Pages

Friday, August 29, 2014

di sebalik kata-kata yang tertinggal (vii);



"aku suka bagaimana kau mampu menjatuhkan aku, ketika aku dilontar tinggi. aku suka bagaimana kau mampu menundukkan aku, ketika aku diamuk gagah. aku suka bagaimana kau mampu menyedihkan aku, ketika aku dikepung bahagia. aku suka bagaimana kau mampu mendiamkan aku, ketika aku disumbat fasih.
ah, bagaimana kau mampu meredamkan kesemuanya? memegunkan aku, di tempat seharusnya aku berpijak; tidak tinggi dan tidak rendah, tidak riuh dan tidak hanyut.

- kembali ke asal, titik."

Tuesday, August 26, 2014

-menjadi Dewasa.

bismillah




maka, bukankah ini bermakna kita hakikatnya 'growing up' (bertumbuh) setiap hari, bahkan setiap detik, untuk setiap kali terimbas atau terjejaknya semula keputusan-keputusan, langkah-langkah, urusan-urusan yang pernah kita lalui sebelumnya?

tidak! 

saya tidak pernah menyalahkan diri sendiri, menyesal atau mengharapkan suatu keajaiban yang lain untuk setiap keputusan yang diambil, sebab setiap langkahan pasti bersebab, dan ada saja hikmahnya, baik yang belum ataupun sudah tersingkap.

saya percaya itu.

bahkan, untuk setiap proses baik yang melukakan atau membahagiakan, ada saja pembelajaran yang membuatkan diri makin matang dalam 'memandang' kehidupan. mengenal orang-orangnya, memperbaiki akhlak, mengubah paradigma dan sudut pandang terhadap sesuatu, malahan adakalanya tanpa sedar menemukan diri dengan kehendak dan keperluan sebenar peribadi, hingga akhirnya menjadikan diri lebih baik.

saya risaukan cuma, apakah setiap keputusan saya, ada 'kebersamaan' Allah di dalamnya? apakah saya meletakkan Dia terkedepan dalam segenap hal, menjadi pemutus kepada setiap satunya, baik kecil mahupun besar? atau hakikatnya, saya lebih percaya dan bergantung harap kepada diri sendiri?

untuk setiap urusan, apakah seringkali ada 'mata'-Nya untuk saya melihat? 'telinga'-Nya untuk saya mendengar? 'kaki'-Nya untuk saya melangkah? apakah ada Allah untuk setiap satu pilihan-pilihan saya? apakah ada Allah untuk setiap jejak-jejak saya? apakah ada Allah untuk setiap permintaan-permintaan saya?

(oh Allah, ampunkan untuk setiap keterlanjuran tanpa merujuk-Mu).

sebab, apabila meletakkan Allah dalam segenap urusan, lebih mempercayai al-Khaliq berbanding makhluk dalam setiap keputusan, jauh dari kecacatan atau kesia-siaan, semuanya pasti berhujung dengan kebahagiaan dan kesempurnaan!

tidak dapat tidak, muraqabatullah (kedekatan dengan Allah) yang akan melorongkan ini semua, meletakkan kita antara hamba yang dikasihi-Nya, dilindungi-Nya, dirahmati-Nya, hingga Dialah yang menjadi 'mata' kita, 'telinga' kita, dan 'kaki' kita dalam kehidupan keseluruhannya!

"wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)." (al-Kahfi: 10)

subhanallah, 'growing up' (bertumbuh) di tahap inilah hakikatnya yang paling sukar.

sumber: majalah tarbawi
"janganlah (ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu."
 

Wednesday, August 20, 2014

#Throwback: Nah, dos cinta!

Bismillah



Jujurnya, saya tidak pernah sesekali suka dengan cerpen-cerpen yang saya tulis. Saya lebih suka, bagaimana ia 'boleh' mula tertulis. Cerpen ini, saya menulis di lewat petang dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan! Hujan sangat lebat dan saya sedang minum kopi.

Berkali-kali saya tulis padam tulis padam tulis padam dan ya, hari itu benar-benar saya bermalam di ofis. Ahaha!

Nah, cerpen Jun.


***

Secawan kopi berbaki separuh. Asap yang berkepul-kepul tadi makin menghilang dikambus kedinginan petang. Maisarah menggigil. Sweater yang dilurutkan tadi disarungkan semula, membaluti tubuh kecilnya. Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari hujan turun dengan lebatnya pada lewat petang.

"Mai, bermalam di kafe lah kau malam ni,"
usik Zahar di kaunter pembayaran, baru selesai berurusan dengan beberapa orang pelanggan. Maisarah cuma tersengih, malas mahu melayan kerenah abangnya.

Matanya yang terasa letih disapunya berkali-kali. Hari ini, hampir seharian dia duduk menghadap komputer ribanya. Manuskrip untuk novel keduanya masih belum siap, sedangkan pihak penerbit sudah sibuk bertanya. Matanya kemudian mengitari ruang sekeliling A-B-C, atau nama glamournya, Al-Banna Café. Kafe sederhana dengan sentuhan konsep minimalis ini, merupakan hasil titik peluh dia bersama-sama dengan abang dan kakak iparnya.

Lagu Ama Zilna dendangan Benammi terus bergema memenuhi seluruh ruang kafe. Masuk kali ini, sudah kali kesepuluh rasanya lagu tersebut diputarkan. Maisarah tersenyum sendiri. "Hati tisu jugak abang aku nih," omelnya perlahan.

"Mai, cuba baca ni." Adeeba meluru mendekati. Telefon bimbitnya diunjukkan kepada Maisarah. Bibirnya masih tersisa senyuman. Dia menarik keluar kerusi kemudian duduk setentang, mengadap Maisarah.

Telefon bimbit bertukar tangan. Kedua-dua bebola mata Maisarah jatuh pada satu-satu perkataan.

"A PHYSICIAN ONCE SAID: THE BEST MEDICINE FOR HUMAN IS LOVE!
SOMEONE ASKED: WHAT IF IT DOESN’T WORK?
HE SMILED AND SAID: INCREASE THE DOSE!"


"Aha, make sense!" luah Maisarah, tergelak kecil.

"Tapi…Kak Deeb patut tunjuk ini pada brader tu ha!" Maisarah menjuihkan bibir ke arah abangnya, "Bukan Mai," sambungnya lagi. Pipi Adeeba memerah, geli hati.

"Itu cinta lain! Mai, apa kata masukkan ini dalam manuskrip novel?" cadang Adeeba, kembali serius. Kerusi yang diduduk ditariknya ke dalam sedikit.

Maisarah menggelengkan kepala, tidak mengerti.

"Ingat kita pernah berbual pasal ini? Tentang manusia sekarang makin hilang common sense? Sombong, individualistik, dengki, tamak, takabbur dan sebagainya?" soal Adeeba.

"Hmm, ingat. Tapi, apa kaitannya dengan physician dan love tadi?" Kening Maisarah bertaut, kebingungan.

"Pap!" Sepintas jarinya dipetik. "Oh, Mai faham! Maksud Kak Deeb, sebab hati kita ‘kering’ CINTA-lah, kita jadi hilang common sense. Sombong, individualistik, dengki, dan bla..bla..bla. Begitu?"
Adeeba mengangguk, perlahan.

"Kalau Mai boleh masukkan senario pelik dalam media sosial lagi bagus. Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya," tutur Adeeba.

"Kejian, hinaan, kutukan, tuduhan itu bukan ‘produk’ dan ‘hasil’ cinta!" Adeeba mengurut dahi. Kening Maisarah terangkat.

'Boleh tahan falsafah Kak Deeb ni. Padanlah Abang admire sangat!' gumam hati kecil Maisarah. Bibirnya disuakan ke mulut cawan, menghirup air kopi yang telah menyejuk.

"Tapi, itulah yang kita nampak, kita baca, dan kita dengar sekarang kan? Orang tuduh-menuduh, keji-mengeji, kutuk-mengutuk dan sebagainya. Kita yang baca dan dengar ini pun terkena tempias sekali. Hati rasa ‘sakit!" Adeeba menghela nafas.

"Kak Deeb…manusia ini kan banyak ragamnya? Tak hairanlah begitu jadinya!" Maisarah cuba menyucuk.

"Ya, normallah berbeza pendapat. Tapi, dari sudut logik akal, mana mungkin pencinta ‘meraikan’ perbezaan di antara dirinya dan orang yang dicintai, dengan menggunakan kekerasan dan kekesatan seperti yang berlaku sekarang ini. Kita takkan layan orang-orang yang kita cinta dengan cara begitu."
Adeeba menggigit hujung bibir. Telapak tangan kirinya menopang kepala yang disengetkan.

"Oh, jadi sebab itu, Kak Deeb cakap tadi hati kita sekarang makin ‘kering’ cinta? Hati kita belum lagi mencintai orang lain sebagaimana kita mencintai diri sendiri, keluarga, kekasih, dan orang-orang yang dekat dengan kita? Kerana tu, tak wujudlah perasaan mahu ‘melindungi’, ‘menghormati’ bahkan ‘menjaga’ saudara seakidah dan seiman. Begitu?" ulas Maisarah, panjang lebar. Makin bersemangat pula dia melayan ‘teori cinta’ kakak iparnya nan seorang ini.

"Sebab itulah orang bebas melontarkan rasa ketidakpuasan hati masing-masing. Malah kadang-kadang, memang disengajakan untuk menyakitkan hati orang lain," tokok Adeeba, bernada geram.

Hujung pen di tangannya dipusing-pusing mengikut rentak One Day, nyanyian Matisyahu. Bergema pula lagu ini di seluruh ruang kafe. Tak disengajakan, bibirnya turut mengikut perlahan, tenggelam dalam suara Matisyahu.

One day this all will change,
Treat people the same,
Stop with the violence,
Down with the hate.


"Mai rasa sebab apa hati kita ‘kering’ cinta?" Sunyi, tiada jawapan. Adeeba menghayunkan tangan kanannya. Maisarah kelihatan masih asyik melayan bait-bait lirik yang dinyanyikan.

"Eh, sorry Kak Deeb!" Kepalanya digaru-garu.

"Tapi…betul kan lirik lagu Matisyahu ni?"

Beriringan dengan suara penyanyi tersebut, Maisarah dengan yakinnya menyambung bait-bait seterusnya:

All my life I've been waiting for,
I've been praying for,
For the people to say,
That we don't wanna fight no more.


Adeeba mengurut dada. Masing-masing kemudiannya menghambur tawa.

"Mai tak rasa kita perlu buat sesuatu?" Adeeba menduga lagi.

"Empangan mengering dan air dicatu pun, kita tunggu hujan dari Dia! Samalah kalau ‘cinta’ kering, patutnya kita minta dari Dia juga. Itu saja caranya, Kak Deeb." Balas Mai, ringkas dan tepat.

"Amboi! Tak pasal-pasal masuk isu air." Adeeba tergelak.

"Maksud Mai, hubungan kita dengan manusia bersangkut dengan hubungan kita dengan Dia. Kalau hubungan cinta kita dengan Dia pun ‘kering’ dan bermasalah, bagaimana mungkin kita dapat salurkan cinta kepada sesama manusia? Mustahil kan, Kak Deeb? Itulah pertama-tamanya yang harus diperbaiki!" Maisarah menelan liur. Suatu muhasabah buat dirinya juga.

Putaran lagu-lagu berganti dengan alunan merdu ayat-ayat al-Quran oleh qari Misyari al-Afasy. Adeeba menjenguk ke ruang depan. Suaminya sedang sibuk menyusun meja dan kerusi.

"Kak Deeb pernah dengar tentang ‘kelemahan’ yang paling Allah cinta?" Adeeba cuba mengingat. Dia langsung menggeleng.

"Allah suka mukmin yang kuat. Tapi, mukmin yang ‘merendahkan sayapnya’ (merendahkan populariti, kuasa, namanya) terhadap mukmin yang lain, itulah ‘kelemahan’ yang Allah paling suka!"
Maisarah kembali membelek telefon bimbitnya. Merujuk kembali nota-nota yang pernah dicatat sewaktu mendengar kuliah Maghrib seorang ustaz. Dia mencapai al-Quran terjemahan pula sambil menunjukkan ayat yang dikongsikan penceramah.

"Ayat ke-88, surah al-Hijr." Maisarah membacakannya satu persatu, "…merendah hatilah engkau terhadap orang yang beriman."

"Maksud merendahkan hati ini, tidak ada rasa superior sesama Muslim, berlemah lembut, memberikan layanan yang baik…" sambung Maisarah lagi.

"Alangkah indahnya kalau hati kita macam ini. Berusaha mencintai Allah, mencintai Rasul, mencintai mukmin. Tiada hasad dengki, caci-maki, tuduh-menuduh bahkan sangka buruk sekalipun! Hati pasti bahagia, jiwa pun tenang." Adeeba meletakkan kembali al-Quran terjemahan yang dipegangnya.

Kemudian dia menyambung, "Macam kerendahan hati Abu Dzar sewaktu dia meletakkan kepalanya di bawah, dan meminta Bilal memijaknya. Itupun disebabkan ejekannya yang membuatkan Bilal bersedih hati, dan Rasulullah mengatakan bahawa masih ada jahiliyah dalam dirinya."

"Sebenarnya, kita tak perlu apa-apa pun Mai. Cuma cinta kepada Allah dan Rasul, maka akan datanglah cinta kepada mukmin. Kalau hubungan masih juga keruh begitu, macam kata pshysician tadi, tambahkan dos cinta! Itu saja."

"Kalau sudah pasti ada cinta di sisimu,
Semua kan jadi enteng,
Dan semua yang ada di atas tanah,
Hanyalah tanah jua."


- Imam As-Syafi’e


Tuesday, August 19, 2014

#Throwback: Morrie & Satu Malam.





Majalah JOM!
Isu April: DEGIL!


"Nadia, jom basket?" Fathia menjengulkan kepalanya di sebalik pintu. Siap bertudung dan berseluar panjang.

"Sekarang? Biar betul?" Jam di dinding dikerlingnya sekilas. Lagi tiga puluh minit menghampiri jam sepuluh malam. Namun, melihatkan mendung di wajah Fathia, dia turutkan saja.

"Boleh. Tapi, nanti belanja burger Abe Mat?"
pinta Nadia, manja. Fathia cuma tersengih. Nadia bingkas bangun, menggeliatkan tubuhnya. Buku Tuesdays With Morrie karya Mitch Albom diterbalikkan, dan dibiarkan menganga di atas katil. Lantas dicapainya tudung yang siap tergantung, lalu disarungkan menutupi kepala.

Mereka beriringan keluar, menapak menuju ke gelanggang berhampiran taman perumahan yang hampir setahun dihuni. Sinar kuning dari lampu jalan memancar menerangi kegelapan kawasan.

"Nampaknya, kita ‘shoot’ dengan burger sajalah malam ni. Ada orang tertinggal bola," tukas Nadia, selamba. Fathia menepuk dahinya. Seraut wajah bersalah terpampang jelas di mukanya. Minggu ini saja, beberapa kali dia terlupa barang. Dua hari lepas, tertinggal kunci rumah di pejabat. Semalam, terlupa menutup suis seterika. Malam ini, tertinggal bola pula.

"Tiya ok?" Sepatah Nadia bertanya. Nadanya penuh bimbang. Dua tiga hari ini, teman serumahnya seperti menyembunyikan sesuatu. Kerja-kerja di pejabat pun banyak terbengkalai.

Khali sejeda. Kedengaran cuma kereta yang lalu-lalang di jalanraya berhampiran.

"Makan dulu, jom!" Sambung Nadia lagi. Perlahan-lahan, kertas pembalut burger dibukanya. Satu gigitan mengena, kemudian memasuki rongga mulut.

"Saya ragu-ragu dengan Abang Mat. Apa agaknya yang diletak? Serius, sedapnya lain macam!" Rancak Nadia memuji. Mulutnya penuh mengunyah. Fathia sekali lagi tersenyum. Ada saja keletah sahabatnya nan seorang ini.

"Hidup ini, macam makan burger Tiya! Waktu makan, nikmati betul-betul. Sekejap saja, burger ini boleh habis dan nikmatnya hilang..." ujar Nadia lagi sambil menjilat-jilat jarinya yang terkena sos cili. Lantas dikeronyokkan kertas dan plastik pembalut burger, lalu dibuangnya ke dalam tong sampah berdekatan.

"Akhir-akhir ini, hidup saya rasa kosonglah. Saya buat semua benda, tapi macam tak ada makna. Seolah-olah saya macam makan burger, tapi tak menikmatinya pun!"
Fathia menguis-nguis batu-batu kecil di kasutnya. Dia mengeluh nafas, perlahan. Beg sandangnya ditarik dan ditepuk-tepuk. Kemudian, dia melunjurkan kaki dan membaringkan tubuhnya. Kepalanya sengaja dibiar terlentok di atas beg sandangnya. Permukaan langit ditatapnya, luas! Gugusan bintang dan bulan sabit tergantung cantik.

"Sinilah, Nad. Aaaaah, rasa lapang!" ajak Fathia sungguh-sungguh sambil menunjukki ruang kosong di sebelahnya. Lantas, Nadia ikut berbaring di sebelah.

"Subhanallah, rasa sangat kerdil! Tiya, Allah sedang tengok kita. Dia tahu apa yang kita rasa. Dia tahu apa yang kita alami. Sebelum bersungguh-sungguh dengan manusia, bersungguh-sungguhlah dengan Dia dulu."

"Nad, apa masalah saya sebenarnya?" Fathia memalingkan muka ke sebelah kiri, bersungguh-sungguh meminta jawapan.

"Jangan meletakkan ‘kegembiraan’ atau ‘kesedihan’ kita pada sesuatu!" jelas Nadia, spontan.

"Bila kita meletakkan ‘kegembiraan’ atau ‘kesedihan’ kita pada sesuatu atau sesiapa, itulah hakikatnya keterikatan kita. Sedangkan, kebergantungan kita sepatutnya hanya milik Allah semata-mata," sambung Nadia, berterus-terang.

Fathia tersenyum, pahit. Matanya mula bergenang. Akhirnya, pipinya basah dengan linangan air mata.

"Maaf, Tiya. Saya yakin, awak cukup tahu semuanya. Cuma mungkin, hati saja yang masih degil?" Nadia mengatur nafas.

"Awak tahu kehidupan awak sekarang sudah berubah 360 darjah. Awak tahu awak tak akan berpatah balik kepada kehidupan yang dulu. Awak tahu, awak tak akan bersama lagi dengan orang-orang yang awak mahu. Awak tahu, awak sudah pun melalui fasa hidup yang baru. Tetapi, hati awak tetap masih degil untuk tetap terperangkap dengan masa lalu!" sambung Nadia lagi.

Air matanya makin melaju, tidak tertahan-tahan. Nadia bagaikan memahami seluruh isi hatinya. Terbongkar satu persatu, cuma dia sahaja yang tidak menyedarinya.

"Jadi, apa yang harus saya lakukan?"
Gumam Fathia, penuh keliru. Nadia menepuk-nepuk bahu rakan di sebelahnya. Dia menghela nafasnya, kemudian meneruskan kata-katanya, perlahan-lahan.

"Bersihkan hati, dan perbetulkan tauhid. Letakkan pergantungan kepada Allah terlebih dulu. Biar kesedihan dan kegembiraan kita, lahirnya cuma dari Dia dan untuk Dia. Bukan bersebabkan makhluk-Nya, baik apa-apa atau siapa-siapa."


Mendengarkan tentang tauhid, Fathia menyentuh dadanya di sebelah kiri. Mengulang tutur 'Allah, Allah, Allah', di dalam hati. Dia makin sebak. Setiap kali menunaikan solat, dia sujud, namun ternyata hatinya belum pun sujud. Persis sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam surah al-Hadid, ayat ke-16 (maksudnya): "Belum tibakah hati-hati orang yang beriman , untuk secara khusyuk mengingati Allah..."

Sedangkan, sudah berulang-ulang kali ayat ini disebutkan di dalam halaqah bersama adik-adik. Sayup-sayup, berselang seli dengan suara cengkerik, Nadia terus berkata-kata.

"Perbetulkan semula semula hala tuju dan gol hidup awak. Meskipun, bermula dengan sekecil-kecil perkara. Menghafal tiga ayat al-Quran setiap hari, misalnya. Sekurang-kurangnya awak ada misi dan visi yang akan memenuhkan hidup yang terasa kosong."

Nadia berhenti sejenak. Dia bangun dan duduk sambil memeluk kedua-dua belah lututnya.

"Dan Tiya, awak juga seorang murabbi. Fokus pada pembinaan mutarabbi. Rancang pembinaan mereka sebaik-baiknya! Dengan menjadikan diri bermanfaat kepada orang lain, akan sentiasa membuatkan hati awak bahagia. Percayalah!"

"Tapi Nad, saya macam sudah penat ‘struggle’ untuk ini. Saya rasa sendiri!" Fathia melepaskan keluhan berat. Kedua-dua matanya digenyeh, menyapu saki baki air mata.

"Nad, apabila sekeliling tidak lagi bercakap tentang Allah, bukankah kita akan langsung bercakap dengan Allah? Cuma, satu saja penghalangnya. Jika hati masih degil, tidak mahu tunduk, patuh, dan berserah kepada Allah sepenuhnya, dan masih ‘bergantung’ kepada makhluk-Nya, selamanya awak akan hidup dalam keadaan sebegini. Tidak tenteram dan tidak bahagia, sebab kebahagiaan dan kesedihan awak diletakkan pada benda yang tidak statik dan berubah-ubah!" Nadia menjelaskan.

"Hidup memang untuk ‘struggle’. Ujian tidak boleh diubah. Tetapi, kitalah yang kena ‘fix’kan diri untuk cuba berubah!" tambah Nadia lagi, tegas tetapi lembut.

Fathia menelan liur. Hatinya kembali tenang. Serasa beban sedikit ringan. Sekali lagi, nafas ditarik dalam-dalam, dan dihembusnya.

"Thanks, Morrie!" ucap Fathia memanggil temannya dengan gelaran baru. Dia kemudian bangkit berdiri, kembali meregangkan otot-ototnya. Kalau boleh, mahu saja dia mendepangkan tangan seluas-luasnya dan menjerit sekuat hati. Persis lagak jeritan tiga teruna dalam filem pendek Pasport Ekspress.

"Baru baca separuh, sudah jadi macam Morrie. Belum lagi satu novel." Fathia menyeringai.

"Hati, jangan degil lagi ya! Baiki hati, baiki diri, baiki hidup!" sebut Nadia, berulang-ulang kali sebelum mereka berangkat meninggalkan gelanggang.

Wednesday, August 13, 2014

PAHIT TETAPI MANIS.

bismillah

"tapi..salah ke kalau umy nak jadi diri umy sendiri?"

"umy, dulu kan saya tak suka ada label introvert extrovert dan kategori-kategori orang ni macam ni, orang tu macam tu dan sebagainya. bukan tak bagus. bagus, sebab kita boleh kenal diri sendiri. tapi, saya akan ada kecenderungan untuk 'justify' diri saya, sebab saya begini dan begini, maka saya tidak boleh untuk jadi begitu dan begitu. padahal, manusia boleh berubah kan?"

maka, kata-katanya ada benarnya. maka, hari itu adalah curhat (curahan hati) yang panjang! syukur untuk yang Maha Lathiif, 'melembutkan' hati untuk menelan sisi lebih dan kurang saya sekaligus. 

terima kasih untuk Nirosette yang mengatakan ini;

"my strengths are my weakness. guess that explains why what are I like and dislike about myself are pretty much the same." 

ya, saya suka pada sikap saya yang itu. saya benci juga sikap saya yang itu. adakalanya, ia suatu kelebihan kepada saya. namun tanpa sedar, adakalanya ia suatu kekurangan kepada orang lain. 

terima kasih juga untuk Murakami yang mengatakan ini;



saya menjadi orang yang pentingkan diri. saya menjadi orang yang tidak rasional. saya menjadi orang yang emosional. saya menjadi orang yang suka menjustifikasi diri sendiri. akhirnya, takut-takutnya saya jatuh menjadi orang yang sombong dan bongkak. 

lalu kata dia lagi;

"saya teringat naqibah saya cakap. hidup mukmin ni, sebenarnya senang je, umy. bila dapat musibah, kita bersabar. bila dapat nikmat, kita bersyukur. kadang-kadang, kita complicatekan benda-benda yang simple macam ni. kan?"

maksudnya, kitalah yang bertanggungjawab 'mold'kan diri kita mengikut suasana. kalau harus begini, beginilah kita. kalau harus begitu, begitulah kita. fleksibel! 

terima kasih juga untuk ekstrak artikel Ustaz Hasrizal yang mengulas tentang seni kehidupan. untuk tempoh hampir setahun lebih menginap di rumah sewa, terlalu banyak mengajar saya tentang common sense, insight, dan hikmah.

ada sesetengah benda atau perkara yang kita harus mudahkan. mudah yang bukan membinasakan tetapi membina! seni hidup yang tidak ada pada kertas-kertas peperiksaan ataupun teori-teori di dalam kuliah. seni hidup yang tidak memerlukan kira-kira, fakta, atau hipotesis untuk bertindak.


 sumber: artikel


terima kasih untuk orang-orang yang tidak putus-putus jujur memperbetul sikap dan peribadi saya. tidak langsung 'membenarkan' saya, ketika mereka wajib sekali 'menidakkan'. 

bagi saya, ini pahit yang sesungguhnya manis! mungkin juga ini adalah jawapan kepada rantaian doa;

"ya Allah, tunjukkanlah kelemahan aku dan bantulah aku untuk memperbaikinya. ya Allah, bantu aku untuk menjadi Muslim yang lebih baik. ya Allah, aku tidak mampu untuk menjadi seperti A, seperti B, seperti C, seperti D, tetapi kalau menjadi orang-orang begini dan begini lebih baik untuk aku, maka buanglah ego dalam diri aku, dan mudahkanlah aku untuk mencontohi mereka."

bukankah kesukaran dan mujahadah Saidina 'Umar R.A suatu ketika dulu, bukan pada obsesinya untuk terkabul doa-doanya? sebab beliau begitu arif dan yakin sekali, bahawa Allah itu sifatnya memang al-Mujibb (Maha Memakbulkan). beliau yakin, doa-doanya akan termakbul baik cepat mahupun lambat. 

namun, obsesi seorang Saidina 'Umar al-Khattab hakikatnya ialah pada keteguhannya untuk terus istiqamah berdoa dan berharap kepada Allah; apakah aku akan berterusan berharap dan berdoa kepada Allah? apakah setelah termakbulnya doa-doaku, dibukakan jalan, dan dimudahkan urusan oleh Allah S.W.T, diri ini kuat pula untuk bersungguh-sungguh mengerjakannya dan melaksanakannya dengan paling baik?

subhanallah, bijak dan sensitifnya seorang 'Umar al-Khattab. benar, inilah kesukaran yang sebenar-benarnya.

maka minggu ini adalah minggu muhasabah. minggu mengimplementasikan ruang muhasabah kepada kerja-kerja memperbaiki dan mengubah! (oh Allah, mudahkanlah. mudahkanlah!)

moga jatuh bangun hidup kita terus terisi dengan barokah - bukan bermakna tiada pahit maung dan susah payah, namun apa sahaja masalah, apa sahaja dugaan, apa sahaja ujian, kita mampu untuk tenang-tenang dan bahagia-bahagia saja!

oh Allah, terima kasih untuk hari-hari yang pahit tetapi manis! :)

Wednesday, August 6, 2014

ENTRI TERTANGGUH.


 "Speak your mind even if your voice shakes."   ― Maggie Kuhn

Bismillah

Katanya suatu hari, ramai yang mungkin akan 'kecewa' apabila membaca dan mengenali saya sebagai penulis (blogger) dan 'saya' secara peribadi, sangat jauh berbeza. Dia tidak mampu mentafsir keikhlasan saya, sebagaimana tulisan-tulisan jujur saya. Terus-terang, saya sangat berterima kasih dengan keberaniannya untuk menyatakan perasaannya terhadap sikap saya yang satu ini.

Merefleksnya semula, ya memang ada benarnya.

Entah bagaimana untuk saya jelaskan tentang ini, atau (sebetulnya, saya tidak perlu pun ambil peduli, atau kisahkan sedikitpun), kerana orang yang sejujurnya mencintai tidak akan pernah pun memerlukan sebab. 

Atau memang, untuk sesetengah keadaan, cinta pun memerlukan sebab? Dan saya perlu juga untuk menyenaraikan alasan-alasan agar lebih jelas termaklum? Tetapi, apakah nanti, saya yang akan menjadi orang yang terlalu defensif, meletakkan seluruh keadilan atau pembelaan terhadap diri sendiri?

Ah, entahlah. 

Cuma ini, mungkin cukup untuk menjelaskan;

"INFP personalities are quite difficult to get to know. Even their closest friends may often find it tricky to convince the INFP to open up and reveal their feelings. 
People with this personality type do not care much about how many friends they have; the quality of those friendships is far more important.

That being said, people with this personality type are likely to be quite private when it comes to their own feelings. Again, INFPs do not feel comfortable revealing their sensitive inner core to people they do not know well."
Source

Tulisan; saya hakikatnya bercakap dengan diri saya sendiri. Proses membaca hati saya sendiri, mentafsir akal saya sendiri, dan menyampaikannya sedikit demi sedikit dalam bentuk yang paling saya yakin dan percaya. Ia macam proses mengenali diri saya sendiri. Saya masih bebas memilih perkataan. Saya masih diberi pilihan untuk menyatakannya secara terbuka atau tersembunyi. Hakikatnya, ini sememangnya lebih mudah bagi saya.



Namun, untuk berdepan, dan 'mempamerkan' hati secara terbuka, jelas dan terus-terang, (ya!) saya sangat 'pemilih' orangnya. Terlalu! Pemilih kepada 'siapa' harus saya jelaskan, terangkan, ceritakan. Atau bahasa mudahnya, saya lebih rela diam dan disalah anggap, berbanding harus menceritakan kesemuanya dari A hingga Z. Sebab bagi saya, bercerita tetapi tidak difahami itu lebih menyakitkan. Hmm?

Oh, rumitnya seorang saya!

Maaf, untuk yang mungkin mendapati saya berbeza. Terima kasih untuk yang jujur menegur dan berniat baik untuk memperbaiki kelemahan saya.

Sewaktu ditegur tentang ini, betapa saya merasakan hakikat meluruskan ego tidak mudah, apatah menelan kekurangan diri di mata orang lain. Kita mahu keadilan tertegak. Kita mahu memberikan seribu alasan. Kita mahu membela diri. Kesemuanya! Namun, mengambil semangat seorang kawan, "accept advice from people, ignore judgement", mampu mendiamkan diri sekejap, mendengar dan menerima.

Ah, betapa ketaksempurnaan selalu buat saya rasa sempurna menjadi seorang manusia!

Terima kasih, kawan!

"As much as you can, keep dunya (worldly life) in your hand - not in your heart. That means when someone insults you, keep it out of your heart so it doesn't make you bitter or defensive. When someone praises you, also keep it out of your heart, so it doesn't make you arrogant and self-deluded. When you face hardship and stress, don't absorb it in your heart, so you don't become hopeless and overwhelmed. Instead keep it in your hands and realize that everything passes. When you're given a gift by God, don't hold it in your heart. Hold it in your hand so that you don't begin to love the gift more than the giver. And so that when it is taken away you can truly respond with 'inna lillahi wa inna ilayhi rajioon': 'indeed we belong to God, and to God we return'."

- Yasmin Mogahed