ragamu, semata dia yang di depanmu (kau kira) tidak minat membaca atau menulis bahkan berkata-kata tentang jiwa dan seumpamanya, bagaimana mungkin engkau boleh menanggapinya akan terus tidak membaca dan tidak menulis? bagaimana kalau aku katakan, dia akan suka menulis dan dia akan suka membaca dengan kehadiranmu? itulah tujuannya kau di situ, sayang!

serlahkan dirimu, tonjolkan dirimu. usah terikut-ikut dengan rentak orang lain (ya, tentulah ada masa-masanya, kadar perlu atau harusnya), semata-mata kau cuma mahu mengambil hatinya, dengan mengikut segala ingin dan mahunya atau kesukaan dan ketidaksukaannya. setiap orang, bahkan dirimu sendiri punya sesuatu untuk diberi. bahkan untuk orang yang cuma mahu menang dengan akalnya sekalipun, usah kau tundukkan dengan akalmu jua! kau akan selamanya tewas, kerana pintar akal adalah kelebihannya. (oh, tidak sayang. aku tidak mengajarmu untuk bertanding dengan sesiapa, kerana padaku, orang yang cukup percaya dan yakin akan dirinya, tidak akan pernah untuk cuba berlawan dengan sesiapa. dia tidak akan pernah cuba untuk mempamer lebih atau tingginya pada sesiapa. cukuplah engkau tahu, bahawa engkau hadir di sekeliling sekalian orang, cuma untuk belajar, mengajar dan diajar. dengan cinta dan kasih sayang, tentunya!)

untuk dia yang lebih tajam akalnya, mengapa tidak kau lenturkan dengan sesuatu yang ada dalam dirimu sendiri? andai kau tidak bisa berkata-kata mengeluar hujah, mengapa tidak kau guna seluruh emosimu, yang barangkali dia tidak punya? dengan itu, mungkin sahaja dia akan lebih mengenal erti sopan dan lembut. dengan itu, boleh jadi dia menemukan halus dan santun jiwanya yang kian hilang, tertimbun di balik hujah-hujah dan teori-teori yang berhambur di mulutnya. itulah tujuannya kau di situ, sayang!

oh, siapa lagi? mungkin juga, untuk yang terlalu kencang ramahnya, kau terdidik untuk lebih bersuara dan mengeluar kata, sedang dia pula, darimu dia belajar untuk lebih berdiam, atau barangkali yang terjadi adalah sebaliknya. termasuklah jua untuk yang kasar, lembut, terus-terang, sembunyi, bising, diam, dan semuanya!

begitulah kita saling berbagi, sayang. tidak perlu menjadi siapa-siapa, kerana ke mana pun kita melangkah, kita cuma mampu menjadi diri kita sendiri. ya, bersamaku, kekallah dirimu yang sedia ada, tonjolkanlah watak sebenarmu, tunjukkanlah warnamu, dan yakinlah bahawa sentiasa ada sesuatu yang engkau punya dan aku tidak punya. dengan itu, kita mampu untuk saling mengajar dan diajar, mendidik dan dididik. 

denganmu, izinkan aku cuma menjadi aku;
denganku, silakan engkau menjadi engkau.

bukankah begini akan jadi lebih sederhana?

"i have learned silence from the talkative, toleration from the intolerant, and kindness from the unkind; yet, strange, i am ungrateful to those teachers."

khalil gibran

cukuplah, sayang. hari ini, ayuhlah kita mula belajar menghargai guru-guru kita, yang baik bahkan yang buruknya!

Monday, December 15, 2014

AKU DAN SOALAN-SOALAN RUMIT.

bismillah




nah!

kalau belum awak tahu (sememangnya awak tidak tahu), saya ke hospital beberapa minggu lalu, menziarah salah seorang kawan yang kemalangan. tahukah awak, saya lihat orang ulang-alik ke sana ke sini, saya lihat wajah takut dan cemas, saya lihat famili yang begitu prihatin, saya lihat orang terduduk letih di kerusi-kerusi, saya lihat mereka yang betah menunggu sambil membaca, bahkan tidak kurang juga yang bermenung di koridor-koridor. 

sebetulnya, saya telah melihat cinta dan harap! oh apakah ini satu-satunya tempat; cinta dan harap paling banyak dibumi dan terbumi? untuk bau yang sesekali begitu menyengat hidung, dan pemandangan yang sewajarnya tidak menyedap mata, bagaimana mungkin inilah antara tempat yang paling banyak diperlihat kelemahan, ketidakberdayaan, kebergantungan, lebih-lebih lagi kejujuran? sungguh magis, bukan?

kesemua ini benar-benar memasukkan saya ke dalam diri saya sendiri, hingga terus-menerus bertanya tentang 'aku', dan membawa 'aku' langsung kepada Dia, bahawa betapa tiada apa-apanya 'aku' ini! 

ahhh, ia benar-benar penemuan kepada sebuah tafakkur yang indah! tahukah awak, kesemua ini benar-benar mengingatkan saya pada satu figur, dr. mustafa as-siba'ie dan kata-katanya yang pernah saya baca. barangkali awak terlupa, dan inilah pesanannya;

"ziarahlah ke mahkamah setahun sekali, supaya engkau tahu kurnia akhlak yang Allah berikan kepadamu. ziarahlah ke hospital sebulan sekali, supaya engkau tahu kurnia sihat yang Allah berikan kepadamu. ziarahlah ke taman seminggu sekali, supaya engkau tahu kurnia indahnya alam yang Allah berikan kepadamu. ziarahlah ke perpustakaan sehari sekali, supaya engkau tahu kurnia akal yang Allah berikan kepadamu. ziarahlah kepada Rabbmu setiap saat, supaya engkau tahu kurnia nikmat kehidupan ini yang Allah berikan kepadamu."
 
ia juga tiba-tiba langsung menebak ruang fikir saya dengan bertanya, apakah sememangnya manusia ini, suka berdialog dengan diri sendiri, atau ia semulajadi ditanam dan tertanam dalam diri saya, awak, dan kita semua? hinggakan suatu hari, saat menuju ke satu tempat, seorang teman di sebelah katakan pada saya;

"sebab itulah agaknya, sesetengah orang memilih untuk ke pub, atau tempat-tempat yang bising, semata-mata untuk diamkan diri sendiri."

kalaulah tidak, mengapa rata-rata penulis-penulis popular, (yang kebanyakan bukunya telah diangkat sebagai best-seller), juga di kalangan orang-orang yang spiritual-nya tinggi? Haruki Murakami, misalnya. Jeff Goins, Mitch Albom, Paulo Coelho pun tidak ketinggalan! malah Rumi juga, bukan? 

bukankah ini menjelaskan, betapa kita ini gemar pada orang yang mampu mengeluarkan kita dari diri kita sendiri? juga betapa kita ini suka pada orang yang bisa menjawab soal tanya kita? atau apakah saya sahaja? oh, rumitnya! bagaimana untuk saya katakan tentang hal ini, dan mengeluarkannya dengan perkataan yang lebih mudah agar lebih jelas dan termaklum? oh Anna Quindlen, terima kasih untuk ini; "in books I have traveled, not only to other worlds, but into my own!"

juga untuk 1400 tahun dulu, bukankah Dia terlebih awal bertanya; "dan pada dirimu sendiri, mengapa tidak kamu perhatikan?" (adz-Dzariyat: 21)  

hmm jelas sekali, tentunya bukan saya saja bukan?
 

Tuesday, December 9, 2014

AKU SEORANG EDITOR (HARHARHAR).

bismillah
 
 
 
satu hal yang saya terperasan sejak menjadi seorang editor untuk tempoh hampir satu tahun setengah ialah, saya ada kecenderungan untuk menjadi seorang penulis dan seorang editor dalam satu masa.

aktiviti menulis saya tidak lagi 'sebebas' dulu. saya akan menjadi terlalu sensitif tentang tanda baca, ejaan, penggunaan perkataan, singkatan dan sebagainya (haha!), dan ini menjadikan tulisan saya adakalanya (oh tidak, selalu rasanya) tersangatlah kaku dan skema (blergh). ah, pedulikan. saya masih mahu dan akan terus menulis. malahan, saya juga ada kecenderungan memerhatikan papan tanda, iklan, notis atau apa-apa sahaja di tepi jalan bahkan membaca dan mengeditnya di dalam kepala.

oh! pandangan saya terhadap buku (serasa saya) juga mulai berubah. kini, saya tidak lagi menjejak kedai-kedai buku atau pesta-pesta buku semata-mata untuk membelek dan membeli buku-buku yang saya suka. kini, saya begitu teruja dengan hobi yang baru iaitu mengelek keunikan 'cover' dan tajuk buku, melihat cara penerbit 'market' buku, menengok pilihan-pilihan buku manusia zaman sekarang (lebih-lebih lagi anak muda), meneliti cara penulis mempersembahkan karya mereka, mengikuti perkembangan dunia penerbitan dan penulisan, dan sebagainya. tidak kiralah sama ada saya berminat dengan buku/penerbit itu atau tidak. kesemua ini, sememangnya suatu pengalaman baru yang menarik bagi saya! akal dan minda terasa bercambah. memetik lebih kurang kata anis matta, cinta itu tidak boleh stagnan. ia mesti ada pertumbuhan yang menjadikan kita seseorang yang baru. dengan cara sedemikianlah, cinta tidak akan menjadi sesuatu yang beku dan bosan (eherrr). lebih-lebih lagi, teruntuk orang yang mudah bosan dan berubah-ubah seperti saya. ya, saya sangat kompleks.

tipulah kalau saya kata saya tidak pernah bosan duduk di ofis, semata-mata membaca dan mengedit sahaja kerjanya setiap hari. cumanya, satu hal lain yang paling saya suka tentang menjadi seorang editor ialah saya akan dipaksa dan terpaksa untuk membaca apa sahaja bahan, walaupun saya tidak pernah menyukainya. andaikan sebelum ini saya lebih memilih bahan bacaan berbentuk kreatif, kini saya sedang mengajar diri membaca bahan berbentuk kritis dan ilmiah (poyonya, tetapi itulah hakikatnya). hmm cinta tidak harus stagnan, bukan?
 
namun, syukur untuk memiliki seorang bos yang tersangatlah baik budi. beliau sangat faham dan mafhum dengan kebosanan dan kebuntuan saya di ofis. jadi adakalanya, di pagi hari lagi, beliau akan menerima mesej saya, "boleh umy kerja di luar hari ni?", dan kalau tiada urgensi apa-apa, dengan senang hatinya beliau akan memberi izin!
 
deenprints masih tersangat baru, bahkan saya sendiri tidak pernah terwujud dalam kamus hidup akan menjadi seorang editor. malahan berkali-kali juga saya dibalas dengan jawapan sebegini oleh pakcik teksi apabila memberitahu, bahawa saya adalah seorang editor; "apa, editor?", "kerja apa tu?", "kerja macam mana tu?" dan sebagainya. 

pernah juga, saya terfikir-fikir untuk menukar kerjaya. adakalanya, saya merasakan kerja guru lebih mulia. lebih-lebih lagi, apabila setiap kali umi cerita itu ini tentang anak muridnya. selain mengajar, boleh pula menambah amal dengan menasihati dan membimbing. ah, nikmat! namun masih, saya mahu mencebur bidang editorial, menikmati dan bergembira dengan apa yang saya ada (oyeah!), dan menemukan sisi lebih kurang saya yang sebenar-benarnya!

"one thing you need to realise is that good muslim women come in all forms. there isn't one officially sanctioned version. just look at the mothers of believers: they were all different, with characters and personalities all of their own. the only thing they conformed to was the love of Allah and His Messenger S.A.W, and their commitment to Islam. so why are we made to feel that we need to conform to more than that?" 
- amirah, 'she wore red trainers' by na'ima robert

satu saja harapan, ke mana pun kaki melangkah, moga hati terus terdidik ikhlas, amal pun mencambah berkah, apa sahaja kerja pun termaknakan terlebih untuk diri, diri, diri  dan umat, bukan sahaja di dunia tetapi berhujung sampai akhirat! oh Allah, makbulkanlah.
 
sekian, saya suka cinta menjadi seorang editor!

"woah. getting a little tired. i’m not used to this, speaking so frankly about myself." - murakami

Monday, December 8, 2014

suatu sore, bertemu dua cilik di penjuru yang bingit;

bismillah

di hari yang sama, bertemu dua orang adik cilik dalam lingkungan umur 10-11 tahun benar-benar memaknakan bacaan saya pagi itu, tentang apa yang dikatakan Buya Hamka dalam bukunya, 'Peribadi' berkenaan suatu hal ini.

 

KLCC

hampir kesemua mesin rosak. baris jadi makin panjang. saya beratur di belakang dua orang adik cilik ini, yang kelihatannya akan menuju ke destinasi yang sama; lrt putra, gombak.

kelihatan seorang lagi kawan mereka, sedang menunggu di sebelah. anehnya, dua orang adik ini, meski destinasinya sama, namun mereka memilih untuk membeli token secara berasingan. seorang membeli dua token, dan seorang lagi juga membeli dua token.

untuk keadaan yang sebegini sesak, dengan barisan yang agak panjang, melihatkan mereka berdua bermain-main sambil rancak bergelak tawa, sebenarnya telah memakan masa yang lama! jujurnya, hati saya sedikit resah dengan keadaan sedemikian.

saya diamkan sahaja, menonton keletah riang mereka, sambil terus menunggu. tiba-tiba syiling mereka jatuh bertaburan, bersebabkan mesin tidak betah lagi menelannya. ah, ternyata mesin rosak lagi!

kami terpaksa berpindah barisan, ke mesin yang lain. ramai yang mempamer wajah tidak senang dan kecewa. tidak terkecuali saya yang giliran sudah pun makin hampir tadi.

kali ini, saya di belakang mereka lagi. mereka masih juga dengan keletah riang dan gelak tawa yang sama seperti tadi. akhirnya, bersebabkan arah tuju kami sama sahaja, saya meminta mereka membelikan untuk saya juga.

"boleh! boleh!"

bersemangat salah seorang daripada mereka menjawab saya. alahai, suka betul adik-adik ini mahu mencuba. mungkinlah kali pertama membeli token. plop! token jatuh, kali ini mesin sihat dan sempurna. saya berterima kasih dengan sesungguhnya!

ah, saya percaya, kebanyakan kanak-kanak memang begini. mereka tidak terlalu kalut dalam memikir tentang apa kata orang, asalkan mereka dapat belajar tentang sesuatu. mereka tidak lekas membiarkan peluang terlepas, asalkan mereka boleh memperoleh atau mendapatkan sesuatu. mereka jelas sekali dengan apa yang mereka mahu, dan terus bergerak menujunya meski lambat prosesnya.

tersedar saya, makin kita (saya) dewasa, makin pula banyak berfikir, banyak bertangguh, akhirnya suatu langkah pun tidak tergerak. makin kita (saya) dewasa, makin pula tandus yakin, kurang curiosity, dan banyak beralasan dan sebagainya (huh!)

bahkan, kenapa adakalanya takut untuk menegakkan prinsip sendiri? kenapa adakalanya resah untuk berbeza dengan orang lain? kenapa adakalanya risau untuk tidak sependapat atau tidak sealiran? kenapa adakalanya bimbang untuk mengakui salah atau lemah, atau bahkan dicerca, dikeji, dikritik atau dibuang? kenapa adakalanya terlalu peduli dengan dzhon (sangka) dan penghakiman orang lain?

oh, peliknya dewasa ini; sebab, bukankah ke mana pun diri melangkah, dengan siapapun atau di manapun, kita cuma mampu dan akan menjadi diri kita sendiri?

peribadi, hamka; hlmn. 75

mereka benar-benar membuatkan saya menjejak semula gagah dan berani saya dulu, untuk kembali melontarkannya semula ke dalam tubuh dan berkata, "PEDULIKAN. NAH, INILAH AKU."

"bahasa untuk diri sangat rendah di indonesia. hamba, sahaya, dalam bahasa melayu. abdi dalam bahasa sunda. kaula dalam bahasa jawa. semuanya itu bererti budak (hamba). hanyalah aku yang berisi kemerdekaan jiwa."
- peribadi, hamka; hlmn. 77
 
duhai Buya Hamka, terima kasih untuk 'aku' ini. benarlah, cuma ini sahaja merdekanya sang jiwa.

_______
ps: heyyy, "surround yourself with people who make you hungry for life, touch your heart, and nourish your soul." - unknown 

(:

Sunday, December 7, 2014

suatu sore bertemu jaka yang pekak, di penjuru yang lengang;

*edited

bismillah

hampir-hampir saya terbayangkan saya seolah-olah gadis ini (ihiks). anda akan faham, kalau anda pernah tertengok filem pendek yang ini. mengisahkan tentang seorang lelaki dan seorang gadis yang hmm (ah, membazir perkataan rasanya untuk saya ceritakan kesemuanya. sungguh, malam ini saya benar-benar mahu kedekut kata.)

nah, tonton dulu sebelum baca.

bezanya kisah saya tadi dan kisah di dalam filem pendek itu, si lelaki itu yang mendekati saya. oh, dia tidak cuba-cuba mencuri perhatian saya, lebih-lebih kerana cinta. dia juga tidak menyanyikan apa-apa lagu, khas teruntuk saya. dia juga tidak menutup lampu untuk mengatakan atau sedaya upaya memberitahu kewujudan dia di situ.

sedang asyik makan bersendirian di penjuru sebuah restoran, dia cuma mendekati saya dengan mengetuk meja, perlahan. kemudian, dengan senyum manisnya, dia menghulurkan satu kad kecil yang tertulis beberapa perkataan. berkerut dahi saya membacanya satu persatu.

"kami ditakdirkan bisu dan pekak."

entah perkataan apa lagi seterusnya, saya tidak mampu mengingat; yang pasti, dia ada menjual beberapa rantai kunci (baca: key-chain) yang diperbuat daripada kayu. santun sekali dia menyusun satu-persatu di atas meja, sambil menunggu saya memilih. kesemuanya cantik, tetapi saya tidak berminat.

jujur, saya tidak mampu membuang 'curiga' yang tetap terjentik di hati. namun, bukan kecurigaan saya yang menjadi tanda tanya di sini. saya lebih tertarik untuk bercerita tentang, betapa saya senang dan suka dengan cara kami berdua; diam dan senyum tanpa kata apa-apa. entahlah, (tetapi, bagi saya) adakalanya diam lebih menonjolkan yakin dan hormat. oleh sebab dia pekak dan bisu, maka tiada tertimbul sepicing suara pun yang kekok dan menggetarkan antara kami.

dengan tanpa suara, saya tidak merasa dipaksa untuk membeli apa-apa. dengan tanpa suara, tidak ada sedikitpun bisik rayu atau bunyi rintih daripada dia. dengan tanpa suara, dia tidak akan sesekali mendengarkan getar ragu, sebersalah, bahkan curiga saya padanya. maka, tidak akan terwujud langsung apa-apa rasa tidak senang di hati, baik dari saya atau dia. pendek kata, semuanya akan baik-baik saja.

diam kami seperti yang pak sapardi bingkiskan dalam puisi segaknya;

"kami berdua saja
bercakap tanpa kata
bagi satu rahasia
ucap kan patah sayapnya
terdiam penuh tenaga"

- sapardi djoko damono

akhirnya, selepas saya menggeleng sambil menghadiahkan senyum, dia pun mengangguk dan membalas senyum seperti di awalnya. kemudian, menyusun kembali barang-barangnya dan terus berlalu. mungkin untuk kali yang entah ke berapa kali, masih juga dia mengetuk meja, tidak putus asa menjual produknya lagi. sedangkan saya, terus tenang melayan nafsu makan bersendiri di penjuru restoran.

menuliskan tentang diam dan suara ini, teringat saya akan 'dunia yang lengang', sebuah tulisan penulis favorit, aan mansyur di dalam bukunya, 'kepalaku: kantor paling sibuk di dunia.'

tulisnya begini;

kkpsdd, aan mansyur; hlmn. 4

pedulikanlah, jika penulis lebih memilih untuk menggunakannya buat kekasih. teruntuk kita (aku) buat renungan sekilas, apakah agaknya perkataan yang akan kita pilih dan guna, apabila kita cuma diperintahkan untuk berkata-kata tiga puluh patah kata cuma dalam sehari?

apakah kita akan cuma menuturkan cinta, atau terus membiakkan benci? ah, alangkah kalau aku lebih berhati-hati menggunakan kata, tidak pernah membazir, hingga terduduk, jatuh muflis.

"kepada-Nyalah akan naik perkataan-perkataan yang baik, dan amal kebajikan Dia akan mengangkatnya."

(fathir: 10)

Allah, kurniakan kami hati yang jernih, untuk menuangkan isi yang cuma indah dan manis.
ameen.

Friday, December 5, 2014

meratap sebuah pagi yang indah itu;

bismillah

"in private correspondence, the great mystery writer raymond chandler once confessed that even if he didn't write anything, he made sure he sat down at his desk every single day and concerntrated."
murakami, what i talk about when i talk about running, pg. 79

ahhhh, tetapi tahukah awak pagi saya yang nikmat, pagi saya yang teduh dan nyaman, pagi saya yang santai dan lapang di sekitar tujuh pagi, telah lama tenggelam. pagi saya yang 'membaca', blogwalking, dan lain-lain telah lama kabut. saya tidak mampu lagi berlama-lamaan di depan komputer riba, mengisi 'primetime' saya ini dengan menemukan ilham dan menyedut inspirasi. 
 
oh, pagi saya yang indah itu.
 
saya telah lama hilang waktu menikmati kopi dan sarapan pagi, menghidu 'rasa-rasa' keterujaan menulis, bahkan melayan dan menjiwai perasaan saya sendiri. saya telah lama hilang cinta yang sebegini asyik, dalam kesibukan mengisinya dengan ketergesaan ke pejabat. saya telah lama hilang masa-masa merawat jiwa saya sendiri dengan terapi yang sungguh-sungguh saya senang dan suka. saya telah lama hilang masa untuk saya berdialog dengan diri sendiri, sunyi dan larut dalam akal dan jiwa saya sendiri, dan menuangkan kesemua gelisah, kusut, keliru saya dalam bentuk kata-kata. saya telah lama hilang waktu bernafas, menari dan bermain lincah dengan huruf dan perkataan saya sendiri.

oh, pagi saya yang indah itu.
 
sungguh! jujur, bukan saya tidak pernah mencuba, namun saban kali rasa dan ilham itu sampai, mengetuk dan menghunjam dinding hati sendiri, menendang dan memukul rangka kepala, jam sudah menunjukkan setengah jam lagi, menginjak ke jam lapan. maka, saya harus segera bersiap-siap. lalu, 'rasa-rasa' tadi pun pecah dan hilang segera, merajuk dan berlalu, tidak muncul-muncul lagi (arghhhh). akibatnya, saya pun tidak mampu menulis lagi dengan gelojak rasa yang sama, sebebasnya! 
 
"write while the heat is in you. the writer who postpones the recording of his thoughts uses an iron which has cooled to burn a hole with. he cannot inflame the minds of his audience." 

- henry david thoreau
 
ketahuilah tuan thoreau, kata-kata tuan ini tidak termaknakan lagi untuk saya ini. cuba katakan, bagaimana lagi saya mampu membarakan nyalaan rasa yang sama, setelah semuanya terpadam malahan menyejuk dan membeku?
 
oh, pagi saya yang indah itu. 
 
tidak pernah saya tersedar, betapa waktu pagi (yang indah itu) benar-benar merupakan antara terapi jiwa paling mahsyuk buat saya, hinggalah saya harus kehilangannya untuk merasakan ia benar-benar waktu yang sempurna! sobs sejuta kali. saya sedang tercari-cari primetime yang lain, untuk saya kembali 'mengamuk' dan menulis sebebasnya lagi. 
 
sekian luahan jiwa, amukan cubaan di waktu;
(hmm, yang pasti selain waktu pagi).  
 
"tonight, i can write the saddest line." - pablo neruda
 

Thursday, December 4, 2014

"AKU TELAH DIREZEKIKAN CINTANYA."

Bismillah

Dengan tanpa sedar, menikmati bihun goreng di suatu petang, dari tangan seorang kawan, adalah sebuah muhasabah panjang, selain suatu kenikmatan bagi saya. Teruntuk orang yang seringkali berdosa, dihulurkan rezeki demi rezeki dengan cara paling baik, baik melalui teman handai atau selainnya, itu merupakan antara nikmat Dia yang paling istimewa. 

Antara nikmat lain-Nya, apalagi yang lebih istimewa dari senyuman demi senyuman yang saya kutip di jalan, dari orang-orang asing? Salam tunduk hormat dari mereka yang tidak pernah mengenal namun saling menutur doa sejahtera? Lantunan ayat demi ayat al-Quran yang mulanya terasa kesat dan jemu, lama-lama jadi hiba dan sayu? Kepercayaan bahkan keyakinan yang diberikan orang lain, saat saya pun tidak mampu membangunkan lutut dan kaki sendiri? Jujur, kasih Dia terlalu maha sempurna teruntuk hamba-Nya yang seringkali berdosa ini.

Benar sekali sabda Sang Kekasih, saat Baginda S.A.W menuturkan tentang Khadijah R.A, "Aku telah direzekikan cintanya" (HR Muslim). Sedemikian jualah, saya memaknakan sabdanya, betapa saya telah direzekikan cinta orang-orang ini. Ia membuatkan saya sesungguhnya percaya, bahawa cinta sememangnya suatu bentuk rezeki yang terpaling anggun dan unggul, sedikitpun tidak meragukan! Maka beruntunglah bagi mereka yang ditebarkan cinta dan kasih. Beruntunglah bagi mereka yang dikasihi dan dicintai oleh sesiapapun meski walau hanya seorang!

Dengan cinta itulah, terima kasih untuk mereka yang menghidu ketakutan saya, namun telah mewangikannya hingga menjadi sebuah keyakinan. Terima kasih untuk mereka yang menemui hati kecil saya, namun telah memeluknya hingga menjadi begitu gagah. Terima kasih untuk mereka yang mengutip kecurigaan saya, namun telah melontarnya hingga menjadi sebuah kewaspadaan. Terima kasih untuk mereka yang mengulum lemah khilaf saya, namun telah menelannya menjadi sebuah ketidaksengajaan.

Dengan cinta itulah jua, terima kasih untuk Ummi, Walid dan adik-adik yang di lewat malam semalam mengirimkan video bingkisan ringkas 'Selamat Hari Lahir', terima kasih untuk coklat, aiskrim, satay, bahkan ingatan ikhlas dan kata-kata seindah ini. Ah, mengharukan!

Untuk entah dari celah ihsan mana hingga menerima kasih dan cinta sekilat ini, untuk segala kebaikan yang tidak pernah diduga dan terduga ini, untuk diri yang jauh dan jarang sekali berbagi cinta dan kasih setulus ini, apa lagi jawapan dan penghargaan yang paling istimewa melainkan satu ucapan yang diajarkan Baginda S.A.W juga; "Moga Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintaiku." Moga terangkatlah kata-kata yang baik menjadi sebuah doa bahkan hitungan amal yang baik juga!

"I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel." 
- Maya Angelou

Andai aku, kau anggap Langitmu, dan kau adalah Bumiku, ajarkan aku tentang kerendahanmu. Tunjukkan aku sebagaimana Bumi pernah mengajar Langit mencintainya, aku mahu mencintai kau seperti itu!

Allah yubaarik feekum!