Pages

Monday, December 8, 2014

suatu sore, bertemu dua cilik di penjuru yang bingit;

bismillah

di hari yang sama, bertemu dua orang adik cilik dalam lingkungan umur 10-11 tahun benar-benar memaknakan bacaan saya pagi itu, tentang apa yang dikatakan Buya Hamka dalam bukunya, 'Peribadi' berkenaan suatu hal ini.

 

KLCC

hampir kesemua mesin rosak. baris jadi makin panjang. saya beratur di belakang dua orang adik cilik ini, yang kelihatannya akan menuju ke destinasi yang sama; lrt putra, gombak.

kelihatan seorang lagi kawan mereka, sedang menunggu di sebelah. anehnya, dua orang adik ini, meski destinasinya sama, namun mereka memilih untuk membeli token secara berasingan. seorang membeli dua token, dan seorang lagi juga membeli dua token.

untuk keadaan yang sebegini sesak, dengan barisan yang agak panjang, melihatkan mereka berdua bermain-main sambil rancak bergelak tawa, sebenarnya telah memakan masa yang lama! jujurnya, hati saya sedikit resah dengan keadaan sedemikian.

saya diamkan sahaja, menonton keletah riang mereka, sambil terus menunggu. tiba-tiba syiling mereka jatuh bertaburan, bersebabkan mesin tidak betah lagi menelannya. ah, ternyata mesin rosak lagi!

kami terpaksa berpindah barisan, ke mesin yang lain. ramai yang mempamer wajah tidak senang dan kecewa. tidak terkecuali saya yang giliran sudah pun makin hampir tadi.

kali ini, saya di belakang mereka lagi. mereka masih juga dengan keletah riang dan gelak tawa yang sama seperti tadi. akhirnya, bersebabkan arah tuju kami sama sahaja, saya meminta mereka membelikan untuk saya juga.

"boleh! boleh!"

bersemangat salah seorang daripada mereka menjawab saya. alahai, suka betul adik-adik ini mahu mencuba. mungkinlah kali pertama membeli token. plop! token jatuh, kali ini mesin sihat dan sempurna. saya berterima kasih dengan sesungguhnya!

ah, saya percaya, kebanyakan kanak-kanak memang begini. mereka tidak terlalu kalut dalam memikir tentang apa kata orang, asalkan mereka dapat belajar tentang sesuatu. mereka tidak lekas membiarkan peluang terlepas, asalkan mereka boleh memperoleh atau mendapatkan sesuatu. mereka jelas sekali dengan apa yang mereka mahu, dan terus bergerak menujunya meski lambat prosesnya.

tersedar saya, makin kita (saya) dewasa, makin pula banyak berfikir, banyak bertangguh, akhirnya suatu langkah pun tidak tergerak. makin kita (saya) dewasa, makin pula tandus yakin, kurang curiosity, dan banyak beralasan dan sebagainya (huh!)

bahkan, kenapa adakalanya takut untuk menegakkan prinsip sendiri? kenapa adakalanya resah untuk berbeza dengan orang lain? kenapa adakalanya risau untuk tidak sependapat atau tidak sealiran? kenapa adakalanya bimbang untuk mengakui salah atau lemah, atau bahkan dicerca, dikeji, dikritik atau dibuang? kenapa adakalanya terlalu peduli dengan dzhon (sangka) dan penghakiman orang lain?

oh, peliknya dewasa ini; sebab, bukankah ke mana pun diri melangkah, dengan siapapun atau di manapun, kita cuma mampu dan akan menjadi diri kita sendiri?

peribadi, hamka; hlmn. 75

mereka benar-benar membuatkan saya menjejak semula gagah dan berani saya dulu, untuk kembali melontarkannya semula ke dalam tubuh dan berkata, "PEDULIKAN. NAH, INILAH AKU."

"bahasa untuk diri sangat rendah di indonesia. hamba, sahaya, dalam bahasa melayu. abdi dalam bahasa sunda. kaula dalam bahasa jawa. semuanya itu bererti budak (hamba). hanyalah aku yang berisi kemerdekaan jiwa."
- peribadi, hamka; hlmn. 77
 
duhai Buya Hamka, terima kasih untuk 'aku' ini. benarlah, cuma ini sahaja merdekanya sang jiwa.

_______
ps: heyyy, "surround yourself with people who make you hungry for life, touch your heart, and nourish your soul." - unknown 

(:

No comments: