Pages

Friday, November 14, 2014

Throwback: Mencari Min.

Majalah JOM!: Isu Ramadhan
Rambut ikal mayangnya terjuntai melepasi paras bahu. Getah berona jingga yang digunakan untuk mengikat rambutnya, turut melurut kemudian terjatuh ke lantai.

"Along!!!!!" jerit Najmina, kuat. Dia mendengus, gara-gara diusik tocang rambutnya.

"Shhhh, perlahan sikit. Atuk tengah tidur tu!" Farhan melekapkan jari telunjuk ke bibirnya. Sambil mengomel, Najmina cekatan mengelus-ngelus rambutnya semula. Kali ini, sengaja dibuat sanggul meninggi pula. Farhan terkekeh-kekeh ketawa, geli hati.

"Min tengah baca buku apa? Khusyuk sangat dari tadi." Tangan Farhan cepat menyambar remote TV, lalu duduk bersebelahan Najmina. Tubuhnya disandarkan ke sofa. Butang 'on' pada remote ditekan, matanya pula melekat di kaca TV. Melalui siaran Islamedia, Sheikh Mansour kelihatan sedang bersungguh-sungguh menghuraikan makna al-Qadr dari sudut bahasa dan istilah.

Buku berkulit ungu yang sederhana tebalnya kemudian diangkat, ditayang-tayangkan di hadapan wajah Farhan. Sekilas, tajuk yang tertulis dibacanya satu-persatu, Nasihat Ramadhan Orang-Orang Soleh.

"Buku siapa? Ayah Ngah?" duga Farhan. Najmina mengangguk. Dari petang tadi, habis rak buku Ayah Ngah dipunggahnya. Sejak bekerja, jarang-jarang sekali dapat balik menjenguk Atuk dan saudara-mara lain di kampung. Walhal, di sinilah tempat dia membesar. Kali ini, entah angin mana datang, sanggup pula dia mengambil cuti sebulan tanpa gaji semata-mata mahu menghabiskan Ramadhannya di sini.

"Along..." Suaranya lirih.

"Hmm?" Saat ini, Sheikh Mansour sedang membincangkan persediaan menghadapi lailatulqadar. Mata Farhan masih tidak beralih dari kaca TV, khusyuk menghayati.

"Orang yang terikat dan terbeban dengan dosa, kakinya tidak akan mampu berlari dan mengejar kelebihan Ramadhan! Dosa-dosa itu telah membuatkan dia ‘letih’. Itulah pentingnya istighfar!" tegas Sheikh Mansour mengingatkan.

Gulp!

"Along…dengar tak ni?" Najmina mengeluh.

"Ya, tengah dengarlah ni." Balas Farhan, ringkas.

"Along tak rasa Ramadhan kali ini, hmm...lain sikit?" Najmina memalingkan tubuhnya, mengadap Farhan. Wajah abangnya ditatap dalam samar-samar cahaya pendarfluor.

"Lain macam mana?" Farhan serius menyahut, agak aneh dengan pertanyaan adiknya.

"Entahlah. Rasa macam banyak benda berlaku Ramadhan kali ini. Hati Min tak macam selalu. Pendek kata, rasa lainlah!"

Farhan tersengih nakal. Riak muka adiknya betul-betul diamati.

"Rasa yang baik ke buruk? Imam mana pulak yang buat hati Min sangkut ni?"

"Along…Min seriuslah!" Suaranya sengaja ditinggikan. Kemudian, direndahkan semula. "Erm, rasa yang baik. Tapi, Min confuselah. Min macam ada split personality."

"Split personality?" Pantas, Farhan mengangkat kedua-dua kakinya ke atas sofa. Lantas, dipeluknya pula erat-erat. Wajahnya cemas, pura-pura ketakutan. Langsung Farhan ketawa mengejek. Ada-ada sahaja istilah yang keluar dari mulut pelajar lepasan psikologi di sebelahnya ini.

"Diri yang split tu macam mana?" Farhan menyoal lagi, terus meraikan. Suara cengkerik sayup-sayup pula berdesing ke telinga. Selang beberapa minit, kedengaran jujuhan air paip dari ruang dapur di belakang rumah. Mungkin Atuk yang menjadi kebiasaannya, ke bilik air malam-malam begini.

"Erm, Along kan kenal Min. Selesa dengan jeans. Tudung pun ikut yang mudah sumbat. Stokin pun, kadang pakai, kadang tak. Solat itu solatlah, tapi tak adalah macam Along yang tambah dengan solat-solat sunat. Al-Quran pula, kalau rajin baru Min baca. Qiamullail? Sebulan sekali pun tak boleh jamin tau!"


"O..kay." Lambat-lambat Farhan membalas. "Jadi…apa yang splitnya?" Tanyanya lagi, meminta penjelasan.

"Min rasa lain, Along. Macam ada suara dalam hati Min. Dia suruh Min ubah ini, ubah itu. Senang kata, sekarang Min tak selesa dengan diri sendiri. Min rasa Min banyak berubah. Along, Min ni hipokrit ke?"

Najmina benar. Semenjak beberapa hari di kampung, dia nampak lain. Bangunnya awal berbanding orang lain. Tilawah al-Quran semacam sudah jadi rutin wajib setiap kali selepas solat. Bacaan buku-buku agama bertambah, malah hampir setiap hari rak-rak buku Ayah Ngahnya diterokai. Desktop pula terisi dengan folder khusus untuk koleksi e-book, yang entah dari laman web mana dikutipnya. Banyak! Peliknya, harddisknya yang sebelum ini ‘sarat’ dengan lagu-lagu dan filem-filem makin berkurang, digantikan dengan koleksi-koleksi ceramah agama, siri kuliah diskusi ilmu, dokumentari dan sebagainya. Pelik!

Wirid al-Ma’thurat diwajibkan pagi dan petang. Jarang pula ternampak dia melongo lagi di depan TV seperti kebiasaannya sebelum ini. Bahkan, dia jadi takut-takut untuk tidur selepas waktu Subuh. Dia makin mendengar kata, tidak banyak lagi merungut atau mengaduh. Hubungan dengan orang lain pun, makin hari makin mesra.

"Min yang inikah yang dia kata bukan diri dia? Split personality?"
Gumam Farhan.

Najmina kembali menyarung kaca matanya, mahu meneruskan pembacaan. Farhan menapak ke almari kaca setinggi tubuhnya, lalu mencapai al-Quran mini berwarna coklat yang terletak di rak paling atas. Diselaknya beberapa halaman yang bertanda. Disuakannya pula kepada Najmina yang masih terpinga-pinga.

"Nah, baca ni." Tanpa banyak soal, lirik mata Najmina jatuh pada surah al-Ahzab ayat ke 70 dan 71, yang diwarnakan dengan pen penyerlah berwarna kuning terang. Warnanya sudah sedikit kabur.

"Yang ini?" Tanyanya lagi, meminta kepastian. Farhan mengiyakan. Najmina kemudian membacanya satu persatu, lancar.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar. Supaya Ia memberi taufik dengan memperbaiki amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan."


"Ada rasa apa-apa tak dengan ayat ni?"
Farhan cuba menguji. Najmina menggeleng.

"Baca lagi, kali ini dengan hati." Najmina tampak segan, namun dia baca lagi. Diam-diam, di dalam hati. Usai baca, Najmina tetap menggeleng juga.

"Along…terangkanlah." Dahinya berkerut.

"Mungkin apa yang Min alami, bukan split-personality. Tapi, Along rasa Min mungkin tengah mencari diri yang hilang?" Farhan mengambil tempatnya semula. Sheikh Mansour sedang asyik bercerita perihal ‘tetamu’ malam lailatulqadar. Sayup-sayup terdengar kata-katanya lagi, "Boleh saja Allah bagi kita mengantuk, kalau Dia tidak mahu kita sebagai tetamu lailatulqadar. Dia lebih Maha Tahu sesiapa yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya! Apakah kita di antaranya?"

Gulp!

"Dari dulu, Along tengok Min memang macam ni kan? Apa yang hilang?" Min yang terdiam lama bertanya lagi. Farhan tersentak. Kemudian, menyambung perbualannya semula.

"Ermm.. mungkin ‘fitrah baik’ kita? Dulu, Allah gabungkan penciptaan kita dengan tanah dan roh milik-Nya. Jadi, apa-apa yang dari Allah itu, sudah semestinya baik!" Najmina makin keliru.

"Maksudnya, awal-awal kita memang sudah baik? Macam tu?" Farhan mengangguk, bersetuju. Dia meneruskan kata-katanya lagi.

"Tapi apabila makin membesar, ‘fitrah baik’ kita tadi mungkin berubah sedikit demi sedikit. Itulah yang Along cakap, ‘hilang’ tadi. Ia bergantung pada persekitaran kita. Kalau berdamping dengan orang-orang yang ingat Allah, maka kita tidak akan mudah hanyut, Min. Kalau persekitaran kita baik, ‘fitrah baik’ itu, lebih mudah terjaga dan terpelihara!"


Najmina tertunduk. Kolam matanya mula bertakung. Hatinya tengah berperang hebat. Suara hatinya sedang menghakimi diri. Ada benarnya kata Farhan. Dia sedang mencari dirinya yang hilang. Diri yang dahulunya mengaku Allah itu Tuhan. Diri yang dahulunya pernah bersumpah janji setia dengan Rabbnya.

Dia sedar, ini bukanlah split personality. Ini proses menjejak kembali. Pencarian itu pula menyebabkan pertembungan antara fitrah dan janjinya yang dulu dengan Najmina yang sekarang; Najmina yang part-time Muslimah. Sebab itu, dia keliru. Kerana itulah, dia berasa seperti mempunyai dua personaliti yang berbeza.

"Tapi Along, kenapa baru sekarang Min rasa semua ni?" Najmina sebak.

"Ayat tadilah, jawapannya. Makin kita bertaqwa, makin Allah perbaiki amalan-amalan kita. Ramadhan ini, Along tengok Min banyak mengaji. Banyak baca buku-buku agama. Jaga pandangan mata dan hati. Tak lagi terikut-ikut dengan hawa nafsu. Selalu dengar tazkirah, peringatan dan lain-lain. Maka, hati jadi makin terang. Fikiran pun makin bercahaya! Bila nafsu terkurung, maka mudah untuk iman memandu kita ke jalan-jalan yang baik. Makin lama, kita makin kenal diri sendiri. Paling penting, kita ‘jumpa’ semula dengan ‘fitrah suci’ yang dulu!"
Hurai Farhan, panjang lebar.

Najmina mengulang lagi bacaannya. Al-Ahzab ayat ke-70 dan 71. Hakikatnya, tiada dua Najmina. Hanya satu. Dulu, kini dan selamanya. Najmina yang sepenuhnya Muslimah, cuma dia hilang. Hilang dalam dirinya sendiri.

"Along, terima kasih banyak-banyak!"
Najmina senyum haru.

"Min..." Sederap Farhan menghampiri. Tidak semena-mena, Pap! Sekali lagi sanggulnya terurai. Farhan cepat-cepat berlari meluru ke biliknya. Najmina merengus.

"Atuuuuuuuuuuuuuuukkkkk!" Laungnya kuat. Najmina langsung cepat-cepat mengatup mulutnya, tidak sedar bahawa jam sudah menunjukkan hampir 2.00 pagi.

"Moga Ramadhan kali ini, mampu mengembalikan kita pada fitrah kita yang sebenar-benarnya." Kata-kata terakhir dari Sheikh Mansour, sebelum ulang siaran rancangannya berakhir.

No comments: