Pages

Wednesday, November 12, 2014

Perempuan Di Tangga I.

bismillah

menjerit-jerit dia di suatu hari, dalam keadaan yang tidak semena-mena. satu pejabat riuh, mendengarkan jeritan dia yang bercampur tangisan. antara kami ada yang menjenguk dari cermin luar. sekilas terpandang seorang perempuan dalam lingkungan umur 30-an sedang terduduk sambil meraung-raung.

saya dan dua orang kawan lagi menghampirinya, memikirkan mungkin sahaja dia memerlukan apa-apa pertolongan.

"akak ok?" tanya saya teragak-agak. dia terus meraung lagi, kuat. kemudian, masing-masing antara kami cuma diam, sengaja membiarkannya bertenang seketika. salah seorang dari kami masuk ke dalam pejabat semula, mengambil segelas air. 

"suami saya...ceraikan saya..." katanya tersekat-sekat. matanya memerah, air matanya pula makin menganak deras. raungnya makin kuat kedengaran. 

"sampai hati dia...ceraikan saya. talak tiga!" jelasnya lagi. saya sangat terkejut dan terkilan bercampur kasihan, sedih, dan kecewa. apatah lagi, apabila dia memberitahu selanjutnya lagi bahawa lafaz talak dilafazkan oleh suaminya cuma melalui telefon, beberapa minit yang lalu.

"saya tak pernah minta sesen pun dari dia. kenapa dia buat saya macam ni?" luahnya lagi. kami hanya mampu mendengar. saya menggosok-gosok bahunya, cuba menenangkan. meski saya tahu, mustahil untuk seseorang bertenang dalam keadaan sedemikian rupa.

antara kami cuma berdiam, lama. saya sendiri hilang kata, tidak tahu perkataan apa paling sesuai untuk menenangkannya dalam keadaan sebegini. sabar? redha? tenang? termampu cuma bersilih ganti menggosok bahu dan merangkul tangannya.

itu permulaan saya mengenalinya beberapa bulan yang lalu, sebelum hari-hari terkemudian kami saling berbalas salam dan bertanya khabar. hari-hari selepas peristiwa itu, dia tampak lebih bersemangat dan bertenaga.

namun beberapa hari ini, saya tidak ternampak kelibat dia lagi menyapu sampah di sekitar sini. terlihat cuma seorang lelaki yang menggantikan tugas-tugasnya sebelum ini. 

betapa ada orang-orang di dunia ini, sangkanya mungkin hidupnya cuma kecil-kecilan, tidak bermanfaat besar, namun hakikatnya cukup memberikan kesan pada orang-orang sekeliling. jujur, dia antara orang yang tanpa sedar telah memberikan makna khusus tentang hidup, dalam hari-hari saya. seseorang yang telah mengajarkan erti sebenar sebuah 'syukur', 'bahagia', dan 'sempurna'.

indahnya kalau hidup kita pun begini, menjadikan orang-orang selalu merasakan ada sesuatu, dan mampu berbuat sesuatu. seseorang yang akan didoakan oleh orang lain secara diam-diam, kerana telah menunjukkan kebaikan yang mungkin kecil maknanya pada dia, namun begitu besar kesannya pada kita.

hah!

"I want to inspire people. I want to ignite aspirations in people to the point they will say 'because of you, I didn't give up" -anon

oh terima kasih, kakak.
Allah, lindungi dia selalu.

No comments: